Dec 28, 2007

Pertama : Kenapa Dia?

Mata yang sedari tadi cuba di tutup, tetap degil meneroka malam yang kelam. Tak ada apa yang menarik untuk dipandang, hanyalah kegelapan yang tak langsung terhias bintang di wajah awan. Apatah lagi bulan yang jelas malu untuk bertamu memandangkan gumpalan hitam yang membawa hujan lebih dahulu menerima jemputan untuk meneroka alam malam itu. Yang terlihat hanyalah rintik hujan yang melukis garis menegak di cermin bas yang bergerak lembap mendaki bukit.

Semua kenderaan yang melalui jalan itu seolah bernafas semput, lelah merangkak dan mendaki laluan curam itu hanya untuk memastikan destinasi yang di tuju menjadi matlamat yang pasti bagi setiap penumpang.

Afiq menaikkan kembali kerusi yang tadinya di rendahkan sedikit. Sedari tadi dia cuba untuk memberikan kedudukan yang lebih selesa sekaligus membolehkan dia terlena bagi merehatkan badan tapi nyata ianya gagal. Setelah beberapa jam bas bergerak dia masih kaku untuk memejamkan mata, masih keras tak mahu menjemput lena walaupun badannya rasa cukup letih. Dia dah biasa begitu, terlalu sukar untuk tidur tapi begitu mudah terjaga. Kemana saja dia pergi, di mana saja dia berada, keadaan itu tetap berlaku padanya. Lena yang sering terganggu, memang membuatkan dirinya rasa begitu lesu.

Teman disebelah kelihatan begitu lena. Mungkin mimpinya telahpun sampai ke daerah indah yang penuh dengan warna pelangi. Mungkin juga sedang ditemani oleh galak tawa kemeriahan keluarga tersayang yang begitu menceriakan. Mungkin juga tidurnya langsung tidak disinggahi mimpi, hanya tidur yang begitu menenangkan dan merehatkan. Hati Afiq tiba-tiba digamit cemburu yang ngilu. Tambahan pula bila matanya sempat mencuri pandang satu situasi yang langsung tidak di sangka.

Semenjak pertemuan pertama, gadis itu telah meletakkan dirinya disatu sudut hati yang tak pasti gelaran apa yang harus dipanggil. Satu tempat yang istimewa yang sebelum ini dibiarkan kosong. Namanya seolah terlukis dihati Afiq dengan sendiri tapi sayangnya pertemuan yang tercipta sering membutakan kesempatan yang ada untuk bertanya.

Seolah satu nama telah tertulis di hatinya tapi bertinta putih , kosong lutsinar yang tak mampu dilihat dan di baca. Hanya satu wajah yang terlekat difikirannya, wajah dengan segaris bibir merah ibarat tayangan berulang yang sering terimbas di fikirannya dan tak mampu di padamkan. Gambaran peristiwa lalu buat dirinya tersenyum sendiri. Tapi kini dia rasa seharusnya gambaran itu di halau keluar dari ingatan kerana telah terbukti dari satu episod ringkas petang tadi bahawa gadis itu telahpun dimiliki.

Bibir yang sebelum ini belum pernah dilihat tersenyum setelah dua kali pertemuan tapi kini dilihat begitu indah terhias, namun bukan ditujukan untuknya. Apa yang dia dapat hanyalah herdikan dan kata-kata kasar yang terdengar. Dia tak kisah dengan kata-kata kasar yang terluah, kerana ia langsung tidak menyakitkan hatinya. Malah sebelum ini, segala peristiwa itu telah mengundang ingatan manis yang melucukan, yang seringkali membuatkan dia tersenyum sendiri.

Tapi kini bila senyuman itu mampu di tatap, entah kenapa hatinya sakit. Melihatkan kemesraan mereka, hatinya terasa gugur berkecai. Pedihnya perasaan cemburu yang tak mampu di halang dari menular ke dalam diri. Walaupun sedar dirinya bukan sesiapa pada gadis itu, tapi perasaan itu tetap muncul memerah resah dan kecewa.

Harapan dan doa yang berbunga di hati telah patah dengan sendiri. Mungkin sebaiknya begitu, menamatkan segalanya sebelum ia sempat bermula. Sakitnya diharapkan hanya sedetik rasa yang akan berlalu oleh masa yang hanya tahu melangkah ke depan. Impian untuk mengenali gadis itu akan di kuburkan sebelum sempat ia bertunas kerana setelah pertemuan kali ketiga, Afiq menyedari yang ia tumbuh ditempat yang salah.

Dia menyedari dan menemui jawapan untuk soalan yang tak pernah di suarakan, tentang siapakah gadis di hati Arif. Kebisuan Arif yang sering disusuli dengan senyuman setiap kali usikan tentang hubungannya dengan gadis kampus dijaja, rupanya memberikan pelbagai jawapan yang hanya mampu dilihat bila takdir membentuk satu pertemuan lain yang tak pernah di sangka. Dari kejauhan dia memerhati dan dia pasti pandangan mata Arif menjelaskan sesuatu. Afiq sedar dia tak berpengalaman dalam urusan perasaan, tapi gerak hatinya begitu kuat menyatakan bahawa ada sesuatu yang bernafas di dalam jiwa Arif. Mungkin cinta yang telah lama berbunga, mungkin juga cinta yang belum diteroka.

Bunyi rengekan bayi dari arah belakang mengejutkan lamunannya. Suara kecil yang dimiliki oleh sepasang suami isteri yang menaiki bas itu di biarkan saja. Walaupun tidak berpengalaman tentang penjagaan bayi, tapi rasanya itu adalah sesuatu yang biasa bagi anak kecil yang pastinya meminta untuk disusui kerana perutnya belum pandai membezakan waktu. Afiq membiarkan saja suara itu berlalu memandangkan dia tak mampu menghalang, apatah lagi membantu mendiamkan bayi itu.

Hanya sekilas harapan yang terdetik agar bayi itu mendapat apa yang di mahukan, agar lenanya kembali mengundang, agar mimpinya muncul bertandang, lalu Afiq akan mampu menikmati tenang malam dengan caranya sendiri, berusaha untuk terus memujuk gelisah agar berlalu pergi dari laman hati yang resah.

Pandangannya jatuh kepada Arif yang terlena disebelah, tidurnya tak selena Arif, kerapkali terganggu oleh satu perasaan kesunyian, rasa bersalah dan kerinduan yang tak mampu dilepaskan lantaran masa yang sememangnya terus berlalu tanpa memberi dia ruang untuk membetulkan kesilapan. Laluan hidup yang jelas hanya mempunyai jalan sehala seiring dengan masa yang tak pernah mengenal erti nanti dan tunggu, masa yang tak pernah memberinya peluang untuk menghalang insan-insan penting dalam hidupnya dari pergi berlalu, masa yang sesekali dirasakan telah mengikis kegembiraan yang begitu perlu dan dirindu. Semuanya telah dirampas darinya begitu saja, yang hilang tak mungkin berganti dan yang pergi tak mungkin akan kembali.

Hanya beberapa hari Afiq merasakan hidupnya bermatlamat, terisi oleh pertemuan yang memang tak di sangka akan menjadi begitu istimewa. Tanpa sedar, dia merasakan satu harapan tumbuh. Seseorang yang diharapkan mengisi ruang kosong di hatinya, tapi kini telah diambil pergi sebelum dia sempat menjadikan ianya milik hati yang abadi. Pandangannya tiba-tiba menjadi kabur disertai denyutan jantung yang di rasakan hampir terhenti oleh rasa yang ngilu membelah dada. Sayu hati Afiq semakin menjadi-jadi.

No comments: