Jun 20, 2008

Pertama : Bab 16.1

Aku membelek-belek pakaian yang akan dipakai petang nanti. Rasa resah bersarang bila melihat hampir semua pakaian telah aku pakai. Bagaimana kalau abang Arif lupa atau tak sempat nak carikan baju untuk aku nanti?

Mana mungkin aku pakai baju yang telah meratah rakus titisan peluh yang mengalir sebelum ni. Pasti bakteria yang melekat di baju tu akan berpesta di badan aku jika aku memakai pakaian yang sama. Mengingatkan itu, aku rasa rimas.

Adi yang sedari tadi terbaring di katil sambil menekup mukanya dengan bantal, tidak langsung kupedulikan. Sekejap dia beralih ke kiri, kemudian ke kanan pulak. Entah apa yang membuatkan dia resah dan rimas. Jelas kelihatan dia begitu terganggu oleh sesuatu yang aku tak tahu dan langsung tak boleh mengagaknya.

‘Adi ni... tidur ke tidak budak ni?’ Hatiku berbisik sendiri. Entah tidur betul atau sedang meniru cara ayam tidur, akupun tak pasti. ’Ermm... ayam tidur tak diam ke?’. Tiba-tiba melintas soalan tu di fikiranku.

“Ika, aku tak nak balik lah.“ Tiba-tiba dia bersuara. Bantal yang menutup mukanya tadi kini terdampar di dadanya. Matanya merenung siling. Entah apa yg dipandang, akupun tak pasti. Yang aku tahu, sepanjang aku di sini, tak pernah kelihatan kelibat cicak yang berkeliaran.

“Aik. Kenapa pulak? Masa mula-mula datang dulu, bukan main lagi kau tak nak tinggal kat sini. Sekarang tak nak balik pulak.“ Aku bertanya hairan sambil memandang wajahnya yang kelihatan sedikit suram berbanding beberapa hari yang lepas.

“Mengata aku lah tuh...“ Bantal dilemparkan kepadaku. Mungkin melepas geram.

“Apa salahnya kalau dapat kenakan kau sekali sekala.“ Aku ketawa kecil kerana mampu membuat membuat dia rasa tersindir. Kemudian kesunyian kembali mengambil tempat. Hanya sesekali kedengaran keluhan dilepaskan. Kami melayan fikiran masing-masing. Dan fikiran aku tertumpu pada masalah baju mana yang nak dipakai nanti.

“Ika... Kau tahu tak, aku datang sini sebenarnya bukan nak sangat sertai kem ni, tapi ada sebab lain yang buatkan aku paksa diri datang sini.“ Katanya kembali memecahkan kesunyian yang menghimpit bilik sempit kami.

“Uih... berat je bunyinya tu.“ Aku kembali mengalih tumpuanku pada Adi. Ada masalah ke budak ni?

“Memang pun. Aku ni sebenarnya ada misi penting kat sini.“ Katanya dengan nada serius.

“Hah!!? Misi? Misi apa pulak? Misi mustahil ke?” Berkerut kening aku dibuatnya. Hilang segala kerunsingan tadi.

“Misi mustahil? Apa tu?“ Tanyanya kembali. Soalan aku tidak terjawab, dia pulak yang bertanya.

“Misi mustahil tu ‘mission imposible’ lah. Kalau tak terlaksana lagi, mesti misi tu termasuk dlm katagori ’mission imposible’.“ Jawab aku menerangkan istilah yang aku gunakan tadi. Istilah yang buat dia tak menjawab soalan aku.

“Ish... macam-macam le kau ni. Misi tu tak mustahil, cuma perlukan sedikit masa tambahan je.“ Katanya menjelaskan sambil bangun dan duduk dibirai katil sambil menggeliat kecil, membetulkan urat-urat yang mungkin sedikit sengal lantaran terlalu lama berbaring.

“Eh... macam main bola pulak, ada masa tambahan.“ Aku tergelak kecil dan Adi juga tergelak sama.

“Kau ni ada misi apa sebenarnya?“ Aku tak pernah menyangka bahawa di kalangan pelajar yang menghadiri kem ini, ada juga yang datang atas sebab lain dan bukan untuk memotivasikan diri bagi menghadapi SPM akhir tahun nanti. Kalau benar kata Adi yang dia punya misi tertentu, aku memang tak tahu. Malah jika diberitahupun, aku tak mungkin dapat mengagak misi apa sebenarnya yang mahu dilaksanakan oleh Adi. Mungkinkah Adi ni dah terpengaruh sangat dengan cerita yang ditayangkan di TV? Entahlah.

“Misi ini aku namakan MJD.“ Katanya dengan bersemangat sambil menyebut satu-satu perkataan M J D.

“Apa ke benda tu?“ Hairan. Semakin pelik aku melihat kelakuan Adi.

“Misi Jodoh Terancang“ Jawabnya ringkas dan menyebutnya satu persatu.

“Jodoh terancang takpe, jangan jenayah terancang sudah.“ Kataku dengan selamba kemudian kembali menyambung; “Tapi... Eh... kau kata apa tadi? Jodoh? Jodoh siapa? Kau ke? Kau nak kawin ke? Dengan siapa?“ Tanyaku bertalu-talu. Sudah menjadi tabiatku menyoal beberapa soalan dalam satu nafas.

“Adalah... Mana boleh cerita banyak sangat kau. Bahaya!“ Adi mengelak.

“Ceh... Kau ingat aku ni musuh dalam selimut ke?“ Kataku sedikit geram. Tadi nak cerita, sekarang nak berahsia pulak. Baik tak payah cakap dari awal.

“Takdelah sampai macam tu. Tapi... kau berpotensi untuk jadi musuh dalam blanket kot.“ Katanya bergurau sambil melepaskan tawa. Aku membaling bantal kearahnya. Geram. Tawanya makin menjadi. Tiba-tiba pintu terbuka.

“Korang ni kenapa ha? Apa yang lucu sangat? Sampai aku boleh dengar suara ketawa korang dari luar tau.“ Shida muncul di sebalik daun pintu yang dikuak.

“Ika ni hah. Tetiba je buat lawak dalam blanket.“

“Lawak dalam blanket? Lawak apa tu?“ Shida bertanya ingin tahu.

“Tak payah tahu lah Shida. Cerita dalam kelambu pun orang tak cakap, inikan pulak dalam blanket.” Balas Adi. Ketawanya pecah lagi.

“Ika, tak kan kau tak nak kongsi dengan aku kot. Nak jugak aku ketawa.” Kata Shida.

“Bukan tak nak kongsi, aku pun tak tahu nak cerita apa. Adi ni hah... nak cerita tapi lepas tu berahsia pulak. Macam drama misteri yang tak siap shooting je.“ Kataku menjelaskan. Tak mahu Shira berkecil hati bila menyangka yang aku tak mahu berkongsi cerita. Sebab yang sebenarnya itu bukan rahsia aku, tapi rahsia Adi.

“Dah lah. Tak nak cerita tak pe lah, nak buat macam mana, kan?” Kata Shira seakan berkecil hati.

“Alahai, merajuk pulak kawan kita ni.“ Kata Adi sambil mencuit dagu Shira yang runcing.

“Adalah sikit…” Katanya selamba sambil tersenyum. Bila terpandang beg plastic di tangannya, dia kembali menyambung. “Eh Ika, lupa pulak aku. Nih, ada orang kirim kat kau.” Kata Shira sambil menghulurkan beg plastik berwarna biru muda. Aku mencapainya cepat dan terus membukanya. T-shirt! Senyumku melebar. Mesti abang Arif yang bagi ni. Dia tak lupa rupanya.

Aku menarik baju itu keluar. Cantik! T-shirt lengan panjang berwarna hijau. Warna kesukaanku. Dan paling menyentuh hatiku ialah gambar tweety di sudut bawah sebelah kanan baju. Memang cute. Comel sangat.

Abang Arif memang pandai memilih. Dan dia memang tak suka aku pakai baju lengan pendek. Tak elok dedah aurat, katanya. Kerana itulah aku sentaisa memastikan baju t-shirt atau baju apa sekalipun akan berlengan panjang.

“Amboi.. sukanya dia! Dapat hadiah dari sapa tu?“ Tanya Adi ingin tahu. Pasti dia ingin tahu kerana melihatkan baju itu saja aku telah tersenyum lebar dan tersengih-sengih.

“Dari bodyguard merangkap tok guru aku.” Aku tersenyum lagi.

“Abang Arif? Tapi yang bagi kat aku tadi perempuan, bukan abang Arif pun.“ Shira menjelaskan.

“Alah... Mungkin dia mintak sesiapa tolong paskan kat aku lah tu. Bukan ada orang lain yang tahu tentang masalah aku ni. Lagipun, aku memang mintak abang Arif carikan baju untuk aku sebab baju aku kotor sebab accident yang tah apa-apa tu.“ Aku menjelaskan dengan yakin. Membuat kesimpulan sendiri berdasarkan gerak hati tanpa fakta jelas untuk dijadikan bukti. Semua tu tak penting sekarang. Yang penting aku suka baju ni.

“Alahai... bertuahnya badan…” Kata Shira sambil tersenyum memerhatikan aku yang tak lepas-lepas membelek baju baru. Macam orang tak pernah dapat baju.
Masalah aku selesai. Kerisauan pun dah hilang. Aku memasukkan semua pakaian yang aku sepahkan tadi kembali ke dalam beg. Mengasingkan baju tadi untuk di pakai petang nanti.