Dec 17, 2007

Pertama : Serangan Malam II

Otak aku berputar ligat mencari idea untuk mempertahankan diri. ‘Apa nak buat ni? Tak payah mintak tolong lah…. Baik aku duduk diam-diam.’ Aku mencongak dan merancang apa tindakan yang sepatutnya aku lakukan dalam keadaan yang tak mampu di duga. Tak sanggup aku nak mengambil risiko meminta tolong pada manusia yang tak kukenali orangnya.

Lampu samar yang aku nampak tadi dah tak kelihatan, tapi bunyi tapak kaki dan rantai semakin menghampiri. Tiba-tiba derapan tapak kaki terhenti. Aku menahan nafas. Jantung aku berdegup laju. Dup-dap, dup dap, seolah gendang cina yang mengiringi tentera berkuda untuk berperang. Aku menutup muka dan memejamkan mata dengan niat untuk menyembunyikan diri.

Tak semena-mena hidung aku diresapi bau wangi. Aku semakin menggigil.
’Ya Allah, selamatkan lah aku yang masih dara ini. Aku janji tak nak nakal lagi.’ Doaku bersungguh-sungguh, yang hanya bergema dalam hati yang dah kehilangan rentak normal lantaran ketakutan yang menyelubungi diri.

Bila terasa bahu di sentuh, spontan aku mendongak untuk memandang makhluk yang nyata telah menemui aku yang kononnya bersembunyi tapi aku tahu aku berada di tempat lapang yang gelap. Persembunyian yang hanya bergantung pada pekat malam yang tak berbulan dan berbintang. Dalam silau cahaya lampu yang hala ke muka, aku nampak seolah tangan itu sedang menggapai untuk menyentuh aku… mungkin mahu meragut baju yang ku pakai...

“Maaakkk!!! Tolongggg!!!“ Aku menjerit sambil mengensot ke belakang. Aku masih tak nampak mukanya lantaran lampu yang disuluh tepat kemukaku. Kalaulah apa-apa terjadi pada aku, bagaimana nak mengenalpasti penjenayah ni? Siapa yang nak kat aku lagi? Kalau hantu, adakah orang akan percaya apa yang aku ceritakan?

Hujan semakin lebat. Badanku basah oleh peluh ketakutan dan titis hujan yang menyelimuti seluruh badan. Cuba mengumpulkan tenaga yang hampir menghilang oleh ketakutan yang tak pernah aku rasakan sepanjang hayatku. Aku menarik nafas tanpa sempat berfikir untuk membetulkan suara, menjerit sekuat hati, tapi entah kenapa peti suara ku seolah mengalami gangguan yang tak dapat di kesan kerosakannya. Jeritanku yang serak-serak basah bercampur kering tak mungkin mampu di dengari oleh sesiapa.

Aku tak mahu berputus asa dan menyerahkan nasib diri kepada makhluk yang entah bersenjata entahkan tidak. Dalam suasana yang masih belum ketara kelihatan oleh pandangan mata, cuba bangun dan lari, tapi kembali terjatuh lantaran tersepak basikal yang kaku terbaring.

Aku cuba meraba apa-apa objek yang boleh aku gunakan utk melawan. Mengharapkan agar apa saja yang tersentuh yang boleh aku gunakan sebagai senjata sementara. Hah… Dah dapat! Botol sambal tempoyak yang mak suruh aku berikan pada abang Arif. Aku menggenggam botol itu kemas agar satu-satunya alat bantuan yang ada pada aku tak akan terlepas.

Semangat kepahlawanan yang aku warisi dari arwah Tok Wan tiba-tiba menyerap masuk dalam diri bila memikirkan yang aku telah ada sesuatu yang mungkin mampu menghalang kejadian yang tak diingini berlaku, membuatkan aku mampu bangun tanpa mempedulikan kesakitan yang terasa semakin ketara pedihnya. Dengan berbekalkan bunga silat tak kembang yang abang Arif pernah ajar satu ketika dulu, aku menghayun botol yang tergennggam di tangan sekuat hati. ‘Alamak! Dia ni pakar silat jugak ke?’ Hatiku resah, risau lantaran sasaran yang tak mengena.

Aku tak boleh mengalah sebegitu mudah. Pantang anak melayu seperti aku kalau tidak berjuang ke cebisan tenaga yang terakhir untuk mempertahankan maruah diri dari di ceroboh oleh makhluk asing yang tak di kenali. Aku kembali mengumpul tenaga untuk membuat cubaan kedua. Duss!!! Aku seolah memukul angin yang tak mampu di pegang. Gagal lagi. Hatiku mula berbisik, mungkinkah aku sedang berhadapan dengan hantu? Mungkinkah itu ilah alien yang diturunkan dari bulan yang telah mendarat saat ia terselindung oleh awan pekat? Memukulnya seperti memukul angin yang langsung tak dapat di sentuh. Aku menggenggam botol plastik berisi tempoyak tu sekemas mungkin. Aku harus terus mencuba! Jerit hatiku dengan semangat sekeras waja.

Cubaan ke tiga.
’Bismillah hirrahman nirrahim... Berkat kalimahMu Ya Aziiz, kenalah hendaknya pukulan kali ni.’ Aku menghayun botol yang tergenggam kemas di tangan dengan sekuat tenaga. Entah macam mana hayunan kali ketiga tu kena. Yess!!! Serentak dengan itu bau tempoyak menyusuk hidung.
’Alamak, abih le tempoyak Abang Arif.’ Ahh.. Lantaklah. Yang penting aku perlu pertahankan diri.
’Sorry le bang. Ika nak gunakan ini sebagai senjata. Nanti Ika suruh mak Ika buat yang lain.’ Sempat lagi aku berbisik dlm hati.

Melihat badannya yang mula terbongkok kerana hentakan tadi, aku menjadi semakin bersemangat. Tenaga yang masih ada memberikan aku kekuatan untuk meneruskan pukulan yang seterusnya tepat di kepala. Malang nasibnya bertambah jelas bila kali ini semua is tempoyak telah tersimbah keluar membasahi badannya yang aku pasti kini telah sebati dengan curahan hujan.

Serentak dengan pukulan yang mengena, aku dengar jeritannya.

“Adoooiiii!!!“Jeritan dari suara kasar itu akhirnya bergema mengatasi suara katak yang masih berterusan memanggil hujan. Sah… Ini hanyalah manusia yang mungkin mahu mengambil kesempatan ke atas aku di dalam kegelapan malam ni. Maaflah ya, ini Ika bukan sebarang gadis yang boleh di permainkan begitu saja. Ini ialah cucu Tok Wan guru silat yang terkenal di kampung ni. Walaupun aku tak sempat berguru dengannya tapi darah kepahlawanan tetap mengalir di dalam saraf dan tulang belulangku.

Aku puas hati. Dia hanyalah manusia, bukan hantu dan bukan alien. Garau juga suaranya. Suara yang gagah tapi tewas pad Ika. Aku menarik nafas mengah yang hampir putus kerana ketakutan. Tidak ada tindak balas walaupun selepas terkena pukulanku tadi. Mungkin masih terkejut dengan senjata yang tak disangka tu.

Melihatkan kesempatan itu, secepat mungkin aku mencapai plastic bag yang berisi pesanan mak. Plastik yang diisi bersama dengan botol tempoyak yang telah terburai isi perutnya, yang kini telah menjadi bom jangka yang telah melemahkan manusia itu. Aku membuka langkah seribu, lagk pelari pecut yang hampir tewas di garisan penamat kerana keletihan. Sekurang-kurangnya serunding daging dan kerabu jantung pisang tu masih ada utk abang Arif. Harap-harap plastik pembungkus tak pecah. Amanat mak mesti diserahkan.
Kaki yang terasa sakit sedari tadi tak mampu aku gambarkan. Namun itu semua tak mahu aku pedulikan buat masa ini. Yang penting ialah aku perlu pergi secepat mungkin, pergi jauh dari lelaki itu, segera berlalu mencari tempat yang lebih terang agar di tak mungkin dpat mengambil kesempatan ke atas kegadisan aku yang masih terpelihara.

No comments: