Apr 8, 2008

Pertama : Bab 15.2

Sejuk malam masih terasa walaupun diselimuti dengan jaket berwarna biru gelap milik dia. Haruman wangian yang lembut dari jaket yang kupakai menusuk hidung. Entah jenama apa yang dia gunakan, aku sendiri tak pasti. Tak ingin ambil tahu dan rasanya tak akan ambil tahu. Sebelum inipun, aku tak pernah ambil peduli tentang perfume terutama bila aku terbaca tentang penggunaan alkohol dalam produk yang digemari ramai tapi yang nyata, bukan aku. Pertikaian itu berjaya mengurangkan lagi minatku terhadap produk wangian. Bagiku, cukuplah kalau badan tak berbau busuk, kerana itu bermakna aku tak perlu nak mencari pewangi badan.

“Abang, Ika nak balik. Tapi macam mana nak buat ni? Baju Ika dah abih kotor. Ika dah tak ada baju nak pakai waktu nak balik esok.” Aku berbisik perlahan pada abang Arif. Merendahkan suara untuk mengelakkan dari didengari oleh lelaki itu yang sedari tadi masih setia berdiri. Dia menjeling sekilas tapi cepat-cepat dialihkan pandangan matanya ke arah lain. Nampak sangat dia nak cuba nak mencuri dengar apa yang aku bisikkan.

Mendengar saja rungutanku, abang Arif ketawa. Ish... abang Arif ni, tak jaga airmuka aku langsung. Aku bermasalah, dia pulak ketawa lucu. Memang nak kena dia ni...!! Buat aku rasa geram dan sakit hati je. Melihat mukaku yang berubah menjadi merah dek geram dan malu, dia cuba menahan tawanya.

“Adoi... Ika ni kan, macam-macam masalah ada.“ Katanya dengan nada iklan Astro, dgn memperlahankan perkataan ’masalah’. Kemudian menyambung; “Nanti abang fikirkan. Ika balik dululah ya. Abang nak kena kemaskan dewan ni.“

“Abang jangan lupa tau. Malu Ika nanti kalau kawan-kawan Ika perasan.“ Aku mengingatkan. Hanya dia harapanku.

“Alah, susah-susah sangat, Ika pakai je baju abang nanti.“ Katanya memberi cadangan penyelesaian yang mudah. Aku menjengilkan mata dan dia ketawa lagi. Sekarang, pasti kawan dia dah boleh mengagak apa yang aku bisikkan tadi.

“Fiq, kau tolong hantarkan Ika jap. Lagipun jeket kau, dia dok pakai, kesian pulak aku nak suruh dia pulangkan kat kau sekarang. Sejuk ni…” Hah!!? Suruh mamat ni hantar aku? Sanggup abang Arif serahkan adik sepupu kesayangannya ini kepada lelaki yang menghadiahkan masalah ini kepada aku? Dah tak sayang aku agaknya....

“Ehh... tak payah, jangan susah-susah. Ika boleh balik sendiri.” Aku menolak tanpa berfikir panjang sambil cuba membuka jeket yang menyaluti tubuh dinginku. Jauh di sudut hati, aku rasa kecil hati dengan abang Arif dan rasa was-was dengan lelaki yang tak pernah ku kenal hati budinya itu.

“Tak pe Ika. Ika pakai dulu jeket ni.” Katanya menahan, kemudian menyambung. “Biar Abang Afiq hantar Ika balik. Jom. Kereta abang ada kat sana.” Erk... Abang Afiq…? Dia bahasakan dirinya sebagai abang Afiq? Atau aku yang salah dengar? Kedengaran sedikit janggal, mungkin kerana pertama kali dia membahasakan dirinya begitu.

Aku memandang Abang Arif dengan renungan meminta simpati, mengharapkan dia faham yang aku keberatan lalu menarik balik cadangan tadi dan seterusnya menawarkan dirinya sendiri untuk menghantar aku pulang. Sebaliknya dia hanya tersenyum dan mengangguk, lagak bapa yang memberi kebenaran bila anaknya meminta izin untuk keluar. Ish... Abang Arif ni tak faham betul la. Inilah hasilnya kalau tak belajar bahasa badan. Memang nampak sangat yang belajar engineering hanya menjadikan dia tahu bahasa mesin saja. Aku bersungut di dalam hati.

“Err... baju Ika kan basah, nanti abih kusyen kereta basah jugak bila Ika duduk nanti. Tak pe lah, Ika boleh jalan kaki balik asrama.“ Aku cuba menolak lagi. Memberi alasan yang dirasakan mungkin buat dia berubah fikiran.

“Alah... tak pe. Tak kisah pun. Kalau Ika nak tahu, kereta tu kereta buruk je, dah biasa basah kalau hujan. Bocor. Jadi tak ada bezanya kalau Ika basahkan pulak malam ni.“ Katanya beralasan. Kereta dia bocor kat bumbung ke?

“Atau Ika tak sudi naik kereta abang Afiq sebab kereta buruk?“ Dia menyambung, meneka, membuatkan aku pulak rasa serba salah.

“Ehh... bukan macam tu. Cuma....“ Kataku cepat.

“Dia tak percayakan kau kot? Haha... “ Kata abang Arif menyampuk sambil ketawa.

“Tak percaya ya?” Katanya lagi. Giliran dia pulak meniru sebutan pelakon satu iklan syarikat kewangan yang agak popular. Ketawa kami pecah. Kelakar jugak rupanya kawan abang Arif ni. Setelah reda, abang Arif kembali bersuara.

“Ika balik dgn Afiq ya. Tak ada apa yang nak dirisaukan. Kawan abang, mestilah abang tahu perangainya bagaimana. Abang lebih percayakan dia untuk hantar Ika daripada Ika balik jalan sorang-sorang.“ Abang Arif memujuk.

“Erm… jangan salah faham. Bukan Ika tak percaya, cuma sebab tak biasa, Ika segan.“ Aku menjelaskan, tak mahu abang Arif dan dia salah faham, apatah lagi mengakui bahawa jauh disudut hati, ada kerisauan dan rasa tak selesa bila memikirkan aku akan ditemani oleh lelaki yang pernah kuhemburkan dengan kata-kata yang agak kasar. Tanpa alasan yang kuat, aku terpaksa mengalah, bersetuju mengikut kata abang Arif. Lagipun, perjalanan pulang tak akan mengambil masa yang lama kerana asrama hanya di dalam kampus ini saja.

Berada di dalam kereta dengan orang yang mana permulaan perkenalan kami agak kurang baik, membuatkan aku lebih suka melayan perasaan bimbang kalau-kalau ada mata yang memandang. Tak manis, tambahan lagi situasi yang dilihat sekilas pandang boleh membentuk seribu cerita, dan aku juga tak suka dikaitkan dengan mana-mana lelaki buat masa ini. Abang Arif lainlah, sebab dia tu abang sepupu merangkap bodyguard aku.

“Ika, maafkan abang Afiq ye! Selalu susahkan Ika setiap kali kita jumpa.” Katanya tiba-tiba, memecahkan kesunyian. Alah, baru jumpa dua kali. Cara cakap tu macamlah aku dah jumpa dia berkali-kali. Bisikku di dalam hati.

“Tak delah. Nasib Ika agaknya yang tak baik. Agaknya betul kata Abang Arif, Ika nakal, suka sangat mengusik sampai kadang tu membuatkan orang lain malu bila kena usik kat Ika terutamanya kawan-kawan sekolah. Dia kata satu hari nanti Ika akan dimalukan pulak. Agaknya inilah masanya kot.” Kataku perlahan. Uih... betul ke kata-kata tu keluar dari mulutku? Terkejut jugak dengan ucapan sendiri, tapi entah kenapa aku tak rasa ingin menyalahkan dia. Sedangkan kalau dengan abang Arif, aku pasti akan menyalahkan dia walaupun hakikatnya aku yang bersalah. Abang Arif memang sudah faham benar dengan perangaiku.

“Ye ke Arif cakap macam tu? Jadi Ika dah insaflah ni? Baguslah tu, jadi lepas ni janganlah nakal sangat ya! Hehe.“ Katanya sambil mengusik. Aku terdiam. Alahai... Mengapalah aku cakap macam tu tadi. Aku rasa macam nak ketuk kepala sendiri.

Kemudian dia menyambung lagi. “Tapi Arif juga ada bagitahu, kenakalan Ika tu lah yang memeriahkan suasana, betul kan!? Ika janganlah rasa tertekan ya, sbb kalau berdasarkan apa yang Arif cerita, kenakalan Ika belum mencecah tahap kritikal lagi. Setiap apa yang berlaku, ada sebabnya. Mungkin sebab Allah nak bagi peluang abang Afiq kenal Ika yang di bangga-banggakan Arif tu ke atau mungkin hanya kebetulan yang tak ada apa-apa makna, sebab semua ni memang tak disengajakan.“ Katanya memberikan pendapat, memujuk mungkin. Aku hanya mendengar tanpa memberi reaksi. Lebih selesa memandang gelap malam yang menghiasi kiri kanan jalan yang kami lalui sambil melayan muzik Kitaro yang dipasang.

“Sikap Ika yang nakal dan ceria tu, banyak kesannya pada Arif. Jelas sangat bila setiap kali Arif bercerita tentang Ika, dia begitu bersemangat. Katanya Ika selalu berikan hiburan, kegembiraan and senyuman pada Arif, sampai abang Afiq rasa bestnya kalau dapat kenal Ika.“ Uih... Abang Arif banyak mengumpat tentang aku rupanya. Agaknya apa lagi cerita tentang aku yang di bongkarkan pada lelaki ini sehinggakan dia rasa nak mengenali aku. Tiba-tiba aku perasan sendiri, merasakan yang diri ni agak popular. Hehe. Teringin nak tahu apa yang diceritakan, tapi kepetahanku terkunci oleh rasa segan yang belum hilang.

“Arif pun tentu punya kesan yang sama pada Ika, sebab hubungan kalian begitu istimewa. Agaknya Ika pun selalu bercerita tentang Arif pada kawan-kawan Ika. Betul kan?“ Dia menyoal.

“Entah lah... Tak ingat.“ Jawabku pendek.

“Tak ingat apa?“ Tanyanya kembali sambil memandang ku sekilas. Kemudian dia kembali menumpukan perhatian terhadap pemanduannya.

“Tak ingat berapa banyak Ika mengumpat tentang abang Arif dengan kawan-kawan Ika. Tapi kalau Ika bercerita pun, cuma dengan kawan-kawan kat sekolah sebab kami sekampung dan kebanyakannya memang kenal abang Arif.“ Aku menjawab dan memandangnya sekilas. Dia tersenyum tapi matanya memandang terus ke depan. Dari kesamaran itu, aku dapat melihat raut wajahnya yang sederhana dan kelihatan menarik dengan cermin mata tanpa bingkai.

“Ika masih marah lagi ke?” Katanya tiba-tiba. Nampaknya dia berusaha untuk mengisi kekosongan ruang waktu antara kami.

“Tak delah. Cuma Ika tak tahu nak cakap apa.” Sejujurnya itulah yang aku alami, kehilangan kata-kata bila duduk bersebelahan dengan lelaki ini.

“Ika yang berada di sebelah abang Afiq hari ni tak macam Ika yang diceritakan oleh Arif pun. Katanya, Ika selalu je ada benda yang nak dibualkan dan diceritakan. Ika sakit ke? Atau takut Arif marah kalau berbual dengan abang Afiq?“

“Tak lah.“ Jawabku ringkas.

“Erm... Abang Afiq buat Ika tak selesa ya? Kalau benar, maaflah sebab mungkin kerana cara kita kenal tak begitu baik sehingga Ika rasa begitu. Lagipun abang Afiq memang tak pandai sangat nak borak.“ Katanya merendah diri.

“Err... Tak delah macam tu, cuma mungkin otak Ika dah tak berfungsi dengan normal lepas kena hantuk dengan pintu tadi agaknya. Perlukan masa untuk pulih dari kejutan kot.“ Balasku pula, cuba untuk mengusir rasa bersalahnya yang mungkin masih tersisa.

“Kuat sangat erk?“ Tanyanya lagi.

“A’ah. Kuat! Kalau kuat lebih sikit tadi mesti tersembur keluar otak Ika. Nasib baik le, Ika ni jenis kepala batu, kalau tak, agaknya dah arwah tadi.” Dia ketawa mendengar kataku.

“Ini barulah Ika yang diceritakan Arif. Hehe.” Mendengar dia tergelak, aku ikut ketawa. Entah kenapa aku senang mendengar rentak tawanya yang sederhana itu.

Jarak perjalanan yang dekat hanya memberikan ruang masa yang singkat untuk kami berbual tapi cukup berkesan sebagai permulaan. Akhirnya kami sampai ke bangunan asrama yang menjadi tempat penginapan sementara peserta kursus. Sebaik saja kereta berhenti, aku cepat-cepat membuka pintu kereta dan keluar, tak mahu berlama-lama dengan lelaki itu di waktu begini. Banyak bahayanya walau sebaik manapun sikap yang ditunjukkannya.

“Err… terima kasih sebab hantarkan Ika balik. Ika naik dulu ye, dah lewat sangat ni. Esok nak kena bangun pagi. Ada aturcara lagi sampai petang kan?” Aku sekadar nak memastikan walaupun aku sememangnya sudah tahu apa rancangan yang disusun untuk hari esok.

“Ya. Masih ada satu ceramah pada pagi dan lepas tu aturcara penutup. Jangan tak bangun pulak. Ika boleh jalan ke?”

“Boleh. Apa pulak tak bolehnya, Ika bukannya lumpuh. Lagipun yang kena tadi kat kepala, bukan kat kaki. Kaki Ika masih berfungsi dengan baik.” Kataku sambil tersenyum.

“Ye ke? Eloklah tu. Jangan separuh jalan Ika pengsan pulak. Nanti tak ada siapa yang nak tolong. Nanti siapa nak dukung Ika macam tadi. Tadi takpe lah, abang Afiq ada.“ Hah!!? Dia ke yang dukung aku tadi? Alamak, malunya… Ingatkan Abang Arif.

“Err.. Ika naik dulu lah ye!” Aku cepat-cepat berlalu. Tak mahu menoleh ke belakang lagi. Menngingati dan menyedari sesuatu dari kejadian tadi membuatkan aku terasa seolah mukaku ditampal dengan satu lapisan kulit yang amat tebal. Kalaulah cahaya malam menjadi sejelas pandangan waktu siang, pasti dia mampu melihat kulit mukaku yang telah bertukar warna. Syukurlah kerana suram malam membantu aku menyembunyikan perasaan yang terlalu mudah terlukis diwajah.

Sesampainya aku dihadapan bilik, baru aku menyedari sesuatu. Alamak! Jeket dia aku lupa nak pulang kan!