Dec 13, 2007

Pertama : Kena Mengena

Selesai jamuan makan malam, tanda kesyukuran diatas kejayaan abang Arif melanjutkan pelajaran ke UTM, aku diarahkan mengemas dan membasuh pinggan. Kata mak, itu tugas aku yang paling penting. Abang Arif menawarkan diri untuk menolong. Ringan sikit bebanan kerja yang perlu aku selesaikan. Aku sedia tahu, dia akan selalu cuba mengambil peluang untuk bersama aku, kerana dengan cara itu, dia akan dapat memujuk dan mengenakan aku dalam masa yang sama. Lagipun, aku tahu dia faham sangat perangai aku. Ketika aku dikenakan begitu teruk, aku memang memerlukan seseorang untuk dilepaskan perasaan geram. Sementelah pula aku asyik kena buli saja malam ni.

“Kalau ye pun marah, jangan le pinggan rumah abang dijadikan mangsa. Pecah nanti siapa nak ganti? Nanti pinggan tu jugak yang nak digunakan bila abang kahwin nanti atau bila Ika kawin nanti….” Dia membuka kata bila dilihat sedari tadi aku tidak membuka mulut. Malah terus menerus mengelak diri dari bertembung pandangan dengannya. Sengaja. Biar dia tahu aku memprotes sebab dia langsung tidak membantu, sedangkan saat itu, aku harap sangat dia akan membela aku. Atau paling tidak, jangan melemparkan senyuman dan kenyitan mata yang menambahkan lagi sakit hati aku.

“Kalau abang kahwin nanti, mesti nak guna pinggan ni balik, so jangan sampai Ika pecahkan pulak. Err... Ika nak kawin tak? Nak abang jaga Ika seumur hidup? Tak takut kena buli kat abang nanti?” Abang Arif cuba mengusik. Berusaha memecahkan suasana sepi antara kami. Ruang waktu yang berlalu hanya diisi dengan bunyi pinggan berlaga yang semakin kuat dan ku sengajakan. Aku tetap berdiam diri. Buat tak kisah dan tak peduli. Seolah hanya aku yang membasuh pinggan sendiri. Abang Arif tak wujud. Invisible.

“Alahai… Makin panjang muncung adik abang ni… Parah betul kalau macam ni...” Bagus. Tahu pun aku tengah marah.

“Alah Ika, mereka gurau je tadi. Bukan Ika tak biasa kan? Bukan tak pernah kena sebelum ni.“ Abang Arif masih cuba memujuk. Aku diam. Suka membiarkan dia terus berusaha menghidupkan suasana.

“Ish... Apahal adik abang malam ni? Kenapa lain benar reaksi Ika malam ni? Bateri yang membekalkan kuasa pertahanan belum sempat charge lagi ke? Kuasa power rangers merah dah hilang ke?“ Aku hampir tergelak. Tapi sempat menahan diri. Tanganku masih ligat menjalankan tugas membasuh pinggan. Bermain sabun dengan buih yang menimbun, sedikit melekakan aku, membolehkan aku mengawal emosi dengan lebih baik.

“Eh... Ika. Tengok tu! Bulan penuh la... Cantik kan?“ Dia mengumpan lagi. Sekilas aku mendongak. Reaksi spontan bila dia menyebut tentang bulan. Hatiku tersenyum dalam diam. Satu kenangan yang indah tiba-tiba berlagu dalam diri. Ahh... abang Arif ni memang, pandai nak melekakan aku. Aku kembali sedar. Seboleh mungkin aku cuba mengawal senyum, mengingatkan diri yang aku dalam keadaan merajuk.

“Bercahaya. Macam wajah Ika jugak. Kalau Ika senyumlahkan... Tapi kalau tak senyum macam ni, macam bulan gerhana je.“ Dia menjeling, cuba mencari riak wajah yang aku sembunyikan, namun aku masih kekal mengawal gelodak hati, tak mahu memberikan sebarang riaksi.

“Kalau orang dulu bercinta, selalu akan cakap, wajahmu cantik seperti bulan. Abang pun nak cakap macam tu jugaklah. Konon-kononnya kita ni bercintalah.“ Dia bangun mendekati. Aku terkedu dengan tindakannya. Tapi aku biarkan saja. Abang Arif ni, dah kena sampuk ke? Lain benar lawaknya malam ni.

“Ehem... ehem...“ Abang Arif membetulkan suara yang aku rasa dah tak betul. Mungkin sebab otaknya dah tak betul lagi, atau memang sebelum ni pun dia memang tak betul dan aku tak tahu pun yang dia tu tak betul. Tapi kadang tu aku rasa memang... ada ketika otak dia banyak yang tak betul dari yang betul. Betul ke dia tak betul ni..? Atau aku yang tak betul? Mak oi... banyaknya betul tak betul yang bermain di kotak fikiran aku. Ahh.. Lantaklah. Aku yang akan jadi tak betul nanti kalau banyak sangat fikir pasal betul tak betul ni....

“Ika sayang... Semenjak kali pertama kupandang dikau, hatiku telah terpaut. Sungguh tak dapat kulupa, karena wajahmu sungguh cantek, seindah bulan purnama.“ Katanya dengan nada seolah pelakon zaman 50-an. Siap dengan aksinya, sebelah tangan diangkat menghala ke arahku dan sebelah lagi ditekapkan didadanya. Aku hampir tergelak. Abang Arif memang kelihatan amat lucu, bila songkok disengetkan sedikit, seperti yang P.Ramlee pakai dalam cerita Anakku Sazali. Aku tunduk. Menahan ketawa yang hampir terburai. Memang sah... Abang Arif dah tak betul! Aku gelak sakan dalam hati.

“Tapi kan, sebenarnya itu tak bertepatan dengan Ika, sebab abang rasalah kan, Ika lagi cantik sebab kulit Ika tak berjerawat, bukan macam bulan tu. Tak tahulah nanti kalau Ika terus merajuk macam ni, marah-marah tak tentu pasal, mahu esok Ika bangun pagi, tengok-tengok ada jerawat batu 2-3 bijik kat pipi dan dahi Ika. Hilang semua seri Ika nanti. Hahaha...“ Abang Arif gelak sakan. Hati yang baru nak terpujuk, bertukar rasa lagi. Memang abang Arif nak kena tembak dengan peluru gajah kalau terus mengusik aku macam ni. Aku mendengus, geram. Aku menarik muka lagi. Masam mencuka.

Tawanya reda selepas seketika. Matanya masih merenung bulan yang membulat terang. Sinarnya indah sekali. Bintang-bintang yang berkelipan sebelum ini seolah menjauhkan diri lantaran tak mampu menandingi biasan cahaya bulan. Walaupun jauh dari bulan, bintang tetap punya cahayanya sendiri dan hadirnya yang mengindahkan langit malam, tak siapa yang mampu menafikan.

No comments: