Dec 28, 2007

Pertama : Dia Pulang II

Melihat perlakuanku yang terhendap-hendap, abg Arif turut sama melilau. Tapi dia tak pasti apa yang aku cuba dapatkan. “Apa yang Ika cari? Nak cari calon pak we ke? Nak abang kenalkan?” Dia kemudiannya menyoal, bersuara bila melihat aku tidak menumpukan perhatian pada apa yang diperkatakan tadi.

“Tak payah, Ika bukan cari untuk Ika. Ika cari utk abang. Mana perempuan yang bercakap dengan abang tadi? Bila nak kenalkan? Ika nak test dia dulu ni… Lulus ke tak utk jadi mak we abang” Aku cuba nak kenakan dia balik.

“Perempuan mana? Bila masa abang ada cakap dengan perempuan pulak… Mata Ika dah rabun kot. Nak kena pakai mata empat le tu. Tu lah… Mengutuk budak tadi, dah dia pulak yang jadi rabun.” Abang Arif tersenyum. Tapi bila aku memandang wajahnya dengan pandangan mengusik, dia melarikan matanya, seolah cuba menyembunyikan sesuatu.

“Tadi tu, Ika nampak. Ish… ini semua sebab budak tu la. Kalau dia tak langgar Ika, mesti Ika sempat tangkap abang dengan perempuan tadi.“ Aku meluahkan perasaan kecewa dengan menyalahkan kejadian yang telah berlaku tadi.

“Ika nak tangkap abang? Macamlah abang ni berkhalwat pulak.“ Dia tergelak lagi dengan istilah yang aku gunakan.

“Patutnya Ika bawak kamera, senang nak tangkap gambar. Ada bukti nanti, abang tak boleh nak nafikan lagi.” Aku mencuba nasib, memasang umpan untuk serkap jarang yang membolehkan aku mengenakannya kembali. Boleh aku jadikan senjata andai dia mengusik keterlaluan nanti. Mana tahu, kalau-kalau kelibat gadis itu dapat ditangkap dari celah bicara usikan yang aku lakarkan.

“Abih tu, apasal tak bawak?” Dia berkata mencabar.

“Ika mana ada kamera… Nantilah. Ika akan beli. Abang jangan cabar Ika… Ika spy abang nanti, lepas tu tunjuk kat Mak Long calon menantunya. Baru abang tahu sapa Ika…” Tak puas hati betul aku dengan abang Arif kali ni. Pandai betul dia mengelak.

“Tak pe.. tak pe… Bila Ika beli nanti, bagi je kat abang, biar abang sendiri ambik gambar bakal isteri abang. Ika tak payah susah-susah.” Ahh… bijak dia menangkis serangan aku. Memang… Setakat ni, cuma abang Arif saja yang aku sering kalah bila berlawan kata.

“Kalau macam tu baik tak payah beli. Entah gambar apa yang abang akan ambik nanti. Silap haribulan, minah bugis mana kat Johor tu yang abang ambik gambarnya nanti. Dahlah… Malas Ika nak layan abang.” Itu je yang aku tahu cakap bila aku dah kehabisan idea untuk berlawan bicara dengan dia… Aku terpaksa akur. Nak buat macam mana, sebab dia ialah tok guru aku. Mana boleh lawan guru, nanti ilmu tak berkembang.

Abang Arif tergelak lagi… Gelak itulah yang membuatkan aku rindu padanya. Segala tentang dia begitu menarik, begitu indah, begitu menceriakan dan itulah yang membuatkan ingatan aku terhadapnya tak mudah di lepaskan. Senyuman, usikan dan sikap ambil berat yang dia tunjukkan menjadikan aku senang dan gembira bila kami bersama. Dia selalu bertindak sebagai pelindung aku bila aku memerlukan, penghibur bila aku kesunyian, malah aku sering merasakan bahawa dialah ubat penenang aku bila hati ini sakit, marah ataupun sedih. Aku bersyukur, walaupun abang kandung tak sempat ku kenali, tapi abang Arif telah melengkapkan kekosongan itu.

“Abang… Abang dah lupa ke janji abang tu?” Aku mengubah topik dan cuba untuk mengingatkan dia tujuan utama aku menemuinya.

“Janji apa? Bila masa abang janji dengan Ika?” berkerut-kerut mukanya. Eh.. betul ke dia lupa?

“Abang ni, belum tua dah nyanyuk. Ni mesti sebab dalam otak tu dok penuh dengan perempuan, sampai tak ingat janji sendiri. Tak pe lah kalau lupa. Ika nak balik.” Aku berkata dengan nada kecewa. Aku pusingkan badan, mahu melangkah pergi memandangkan apa yang telah diamanahkan telahpun selesai disempurnakan. Lenganku di paut tiba-tiba, menghentikan rancangan untuk berlalu dengan rajuk yang dibuat-buat.

“Eei… dah pandai merajuk sekarang ye!? Mmm… manis jugak muka orang merajuk ni.” Matanya merenung aku dengan pandangan yang sukar nak di tafsirkan. Aduhai... ’Janganlah pandang Ika macam tu…. Cair Ika kat sini karang, sapa yang susah.’ Nasib baik aku ni sepupu dia, kalau tak, mahu dibuatkan aku jatuh cinta… ’Eh.. sepupu boleh kawin apa.... Tak naklah.... Nanti asyik kena buli kat dia je.’ Suara hati aku berdialog sendiri.

“Okeylah, okeylah…. Tunggu sini kejap. Jangan balik lagi. Nanti abang pegi ambik kat atas bas. Tak sampai hati bila tengok buah hati jantung pisang tanduk abang ni merajuk.”

Aku tersenyum. Nasib baik dia ingat. Kalau tak, mahu setahun aku tak bercakap dengan dia. Tak sampai seminit, aku melihat dia turun dari bas. Di tangannya membimbit plastik bag dengan bungkusan berbalut surat khabar. Dia memang begitu. Dari dulu lagi memang tak pernah bungkus hadiah utk aku dengan kertas pembalut hadiah. Katanya, yang penting ialah isi didalamnya. Lagipun, bungkusan luar cuma cantik utk seketika je. Lepas tu koyak dan buang. Buat apa nak balut cantik-cantik. Seperti juga manusia, yang penting ialah hati, bukan rupanya.

“Nah, ini untuk Ika. Jangan merajuk lagi. “

“Mekacih… Ika saayyaaanng abang. Lain kali beli lagi yek!” kataku manja keanak-anakan.

“Suka la tu. Umur dah boleh jadi mak budak, tapi manja tak abih-abih. Nasib baik le Ika ni manis, kalau tak malas abang nak layan.” Usiknya lagi.

“Ooo… macam tu rupanya. Kalau Ika tak cantik, dan cacat, agaknya abang tak peduli kat Ika lah ye? Tak baik tau.” Aku melemparkan prasangka padanya dengan nada usikan.

“Tak de la macam tu. Dah lah. Kesitu pulak peginya. Pegi balik, dah lewat ni. Jaga diri baik-baik. Bas abang pun dah nak jalan ni.“ Katanya sambil matanya memandang pemandu bas yang telahpun bersiap sedia untuk memulakan rutin tugasnya.

“Hati-hati jalan, jangan sampai langgar orang lagi.“ Sambung abang Arif berupa pesanan yang terkandung usikan ringkas mengakhiri pertemuan kami. Aku menjelirkan lidah dan kemudian tersenyum sambil mengangguk.

Aku melangkah meninggalkan stesyen bas. Abang Arif masih di situ, memerhatikan aku. Kali kedua aku berpaling, aku nampak perempuan yang bercakap dengan abang Arif tadi menaiki bas yang sama. Isk, macam mana aku boleh tak nampak dia tadi? Sembunyi kot? Keluhan kecewa kulepaskan bila mengingatkan peluang yang ada berlalu begitu saja tanpa sempat aku menyambarnya. Sementara itu aku masih boleh merasakan bahawa ada mata yang masih merenung tajam ke arah ku. Aku memandang sekilas. Budak bermata empat tadi, dalam bas yang sama dengan abang Arif.

Apa tengok-tengok! Sekadar bergema di dlm hati….

No comments: