Dec 17, 2007

Pertama : Serangan Malam

Selepas menunaikan solat Isyak, aku mencapai lampu suluh yang sedia terlentang di atas meja dan juga mengambil segala ’rempah ratus’ yang mak pesan suruh bagi kat Abang Arif. Beg plastik yang terisi segala amanat mak untuk abang Arif aku sangkut di handle basikal. Lampu basikal sememangnya tak berfungsi dengan sempurna semenjak dari bulan lepas, mungkin kerana mentolnya telah terbakar. Aku tahu ia perlu di ganti tapi aku cukup malas nak ke pekan sekadar menukar lampu yang bagi aku tak begitu penting memandangkan ada lampu suluh yang ku ikat dengan tali rafia di handle basikal sebagai alternatif.

Grrr… Malam yang agak sejuk dengan angin yang kuat berbanding malam-malam yang lepas. Mungkin itu petanda yang hujan akan di anugerahkan sebentar lagi. Aku kesal kerana tadi tidak terlintas untuk membawa payung. Semoga aku lebih cepat dari hujan yang aku rasa seolah telah mula mengejar. Fikiranku cuma terbayangkan rumah mak long dan abang Arif. Aku mengayuh laju, namun tak sampai separuh jalan, kulitku mula merasai rintik-rintik hujan yang mula membasahi.

Hujan renyai bermula dan entah kenapa aku merasa seram sejuk. Bayangan ngeri mula melintas fikiranku, memainkan perasaan yang sudah sedia tergugat oleh gelap malam. Mulutku terkumat-kamit membaca ayat-ayat Al-Quran yang sering di pesan nenek sebagai pendinding dari gangguan syaitan. Meluncur laju apa saja ayat yang terlintas…. Al-Fatihah, Al-Falaq, An-Nas, Al-Kafirun…. Semuanya ku baca lancar. Fuh kiri, fuh kanan, fuh depan, fuh belakang…..

“Alamak!!... Lubang!!” aku menjerit, serentak dengan itu aku hilang kawalan diri.
Krreeekkkk….. “Cinabe! Brek tak makan! Brek kaki… brek kaki…” Aku bersungut spontan bila menghadapi waktu yang agak mencemaskan ini. Rasa seolah diri begitu hebat kerana tangkas mengambil tindakan susulan, sesuai dengan status aku sebagai heroin di kampung ini.
’Aduh... Pedihnye kaki… Bila masa selipar aku jatuh ni?’ bisik ku di dalam hati.
Tiba-tiba.... Buummm…

’Adoii…. Mak oi, sakitnya…’ Aku jatuh bak cempedak terlebih masak. Nasib baik tak ada orang yang melihat aku jatuh, kalau tidak pasti aku akan menjadi bahan gelakan orang kampong yang sememangnya menunggu peluang sebegini.

Malam yang tak berbulan dan berbintang, mungkin di lindungi oleh awan yang sarat membawa hujan. Yang terhasil tentulah gelap pekat yang tak mampu dilihat oleh pandangan mata kasar. Laluan jalan yang biasa dilalui masih tak mampu membantu deria lain yang ada untuk mengesan lubang yang telah lama terbentuk oleh unsur-unsur yang merosakkan struktur jalan tar yang di bina ala kadar.

Hujan renyai masih tetap turun dengan gerak laku yang malas. Sunyi malam membuatkan bunyi katak dan cengkerik semakin jelas kedengaran disemua sudut. Sesekali burung hantu bersuara menegur, manakala pungguk telah lama terdiam lantaran bulan yang jelas tak mahu mengintai awan pekat yang menguasai langit kelam malam ini. Pastinya kunang-kunang telah lama menyembunyikan diri di celah daun mencari tempat berteduh dari hujan yang turun, membuatkan malam di kampung itu kehilangan seri yang sudah terpinggir.

Mana peginya lampu suluh ni…? Aku meraba-raba mencari lampu yang aku ikat di handle basikal. Tangan ku gagal mengesan lampu yang tadinya serta merta terpadam serentak dengan basikal yang terbalik akibat terjatuh dari lubang yang tak dapat aku lihat dengan bantuan cahaya lampu yang suram. Pastinya ia dah tercampak di sekitar kawasan ini, namun terlalu sukar untuk ku cari lantaran tak ada sumber cahaya yang membantu.

Lutut dan kaki ku mula mengesan rasa pedih yang berdenyut. Aku pasti ada luka di anggota yang terlibat kerana jatuh di atas jalan yang di turap dengan tar diatas batu yang kasar. Pasir dan tanah pasti merebakkan kuman dengan cepat, membuatkan denyutan itu semakin ketara rasanya.

Tiba-tiba kedengaran bunyi tapak kaki, dengan suluhan lampu yang agak suram. ‘Ye! Ye! Ada orang datang, bolehlah aku mintak tolong carikan lampu yang hilang.’ Bisikku dalam hati. Teruja dengan cahaya samar yang semakin mendekat, mengharapkan ada penyelamat yang akan menghulurkan bantuan saat aku begitu memerlukan.

Aku membuka mulut untuk menyeru bantuan, tapi bunyi rantai bergerincing menghentikan niatku. Aku jadi bimbang tak semena-mena. Pelbagai gambaran yang menakutkan terbayang di fikiran. Hantu? Aduhh.... Jangan lah hendaknya. Banduan? Erm… Mana ada penjara kat sini. Komunis? Ehh.. mrk kan dah lama menyerah kalah. Penjahat? Perogol? Perompak? Oh tidak!!!....

No comments: