Dec 13, 2007

Pertama : Ikatan Hati

“Abang, basuh tangan Ika kejap.” Aku menghulurkan tangan. Salur getah yang bersambung dengan paip dihulurkan kepada aku. Selesai membasuh tangan, aku membuka tudung. Aku sangkutkan di paku yang terpacak didinding berhampiran. Kemudian aku menarik getah yang mengikat rambut. Terungkai ikatan rambutku yang panjang melepasi paras dada. Rambut yang ku simpan atas permintaan abang Arif. Katanya, dengan berambut panjang, aku akan kurang kelihatan seperti lelaki. Mak tak akan bising sangat, membebel tentang perangai aku yang kasar dan langsung tak nampak kegadisan walaupun aku berbaju kurung. Bermula dari situ, aku mula belajar menguruskan rambut panjang. Bukan kerana bebelan mak, tapi kerana abang Arif.

“Hulur tangan.“ Aku memberi arahan sambil memandang abang Arif. Berkerut kening abang Arif. Memandang aku dengan riak wajah yang penuh tanda tanya. Hampir tergelak aku dibuatnya. Dia tidak bereaksi.

“Kenapa?“ Dia bertanya. Jelas bimbang, kalau aku nak mengenakan dia.

“Alah... hulur je lah. Itupun banyak soal. Ika bukan nak potong tangan abang pun. Paling tidak, Ika nak patahkan je. Apasal? Takut ye?“ Aku mengusik, mengangkat kening sebelah, lagak Ziana Zain yang terkenal dengan aksi kening terangkat semasa menyanyi. Dia tergelak, lantas bangun sambil menghulurkan kedua-dua tangannya. Aku ketawa lucu. Macam orang nak kena gari je.

“Dekat sikit. Jauh sangat, susah Ika nak karate abang“ Aku terus mengusik. Abang Arif melangkah mendekatkan diri. Haruman minyak wanginya begitu lembut menusuk deria bau ku. Bau yang tak pernah berubah. Kedua tangannya masih dihulur lurus.

“Satu-satulah bang” kataku sambil tanganku menolak dan menjatuhkan satu lagi tangannya. Aku mula melipat lengan baju melayunya yang terlondeh basah. Melipat sehingga ke paras atas siku. Getah ikatan rambut yang di pakai tadi, ku gunakan untuk mengikat lengan baju yang dilipat. Menyarungkan getah berwarna hitam ke lengannya dengan tujuan untuk mengelakkan lipatan itu terungkai lagi bila dia membilas pinggan nanti.

Selesai tangan kanan, dia terus menghulurkan tangan kiri. Getah ikatan rambut masih ada satu lagi ditanganku. Memang aku selalu menggunakan dua getah setiap kali rambut diikat. Walaupun aku hanya bertocang satu, tapi lebih suka menggunakan dua getah. Lebih kemas.

“Err, Ika dah ada calon ke?” Abang Arif tiba-tiba bersuara. Tangan aku masih leka melipat lengan bajunya yang licin. Kain satin. Macam baju pengantin lah pulak. Memang patutpun mudah terungkai.

“Calon apa?” Aku tak faham. Entah topic apa pula yang abang Arif nak bincangkan dengan aku kali ni. Aku memandang wajahnya sekilas. Renungan matanya memang terasa lain benar kali ni. Aku cepat-cepat mengalihkan pandangan mataku, menumpukan lipatan lengan baju, sambil mataku menikmati lengannya yang terhias dengan urat-urat yang timbul.

“Calon suami. Err… maksud abang, Ika dah ada teman lelaki?” Abang Arif memang nak kena sekeh ni. Aku berbisik sendiri. Geram.

“Abang ni waras ke tak? Ika baru umur 16 thn la. Tak baligh lagi. Mimpi pun belum lagi tau tak.” Apa aku melalut ni...!? Apa pulak mimpi yang aku sebut. Aku bukan lelaki, nak baligh melalui mimpi. Muka aku terasa merah. Macam mana nak cover balik rasa malu ni? Alahai... Rupanya rasa malu masih wujud dalam diri aku, walaupun yang berhadapan dengan aku sekarang ni cuma abang Arif, lelaki yang ku anggap seperti abangku sendiri, lelaki yang membesar bersamaku.

Selesai lengan bajunya diikat, aku menolak tangannya kasar. Nak menyembunyikan perasaan malu dengan tindakan begitu. Tangkas aku menyanggul rambut yang kini terungkai selepas mengambil getah ikatan tadi. Nasib baik dapat disanggul, walaupun rambutku tak begitu panjang. Aku terus duduk, menyambung kerja membasuh pinggan yang tertangguh seketika. Dia turut mengikut, duduk bertinggung, bersedia untuk membilas.

“Mimpi apa? Takkan tak ada mimpi kat abang kot?” Alahai. Dia masih nak mengusik lagi tu. Abang ni memang nak kena… Tak boleh jadi ni. Aku kehilangan idea untuk membalas, lantas aku mencapai buih sabun, terus aku lumurkan kepipinya. Hah… padan muka. Aku ketawa puas bila melihat buih sabun yang melekat.

“Ooo… kenakan abang ye! Ambik ni…” Dia mencapai getah paip dan menyemburkan air ke arahku. Habis basah lengan baju aku dek simbahan air yang tak ku jangka itu. Terkejut dengan tindakan abang Arif, aku menjerit. Serentak dengan tu, nenek menjenguk dari pintu dapur.

“Apahal ni Ika? Kau buli Arif ke?” Nenek bertanya. Bila dilihatnya muka abang Arif yang dipenuhi buih sabun, dia menggeleng-gelangkan kepala sambil memandang aku.

“Apa nenek ni. Abang Arif yang buli Ika!” Aku cuba membela diri. Rasa tak adil bila nenek menyalahkan aku. Seolah nenek tak nampak lengan baju aku juga basah disimbah air.

“Alah, bukan nenek tak tahu perangai kamu tu. Mesti kamu yang mula dulu…. Dahlah Arif, jangan dilayan budak nakal tu.” Aku jugak yang salah. Memang tak adil sungguh tuduhan yang nenek kenakan ke atas aku.

“Betul tu nek. Ika ni yang buat hal.” Abang Arif memang nak kena. Bukannya nak membela aku, tapi sebaliknya mengiakan segala sangkaan nenek. Tunggu lah… bila tak ada orang nanti, siap le. Nenek masuk tanpa menunggu penjelasan aku. Alah.. tak guna kalau nak jelaskan pun. Aku menjeling abang Arif yang masih ketawa. Geram aku padanya berbunga kembali.

“Panjangnye muncung Ika… boleh diikat.” Ada hati nak usik aku lagi tu. Memang abang Arif patut diajar. Aku mesti tunjukkan yang adiknya ni memang betul marah.

“Malas nak layan abang…” Aku nekad utk membuktikan yang aku benar-benar marah. Merajuk. Biar dia rasa bersalah.

“Okeylah.. okeylah.. Abang minta maaf ye. Tapi Ika memang tak patut, ada ke Ika lumurkan muka abang dengan sabun basuh pinggan. Kotor tau.” Dia masih cuba membela diri. Baru je minta maaf, dah salahkan aku balik. Maaf yang tak ikhlas.

“Abang tu yang jahat. Ika tolong abang ikat lengan baju nak bagi tak basah, abang pulak basahkan baju Ika. Memang abang ni tak mengenang jasa tau.” Aku cuba menyedarkan dia tentang kebaikan yang baru aku lakukan padanya.

“Mak oi. Jasa ye? Itupun nak dikira sebagai jasa ke?” Katanya sambil diiringi tawa yang belum berhenti.

“Habis tu, yang selama ni abang tolong Ika, itu bukan jasa ke? Baru tadi abang cerita tentang abang dukung Ika masa kecil bila Ika luka, tak boleh berjalan. Ika tu berat tau. Abang pulak masa tu kurus. Hah... Itu baru boleh dipanggil jasa, sayang oi!“

“Ooo... mengungkit. Hilang pahala abang sebab tolong Ika selama ni. Lain kali, jangan tolong Ika lagi. Ika tak nak termakan budi. Nanti tergadai pulak body Ika kat abang nanti“ Alamak... Apa pulak aku sebut ni... Memang mulut aku ni nak cari nahas.

“Ika? Body Ika? Tergadai kat abang? Okey jugak tu. Hahaha...“ Lagi kuat dia gelak. Merah padam muka aku dibuatnya. Aku mula menarik muka masam. Memikirkan lagi banyak aku layan cakap abang Arif malam ni, lagi berganda peluang dia untuk menggelakkan aku. Aku tak patut buka mulut lagi. Mendiamkan diri adalah lebih baik untuk mengelakkan masalah. Aku nekad.

“Ika... abang dah sakit perut ni... Kenapa Ika lawak sangat malam ni ha?“ Dia berkata dengan gelak yang masih bersisa. Aku diam. Masam.

“Dah lama abang tak rasa begitu gembira. Ika memang pandai hiburkan hati abang. Nasib baik cuma abang je dengar kata Ika tu, kalau semua yang kat atas rumah tu dengar, mahu dia orang pun gelak jugak.“ Katanya sambil menyapu mata yang berair. Ish... geram betul aku. Aku diam tanpa bersuara. Wajah kelat aku sengaja aku tunjukkan padanya. Air basuhan pinggan aku tepuk kasar. Terpercik kemuka sendiri. Aku menyapu air yang terpercik kemuka dengan lengan baju. Gelaknya mati secara tiba-tiba. Mungkin dia ingat aku menangis.

“Erm... Ika, abang mintak maaf. Abang tak sengaja tadi.“ Aku mendiamkan diri, sambil meneruskan basuhan. Dia pun kembali menyambung tugasnya yang terbengkalai.

“Okaylah... Abang tak nak gaduh lagi. Abang yang salah. Abang mintak maaf sebab gelakkan Ika. Maafkan abang ye?“ Aku diam tanpa sebarang reaksi.

No comments: