Dec 13, 2007

Pertama : Suara Di Surau II

Suara asing itu.... Nampaknya aku ada mangsa baru. Entah siapa yang memiliki suara garau yang begitu memberi kesan di hati ini. Tak pernah Mak Limah menyebut tentang ada budak baru yang nak menyertai kami. Biasanya kalau ada ahli baru, pasti sedikit jamuan akan disediakan, sedekah dari keluarga yang menghantar ahli baru yang mengaji disurau ni. Bila mengingatkan yang peluang untuk menjadi pemerhati setiap kali datang awal ke surau telah terlepas gara-gara Liza, aku jadi geram sendiri. Ini semua Liza punya pasal. Kalau tidak, pasti aku akan menjadi orang pertama yang akan berpeluang melihat muka mamat baru tu.

Seperti biasa, aku akan menunggu dia di tadika simpang 4. Kami akan berbasikal bersama. Tadi, hampir Maghrib baru tersembul muka dia. Itupun cuma untuk memberitahu aku yang dia tak boleh datang mengaji, `pas bulanan’ dah dihantar. Biasalah, lumrah seorang perempuan. Kebiasaan yang seharusnya ada bagi setiap yang bergelar gadis dan perempuan. Dia selalu cakap, kalau tengah bulan macam ni, bulan dilangit akan mengambang, dan itulah masa untuk dia berehat dari mencari mangsa. Terbalik dengan lumrah drakula katanya. Dan aku memang faham sangat mangsa yang disebutkan itu.

Emm… Bulan. Aku merenung langit. Nasib baik bulan mengambang, jadi gelap malam yang mengundang rasa risau sedikit sebanyak tersisih dari memburu hati. Paling tidak, laluan yang selalu kugunakan untuk berulang dari rumah ke surau sedikit jelas. Kalau terpaksa balik sendiri pun, rasanya tak begitu mengecutkan perut.

Kampungku terletak jauh di pendalaman, selalu terlewat menerima pemodenan. Lampu jalan tidak disediakan, walaupun bekalan elektrik telah ada. Penduduk tak begitu ramai dan jarak dari rumah ke rumah agak jauh. Lagipun, orang kg yang biasa berada dalam kegelapan, kadang tu lebih selesa berada dalam suasana begitu. Membiarkan gelap menyelimuti alam, lampu diluar rumah, ditangga tidak dipasang langsung. Biasanya hanya dipasang sekiranya ada yang berkumpul. Selebihnya, dibiarkan gelap. Mungkin jugak kerana nak berjimat. Entahlah. Aku tak pasti.

“Sadaqallah hal azim….” Suara itu menyentuh pendengaranku lagi. Aku terleka sejenak.

“Opocot…” latah selamba keluar dari mulutku tanpa dapat dikawal. Terkejut bila Mak Limah menepuk kuat lantai, dengan kening terangkat dan mulut dimuncungkan kearah Tok Ayah Min, menandakan yang giliran aku telah tiba untuk memperdengarkan bacaan. Cepat-cepat aku mengemaskan diri, membetulkan baju kurung dan selendang, lantas bangun dengan sopan menuju ketempat Tok Ayah Min bersila kemas.

Satu-satunya ruang pemisah yang ada dua lapis langsir. Satu yang tebal dan satu yang nipis. Langsir tebal yang berukuran daun pintu itu biasanya akan diselak, meninggalkan langsir nipis yang cukup untuk membuatkan Tok Ayah Min mampu melihat anak muridnya yang perempuan memperdengarkan bacaan. Orang berilmu dan hafiz Quran seperti Tok Ayah Min, tak perlu melihat kitab suci itu bila membaca. Matanya terpejam rapat seolah tidur, namun telinganya dipasang jelas. Memang aku kagum kerana setiap kali bacaanku salah, dia masih mampu menegur dan menerangkan dengan detail setiap baris dan nahu yang tak kena.

Alamak, mati le aku kali ni. Baru sekali aku buat latihan bacaan, masih banyak bahagian yang tersekat dan tak lancar. Mesti tak boleh anjak lagi kali ni. Itulah, berangan lagi. Silap-silap, aku pasti didenda mengulang baca selepas Isyak. Lambatlah aku balik nanti. Dah lah balik sorang, gelap pulak tu. Dan yang paling penting, pasti melepas peluang aku nak tengok muka budak baru tu. Ish…

Seperti yang telak ku duga, selesai sembahyang Isyak, Mak Limah menepuk bahu, sambil menayangkan tangannya. Aku faham sangat isyarat itu. Mak Limah tak mungkin melepaskan aku balik selagi aku tidak mengulang bacaan aku sebanyak 5 kali.

“5 kali, seperti biasa.” Katanya dengan rotan di tangan. Gayat aku melihat rotan tu walaupun sepanjang sejarah aku mengaji disitu rotan tu tak pernah sekalipun singgah di badan aku. Ia cuma digunakan utk jadi telunjuk Quran Mak Limah je. Memang pesan nenek dia pegang sungguh-sungguh.

“Cucu aku, macam cucu kau jugak, ajar dia ikut cara kau. Kalau nak kena rotan, buat je. Budak tu nak kena ajar lebih sikit. Nakalnya mengalahkan lelaki.” Muncung aku panjang sedepa bila dengar pesan nenek sebab aku tahu macam mana ketegasan Mak Limah.

“Muka macam cuka, suka tak suka, Mak Limah nak kau baca. Cepat!” Ish... bunyi macam pantun je. Tapi pantun tak siap. Tiga rangkap. Tak lengkap. Mesti Mak Limah tak pernah berpantun dulu, atau pun belajar tak habis dengan tok gurunya, sebab tu buat pantun pun tak cukup rangkap. Aku berbisik sendiri. Mulut ni rasa ringan je nak mengusik. Menawarkan kepakaran aku dalam bidang jual beli pantun, tapi kutahan mulut dari terlepas cakap, bimbang andai yang 5 kali akan jadi 10 kali pulak. Diam adalah pilihan terbaik yang ada. Alahai…. Melepas lagi peluang aku nak menatap pemilik suara asing itu. Tak pe, esok masih ada…..

No comments: