Dec 17, 2007

Pertama : Serangan Malam III

Hujan masih turun, namun titisannya telah mula mengecil, menandakan ia telahpun sampai di penghujung tempoh curahan. Dan rasanya mangsa tempoyak aku tadi tidak cuba untuk mengejar. Aku yakin yang aku tak langsung diekori. Larianku semakin perlahan selepas terasa yakin keselamatan telah terjamin. Kini aku berusaha untuk mengembalikan rentak nafas ku ke tahap yang normal setelah peristiwa yang menakutkan tadi.

Peliknya aku tak rasa nak menangis walaupun tadi aku rasa seolah begitu cemas dengan segala kemungkinan yang tak ingin aku bayangkan. Hebat juga aku ni ye! Aku tersenyum sendiri. Sekali-sekala aku masih memandang ke belakang. Sekadar memastikan keadaan agar aku boleh bersedia andai perlu. Tapi gerak hati aku jelas memberitahu yang aku tak di ekori. Ye lah... Kalau orang tu mengekori aku, tanpa perlu berpalingpun pun aku pasti boleh tahu…. Mesti bau tempoyak!

Sesampainya aku dirumah Mak Long, hujan telah pun berhenti. Kawasan rumah sunyi dan suram menandakan tak ada aktiviti manusia yang aktif di dalam rumah tersebut. Tak mungkin mereka sudah tidur memandangkan malam masih awal. Mungkin mak Long ke surau kerana salam yang di beri langsung tak bersahut.

Selalunya kalau Abang Arif balik, mereka akan ke surau bersama-sama. Aku meletakkan punggung di atas kekuda kayu di tepi tangga. Plastik yang berisi bekalan abang Arif aku sangkutkan di paku yang selalunya mak long gunakan untuk menyangkut bekas makanan ayam. Fikiranku masih tak lepas dari memikirkan peristiwa tadi. Tak sampai 5 minit menunggu, kedengaran enjin motor menghampiri.

“Ya Allah, apa dah jadi dengan kau ni Ika? Apasal basah kuyup ni? Comot lak tu. Macam baru lepas kena kejar dek hantu je. Ika datang dengan apa? Dengan siapa? Dah lama sampai ke?” Mak Long dengan soalan sepanjang keretapi, walaupun belum sempat turun dari motor. Tanpa mematikan enjin motor, abang Arif terus meluru ke arahku.

“Ye lah Ika… Apa pasal ni? Apa yang berlaku?” tambah Abang Arif. Aku diam. Entah kenapa tiba-tiba aku rasa nak menangis, tapi seboleh mungkin aku menahan kerana tak mahu bagi Arif menggelakkan aku selepas tahu apa yang berlaku. Aku menarik nafas dalam, dan menghembusnya perlahan, mengharapkan agar tangis yang hampir pecah mampu berlalu dengan cara begitu.

“Ika, kenapa ni? Cakap kat abang.” Abang Arif melabuhkan punggungnya di sebelah kananku, memegang bahu dan merenung ku dengan muka cemas bercampur risau. Aku sedikit terkejut melihat reaksi spontannya. Cepat-cepat dia mengalihkan jari-jarinya yang mencengkam kuat bahu ku saat aku memandang tangannya dan kemudian beralih ke wajahnya.

Melihatkan kerutan di wajahnya yang jelas mengubah bentuk keningnya, di sertai dengan mata yang membulat seolah terkena kejutan, rasa tangis yang nak bermula tadi berubah corak. Terasa kelucuan yang entah datang dari mana mencuit hatiku. Timbul niat untuk mempermainkan dia dan lakunan nakalku bermula. Aku mengekalkan muka sedih yang telah terbentuk di wajahku.

“Ini semua gara-gara abang Arif.” Aku memulakan bicara dengan nada suara seolah mahu menangis. Sememangnya aku selalu meletakkan kesalahan pada orang yang salah, dan orang yang di persalahkan itu ialah abang Arif, orang yang aku paling sayang dan paling rapat denganku.

“Arif buat apa dengan Ika?“ Mak Long yang tadinya kaku melihat reaksi aku, menjadi bertambah cemas bila nama anaknya di babitkan. Aku tiba-tiba rasa kesian pada Mak Long yang begitu mengambil berat dan jelas semakin risau bila melihatkan keadaanku.

“Apasal pulak abang yang salah? Apa abang dah buat?“ Abang Arif bersuara lagi.

“Apapun yang berlaku, abang tetap akan Ika persalahkan. Abang harus bertanggungjawab.“ Aku mengatur skrip yang tak bertapis dan sedikit kedengaran berbau tuduhan yang berat.

“Abang tak buat apa-apa pun…Ika ni... Cubalah cakap bagi abih” Dia masih cemas tapi mula mengesan kebiasaanku yang selalu meletakkan segalanya di tempat yang tak kena.

“A’ah Ika, cuba cerita satu-satu apa yang berlaku. Mak Long dah start pening ni.“ Mak Long menokok. Aku memandang wajah Mak Long dn abang Arif bergilir-gilir. Memikirkan haruskah aku terus bercerita tentng peristiwa tadi ataupun emmbiarkan mereka terus tertanya-tanya seketika lagi sebelum membongkar semuanya.

“Erm… Ika datang nak ambik barang yang abang kata abang beli utk Ika. Nak tuntut janji abang Arif pada Ika. Ika bagitau mak yang Ika nak datang sini dan mak sediakan banyak barang untuk Ika bawak. Berat tau… Mak suruh Ika bawak kerabu jantung, serunding daging dan sambal tempoyak utk abang… Bla..Bla.. Bla…” giliran aku pulak bercerita mengikut laluan keretapi. Langsung tak mahu beri mereka peluang untuk bertanya.

“….. Segala jenis silat Ika praktikkan masa tu. Tertonggeng hantu tu Ika kerjakan. Cabut lari terus dia, hilang tah kemana.” aku bercerita dengan bangga. Tangis yang aku lakunkan tadi telah hilang dari babak tragis yang aku cipta tanpa aku sedari. Abang Arif dan Mak Long tersenyum lega sambil menggeleng-gelengkn kepala.

“Alahai… siapalah yang malang tu. Entah-entah orang yang baru balik dari surau jugak. Erm... Nasib dia lah tu gaknya. Pasti dynamo pun tak mampu nak hilangkan kekotoran dan bau tempoyak mak Ika itu.“ Kata mak long sambil ketawa. Aku dan abang Arif ikut tergelak mendengar andaian mak long.

“Syukurlah Ika tak apa-apa. Mak Long risau betul tadi. “ Sambung Mak Long lagi.

“Mak tak payah risau sangat, Arif tahu Ika boleh jaga diri, sebab Ika kan selalu cakap, Ika ni ada semangat Tok Wan yang berani walaupun tak tahu langsung bersilat. “ Tambah abang Arif cuba untuk menghalau risau yang tadinya bercambah di hati mereka bila melihatkan keadaan Ika.

“A’ah mak long. Ika ni kan cucu Tok Wan, dan abang Arif pun dulu dah pernah ajar Ika sikit-sikit langkah untuk pertahankan diri kalau ada orang serang Ika. Ika masih ingat lagi walaupun abang Arif ni kedekut ilmu silatnya tu, tapi dia ajar jugak selepas dipaksa sebab dia sayangkan Ika. Tapi tak kisahlah kan, sebab Ika ni tak tamak, dan tak naklah memalukan abang Arif kalau Ika terlebih pandai dari dia, jadi cukuplah dengan apa yang di ajar. “ Aku bersuara sambil sambil menahan gelak. Berusaha untuk menenangkan mak long bercampur dengan kata-kata untuk mengenakan abang Arif.

“Amboi. Banyak betul isinya. Mulanya macam nak berterima kasih kat abang sebab ajar Ika, rupanya nak mengata abang erk. Bukan setakat tu je... masuk bakul angkat sendiri lagi.“ Abang Arif mengulas kata-kata aku tadi disertai gelak kecil bercampur geram kerana dipermainkan.

“Ika tak masuk bakul lah. Ika naik lif je. Cepat sikit…” Aku membetulkan perumpamaan lama sambil tergelak. Tawa mak long dan abang Arif pecah bersama angin malam yang menderu. Dingin yang di bawa hujan sudah tidak terasa lagi. Sunyi mengisi ruang seketika. Seolah melepaskan perasaan lega selepas mengetahui segala peristiwa yang terjadi.

“Ish.. dari tadi dok kat bawah je. Terkejut punya pasal. Arif, bawak Ika naik atas, mak nak salin baju dn ambikkan baju dan tuala untuk Ika.“ Mak Long bersuara sambing mengangkat punggung memulakan langkah menuju ke tangga untuk naik ke rumah.

“Baik mak. Kejap lagi kami naik. Jom Ika.“ Ajak abang Arif. Aku melengah-melengahkan sebab kaki yang terasa pedih yang hampit terlupa kesakitannya bila sibuk bercerit tadi.

“Eh... Lupa pulak. Abih tu, mana basikal Ika? Tak kan dia bawak lari kot?” Abang Arif berkata memecah sunyi. Mungkin mula menghidu sedikit keanehan dalam cerita aku tu. Aku terlupa tentang basikal kesayanganku yang di tinggalkan apabila memulakan larian marathon dalam gelap tanpa wujudnya peserta lain yang bertanding.

“Hehehe…” Aku tergelak sambil cuba menyembunyikan lagi sedikit peristiwa yang telah aku tonggeng terbalikkan untuk mencipta kisah keperwiraanku yang hanya aku tahu bagaimana situasi sebenarnya.

“Ini mesti Ika cabut lari ni. Basikal tu Ika tinggalkan kat situ kan? Terlupa terus pasal basikal kesayangan Ika tu sebab terlalu takut erk?“ Dia meneka dan aku tak mahu mengiakannya.

“Mana ada Ika lari... “ Aku masih cuba untuk berdalih.

“Abang tahu adik abang ni. Tak pe lah Ika tak nak mengakupun. Yang penting Ika selamat dan tak ada apa-apa yang buruk berlaku pada Ika.“ Dia berkata begitu kerana dia tahu kebenaran itu jelas dipihaknya walaupuan aku menafikan.

“Abang....“ Aku bersuara manja nak menangis. Abang Arif memandangku dan aku menyambung sambil melihat kaki yang sedikit tercalar akibat terjatuh tadi. “Sakit...“

“Ya Allah... Mengapa tak cakap dari tadi? Mak! Ika luka. Bawakkan kain dan air untuk bersihkan luka Ika ni!“ Dia menjerit, kembali bersuara cemas. Aku bahagia melihatkan kerisauannya kerana dari situ aku tahu, aku memang kesayangannya.

“Dahlah... Jom naik. Boleh jalan kan? Atau nak abang dukung?” Usikan abang Arif membuatkan mukaku panas.

“Ika dah besarlah. Lagipun bukan cedera parah sampai tak boleh jalan. Jangan pulak abang nak ambik kesempatan, nanti karang, abang pulak yang Ika mandikan dengan tempoyak. Nak ke?” Aku bersuara mengancam, mengusik dan menyembunyikan perasaan malu yang entah kenapa tiba-tiba muncul bila gurauan abang Arif seolah berbau sesuatu yang indah menghiasi hati. Dia hanya tergelak.

“Oklah... oklah... Abang pimpin je lah. Erm... nanti abang hantar Ika balik. Abang nak tengok kalau-kalu basikl Ika tu masih tersadai kat situ. Kalau ada, maknanya jodoh Ika dengan basikal tu masih panjang, kalau tak, kena beli basikal barulah nampaknya.“ Dia mengusik lagi.

“Abang ni kan, janganlah cakap macam tu. Ika sayang basikal tu tau. Jangan le cakap macam doa mintak orang tu ambik basikal Ika pulak.“

“Mana ada abang doa, abang cakap je lah.“ Dia berkata menjelaskan. Aku terdiam sambil kaki mula melangkah menaiki anak tangga dengan dipimpin oleh abang Arif.

“Abang…. Err… sorry pasal tempoyak tu ye?”

No comments: