Dec 13, 2007

Pertama : Mangsa Gurauan

Riuh rendah suasana di rumah Mak Long, seolah sedang membuat persiapan untuk kenduri kahwin saja. Malangnya bunyi riuh yang meriah itu kedengaran amat membingitkan dan memedihkan telingaku. Apa tidaknya, semua rahsia kenakalan aku menjadi topic utama perbualan mrk.

Segala cerita dari aku kecil sehingga menganjak ke usia sekarang, semuanya dibongkar kembali. Kisah aku ‘menunggang’ kambing nenek yang terlepas masa banjir, aksi lasak aku nak buat stunt dengan basikal, cuba melompat melepasi tali lembu Pak Mat yang melintang kat atas jalan, sampai aku jatuh tertonggeng ke dalam parit kerana lompatan aku tidak berjaya, kisah aku jatuh dari pokok rambutan di kebun nenek akibat digigit kerengga, sampailah kepada isu terkini, aku kena denda dek Mak Limah sebab nak mengintai anak teruna mengaji kat surau.

Abang Arif bukan main lagi menggelakkan aku. Bukan itu saja, dia menyumbangkan lagi kemeriahan yang menyakitkan hati dengan menceritakan tentang kenakalan aku di sekolah. Kisah aku disergah oleh guru pengawas kerana buku laporan pengawas yang sepatutnya aku tuliskan minit mesyuarat, tidak dapat aku siapkan, sebaliknya aku penuhi dengan gambar dam ular.

Muka Cikgu Lokman yang garang tu berubah berkerut-kerut dan kemudian ketawa bila melihat kandungan buku laporan tu. Kemarahannya tak terluah, tapi bertukar menjadi sesi gelak ketawa baginya. Mana tidaknya, muka ular tu aku gantikan dengan muka kartun dan letak nama semua pengawas dlm meeting tu, berserta dengan nama timangan atau nama gelaran mereka.

Watak cikgu Lokman dalam lakaran itu paling senang dikenali. Kening tebal berserta misai melintang ala-ala pahlawan zaman dahulu kala, ataupun contoh yang terkini ialah A.Galak. Nama timangannya, Cikgu Lokman Hensem. Membodek secara tidak langsung. Secret weapon yang akhirnya menyelamatkan aku. Mungkin kerana itu, aku tidak dimarahi.

Kata Liza, Cikgu Lokman memang akan kelihatan hensem kalau misainya tu dipendekkan sikit. Macho woi… Tapi aku selalu bayangkan muka Cikgu Lokman dengan misai ala Hitler, dengan mata dijulingkan sikit. Hahaha…. Ops…. berkat ke aku belajar ni…. Asyik mengutuk cikgu saja!

Hairan. Macam mana abang Arif boleh tahu perihal sekolah aku begitu detail. Sama seperti mak, dia juga ada caranya sendiri untuk mengawal dan mengetahui setiap pergerakanku. Aku sedar, kawannya ramai, kenalannya ada dimana-mana. Mata yang memandang aku, mungkin bukan sekadar satu pandangan tapi seolah satu kamera bergerak yang akan melapurkan setiap gerak laku pada abang Arif. Tapi dalam kebanyakan cerita tentang apa yang berlaku disekolah, aku boleh mengagak siapa yang menjadi pelapor kepada abang Arif. Ini tak lain mesti Liza yang jadi spy abang Arif merangkap wartawan tak bergaji.

Aku tahu, tapi aku tak kisah. Bagiku, setiap apa yang mereka lakukan adalah untuk kebaikanku. Tak pernah terdetik rasa marah dihatiku, kerana aku percaya mereka sayangkan aku. Dan aku selesa memikirkan yang setiap masa aku dijaga, ditatang dengan begitu teliti, walaupun mereka tidak berada disampingku tapi doa dan perhatian mereka mengiringi setiap gerak yang ku atur.

“Akupun tak tahulah Limah, bila anak dara aku ni nak berubah. Risau jugak nanti tak ada orang nak ambik dia jadi isteri. Harap muka aja yang cantik tapi perangai nakalnya mengalahkan lelaki. Kau ni Ika, agaknya bila nak berubah, jadi macam anak gadis yang betul.” Mak mula membebel, seperti biasa. Mak Limah tergelak kecil.

“Mak, Ika ni memang gadis betul la mak. Dari kecik lagi mak dah tahu kan… Tapi, Ika boleh buktikan lagi, kalau mak nak.” Aku berbisik, mengusik tapi tetap cuba mengawal suaraku dari didengar oleh abang Arif yang kebetulan datang sambil membawa periuk besar berisi gulai dari dapur bawah.

“Memanglah mak tahu. Tapi nakal kau ni, kadang tu lebih sangat, nanti sapa nak pinang kau nanti, kalau tak ada yang berkenan. Silap haribulan, mak pulak yang terpaksa pegi meminang anak teruna orang untuk kau. Kau rasa, mahu ke nenek dan Mak Limah meneman mak membawa sirih junjung ke rumah orang nanti, meminang anak jantan orang untuk kau? Ish… Tak sanggup mak nak tengok muka nenek kau nanti.” Mak bersuara, mengusik, sambil melepas rasa risau yang bersarang dihatinya secara tak langsung.

Alahai.... Ke situ pulak perginya. Aku masih terlalu muda, baru tingkatan 4. Kenapa mesti diberatkan fikiran dengan persoalan jodoh yang masih terlalu jauh? Tak pernah terlintas difikiran, tentang keinginan dan gambaran lelaki yang bakal aku habiskan hayatku bersama nanti. Aku yakin, dan aku mahu, semuanya berlaku secara semulajadi, dengan restu keluarga tentunya, syarat yang paling utama.

“Arif pun tak nak jaga kau Ika, kalau perangai kau tak berubah. Betul tak Arif?” Sampuk Mak Limah yang memang tahu keakraban aku dengan abang Arif. Serentak aku memandang abang Arif yang masih berusaha membetulkan kedudukan periuk yang diletakkan diatas lantai beralas suratkhabar lama. Abang Arif memandang Mak Limah bila dengar namanya disebut. Kemudian pandangannya beralih kepada aku. Senyuman disertai kenyitan matanya membuatkan aku lagi sakit hati. Memang, abang Arif selalu begitu, sempat lagi dia mengusik aku dalam diam. Sudahnya aku cuma mampu menjelirkan lidah, untuk menunjukkan protes.

“Kalau nak suruh Arif jaga, ubah perangai tu dulu, lepas tu barulah Mak Long masuk meminang.” Mak Long mencelah, menambahkan panas punggung aku yang telah sedia berasap ni. Aku menggaru kepala yang tak gatal. Alahai, macam mana boleh sampai ke topic ini pulak.

Abang Arif hanya tersenyum. Sepatah kata pun tak keluar dari mulutnya. Senyuman lebar yang dipamirkan, membuatkan aku rasa semakin geram. Senyuman itu... Berbeza. Tak tahu aku nak menafsirkannya. Dia lelaki yang ku kenal sepanjang hidup aku yang lepas, namun terkadang, aku masih belum dapat membaca setiap tingkah lakunya, setiap gerak hatinya. Tapi aku rasakan senyumnya kali ini agak berlainan. Entah kenapa. Mungkin dia tersenyum kerana malu diusik sebegitu, mungkin jugak dia tersenyum sebab lucu dengan topik yang tak masuk akal ni atau mungkin dlm diam, senyumnya sebagai tanda hatinya berkata sesuatu, yang hanya dia tahu. Ahh... Peduli apa aku. Yang pasti, dengan senyuman dan kenyitan mata nakalnya itu, dia tu memang nak kena dengan aku nanti….. Siap le.

“Sepupu mana boleh kahwin. Tak elok untuk keturunan. Tak berkembang anak cucu aku nanti. Cari orang lain lah Arif. Kalau dengan Ika ni, alamatnya korang main kejar-kejar le malam pertama. Siap gaya, kau kena buli dek dia sepanjang hidup kau nanti. Larat kau nak layan anak dara Tarzan ni?” Nenek mengenakan aku lagi. Memang… semua sepakat nak mengenakan aku malam ni. Aku kehilangan kata-kata untuk membalas. Topik ni memang terlalu baru bagi aku. Buat aku rasa lemas, lantaran tak bersedia dengan serangan bertubi-tubi dengan peluru buatan baru yang mampu ku tangkis.

“Bukan malam pertama je mak, minggu pertama, malah bulan pertama pun masih begitu gamaknya“ Mak Long menambah. Adusss.... Aku terpaksa berdiam diri, membiarkan diri ditembak sesuka hati. Dalam diam aku mengumpul kekuatan untuk melepaskan segala kegeraman dan kemarahan aku pada sesorang yang memang selalu ada bila aku memerlukan.... Abang Arif...

No comments: