Dec 12, 2007

Prolog

Bermulanya kehidupan… entah di mana petunjuk yang harus di letakkan. Adakah dari detik pertama jantung mula berdegup, bilamana segumpal darah yang mula terbentuk di rahim subur telah mula menjalankan rutinnya? Atau dari nafas pertama yang disedut, saat zarah-zarah udara yang liar mula menyapa dan menyentuh lembut tubuh kecil yang masih bersalut lendir darah pekat yang merah. Mungkinkah permulaan itu boleh dikira dari langkah pertama yang diatur, saat sepasang kaki kecil mula mengatur langkah, bertatih payah mengimbangi badan, atau dari langkah pertama larian jatuh bangun menuju ke pintu pagar sekolah, memulakan perjuangan menuntut ilmu?

Ada yang berkata, permulaan hidup seharusnya bermula dari saat pandangan pertama yang menyentap rasa aneh dalam diri, seiring dengan degupan jantung yang berlagu dengan rentak yang lebih rancak, lantas membentuk satu keinginan hati yang penuh keindahan dan keasyikan. Diharapkan bermula dari situ juga, wujud satu perasaan suci yang lahir dari hati yang ikhlas, yang menggerakkan diri untuk mengatur langkah pertama dalam hubungan hati yang berkekalan, beralaskan kejujuran, bertiangkan kepercayaan dan berbumbungkan keimanan.

Atau mungkinkah permulaan hidup yang dikatakan itu boleh dikira dari saat diri melangkah memasuki satu alam baru? Memulakan status baru sebagai kekasih, sebagai isteri mahupun sebagai ibu? Ia mungkin bermula tika diri mula memasuki satu alam yang lebih mencabar tapi penuh keindahan. Alam yang bukan sahaja penuh dengan teka teki, malah penuh dengan risiko. Sesungguhnya masa depan adalah satu kotak harapan yang terisi dengan impian yang letaknya di satu puncak, yang tak akan wujud satu laluan mudah untuk memilikinya. Perjalanan menuju ke arah impian masa depan, sememangnya penuh dengan onak duri dan tak siapa mampu menjanjikan satu pengembaraan masa yang mudah dan ringkas.

Mungkin juga permulaan hidup yang sebenarnya akan bermula bila-bila masa saja yang dikehendaki olehNya Mungkin bila sesuatu yang tak di jangka berlaku dan mengakhiri satu perjalanan, lalu satu permulaan baru di perlukan bagi meneruskan kesinambungan perjuangan mengejar impian.

Tidak akan ada seorangpun yang dapat menafikan satu pernyataan yang selalu kita dengar bahawa manusia hanya mampu merancang namun Allah yang berhak menentukan. Walaupun hidup ini penuh dengan pilihan, namun gerak hati untuk memilih datangnya dari Allah, dan aku percaya bahawa Dia yang mencetuskan rasa dan ilham mengikut apa yang layak dan terbaik untuk hambaNya. Namun, ada keadaan yang tertentu yang mana kita langsung tidak di takdirkan untuk memilih.

Aku tak tahu dan sememangnya tak pernah nak ambil tahu. Memangnya aku tak pernah mencari dan memberi makna pada satu permulaan hidup. Tak pernah menyedari yang pertama itu memberi satu kesan yang luar biasa dalam perjalanan hidup seterusnya. Mungkin kerana itu, aku lebih suka membiarkan segalanya berlaku dengan cara biasa, semulajadi dan tanpa tekanan.
Cinta... Aku tak mahu mencari cinta kerana mencari itu seiring dengan harapan. Aku takut andai ianya tak muncul seperti yang kuimpikan. Lantas aku memilih untuk menerima, kerana bagiku, menerima itu adalah anugerah. Anugerah yang harus diterima dengan rela dan aku rasa dan berharap... disitu cinta boleh bermula.

Apa yang ku mahukan dalam hidup ini terlalu biasa, ringkas dan sederhana. Kebahagiaan orang-orang yang ku sayang terlalu penting bagiku. Keluarga adalah segalanya. Kemahuan dan keinginan mereka membatasi segala kepentingan yang kusenaraikan dalam hidupku. Aku yakin restu keluarga adalah asas untuk mencari bahagia. Aku yakin dari rasa bahagia, aku akan beroleh kekuatan untuk meneruskan hidup.... berjuang demi kasih sayang yang dipupuk...

Dan melaluinya aku berharap akan menemui cinta sejati, kebahagiaan, ketenangan... lantas mampu memenuhi keinginan hati yang paling tinggi. Semoga pengorbanan ini akan diberkati dan aku akan dianugerahi cinta yang akan memberikan kekuatan bagi meneruskan perjuangan hidup yang entah bagaimana corak warnanya.

No comments: