Dec 14, 2007

Pertama : Rindu Si Kunang II

Misinya bermula serta merta. Selesai saja makan malam, Arif meminta izin ibunya untuk ke kebun menemani nenek yang bermalam di dusun. Kebetulannya buah durian sedang rancak gugur dan nenek akan bermalam di bangsal sementara binaan ayah hanya untuk memastikan hasil dusun tidak di ambil oleh budak-budak nakal. Hanya itu saja jalan untuk memenuhi janjinya pada Ika.

Semalaman Arif memburu kunang-kunang. Nenek hanya menggeleng kepala melihatkan kesungguhan Arif yang sanggup berkorban masa tidur untuk memenuhi keinginan sepupu kesayangannya itu. Namun dia bersyukur, sunyi malam di dusun berkurang dengan hadirnya Arif untuk menemani.

Esoknya, sebelum ke surau, Arif singgah di rumah Mak Usu untuk menemui Ika, menunaikan janji semalam. Namun Ika tiada di rumah, mengikut Pak Usu ke dusun untuk mengambil durian. Hatinya sedikit kecewa bila tak mampu menyerahkan sendiri kunang-kunang yang di tangkapnya semalam. Tak berpeluang untuk melihat mata Ika yang bersinar bila mendapat apa yang di idamkan. Tak mampu melihat senyum lebar Ika bila kunang-kunang itu berada di tangannya.

Sekembali dari surau, Arif melihat ada kelibat penghuni yang sedang berehat dipelantar. Arif kenal benar dengan pemilik bayang itu walaupun hanya melihat dari belakang. Perlahan dia menghampiri, menghentikan dan menongkat basikalnya di tepi.

“Assalamualaikum Mak Cu!“ Arif memberi salam hormat. Matanya terpandang Ika yang lena di ribaan Mak Usu. Hujung jarinya menyentuh balang kaca berisi kunang-kunang. Cahaya dari beberapa ekor kunang-kunang itu berlegar-legar di dalam balang kaca. Berkelip-kelip ibarat bintang yang terperangkap di ruang yang terhad.

“Waalaikumussalam!“ Senyuman mesra terlahir dari bibir manis itu. Senyuman yang diwarisi oleh Ika.

“Ika... bangun... Abang Arif dah balik ni“ Kejutnya lembut.

“Ehh... janganlah Mak Cu kejutkan dia pulak. Biarlah dia tidur. Erm... Tapi kenapa Mak Cu ada kat sini lagi? Dah malam sangat ni. Ika pun dah lena. Nyamuk banyak ni Mak Cu.“ Arif berkata kemudian bila di lihatnya Mak Usunya itu cuba mengejutkan Ika sebaik saja dia meletakkan punggungnya

“Ika ni... Mintak Mak Cu temankan dia. Nak tunggu Arif lah. Nak ucapkan terima kasih katanya. Dia kata, walau macam mana pun, dia nak jugak tunggu Arif. Tunggu sampai terlena kat sini.“

“Laa, Arif kan selalu ke sini. Esok pun Ika boleh jumpa Arif lagi.“

“Mak Cu dah cakap dah. Tapi dia nak jugak tunggu. Katanya tadi, kalau dia tertidur pun, dia nak mak cu kejutkan. Lepas makan malam, terus dia ke sini. Leka betul Mak Cu tengok dia dok renung benda alah ni... Lama dia dok perhati sambil bercerita, membandingkan kunang-kunang dia dengan yang Imah... Kunang-kunang dia lagi cantiklah... lagi banyaklah... sampai terlena akhirnya...“ Mak Usu tergelak kecil sambil bercerita tentang keasyikan Ika terhadap pemberiannya yang tak seberapa itu. Hati Arif berwarna indah bila mendengar kata-kata Mak Cu.

“Arif... Terima kasih ya. Arif sanggup bermalam kat dusun sebab nak carikan kunang-kunang ni untuk Ika. Sayang benar Arif pada Ika. Selalu ada untuk temankan Ika dan jaga dia macam adik sendiri.“ Mak Cu berkata sambil mengusap kepala Arif. Sayangnya pada Arif semakin mendalam hari demi hari. Anak muda itu begitu sopan dan pandai mengambil hatinya.

“Erm… Ika seronok ya, mak cu?” Matanya bersinar gembira. Mak Cu mengangguk sambil tersenyum.



“Arif pun seronok kalau Ika gembira. Kalau kunang-kunang ni mati, nanti Arif carikan lagi ya!“ Arif berkata lagi. Puas hati mendengar cerita tentang keghairahan Ika bermain dengan kunang-kunang itu. Terbayang sinar mata Ika, kepetahan Ika bercerita dan kelincahan Ika bermain dengan kunang-kunang itu.

Ingatan Arif masih jelas. Wajah Ika yang tenang tertidur di ribaan Mak Cu, dilihat dalam kesamaran malam yang disuluh cahaya bulan tetap kemas bersemadi diingatannya. Indah sekali kenangan itu.

Segala rindu yang terkumpul begitu mengasyikkan untuk dilayani. Dalam masa yang sama ianya juga menyakitkan. Entah kenapa Arif selalu merasakan rindu yang di simpan untuk seorang gadis yang telah di tempatkan di hatinya betahun-tahun lamanya tak mampu dilepaskan, seolah terhalang oleh satu hubungan yang entah kenapa terasa benar kelainan. Tak mampu dijelaskan dengan perkataan. Dia yakin ada sesuatu yang istimewa dalam hubungan mereka. Bila ingatan menerpa, Arif sering berdoa mengharapkan agar Ika akan memahami segala rasa yang tersimpan di dada. Tentang betapa dalamnya perasaan yang terbenam walaupun tak sering diluahkan. Tentang harapan yang mendatang walaupun tak pernah di suarakan.

Arif mengiringkan tubuhnya ke kanan. Sepi malam tak mampu menyampaikan dendangan suara cengkerik untuk menjemput lena yang diharapkan akan membawa mimpi indah tentang impian masa depan. Perlahan dia bangun, menghampiri jendela yang sedikit terbuka. Simbahan cahaya bulan yang di renungnya bersama Ika tadi, mengenai wajahnya yang sasa.

Rindunya dia pada Ika. Rindu yang kekal subur walaupun insan yang dirindu baru ditemui. Rindu yang seakan tak pernah surut tanpa ada jarak khusus yang mampu dijadikan pengukur. Rindu yang kini semakin merebak oleh keinginan sebagai lelaki dengan usia yang semakin meningkat. Rindu yang seringkali cuba dikikis dengan kesibukan tugas sebagai pelajar, tapi tak pernah mampu mengalihkan ingatannya pada gadis itu. Ingatan yang bertaut dengan impian yang satu. Sentiasa mahukan Ika berada disisinya.

Arif menarik nafas dalam dan kemudian melepaskannya perlahan. Cuba mencari kewarasan pada naluri yang dirasakan kian menjauh. Entah kenapa dirasakan bahawa keremajaan Ika menjadikan dia semakin cemas. Arif tahu, dengan apa yang Ika ada, dengan keramahan dan keindahan sebagai seorang gadis yang semakin menyerlah, Ika memang mampu menawan hati ramai orang dengan mudah dan suatu hari nanti, satu ketika yang entah bila akan berlaku, Ika akan menemui jejaka yang mampu meletakkan namanya di hati. Arif tak sanggup memikirkan yang Ika tak lagi mampu di manjai seperti selalu. Gurauannya tak mungkin sama. Senyumnya mungkin bukan hanya milik Arif lagi dan bukan hanya Arif seorang yang mampu mencipta garis indah di bibir manis Ika. Arif gelisah bila memikirkan itu semua.

Sesungguhnya dia tak pandai meluahkan perasaan itu. Perasaan pada Ika memang lain. Apa yang di tunjukkan berbeza dengan apa yang difahami oleh keluarga mereka. Rasa sayangnya pada Ika terlalu mendalam melebihi perasaan biasa bagi saudara yang membesar bersama. Setiap sebutannya jelas menunjukkan sayang, tapi semuanya dikaburi oleh hubungan persaudaraan. Gurauan dan usikan Mak Limah malam itu telah lama menjadi doanya yang tak siapa tahu. Entah bagaimana dia mahu menjelaskan maksud hati yang telah lama tersimpan pada keluarga yang seolah telah menganggap sayangnya pada Ika hanyalah sayang saudara. Entah bila dia akan punya kekuatan untuk meluahkan hasrat hati yang terpendam pada Ika yang telah lama menjadi bayang-bayangnya yang tak boleh di pisahkan.

Harapan yang terluah dalam bentuk gurauan sememangnya susah untuk menampakkan kesan kesungguhan. Lantas dia tak menyalahkan mereka kerana sering mempersendakan tentang hubungan dia dan Ika. Lagipun, itulah dirinya. Apa yang sering di lakukan hanyalah kerana ingin melihat senyuman di bibir Ika. Dia gembira bila mampu membuatkan Ika geram dan tewas oleh usikan yang tak mampu di balas. Terasa satu kepuasan yang tak terhingga bile mampu berbuat begitu, seolah dirinya sempurna sebagai seorang lelaki untuk di cintai, walaupun gadis itu langsung tidak mengerti apa yang berdesir di jiwanya.

“Ika... Bolehkah Ika faham hati abang yang tak pernah abang luahkan?“ Arif mengeluh sendiri.
“Abang menyintaimu, Ika. Sentiasa merinduimu.“ luahan itu terlepas bersama satu hembusan nafas. Lancar terungkap, berhias nada rindu yang lahir dari hati, melepasi ulas bibirnya yang kering. Sekering hatinya yang masih mengharapkan hujan yang dirasakan seakan hanya turun membasahi hati bila dia melihat sinar mata Ika. Dalam diam dia mengharapkan agar sunyi malam mampu membawa bisikan itu ke dalam lena Ika. Menyampaikan apa yang tertera di hatinya, agar dengan itu hati manja Ika akan mampu di tawan dan dimiliki selamanya.

No comments: