Nov 7, 2008

Pertama : Bab 16.4

Aku leka memerhati beberapa ekor rama-rama terbang dan hinggap dirimbunan pepohon teh. Mungkin berehat seketika selepas gagal mencari bunga untuk diratah cecairnya. Mungkin juga sekadar bermain menghabiskan masa yang terluang, setelah kenyang menyedut manisan yang kembang ditaman.

Alangkah bagusnya kalau aku mampu berbicara dengan sang rama-rama. Banyak yang mahu ku tanya. Tentang bunga mana yang menjadi kegemaran, tentang jantina rama-rama yg tak dapat kupastikan. Tentang malam, dimana dan bagaimana mereka menghabiskan. Pasti aku akan leka meneroka alam serangga melalui apa yang diceritakan.

Ahh... Gila. Berbicara dengan rama-rama, itu pula yang aku angankan. Macam lah tak ada perkara lain yang boleh aku fikir.

Abang Arif tak muncul-muncul lagi. Lama menunggu, membuatkan hati di ragut jemu. Kalaulah kunci bilik belum di serahkan, pasti aku pantas memanjat tangga untuk merebahkan diri dikatil, lalu menganyam mimpi bertemu dsi dia idaman kalbu. Err... idaman kalbu? Siapa tu?

Tiba-tiba mataku menjamah satu susuk tubuh yang telah lama ku buru. Gadis yang pernah ku lihat berbual mesra dengan abang Arif, berjalan menuju bangku di tepi taman mini berdekatan. Dia melabuhkan punggungnya dan mula membuka buku setebal 2 inci.

Ini peluang baik! Masa yang cukup sesuai, terhidang dan terbentang luas untuk acara berkenal-kenalan. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Menunggu abang Arif selesai menguruskan beberapa perkara sebelum pulang, memang membuatkan aku mengantuk.

Tanpa ragu, aku mengatur langkah menuju ke arahnya. Leka sekali menatap buku di riba.

“Assalamualaikum…” Salam diberi sebagai sapaan hormat buat dia yang mungkin akan bergelar kakak ipar sepupuku. Err... ada ke istilah tu? Tak kisahlah.

“Waalaikummussalam…” Jawabnya lembut sambil matanya beralih dari memandang buku kepada wajahku. Senyuman manis tergaris di bibir. Dia pandang aku dari atas ke bawah, kemudian bersuara lagi.

“Err... Ini mesti Ika, kan?” Hah!!... Macam mana dia boleh tahu nama aku ni?

“Eh… Akak tahu nama saya?” Aku melopong.

“Tahu. Dan banyak lagi yg akak tahu tentang Ika.” Katanya sambil senyuman masih menghiasi bibir. Aku baru nak menyiasat tentang dia, tapi dia dah terlebih dulu siasat aku?

“Akak ambik kursus detektif ke?” Tanyaku bodoh. Dia tergelak kemudian menggelengkan kepala. Ish... apa yg aku cakap ni.

“Ooo… Ika tahu. Ini mesti Abang Arif yang bagitahu nie… Betul tak?” Dia terus tersenyum, tak mengiyakan dan tidak juga menidakkan. Namun aku yakin dan pasti yg abang Arif ialah tok dalang yang menriwayatkan kisah aku pada kakak manis ni.

“Tak tahu le apa yang abang Arif ceritakan kat akak. Tapi akak jangan percaya sangat kat dia tu. Ambik separuh-separuh je. Yang baik-baik je ye!” Amaran. Entah apa yang dicanangkan. Aku duduk di sebelahnya tanpa dipelawa.

“Sebenarnya dia memang suka menyakat Ika. Selalu buat Ika geram kat dia. Tapi dialah tempat Ika bermanja. Kami macam adik beradik, jadi akak jangan cemburu ye.” Aku menjelaskan. Entah kenapa aku tak mahu dia cemburu pada aku, sedangkan bila aku melihat dia mesra dengan Abang Arif, aku rasa tergugat. Cemburukah aku? Senyumannya masih tak lekang dari bibir.

“Dia ada cerita tak, yang Ika ni tak de abang. Dia tu sepupu Ika tapi dia selalu layan Ika macam adik dia. Kami rapat sangat. Dalam banyak-banyak sepupu, dengan dialah Ika paling close. Dia selalu manjakan Ika. Tapi selalu jugak Ika kena marah kat dia. Tapi Ika tak kisah, tak kecil hatipun. Setakat geram sebab selalu jugak dia buli Ika, kenakan Ika.” Apa yang aku cerita ni. Macam promote abang Arif je.

“Akak makwe dia ke? Ika pernah nampak akak dengan dia dua kali. Kat stesyen bas sekali, lepas tu pagi tadi. Bukan main mesra lagi...”“ Aku cuba mengusik. Dia hanya tersenyum. Menampakkan barisan giginya yang putih tersusun bak mutiara.

“Dia tak nak kenalkan Ika dengan akak. Kedekut betul. Macam lah Ika nak rampas mak we dia. Paling tidak pun Ika cuma nak cakap kat Mak Long je. So, mak Long tak de lah risau lagi kalau nak cari menantu sebab calonnya dah ada. Dia dengan akak memang sesuai.” Dia tergelak. Kedengaran begitu sopan.

“Errr... Akak sakit mulut ke?” Aku bertanya. Musykil.

“Kenapa?” Tanyanya kembali.

“Sebab akak senyum je. Tak cakap pun. Sakit gigi ye?” Gelaknya pecah lagi.

“Mana ada. Ika yang dok cakap dari tadi. So akak dengar le.” Tiba-tiba, hp dia berbunyi.

“Kejap ye Ika.” Pantas dia mencapai tas tangan di sisinya, mengambil handphone yang tersimpan.

“Assalamualaikum. Dah siap ke?.................... Ada kat tepi padang ni. …………………..Dah bagi. Dah pakai pun. Cantik. Sesuai sangat. Hehehe……. Mama kata nak pegi kedai ambik kek dulu…….... Okeylah. Jumpa kat kereta.” Dia mematikan handphone.

“Okey lah Ika. Akak kena pegi dulu. Nanti kita jumpa lagi ye!” Katanya sambil bangun sambil menghulurkan tanga. Kami bersalaman. Dia mula mengatur langkah meninggalkan aku yang masih terpisat-pisat kehilangan kata.

“Err… Kak!! Tunggu!... Akak tak bagi tahu lagi nama akak…!!” Aku menjerit. Dia berpaling.

“Panggil je Kak Mira! Bye Ika!” Jeritnya mengatasi suara angin dan jarak kami yg kian menjauh, sambil melambaikan tangan.

Fuh… Aku tersenyum puas. Mungkin kami tak sempat nak berbual panjang, tak sempat nak bertaaruf secara rasmi, tapi paling tidak, namanya telah ku ketahui. At last, dapat jugak aku kenal mak we Abang Arif. Ini Ika le… Tak nak kenalkan, aku sendiri akan siasat. Mana boleh sembunyi dari Ika. Walaupun tak dapat berbual lama dengannya, tapi dari raut wajah dan air mukanya, aku dapat rasakan yang dia sorang yang baik.

Aku berniat untuk merahsiakan perkenalan singkat aku dengan Kak Mira. Ia akan ku rahsiakan sehingga satu ketika nanti, pasti aku akan gunakan nama kak Mira untuk mengenakannnya. Biar dia terkejut. Biar dia terlopong. Aku tersenyum sendiri membayangkan semua itu.

Aku teringat sesuatu yang perlu dipulangkan. Ish... Mana dia ni… Mamat tu mesti ada meeting sekali. Dia kan pengarah projek. Macam mana nak pulangkan jeket, kalau tak jumpa dia ni?

“Ika cari Afiq ke?” Mak oi… terperanjat aku.

“Apa abang ni? Buat Ika terkejut je. Tiba-tiba je muncul kat belakang Ika. Nasib baik jantung Ika ni kuat tau. Nih… Ika nak pulangkan jeket dia.” Aku menjelaskan.

“Ooo… Nak bagi jeket ke... nak jumpa dia?” Keningnya terangkat sebelah, tanda mencurigai kata-kataku tadi. .

“Nak bagi jeket lah…”Aku malas melayan usikannya.

“Ika lupa nak pulangkan semalam. Nanti abang tolong Ika kirim kat dia yek?” Sambungku lagi, berusaha mematikan usikannya.

“Kirim jeket je? Tempoyak tak nak kirim? Tak pun, kurang-kurang kirim salam ke?” Melalut lagi dia ni.

“Malas layan abg!!... Mintak tolong sikit ni pun tak boleh. Susah-susah, tak payah pulangkan lah.” Aku merajuk keras. Tanganku mencapai beg yang berada ditepi dan mula melangkah.

“Ish… ke situ pulak. Ye lah… ye lah… Nanti bagi kat abang. Tapi balik basuh dululah… Ada bau Ika kat baju tu. Angau tak sudah dia nanti.” Katanya ketawa sambil mengikuti dari belakang.

“Ada pulak macam tu. Itu bukan bau Ika, tapi bau hapak air yg simbah kat Ika. Dah lah. Jom balik. Nanti Ika basuh baju nih.” Kaki terus di atur meninggalkan blok-blok bangunan yang telah meneduhi kami selama beberapa hari yang lepas.

Oct 13, 2008

Pertama : Bab 16.3

Memerhati Liza makan dengan penuh berselera, buat aku rasa tak rugi menemani dia. Fikiranku masih lagi ligat mengingatkan apa yang aku nampak tadi. Aahh... ngapa aku sibuk-sibuk nak fikir tentang dia orang tuh. Bila sampai masanya nanti, pasti idea nak kenakan abang Arif akan datang dengan sendiri.

Abang Arif dengan siapa ye?

Adi dan Afiq...? Bergelak tawa seolah sudah kenal lama. Hati aku terusik. Entah kenapa.

“Aduuuuhhh....“ Serentak aku memandang Liza yang sedang berkerut-kerut mukanya.

“Ngapa?“ Tanyaku ringkas.

“Perut aku sakitlah. Dah sampai masa ni.“ Jelasnya dengan suara tertekan.

“Sampai masa? Kaukan baru lepas period.“ Hairan.

“Bukan sampai masa nak periodlah... sampai masa nak buang air besar.“ Balasnya sambil tergelak.

“Ceh... Itupun ada masa ke? Buat suspen aku je.“ Adeh... aku terkena dek Liza.

“Sorry Ika. Aku kena pegi dulu. Nanti ’terberaknak’ pulak aku kat sini.“ Dia bangun.

“Hah... pegilah cepat. Kalau ’terberaknak’ kat sini, aku tak nak ngaku kau kawan aku.“ Dia terus berlalu dengan tergesa-gesa. Aku kembali menyedut air sirap yang masih berbaki.

Tiba-tiba bahuku di sentuh.

“Hisshh... pegilah cepat. Tak kan itupun nak ajak aku temankan.“ Nak berkepit aja kerjanya. Ingat aku ni bodyguard dia?

“Uih... baru sampai, dah kena halau?“ Suara garau yang sebati dengan diri. Abang Arif...

“Laa... abang ke? Ingatkan Liza tadi.“ Jelasku.

“Abang nampak Liza tadi. Tergesa-gesa semacam je. Kenapa?“ Tanyanya sambil melabuhkan punggung di kerusi berhadapan denganku.

“Biasalah tu... nature call“ Jawab aku selamba. Dia tergelak kecil.

“Cewah… baju baru. Gambar tweety memang cantik. Macam tuannya.” Katanya beralih topik.

“Thanks. Ika tahu Ika memang cantik.” Kataku mengangkat diri. Dah diangkat, apa salahnya dijolok sikit lagi. Hehe…

“Pantang orang puji. Mulalah kaki tak cecah lantai. Terangkat le tu. Emm… masa nak balik nanti, Ika tunggu kat depan dewan ye. Abang ada perjumpaan kejap, lepas tu bolehlah kita balik sama-sama. Abang dah call Mak Cu bagitahu yang abang akan balik dengan Ika.” Inilah yang aku tunggu. Balik dengan abang Arif, banyak kelebihannya. Aku tersenyum.

“Wokeh. Ika tunggu abang. Bestnya… ada orang boleh tolong angkat beg Ika.” Kataku sambil membuat muka berangan. Saja.

“Ooo… macam tu ke? Tak jadi lah. Ika balik sendiri lah ye?” Usiknya.

“Eei… tak baik tau. Bila lagi abang nak buat pahala. Selalu buat dosa je dengan Ika, kutuk Ika, usik Ika. Dosa semalam pun belum Ika ampunkan lagi. Inilah masa nak tebus balik.” Sengaja menyebut tentang peristiwa semalam. Biar dia tahu aku masih ada sisa-sisa kebengangan dalam kotak fikiranku.

“Ye lah… ye lahh…” Katanya malas nak bertekak.

“Cuti abang panjang lagi ke?” Aku memandang sekeliling sambil mataku melilau mencari beberapa kelibat manusia yang aku lihat tadi. Termasuk gadis yang bersama dengan abang Arif. Tak nampak pun…

“Panjang jugak tapi tak boleh balik lama sangat abang nak kena balik UTM utk buat post mortem. Pas tu nak siapkan 3 assignment lagi. Kenapa? Tak puas nak lepaskan rindu kat abang ke?” Mulalah tu. Tangan aku mula terasa gatal nak mencubit, tapi melihatkan ada manusia-manusia asing di sekeliling, aku menahan diri.

“Isk… perasan le tu. Tanya pun tak boleh ke?” Tak sah kalau tak mengusik.

“Boleh... tapi kalau Ika cakap Ika rindukan abang, mungkin abang balik sana lambat sikit sebab kesian kat Ika.” Ada pulak macam tu. Tak patut betul. Aku mencebik.

“Alah… abang tu yang tak sabar-sabar nak balik sana, mesti ada yang sedang menunggu. Mmm.., bila nak kenalkan kawan abang tu dengan Ika?” Aku cuba memusing balik kata-katanya.

“Bukan ke abang dah kenalkan?” Katanya dengan dahi berkerut.

“Mana ada… “

“Semalam tu… Abang dah kenalkan Ika dengan Afiq kan? Amacam? Okey tak?” Eii.. tak faham betul dia ni. Nak kata bengap, dapat pulak masuk U.

“Laa… Teruklah abang ni. Ika Tanya soalan lain, tapi jawab lain. Macam mana abang exam ni? Ujian lisan macam ni pun tak boleh jawab. Abang bodek lecturer utk bagi markah tinggi ke?”

“Amboi, sesedap mulut je. Karang ada yg kena tinggal ni...“

“Berani nak tinggal Ika? Report kat mak nanti. Ika tanya pasal mak we abang lah…Yang dok berkepit dengan abang tadi tu….” Aku mula masuk topik yang menjadi tanda tanya semenjak tadi.

“Mak we? Mana ada. Bila masa abang kepit anak dara orang. Abang ni baik. Kalau abang nak, abang terus mintak mak pegi pinang je.” Alah… nak nafikan pulak.

”Yo lah tu. Kalau abang nak rahsiakan, tak pe. Tahulah Ika apa nak buat.“ Malas aku nak memaksa. Faham sangat perangainya.

“Ika nak buat apa? Lebih baik kalau Ika tolong abang carikan. Lagipun Ika kata, sapa-sapa yang nak jadi makwe abang kena dapat kelulusan Ika dulukan?” Katanya sambil mengenyit mata.

“Eh… abang ada hal kejap. Nanti kita borak lagi. Tunggu abang kat depan dewan nanti tau….” Aku mengetap bibir… Makin bengang... Makin geraammm…

“Abang!!...” Dia terus berlalu. Tak pe… Nanti aku siasat sendiri. Tapi… hari ni dah nak balik dah. Kalau aku nampak perempuan tu dua hari lepas, mesti aku dapat selesaikan misteri makwe abang Arif. Mungkin bukan rezeki aku nak mengenakan dia lagi.

Aku terus memerhati kelibatnya sehingga bayangnya juga hilang di sebalik bangunan.

Aug 14, 2008

Pertama : Bab 16.2

Laluan berbata untuk pejalan kaki antara kolej dan blok aku langkahi satu persatu. Santai. Sekadar mengambil angin di celah masa yang ada. Mataku melilau menikmati suasana di sini yang entah bila akan ku jejaki lagi.

Angin malas mengusap dan membelai badanku dengan lembut. Nyaman sekali. Entah bagaimana agaknya suasana di sini bila semester bermula kembali. Tentu sibuk sekali.

‘Mungkinkah aku akan mampu mengikut jejak langkah abang Arif? Menjadi salah seorang dari kakak-kakak dan abang-abang AJK yang telah berjaya menempatkan diri di institusi pengajian tinggi. Pencapaian yang begitu mengagumkan. Bertuahnya mereka kerana telah bergelar mahasiswa dan mahasiswi. Moga Allah permudahkan laluan aku untuk menyertai mereka satu hari nanti. Bantulah aku Ya Allah.’ Hatiku berlagu dengan doa harapan.

Dari jauh aku melihat kelompok kecil manusia yang sedang berkumpul. Wajah-wajah yang menjadi santapan mataku selama beberapa hari aku di sini. Entah apa yang mereka bincangkan, entah apa yang dibualkan, aku tak pasti. Dan aku tak inginpun ambil tahu. Biarlah masa singkat ini aku habiskan dengan bersendirian buat seketika.

“Woit!“ Satu suara menerjah dari belakang. Hampir gugur jantung di buatnya. Liza! Baru saja rasa nak bersendirian, minah ni datang mengacau pulak. Tak bagi aku peluang nak bersentimental langsung!

“Wei... Tak reti nak bagi salam ke?“ Aku mengurut dada.

“Hehe... Ye lah.. ye lah. Assalamualaikum Cik Ika!“ Dia tersenyum nakal.

“Waalaikumussalam Cik Liza. Kau dari mana ni?“

“Dari bilik. Aku nampak kau dari atas tadi. Jalan lenggang kangkong macam sayur kangkung terlebih masak je. Lembik.. Lemah... lembut... longlai... Kenapa? Tengah praktis nak jadi perempuan melayu terakhir ke?“

“Aku tak payah nak praktis, memang aku ni lah perempuan melayu terakhir yang semacam aku. Tak ada dua tiga... Tak de duplicate, copy paste, klon atau kembar seiras aku punye. Original, hanya aku je.” Aku membalas. Liza ketawa sambil mencebik.

Kemudian kami kembali mengatur langkah menyusuri jalan tanpa arah. Laluan untuk pejalan kaki yang di bina banyak cabangnya. Ibarat hidup yang bersimpang siur. Hanya beberapa jarak saja lagi, laluan ini akan sampai ke bangunan kantin yang bersambung dengan dewan kecil dan bilik gerakan pelajar.

“Eh... Abang Arif dengan sapa tu?“ Katanya tiba-tiba. Mataku segera mencari arah pandangan Liza. Mataku menangkap kelibat dua orang yang aku kenali sedang bergelak ketawa. Mereka macam pasangandah kenal lama. Dah biasa berbual mesra. Kenapa dia tak pernah cerita pada aku tentang lelaki itu? Kenapa dia tak pernah sebut apa-apa tentang mereka? Ahh... lelaki.

“Abang Arif dah ada makwe ke?“ Sambungnya lagi. Mataku kembali mencari orang yang memiliki nama itu. Cuba focus pada apa yang di lihat oleh Liza. Hatiku berdegup laju tatkala pandangan menjamah dua lagi jasad yang ku kenali. Erm... Ini gadis yang pernah aku lihat bersama Abang Arif diperhentian bas dulu.

Cemburukah aku? Entahlah. Gembira? Sepatutnya begitu. Sedih? Mungkin juga. Pada siapa? Pada Abang Arif, gadis itu, atau dua insan tadi? Erm...

Kedudukan aku di sisi Abg Arif terasa tergugat. Belum puas bermanja dengannya. Sebahagian dari diriku, mahu terus jadi adik manja yang sering mendapat perhatian dari abang yang begitu penyayang. Bila ada perempuan lain dalam hidupnya, itu bermakna aku bakal disingkirkan.

Aku tahu dia ramai kawan, ramai peminat. Tapi aku tak pernah melihat abang Arif memberikan perhatian kepada mana-mana perempuan sebelum ini. Tak pernah lihat dia berbual mesra dengan mana-mana gadis setakat ini.

Gadis tu memakai tudung gaya Waheeda. Memang kena dengan wajahnya yang bujur sirih tu. Manis… Ayu sekali… Kenapa sebelum ni aku tak pernah nampak dia kat sini ye? Tiba-tiba je di hari terakhir aku di sini, dia muncul bersama Abang Arif. Riak muka mereka kelihatan begitu ceria. Mesra.

“Woi... Ika! Aku tanya kau ni!...“ Liza menepuk bahuku. Sekali lagi aku tersentak.

“Err... Kau tanya apa?“

“Ya Allah... Sejak bila telinga kau tersumbat ni? Aku tanya, itu makwe abang Arif ke?“ Liza mengulang soalan. Makwe? Mungkin. Tapi jawapan itu hanya bergema di hati.

“Manalah aku tahu. Dia tak de pun cerita kat aku. Tapi aku pernah nampak perempuan tu kat stesyen bas masa aku hantar abang Arif dulu.” Jelasku jujur dan bersahaja. Segala rasa tak senang yang menyimbah hati sedetik tadi, aku lemparkan jauh-jauh.

“Kau ni kenapa?“ Seolah tak puas hati dengan reaksi aku, Liza bertanya lagi.

“Kenapa apa?“ Menyoal soalan. Sering aku lakukan bila aku tak faham atau sengaja mahu melarikan diri dari menjawab soalan.

“Ye lah... Lain macam je aku tengok kau ni.“ Musykil.

“Aku biasa je lah. Cuma tengah fikir macam mana nak kenakan abang Arif. Kalau betul perempuan tu mak we dia, siaplah. Kata nak kongsi segala cerita dengan aku, tapi tak de pulak dia ceritakan apa-apa tentang perempuan tu. Tak boleh jadi ni.“ Aku berdalih. Aku paksa fikiranku untuk kembali aktif menjana kenakalan yang biasa ku cetuskan.

“Ooo... bagus... bagus... Mesti best kalau dapat kenakan dia, kan? Dan kau memang sentiasa cari peluang nak kenakan dia, betul tak?“ Aku mengangkat kening sebelah sambil tertawa kecil.

Liza memang tahu serapat mana aku dengan abang Arif. Dia faham benar corak hubungan aku dengan abang Arif. Panas, meriah dan menenangkan. Itu katanya. Aku pun tak pasti benar atau tidak. Yang aku tahu, Abang Arif memang memberikan warna dalam hidupku.

“Sementara kau fikir tu, apa kata kau temankan aku pergi makan. Aku lapar la...“ Kata Liza sambil terus menarik tanganku tanpa menunggu persetujuan diberikan. Aduhai kawan... Kau ni memanglah...

Jun 20, 2008

Pertama : Bab 16.1

Aku membelek-belek pakaian yang akan dipakai petang nanti. Rasa resah bersarang bila melihat hampir semua pakaian telah aku pakai. Bagaimana kalau abang Arif lupa atau tak sempat nak carikan baju untuk aku nanti?

Mana mungkin aku pakai baju yang telah meratah rakus titisan peluh yang mengalir sebelum ni. Pasti bakteria yang melekat di baju tu akan berpesta di badan aku jika aku memakai pakaian yang sama. Mengingatkan itu, aku rasa rimas.

Adi yang sedari tadi terbaring di katil sambil menekup mukanya dengan bantal, tidak langsung kupedulikan. Sekejap dia beralih ke kiri, kemudian ke kanan pulak. Entah apa yang membuatkan dia resah dan rimas. Jelas kelihatan dia begitu terganggu oleh sesuatu yang aku tak tahu dan langsung tak boleh mengagaknya.

‘Adi ni... tidur ke tidak budak ni?’ Hatiku berbisik sendiri. Entah tidur betul atau sedang meniru cara ayam tidur, akupun tak pasti. ’Ermm... ayam tidur tak diam ke?’. Tiba-tiba melintas soalan tu di fikiranku.

“Ika, aku tak nak balik lah.“ Tiba-tiba dia bersuara. Bantal yang menutup mukanya tadi kini terdampar di dadanya. Matanya merenung siling. Entah apa yg dipandang, akupun tak pasti. Yang aku tahu, sepanjang aku di sini, tak pernah kelihatan kelibat cicak yang berkeliaran.

“Aik. Kenapa pulak? Masa mula-mula datang dulu, bukan main lagi kau tak nak tinggal kat sini. Sekarang tak nak balik pulak.“ Aku bertanya hairan sambil memandang wajahnya yang kelihatan sedikit suram berbanding beberapa hari yang lepas.

“Mengata aku lah tuh...“ Bantal dilemparkan kepadaku. Mungkin melepas geram.

“Apa salahnya kalau dapat kenakan kau sekali sekala.“ Aku ketawa kecil kerana mampu membuat membuat dia rasa tersindir. Kemudian kesunyian kembali mengambil tempat. Hanya sesekali kedengaran keluhan dilepaskan. Kami melayan fikiran masing-masing. Dan fikiran aku tertumpu pada masalah baju mana yang nak dipakai nanti.

“Ika... Kau tahu tak, aku datang sini sebenarnya bukan nak sangat sertai kem ni, tapi ada sebab lain yang buatkan aku paksa diri datang sini.“ Katanya kembali memecahkan kesunyian yang menghimpit bilik sempit kami.

“Uih... berat je bunyinya tu.“ Aku kembali mengalih tumpuanku pada Adi. Ada masalah ke budak ni?

“Memang pun. Aku ni sebenarnya ada misi penting kat sini.“ Katanya dengan nada serius.

“Hah!!? Misi? Misi apa pulak? Misi mustahil ke?” Berkerut kening aku dibuatnya. Hilang segala kerunsingan tadi.

“Misi mustahil? Apa tu?“ Tanyanya kembali. Soalan aku tidak terjawab, dia pulak yang bertanya.

“Misi mustahil tu ‘mission imposible’ lah. Kalau tak terlaksana lagi, mesti misi tu termasuk dlm katagori ’mission imposible’.“ Jawab aku menerangkan istilah yang aku gunakan tadi. Istilah yang buat dia tak menjawab soalan aku.

“Ish... macam-macam le kau ni. Misi tu tak mustahil, cuma perlukan sedikit masa tambahan je.“ Katanya menjelaskan sambil bangun dan duduk dibirai katil sambil menggeliat kecil, membetulkan urat-urat yang mungkin sedikit sengal lantaran terlalu lama berbaring.

“Eh... macam main bola pulak, ada masa tambahan.“ Aku tergelak kecil dan Adi juga tergelak sama.

“Kau ni ada misi apa sebenarnya?“ Aku tak pernah menyangka bahawa di kalangan pelajar yang menghadiri kem ini, ada juga yang datang atas sebab lain dan bukan untuk memotivasikan diri bagi menghadapi SPM akhir tahun nanti. Kalau benar kata Adi yang dia punya misi tertentu, aku memang tak tahu. Malah jika diberitahupun, aku tak mungkin dapat mengagak misi apa sebenarnya yang mahu dilaksanakan oleh Adi. Mungkinkah Adi ni dah terpengaruh sangat dengan cerita yang ditayangkan di TV? Entahlah.

“Misi ini aku namakan MJD.“ Katanya dengan bersemangat sambil menyebut satu-satu perkataan M J D.

“Apa ke benda tu?“ Hairan. Semakin pelik aku melihat kelakuan Adi.

“Misi Jodoh Terancang“ Jawabnya ringkas dan menyebutnya satu persatu.

“Jodoh terancang takpe, jangan jenayah terancang sudah.“ Kataku dengan selamba kemudian kembali menyambung; “Tapi... Eh... kau kata apa tadi? Jodoh? Jodoh siapa? Kau ke? Kau nak kawin ke? Dengan siapa?“ Tanyaku bertalu-talu. Sudah menjadi tabiatku menyoal beberapa soalan dalam satu nafas.

“Adalah... Mana boleh cerita banyak sangat kau. Bahaya!“ Adi mengelak.

“Ceh... Kau ingat aku ni musuh dalam selimut ke?“ Kataku sedikit geram. Tadi nak cerita, sekarang nak berahsia pulak. Baik tak payah cakap dari awal.

“Takdelah sampai macam tu. Tapi... kau berpotensi untuk jadi musuh dalam blanket kot.“ Katanya bergurau sambil melepaskan tawa. Aku membaling bantal kearahnya. Geram. Tawanya makin menjadi. Tiba-tiba pintu terbuka.

“Korang ni kenapa ha? Apa yang lucu sangat? Sampai aku boleh dengar suara ketawa korang dari luar tau.“ Shida muncul di sebalik daun pintu yang dikuak.

“Ika ni hah. Tetiba je buat lawak dalam blanket.“

“Lawak dalam blanket? Lawak apa tu?“ Shida bertanya ingin tahu.

“Tak payah tahu lah Shida. Cerita dalam kelambu pun orang tak cakap, inikan pulak dalam blanket.” Balas Adi. Ketawanya pecah lagi.

“Ika, tak kan kau tak nak kongsi dengan aku kot. Nak jugak aku ketawa.” Kata Shida.

“Bukan tak nak kongsi, aku pun tak tahu nak cerita apa. Adi ni hah... nak cerita tapi lepas tu berahsia pulak. Macam drama misteri yang tak siap shooting je.“ Kataku menjelaskan. Tak mahu Shira berkecil hati bila menyangka yang aku tak mahu berkongsi cerita. Sebab yang sebenarnya itu bukan rahsia aku, tapi rahsia Adi.

“Dah lah. Tak nak cerita tak pe lah, nak buat macam mana, kan?” Kata Shira seakan berkecil hati.

“Alahai, merajuk pulak kawan kita ni.“ Kata Adi sambil mencuit dagu Shira yang runcing.

“Adalah sikit…” Katanya selamba sambil tersenyum. Bila terpandang beg plastic di tangannya, dia kembali menyambung. “Eh Ika, lupa pulak aku. Nih, ada orang kirim kat kau.” Kata Shira sambil menghulurkan beg plastik berwarna biru muda. Aku mencapainya cepat dan terus membukanya. T-shirt! Senyumku melebar. Mesti abang Arif yang bagi ni. Dia tak lupa rupanya.

Aku menarik baju itu keluar. Cantik! T-shirt lengan panjang berwarna hijau. Warna kesukaanku. Dan paling menyentuh hatiku ialah gambar tweety di sudut bawah sebelah kanan baju. Memang cute. Comel sangat.

Abang Arif memang pandai memilih. Dan dia memang tak suka aku pakai baju lengan pendek. Tak elok dedah aurat, katanya. Kerana itulah aku sentaisa memastikan baju t-shirt atau baju apa sekalipun akan berlengan panjang.

“Amboi.. sukanya dia! Dapat hadiah dari sapa tu?“ Tanya Adi ingin tahu. Pasti dia ingin tahu kerana melihatkan baju itu saja aku telah tersenyum lebar dan tersengih-sengih.

“Dari bodyguard merangkap tok guru aku.” Aku tersenyum lagi.

“Abang Arif? Tapi yang bagi kat aku tadi perempuan, bukan abang Arif pun.“ Shira menjelaskan.

“Alah... Mungkin dia mintak sesiapa tolong paskan kat aku lah tu. Bukan ada orang lain yang tahu tentang masalah aku ni. Lagipun, aku memang mintak abang Arif carikan baju untuk aku sebab baju aku kotor sebab accident yang tah apa-apa tu.“ Aku menjelaskan dengan yakin. Membuat kesimpulan sendiri berdasarkan gerak hati tanpa fakta jelas untuk dijadikan bukti. Semua tu tak penting sekarang. Yang penting aku suka baju ni.

“Alahai... bertuahnya badan…” Kata Shira sambil tersenyum memerhatikan aku yang tak lepas-lepas membelek baju baru. Macam orang tak pernah dapat baju.
Masalah aku selesai. Kerisauan pun dah hilang. Aku memasukkan semua pakaian yang aku sepahkan tadi kembali ke dalam beg. Mengasingkan baju tadi untuk di pakai petang nanti.

May 8, 2008

Pertama : Bab 16.0

Selesai menunaikan solat Subuh, Arif mengambil Quran kecil pemberian ibunya yang sering dibawanya kemana saja. Walaupun keletihan menjalankan tugasan sepanjang bebrapa hari kem itu berlangsung, tapi pesanan ayah yang mahu dia membaca paling kurang satu mukasurat sehari tetap cuba dilaksanakan.

“Quran itu penyejuk untuk yang panas, melembutkan hati yang keras, menghibur dikala sedih, mengubati yang terluka, menerangi yang gelap, menunjukkan pada yang tak berarah, memberi kepastian pada yang keliru, memudahkan sesuatu yang payah. Paling penting ianya melengkapkan apa yang kurang dalam hidup kita."


"Segala yang Allah telah tentukan untuk kita adalah yang terbaik untuk kita. Segalanya lengkap selagi kita tahu bagaimana nak menjadi manusia yang bersyukur. Sedikit dugaan yang Allah turunkan untuk kita, sebenarnya Dia telah menyediakan imbuhan yang lebih tinggi nilainya jika kita tahu bagaimana nak menikmatinya. Untuk menjadi manusia yang tak mudah lupa dan sentiasa merasa kehidupannya lengkap, bacalah Quran selalu. Sesibuk mana sekalipun masa kamu, pastikan ada masa untuk baca Quran.” Pesan ayah yang selalu diingati dan dipegangnya sehingga kini.

Sesudah menghabiskan ayat yang terakhir, Arif memeluk Quran kecil itu kemas sambil memejamkan mata. Memusatkan seluruh fikirannya pada Allah, memohon agar mereka sekeluarga terjaga dan dipelihara daripada azab neraka, meminta agar Allah menjaga orang-orang kesayangannya terutama ibu dan ayahnya yang berada dikampung, merayu agar dipermudahkan perjuangannya menuntut ilmu dan mendoakan agar hanya yang terbaik akan berlaku dalam kehidupannya.

Sejadah dilipat kemas dan dia melangkah menuju ke katil. Bayangan wajah Ika tiba-tiba menerpa. Terus segala peristiwa yang melibatkan Ika dan Afiq kembali tertayang dimindanya. Keluhan berat dilepaskan.


Entah kenapa semakin lama dia melihat kebetulan yang terjadi antara mereka adalah satu susunan rancangan Allah yang menandakan sesuatu. Kalau Allah telah menetapkan ada takdir antara mereka berdua, pasti dia tak akan mampu menghalangnya walau dia berusaha sedaya upaya untuk menjauhkan mereka.


"Hello."

“Hello. Assalamualaikum!” Salam ramah diberi bila mendengar ada suara menjawab dihujung talian.

“Waalaikumussalam. Siapa ni?”

“Arif ni. Mak Cu ke?” Tanya Arif meneka sesuatu yang pasti. Dia tahu kalau yang menjawabnya perempuan selain dari Ika, pasti mak saudara kesayangannya.

“Laa... Arif ke... Mak Cu tak kenal suara Arif tadi. Arif kat mana ni? Bila nak balik sini?” Riang jelas kedengaran dari nada suaranya.

“Arif pun tak kenal suara mak Cu tadi. Suara Mak Cu makin muda lah. Nasib baik tak terngorat tadi. Hehehe...” Usik Arif sambil ketawa.

“Haha... Kamu ni Arif, nak ngorat pun tengok nombor lah dulu. Kalau dah nombor telefon Mak Cu yang kamu dail, tak de sapa yang boleh kamu ngorat kat rumah ni. Ika pun tak de.” Balas Mak Cu sambil ketawa. Memang begitu selalunya. Tak pernah perbualan mereka sunyi dari usikan.

“Ika tak de kat rumah ke Mak Cu?” Tanya Arif.

“A'ah. Dia tak de kat rumah 3 hari sebab katanya nak pegi kem motivasi yang cikgu dia nak bawak.” Jelas Mak Cu.

“Kat mana tu?”

“Dia kata kat UiTM." Beritahunya satu persatu, seolah cuba mengingati apa yang dicakapkan oleh Ika, kemudian menyambung; "Isnin nanti balik lah tu."


"UiTM? Itu Persatuan Mahasiswa Universiti Arif yang buat tu."

“Ish... Kalau betul, eloklah. Tak delah Mak Cu risau sangat kalau dia pegi tempat yang Arif ada. Nanti Arif carilah dia kat sana, tolong tengok-tengokkan dia.” Katanya lega.

“Ye lah Mak Cu. Nanti Arif cari dia. Bila dah confirm nanti, Arif akan call bagitahu Mak Cu.” Janji Arif menambahkan kelegaan di hati ibu tua itu.

“Elok lah tu.” Arif memang harapannya untuk menjaga Ika. Lelaki yang begitu mengambilberat kebajikan anak gadisnya dan begitu prihatin dengan segala kemahuannya. Mereka begitu rapat, ibarat adik beradik kandung yang punya hubungan rapat yang istimewa.

"Jadi itu maknanya Arif akan balik lepas abih kursus tu lah ya? Atau nak kena balik Johor pulak ke?"

“Tak balik Johor dah. Arif sebenarnya memang dah bercuti, tapi Arif balik lambat sikit balik rumah sebab ada program tu lah.” Jelas Arif memberitahu.

"Balik nanti jangan lupa datang makan rumah Mak Cu. Nanti Mak Cu masak special untuk Arif ya." Pinta Mak Cu seperti selalu. Dia tahu walaupun tidak diajak atau dipesan Arif tetap akan datang menjengoknya, tapi dia dah terbiasa begitu. Bagai memujuk anak kecil yang liat nak makan, mengumpan dengan makanan kegemaran.

“Baiklah Mak Cu. Memang Arif akan ke rumah Mak Cu pun. Tak sah cuti Arif kalau tak makan gulai tempoyak Mak Cu tu. Erm... Okeylah Mak Cu. Arif nak call mak kejap. Tadi call tak de orang jawab. Nak cuba lagi sekali.” Kata Arif sebelum menghentikan perbualan. Hatinya riang. Fikirannya mula merangka dan merancang usikan untuk mengenakan Ika.

“Agaknya dia keluar kejap tu. Tertidur ke. Tak pelah, kalau tak dapat jugak, nanti Mak Cu bagitahu dia bila jumpa kat surau." Katanya mengagak.


"Terima kasih Mak Cu. Arif dah nak letak telefon ni. Assalamualaikum." Kata Arif sopan. Hatinya cukup senang kalau dapat berbual dengan anak saudara kesayangannya itu.

"Waalaikumussalam.” Senyumannya masih terukir dibibir walaupun telefon telah diletakkan ke gagang.

Terbayang kembali peristiwa lewat malam semalam. Entah bagaimana dia begitu mudah melepaskan Ika dihantar pulang ke asrama oleh temannya itu. Begitu lancar lidahnya meminta pertolongan Afiq. Melihat mereka berjalan berdua keluar dari dewan kuliah, membuatkan hatinya kaku seketika. Tiada rasa yang mampu digambarkan dengan perkataan. Berat tapi dia rasa seolah ada satu suara yang meminta dia memberi peluang untuk Ika mengenali lelaki itu. Ika masih muda. Bukan waktunya untuk dia membebankan fikiran Ika dengan persoalan pilihan pasangan hidup. 'Biarlah... kalau ada jodoh tak kemana.' Katanya memujuk hati sendiri.

Arif mengeluh panjang, cuba melepaskan satu beban perasaan yang menaungi hatinya. Kenapa begitu banyak kebetulan yang menjerat rasa cemburu Arif. Kenapa mesti ada rasa tak selesa menghuni hatinya setiap kali Afiq mendahului pertemuannya dengan Ika.

Di kem ini, ditempat yang Ika tak pernah tahu satu pertemuan telah ditakdirkan. Ika tak tahu dia adalah antara ajk yang terlibat mengendalikan kem tersebut. Dia yang merancang untuk berjumpa dengan Ika tapi orang pertama yang ditemui Ika di kem tersebut ialah Afiq. Afiq yang pernah banyak kali terserempak dengan Ika, tapi tak pernah Ika sedari. Afiq yang dari pandangan mata kasarnya mampu memenangi hati Ika kerana memiliki kelebihan tersendiri yang boleh menarik perhatian perempuan. Tapi Afiq kelihatan lebih leka memandang Ika berbanding dengan rakan seuniversiti yang lain. Kerana itulah, perasaannya berdetik mengatakan ada sesuatu dihati lelaki itu untuk Ika.

Entahlah. Antara keinginan hati ingin memiliki gadis itu dan juga hubungan terlalu dekat yang membuatkan dirinya rasa seolah tertambat. Tertambat yang tidak membolehkan dia mendekati Ika sebagai seorang lelaki. Ika telah menganggapnya sebagai seorang abang.

“Ika sayang abang?“ Tanya Arif tiba-tiba. Ika leka memerhati kunang-kunang yang terbang terbatas di dalam botol kaca yang sempit itu.

"Sayang." Jawabnya ringkas. Matanya masih tak mahu beralih dari memerhati sinar cahaya kecil yang indah itu.

"Kenapa Ika sayang abang?" Tanya Arif ingin tahu jawapan bagaimana yang keluar dari mulut kecil yang manis itu.

"Sebab Ika sayang abang lah. Sebab abang baik. Abang sayang Ika?" Jawab Ika yang bersambung dengan soalan yang sama sebagai balsan.

"Sayang." Ringkas jawapannya meniru Ika.

"Sebab Ika adik abang ya?" Tanya Ika lagi. Matanya yang bersinar disuluhi lampu tangga yang suram kini memandang Arif tunak.

"A’ah. Sebab Ika adik abang. Sebab Ika adik yang baik." Jawab Arif sambil mengusap rambut Ika yang panjang separas bawah bahu. Mendengar jawapan itu, Ika tersenyum riang.

"Abang mesti sayang Ika sampai bila-bila tau." Kata Ika manja.

"Ya lah. Abang akan sayang Ika sampai bila-bila." Janji Arif sambil menghulurkan jari kelingking. Ika menyambutnya dengan senyuman yang semakin lebar.

Mungkinkah gadis itu mampu menukarkan perasaan sayang saudara menjadi cinta? Mungkinkah gadis itu hanya akan membataskan perasaannya setakat sayang adik pada abangnya saja? Mungkinkah rindu yang cambah itu juga sebenarnya adalah rindu yang sama dimilikinya, cuma Ika yang tidak menyedari dan dia harus berusaha menyedarkan Ika bahawa rasa mereka sama? Dan keluarga.... adakah mereka akan merestui hasrat hatinya yang mungkin mereka rasakan janggal.

"Ika..." Arif menyeru nama Ika berserta keluhan berat yang dilepaskan. Laluan hidup masih panjang. Dia harus cuba mengabaikan hatinya yang gelisah walaupun sesukar mana sekalipun.

Apr 8, 2008

Pertama : Bab 15.2

Sejuk malam masih terasa walaupun diselimuti dengan jaket berwarna biru gelap milik dia. Haruman wangian yang lembut dari jaket yang kupakai menusuk hidung. Entah jenama apa yang dia gunakan, aku sendiri tak pasti. Tak ingin ambil tahu dan rasanya tak akan ambil tahu. Sebelum inipun, aku tak pernah ambil peduli tentang perfume terutama bila aku terbaca tentang penggunaan alkohol dalam produk yang digemari ramai tapi yang nyata, bukan aku. Pertikaian itu berjaya mengurangkan lagi minatku terhadap produk wangian. Bagiku, cukuplah kalau badan tak berbau busuk, kerana itu bermakna aku tak perlu nak mencari pewangi badan.

“Abang, Ika nak balik. Tapi macam mana nak buat ni? Baju Ika dah abih kotor. Ika dah tak ada baju nak pakai waktu nak balik esok.” Aku berbisik perlahan pada abang Arif. Merendahkan suara untuk mengelakkan dari didengari oleh lelaki itu yang sedari tadi masih setia berdiri. Dia menjeling sekilas tapi cepat-cepat dialihkan pandangan matanya ke arah lain. Nampak sangat dia nak cuba nak mencuri dengar apa yang aku bisikkan.

Mendengar saja rungutanku, abang Arif ketawa. Ish... abang Arif ni, tak jaga airmuka aku langsung. Aku bermasalah, dia pulak ketawa lucu. Memang nak kena dia ni...!! Buat aku rasa geram dan sakit hati je. Melihat mukaku yang berubah menjadi merah dek geram dan malu, dia cuba menahan tawanya.

“Adoi... Ika ni kan, macam-macam masalah ada.“ Katanya dengan nada iklan Astro, dgn memperlahankan perkataan ’masalah’. Kemudian menyambung; “Nanti abang fikirkan. Ika balik dululah ya. Abang nak kena kemaskan dewan ni.“

“Abang jangan lupa tau. Malu Ika nanti kalau kawan-kawan Ika perasan.“ Aku mengingatkan. Hanya dia harapanku.

“Alah, susah-susah sangat, Ika pakai je baju abang nanti.“ Katanya memberi cadangan penyelesaian yang mudah. Aku menjengilkan mata dan dia ketawa lagi. Sekarang, pasti kawan dia dah boleh mengagak apa yang aku bisikkan tadi.

“Fiq, kau tolong hantarkan Ika jap. Lagipun jeket kau, dia dok pakai, kesian pulak aku nak suruh dia pulangkan kat kau sekarang. Sejuk ni…” Hah!!? Suruh mamat ni hantar aku? Sanggup abang Arif serahkan adik sepupu kesayangannya ini kepada lelaki yang menghadiahkan masalah ini kepada aku? Dah tak sayang aku agaknya....

“Ehh... tak payah, jangan susah-susah. Ika boleh balik sendiri.” Aku menolak tanpa berfikir panjang sambil cuba membuka jeket yang menyaluti tubuh dinginku. Jauh di sudut hati, aku rasa kecil hati dengan abang Arif dan rasa was-was dengan lelaki yang tak pernah ku kenal hati budinya itu.

“Tak pe Ika. Ika pakai dulu jeket ni.” Katanya menahan, kemudian menyambung. “Biar Abang Afiq hantar Ika balik. Jom. Kereta abang ada kat sana.” Erk... Abang Afiq…? Dia bahasakan dirinya sebagai abang Afiq? Atau aku yang salah dengar? Kedengaran sedikit janggal, mungkin kerana pertama kali dia membahasakan dirinya begitu.

Aku memandang Abang Arif dengan renungan meminta simpati, mengharapkan dia faham yang aku keberatan lalu menarik balik cadangan tadi dan seterusnya menawarkan dirinya sendiri untuk menghantar aku pulang. Sebaliknya dia hanya tersenyum dan mengangguk, lagak bapa yang memberi kebenaran bila anaknya meminta izin untuk keluar. Ish... Abang Arif ni tak faham betul la. Inilah hasilnya kalau tak belajar bahasa badan. Memang nampak sangat yang belajar engineering hanya menjadikan dia tahu bahasa mesin saja. Aku bersungut di dalam hati.

“Err... baju Ika kan basah, nanti abih kusyen kereta basah jugak bila Ika duduk nanti. Tak pe lah, Ika boleh jalan kaki balik asrama.“ Aku cuba menolak lagi. Memberi alasan yang dirasakan mungkin buat dia berubah fikiran.

“Alah... tak pe. Tak kisah pun. Kalau Ika nak tahu, kereta tu kereta buruk je, dah biasa basah kalau hujan. Bocor. Jadi tak ada bezanya kalau Ika basahkan pulak malam ni.“ Katanya beralasan. Kereta dia bocor kat bumbung ke?

“Atau Ika tak sudi naik kereta abang Afiq sebab kereta buruk?“ Dia menyambung, meneka, membuatkan aku pulak rasa serba salah.

“Ehh... bukan macam tu. Cuma....“ Kataku cepat.

“Dia tak percayakan kau kot? Haha... “ Kata abang Arif menyampuk sambil ketawa.

“Tak percaya ya?” Katanya lagi. Giliran dia pulak meniru sebutan pelakon satu iklan syarikat kewangan yang agak popular. Ketawa kami pecah. Kelakar jugak rupanya kawan abang Arif ni. Setelah reda, abang Arif kembali bersuara.

“Ika balik dgn Afiq ya. Tak ada apa yang nak dirisaukan. Kawan abang, mestilah abang tahu perangainya bagaimana. Abang lebih percayakan dia untuk hantar Ika daripada Ika balik jalan sorang-sorang.“ Abang Arif memujuk.

“Erm… jangan salah faham. Bukan Ika tak percaya, cuma sebab tak biasa, Ika segan.“ Aku menjelaskan, tak mahu abang Arif dan dia salah faham, apatah lagi mengakui bahawa jauh disudut hati, ada kerisauan dan rasa tak selesa bila memikirkan aku akan ditemani oleh lelaki yang pernah kuhemburkan dengan kata-kata yang agak kasar. Tanpa alasan yang kuat, aku terpaksa mengalah, bersetuju mengikut kata abang Arif. Lagipun, perjalanan pulang tak akan mengambil masa yang lama kerana asrama hanya di dalam kampus ini saja.

Berada di dalam kereta dengan orang yang mana permulaan perkenalan kami agak kurang baik, membuatkan aku lebih suka melayan perasaan bimbang kalau-kalau ada mata yang memandang. Tak manis, tambahan lagi situasi yang dilihat sekilas pandang boleh membentuk seribu cerita, dan aku juga tak suka dikaitkan dengan mana-mana lelaki buat masa ini. Abang Arif lainlah, sebab dia tu abang sepupu merangkap bodyguard aku.

“Ika, maafkan abang Afiq ye! Selalu susahkan Ika setiap kali kita jumpa.” Katanya tiba-tiba, memecahkan kesunyian. Alah, baru jumpa dua kali. Cara cakap tu macamlah aku dah jumpa dia berkali-kali. Bisikku di dalam hati.

“Tak delah. Nasib Ika agaknya yang tak baik. Agaknya betul kata Abang Arif, Ika nakal, suka sangat mengusik sampai kadang tu membuatkan orang lain malu bila kena usik kat Ika terutamanya kawan-kawan sekolah. Dia kata satu hari nanti Ika akan dimalukan pulak. Agaknya inilah masanya kot.” Kataku perlahan. Uih... betul ke kata-kata tu keluar dari mulutku? Terkejut jugak dengan ucapan sendiri, tapi entah kenapa aku tak rasa ingin menyalahkan dia. Sedangkan kalau dengan abang Arif, aku pasti akan menyalahkan dia walaupun hakikatnya aku yang bersalah. Abang Arif memang sudah faham benar dengan perangaiku.

“Ye ke Arif cakap macam tu? Jadi Ika dah insaflah ni? Baguslah tu, jadi lepas ni janganlah nakal sangat ya! Hehe.“ Katanya sambil mengusik. Aku terdiam. Alahai... Mengapalah aku cakap macam tu tadi. Aku rasa macam nak ketuk kepala sendiri.

Kemudian dia menyambung lagi. “Tapi Arif juga ada bagitahu, kenakalan Ika tu lah yang memeriahkan suasana, betul kan!? Ika janganlah rasa tertekan ya, sbb kalau berdasarkan apa yang Arif cerita, kenakalan Ika belum mencecah tahap kritikal lagi. Setiap apa yang berlaku, ada sebabnya. Mungkin sebab Allah nak bagi peluang abang Afiq kenal Ika yang di bangga-banggakan Arif tu ke atau mungkin hanya kebetulan yang tak ada apa-apa makna, sebab semua ni memang tak disengajakan.“ Katanya memberikan pendapat, memujuk mungkin. Aku hanya mendengar tanpa memberi reaksi. Lebih selesa memandang gelap malam yang menghiasi kiri kanan jalan yang kami lalui sambil melayan muzik Kitaro yang dipasang.

“Sikap Ika yang nakal dan ceria tu, banyak kesannya pada Arif. Jelas sangat bila setiap kali Arif bercerita tentang Ika, dia begitu bersemangat. Katanya Ika selalu berikan hiburan, kegembiraan and senyuman pada Arif, sampai abang Afiq rasa bestnya kalau dapat kenal Ika.“ Uih... Abang Arif banyak mengumpat tentang aku rupanya. Agaknya apa lagi cerita tentang aku yang di bongkarkan pada lelaki ini sehinggakan dia rasa nak mengenali aku. Tiba-tiba aku perasan sendiri, merasakan yang diri ni agak popular. Hehe. Teringin nak tahu apa yang diceritakan, tapi kepetahanku terkunci oleh rasa segan yang belum hilang.

“Arif pun tentu punya kesan yang sama pada Ika, sebab hubungan kalian begitu istimewa. Agaknya Ika pun selalu bercerita tentang Arif pada kawan-kawan Ika. Betul kan?“ Dia menyoal.

“Entah lah... Tak ingat.“ Jawabku pendek.

“Tak ingat apa?“ Tanyanya kembali sambil memandang ku sekilas. Kemudian dia kembali menumpukan perhatian terhadap pemanduannya.

“Tak ingat berapa banyak Ika mengumpat tentang abang Arif dengan kawan-kawan Ika. Tapi kalau Ika bercerita pun, cuma dengan kawan-kawan kat sekolah sebab kami sekampung dan kebanyakannya memang kenal abang Arif.“ Aku menjawab dan memandangnya sekilas. Dia tersenyum tapi matanya memandang terus ke depan. Dari kesamaran itu, aku dapat melihat raut wajahnya yang sederhana dan kelihatan menarik dengan cermin mata tanpa bingkai.

“Ika masih marah lagi ke?” Katanya tiba-tiba. Nampaknya dia berusaha untuk mengisi kekosongan ruang waktu antara kami.

“Tak delah. Cuma Ika tak tahu nak cakap apa.” Sejujurnya itulah yang aku alami, kehilangan kata-kata bila duduk bersebelahan dengan lelaki ini.

“Ika yang berada di sebelah abang Afiq hari ni tak macam Ika yang diceritakan oleh Arif pun. Katanya, Ika selalu je ada benda yang nak dibualkan dan diceritakan. Ika sakit ke? Atau takut Arif marah kalau berbual dengan abang Afiq?“

“Tak lah.“ Jawabku ringkas.

“Erm... Abang Afiq buat Ika tak selesa ya? Kalau benar, maaflah sebab mungkin kerana cara kita kenal tak begitu baik sehingga Ika rasa begitu. Lagipun abang Afiq memang tak pandai sangat nak borak.“ Katanya merendah diri.

“Err... Tak delah macam tu, cuma mungkin otak Ika dah tak berfungsi dengan normal lepas kena hantuk dengan pintu tadi agaknya. Perlukan masa untuk pulih dari kejutan kot.“ Balasku pula, cuba untuk mengusir rasa bersalahnya yang mungkin masih tersisa.

“Kuat sangat erk?“ Tanyanya lagi.

“A’ah. Kuat! Kalau kuat lebih sikit tadi mesti tersembur keluar otak Ika. Nasib baik le, Ika ni jenis kepala batu, kalau tak, agaknya dah arwah tadi.” Dia ketawa mendengar kataku.

“Ini barulah Ika yang diceritakan Arif. Hehe.” Mendengar dia tergelak, aku ikut ketawa. Entah kenapa aku senang mendengar rentak tawanya yang sederhana itu.

Jarak perjalanan yang dekat hanya memberikan ruang masa yang singkat untuk kami berbual tapi cukup berkesan sebagai permulaan. Akhirnya kami sampai ke bangunan asrama yang menjadi tempat penginapan sementara peserta kursus. Sebaik saja kereta berhenti, aku cepat-cepat membuka pintu kereta dan keluar, tak mahu berlama-lama dengan lelaki itu di waktu begini. Banyak bahayanya walau sebaik manapun sikap yang ditunjukkannya.

“Err… terima kasih sebab hantarkan Ika balik. Ika naik dulu ye, dah lewat sangat ni. Esok nak kena bangun pagi. Ada aturcara lagi sampai petang kan?” Aku sekadar nak memastikan walaupun aku sememangnya sudah tahu apa rancangan yang disusun untuk hari esok.

“Ya. Masih ada satu ceramah pada pagi dan lepas tu aturcara penutup. Jangan tak bangun pulak. Ika boleh jalan ke?”

“Boleh. Apa pulak tak bolehnya, Ika bukannya lumpuh. Lagipun yang kena tadi kat kepala, bukan kat kaki. Kaki Ika masih berfungsi dengan baik.” Kataku sambil tersenyum.

“Ye ke? Eloklah tu. Jangan separuh jalan Ika pengsan pulak. Nanti tak ada siapa yang nak tolong. Nanti siapa nak dukung Ika macam tadi. Tadi takpe lah, abang Afiq ada.“ Hah!!? Dia ke yang dukung aku tadi? Alamak, malunya… Ingatkan Abang Arif.

“Err.. Ika naik dulu lah ye!” Aku cepat-cepat berlalu. Tak mahu menoleh ke belakang lagi. Menngingati dan menyedari sesuatu dari kejadian tadi membuatkan aku terasa seolah mukaku ditampal dengan satu lapisan kulit yang amat tebal. Kalaulah cahaya malam menjadi sejelas pandangan waktu siang, pasti dia mampu melihat kulit mukaku yang telah bertukar warna. Syukurlah kerana suram malam membantu aku menyembunyikan perasaan yang terlalu mudah terlukis diwajah.

Sesampainya aku dihadapan bilik, baru aku menyedari sesuatu. Alamak! Jeket dia aku lupa nak pulang kan!

Mar 19, 2008

Pertama : Bab 15.1

Mengharapkan agar sememangnya Abang Arif yang berada di didalam, aku menolak pintu dengan kuat, kononnya mahu menunjukkan perasaan marah dan geram pada abang Arif.

Sshhrruuuu….. Habis basaahhh… ’Aduh… Siapalah yang dengki sangat kat aku ni? Main simbah air malam-malam macam ni?!!...’ Serentak dengan itu, belum pun sempat aku membuka mata, terasa seolah ada serbuk dilempar kemukaku sehingga membuatkan aku terbersin akibat debu-debu halus yang memasuki rongga hidung…. Mataku terasa pedih, terkial-kial aku cuba membuka mata tapi gagal.

“Yeeahhh!!…. Yeeaahhh!!… Happy birthday to you…!! Happy birthday to….…” kedengaran suara-suara sumbang menyanyikan lagu yang amat popular itu. Lagu untuk aku? Ehh… birthday aku lambat lagi. Siapalah yang baik hati tak bertempat ni?

Lagu tadi tak sempat dihabiskan. Suasana kembali sunyi. Sepi. Aku masih berusaha untuk membuka mata sambil meraup wajahku yang nyata basah dek simpahan air dan kini ditambah dengan bedak debu yang dibeli entah dari mana. Dalam kesamaran, aku melihat jasad-jasad manusia yang berdiri didepanku berbentuk bayang-bayang yang tak mampu aku kenalpasti wajah dan identiti mereka. Aku menganggarkan bilangannya mungkin dalam 20 orang. Perlahan-lahan pendangan aku beransur jelas. Wajah-wajah yang biasa ku lihat di sekitar kem ini kerana mereka semua adalah abang-abang dan kakak-kakak ajk penganjur. Aku bersyukur, tetapi dalam masa yang sama benakku diterpa rasa hairan.

’Ya Allah, apa yang sedang berlaku ni? Kenapa jadi macam ni? Apa niat mereka memperlakukan aku sebegini? Malunya!!….’ Aku berbisik dan menyoal sendiri.

“Hahaha…“ Suasana yang tadinya sunyi telah bertukar menjadi riuh rendah dek ketawa yang berdekah-dekah. Mereka sedang menggelakkan aku!!!...

“Ika...? Apa Ika buat kat sini?” Kedengaran suara yang begitu dikenali. Abang Arif? Aku mencari wajahnya dengan tangisan yang hampir tak mampu ditahan lagi. Apa salah aku? Kenapa Abang Arif buat aku macam ni? Kalau nak kenakan aku pun, tak patut dia memalukan aku didepan kawan-kawannya. Aku tak sangka dia sampai hati memperlakukan aku sehingga begini sekali. Melampau betul!!...

Aku tak mahu membiarkan diri menjadi badut untuk mereka. Aku mesti pergi dari sini secepat mungkin. Balik kebilik. Benci! Kecil hati! Pedih dan sakit jiwa raga bagai disiat-siat bila mendengar suara abang Arif dikalangan mereka yang memerhatikan segala kejadian yang benar-benar memalukan itu. Empangan dimata aku hampir pecah, tak mampu nak menahannya lagi. Aku membuka langkah, namun belum pun sempat aku mencapai pintu….

Buummm!!… Pintu dibuka dengan kuat dan…

“Sorry guys… I’m late…” Kata-kata itu singgah digegendang telingaku, bersulam dengan dengungan yang terhasil akibat hentakan kuat di kepala. Suara yang pernah aku dengar, tapi tak tahu di mana. Aku terjelepuk di lantai.

Sakitnya!!... Dihentak dengan benda sekeras itu, mana mungkin kepalaku mampu bertahan. Terasa seolah retak tengkorak kepala aku dibuatnya. Mataku berpinar, berbintang dan terhias dengan campuran warna pelangi yang berselerak. Air mata yang mengalir semakin laju kerana telah dimalukan sebegitu. Belum pun hilang satu kejutan, aku dikejutlan lagi dan kali ini di sertai dengan rasa sakit.... sakit di kepala dan di hati.

“Ika!!… Ya Allah…!!” Aku terdengar suara abang Arif dan suara-suara lain yang riuh rendah, tapi bukan lagi gelak tawa. Suara cemas. Kepala aku dah berdarah ke?

“Ika… Ika… Bangun Ika…” Suara Abang Arif kedengaran begitu dekat. Seseorang cuba mengangkat dan memangku kepalaku. Abang Arif…

“Tepi… tepi… “ Ya Allah… tolong lah biarkan aku pengsan! Aku tak sanggup nak menghadapi keadaan memalukan ini. Doa yang cuma bergema di fikiran ku saja. Sakitnya… Aku cuba untuk bangun sendiri. Tapi nyata mataku yang masih pedih ditambah pula dengan sakit di kepala terkena hentakan tadi membuatkan aku hilang keseimbangan badan Aku kembali terduduk. Samar-samar aku melihat bayangan abang Arif disisi. Namun aku kembali memejamkan mata, menahan rasa sakit dan ngilu yang kini terasa seolah membelah kepala.

“Dimintak bersurai semua… Tolong berikan ruang… Kita tangguhkan dulu perjumpaan kita, okey?” Aku mendengar suara abang Arif memberi arahan. Dan suara bising tadi beransur kurang. Yang terdengar hanyalah suara bisikan dari beberapa orang yang aku tak pasti siapa pemiliknya.

Kesakitan yang aku alami membuatkan aku kembali menutup mata. Memberikan ruang untuk diriku mencari kekuatan dan juga memberi peluang untuk mereka terus mengumpat tentang nasib malang yang menimpaku. Tak sanggup rasanya untuk memandang wajah-wajah yang mungkin sedang tersenyum dan mentertawakan aku. Sesekali berharap bahawa semua yang terjadi tadi adalah mimpi saja, realitinya tak pernah berlaku. Kalaulah ada alat yang dipanggil mesin pemutar masa, mahu rasanya aku mempercepatkan ataupun melambatkan masa, agar dengan begitu, aku tak akan mengalami peristiwa ini.

“Arif, apa yang berlaku? Kenapa sampai jadi macam ni?” Mendengarkan suara itu, aku kembali cuba untuk membuka mata. Kabur… tapi dari bayangan yang berbalam, aku boleh mengagak bahawa itulah lelaki yang telah aku temui dihari pertama aku di kem ini. Lelaki yang namanya muncul dibibir Adi dan Shira semenjak berada di sini. Aku cuba untuk bangun dengan dibantu oleh abang Arif tapi rasa pening membuatkan aku terhoyong-hayang. Sudahnya aku didudukkan di kerusi yang berhampiran. Kalau boleh aku mahu balik sekarang juga, tak mahu berlama-lama di sini. Aku memejamkan mata, cuba untuk mengumpulkan kekuatan dan mengharapkan rasa sakit dan pening akan berkurang.

“Aku pun tak tahu lah Fiq. Kami nak surprise dan kenakan kau le kononnya. Hari ni kan hari jadi kau. So semua dah sepakat nak celebrate birthday kau malam ni selepas semua aturcara berakhir. Alih-alih Ika yang datang. So dia lah yang kena simbah dengan air dulu. Kami ingatkan kau…. Lepas tu baru kau masuk. Dia berpaling nak lari tadi, tapi terkena pintu yang kau bukak tadi.” Panjang lebar penerangan Abang Arif. Melalui cerita dia, aku boleh menerima bahawa semua ini adalah satu kebetulan dan aku telah menjadi mangsa keadaan.

“Ika… sakit ke?” Dia bertanya dengan nada simpati tapi entah kenapa aku merasakan bahawa itulah pertanyaan yang paling bodoh aku dengar. ’Mestilah sakit!!!...’ Aku rasa seolah mahu menjerit. Tapi aku biarkan saja pertanyaan itu berlalu tanpa jawapan.

Aku kembali cuba untuk membuka mata. Pandanganku tak sesamar tadi, sedikit jelas dan tumpuan mataku hanya jatuh kewajah abang Arif. Masih ada sendu yang tersisa. Lelaki itu kemudiannya menghulurkan sapu tangan padaku tapi abang Arif menyambutnya. Di sapunya air mata ku yang sesekali masih gugur membasahi lurah pipi. Air mata yang melepaskan rasa di hati, air mata yang juga berfungsi untuk membersihkan kotoran debu yang dilemparkan tadi.

“Maaf ya Ika. Saya betul-betul tak sengaja.” Katanya lagi dengan nada yang rendah dan kesal. Aku masih membisu, mendiamkan diri.

“Bukan salah kau pun Fiq. Kami pun tak tahu Ika yang datang dan bukannya kau. Kalau diikutkan kejadian, kami yang salah tapi entahlah, aku cuma rasakan yang semua ini terjadi dengan sebab kebetulan saja.“ Abang Arif bersuara lagi, cuba menenangkan perasaan kawannya itu. Dalam diam, aku bersetuju bahawa kejadian ini bukan salahnya.

Sapu tangan tadi digumpal, ditiup dan dituamkan kedahiku. Aku mengaduh kecil. Sebaik saja tersentuh, sakit tadi kembali terasa, namun beberapa ketika aku rasa lebih lega. Sakitpun sedikit reda. Segala perlakuan abang Arif benar-benar membuatkan aku rasa terharu. Dia masih lagi seorang abang yang begitu tekun menjagaku tak kira dimana saja aku berada. Aku benar-benar rasa dimanjakan. Selesa diperlakukan begitu.

Perasaan marah, geram dan kecil hati pada abang Arif tadi lenyap bilamana aku melihat wajahnya yang berkerut-kerut setiap kali dia menuam dahiku. Seolah dia turut merasai kesakitan yang kurasai.

Aku sedar ada mata yang memerhati. Lelaki itu masih setia berdiri disitu, memerhatikan setiap perlakuan abang Arif. Sesekali dia beralih ketepi, seolah gelisah. Kemudian dengan tiba-tiba dia membuka jaketnya dan menghulurkan.

“Ika mesti kesejukan. Arif, kau pakaikan jaket aku ni pada Ika.“ Dia berkata dengan prihatin. Agaknya kasihan melihatkan keadaan aku yang basah kuyup dek simbahan air tadi. Abang Arif menyambut huluran jaket tadi dan membantu aku memakainya, lagak seorang adik kecil yang begitu dimanjai oleh abangnya. Sedetik terlintas rasa malu bila dilayan sebegitu rupa di depan lelaki lain yang aku tak kenali.

“Thanks Fiq.” Kata Abang Arif ringkas. Dia hanya tersenyum dan mengangguk perlahan.

Abang Arif kembali mendepani aku dan bersuara. “Ika, apa yang buat Ika datang sini? Ada orang bagi tahu Ika suruh datang ke?” Aku menarik nafas perlahan. Rasanya tempoh bertenang aku telah cukup dan perasaan aku tak seteruk tadi walaupun kesakitan masih menjalari jasad ini.

“Sebenarnya, lepas ceramah tadi Ika terdengar pengumuman suruh Ika datang sini. Bunyi bising sikit masa tu sebab semua orang dok bersiap untuk balik ke bilik. Ika takde lah pasti sangat yang pengumuman tu untuk Ika, tapi kawan sebilik cakap memang pengumuman tu untuk Ika. Sebab tu lah Ika datang. Ika ingat, abang yang buat pengumuman tu untuk jumpa Ika.” Aku menerangkan.

“Macam mana orang lainpun boleh silap dengar ye? Kalau Ika sorang yang salah dengar lainlah.” Abang Arif masih tak faham. Aku lagi lah tak faham.

“Sapa yang buat pengumuman tu?” Dia bertanya sambil memandang abang Arif.

“Aku suruh Si Man buat sebab hari ni dia punya turn utk kemaskan dewan.” Abang Arif menjawab laju.

“Man? Kau suruh si Man gagap tu yang buat pengumuman?“

“A’ah. Ngapa?"

“Patut le….” Katanya lagi sambil tersenyum. Aku kehairanan. Kalau dia gagap pun apa salahnya dia buat pengumuman? Abang Arif tiba-tiba ketawa.

“Abang, kenapa ni? Tak baik ketawakan orang tau.” Aku rasa tak senang kerana mereka seolah mempersendakan kegagapan orang yang membuat pengumuman. Entah kenapa aku menjadi simpati pada orang yang aku tak kenali. Kebiasaannya aku yang suka menggelakkan orang, tapi kali ini lain. Mungkinkah hentaman pintu tadi telah mengubah personaliti aku?

“Ika, abang tak kenalkan lagi ke kawan abang ni kat Ika? Kalau belum, maybe elok abang kenalkan sekarang, nanti berlaku lagi perkara macam ni, susah pulak.” Heh... baru nak kenalkan? Alah... Tak kenal pun tak pe.

“Ika, kawan abang ni namanya Ahmad Afiq. Biasanya kami panggil dia Fiq atau Afiq je. Nama Ika pulak, Nurul Afika. Biasanya orang panggil Ika atau Afika, kan? Afiq dan Afika. Bukan ke nama kamu berdua ni hampir sama? Dah tu si gagap pulak yang buat pengumuman. Tahu je lah…” Abang Arif menghuraikan punca salah faham dan salah dengar yang berlaku sambil ketawa. Aku mulai faham apa yang sebenarnya terjadi. Dan dia... tersenyum sambil tertawa kecil. Aku memandangnya sekilas dan pandangan kami bertembung... Senyumku tertahan.

Mar 11, 2008

Pertama : Bab 15.0

Ceramah yang bertajuk “Mengenalpasti dan Menetapkan Matlamat Diri” yang di bentangkan oleh Prof. Sharizan Sadikin akhirnya sampai ke penghujung. Langsung tidak membosankan. Penyampaian yang bersahaja dan diselangselikan dengan cerita jenaka sememangnya membuatkan mata aku tetap segar menyantap setiap bait-bait kata yang keluar dari mulutnya. Aku pasti peserta-peserta lain juga begitu.

Adi bangun dari kerusi dan menggeliat sambil diperhatikan oleh Shira. Kerusi yang menampung berat badannya selama 2 jam sedari tadi di alih dengan kasar. Berkeriut bunyi tapak kaki kerusi bergeser dengan simen lantai. Di campur dengan suara pelajar-pelajar lain yang melepaskan perasaan membuatkan suasana dalam dewan kuliah menjadi agak bising.

“Pe…pe..perhatian kepada Afiq, Aaa…. Anda diminta datang ke dewan kuliah 5 sekarang jugak.” Kedengaran satu pengumuman dibuat.

’Ehh… Aku ke?’ Bunyi bising membuatkan pengumuman yang dibuat hampir tenggelam oleh suara-suara manusia dan alatan. ‘Ahh… lantaklah. Mungkin aku salah dengar.’ Aku tidak mahu mempedulikan seruan dan panggilan yang belum pasti ditujukan untuk aku. Lagipun aku rasa tak mungkin nama aku dipanggil tambahan pula dalam masa yang agak lewat begini.

“Ika… Eh, pengumuman tadi utk kau kan?” kata Adi bila dia melihat aku seolah tidak langsung mempedulikan pengumuman yang dibuat. Dia akan menjadi roomate aku sepanjang 3 hari 2 malam aku ada kat sini dan untuk beberapa sesi yang lepas, dia selalu bersama dengan aku. Sikapnya tak seteruk mana sebenarnya. Cuma sesekali bila dia berbicara, ada nada keangkuhan yang terselit. Keangkuhan yang terbit akibat dari kelebihan yang ada pada dirinya. Aku biarkan saja dan menganggap itu salah satu dari cara dia mendapatkan keyakinan diri.

“Ye ke? Tak tau le... Memang aku pun macam ada dengar nama aku dipanggil tadi tapi kenapa ye? Aku rasa aku tak buat apa-apa yang salah pun. Sapa nak jumpa aku? Lagipun kalau bukan aku yang dipanggil, macam mana? Bunyi bising sangatlah, pengumuman tadi aku tak dapat dengar dengan jelas.” Aku ragu-ragu. Tak pasti. Takut dan bimbang kalau bukan nama aku yang dipanggil.

“Betul Ika. Aku memang dengar nama kau tadi. Sapa yang nak jumpa kau, aku tak tahu. Masa pengumuman tadipun tak de cakap. Kalau nak tahu, apa kata kau pegi je. Mungkin ada perkara penting kot. Mana tahu kot sepupu kau tu ke yang panggil. Betul tak Shira?” Adi menyatakan pendapatnya.

“Betul tu.. “ Shira mengiakan.

“Eh, korang temankan aku ye?“ Aku tak berapa yakin untuk pergi bersendirian. Bukan takut, tapi risau.

“Tak nak lah. Aku letih. Nak balik tidurlah.“ Kata Shira cepat.

“Adi...?“ Aku memandang Adi dengan pandangan yang sedikit mengharap.

“Adi kena temankan aku balik. Aku takutlah masuk bilik sorang-sorang.“ Balas Shira lagi, seolah menjawab permintaan aku bagi pihak Adi. Adi hanya mengangkat bahu, menandakan dia tak dapat membantu. Mungkin dia pun keletihan, mungkin juga simpatinya pada Shira melebihi keinginannya untuk menemani aku, mungkin juga dia rasa tak selesa kerana penguman dan panggilan itu untuk aku dan bukan untuk dia. Entahlah. Tapi dlm diam aku juga merasakan yang Shira lebih memerlukan dia. Shira yang anggun, manis dan sopan, memangnya kelihatan amat bergantung pada orang lain. Dengan kata lain, dia suka berteman bila mahu kemana-mana. Lalu, biarlah Adi menemani dia.

“Okeylah kalau macam tu. Korang balik bilik dulu, aku ke sana sekejap.” Kataku memutuskan. Sebenarnya hati aku sedikit tergugat. Entah kena aku rasa tak selesa. Namun aku cuba untuk berfikiran positif. Mungkin benar pengumuman itu untuk aku. Mungkin benar Abang Arif yang mahu berjumpa denganku. Sebenarnya itulah yang aku harapkan. Berharap yang memang Abg Arif yang mahu berjumpa dengan aku. Lagipun masih banyak soalan yang bermain di fikiranku yang belum dijawabnya semenjak pertemuan yang berlangsung semasa baru mendaftar pagi semalam. Tapi... kenapa dia mahu aku berjumpa aku dengan cara membuat pengumuman begini? Bukankah lebih senang dan mudah kalau dia terus datang berjumpa dgn aku? Tak manis dilihat orang terutama di waktu malam begini, walaupun dia tu sepupu aku? Aku tak mahu ada fitnah yang timbul. Hati aku semakin tak selesa jadinya. Ya Allah... haruskah aku pergi?

Dalam semua persoalan dan percanggahan yang bermain difikiran, kaki aku tetap melangkah menuju ke tempat yang di umumkan tadi. Dewan kuliah 5 berada di bangunan sebelah dan aku terpaksa berjalan melalui laluan pejalan kaki berbumbung. Tak sukar untuk aku mencarinya kerana disitulah tempat suai kenal dibuat. Namun ia agak menyeramkan kerana jalan itu agak sunyi dan gelap.

Semakin aku menghampiri, semakin hati aku bercelaru. Aku memperlahankan langkah, berfikir samada perlukah aku pergi, atau berpatah balik saja. Tapi bila mengingatkan mungkin Abang Arif yang sedang menunggu, aku mempercepatkan langkah, menguatkan semangat.

Macam mana kalau ada orang nak buat khianat pada aku? Mungkin aku akan dijadikan mangsa rogol, bunuh atau dirompak ke…? Nauzubillah.... Semoga Allah jauhkan kejadian seperti itu dari berlaku keatas diri ku. Tapi kalau ada orang nak buat benda tak baik, tak mungkin orang tu akan membuat pengumuman terbuka macam tadi. Mungkin lebih sesuai dan selamat kalau sekadar menghantar mesej. Aku bersoal jawab sendiri.

Lorong menuju ke dewan kuliah 5 agak suram dan sunyi. Yang kedengaran hanyalah derap kaki ku yang mengatur langkah yang sekejap laju, sekejap perlahan. Aku berhenti di depan pintu dewan dan memasang telinga, cuba mengesan bunyi kalau ada sesuatu yang aneh dan mencurigakan. Sunyi. Dari celahan pintu, ada cahaya dari dalam walaupun agak samar, mungkin itu menandakan ada orang di dalamnya.

Aku menarik nafas sambil memikirkan apa yang akan aku cakap pada abang Arif nanti. Semalam aku tak sempat nak memaksa dia menjelaskan segala pertanyaan yang terhimpun dibenakku lantaran dia agak tergesa-gesa untuk pergi. Tapi kali ni aku pasti akan sembur dia habis-habisan kerana mengelak dari menjawab pertanyaan aku dengan cara begitu!

Feb 21, 2008

Pertama : Bab 14.4

‘Takdir. Segalanya berlaku tanpa di rancang. Orang kata kita boleh merancang kehidupan, boleh memilih jalan yang mahu kita lalui, tapi bila sesuatu yang berlaku itu diluar perancangan, lalu ianya pastinya ia adalah perancangan yang di buat oleh Allah kerana Dia ialah Yang Maha Mengetahui.‘

‘Manusia memang lemah dan punya pengetahuan yang terhad tentang sesuatu perkara. Apa yang telah terjadi pun kadang tu tak kita ketahui, apatah lagi apa yang bakal terjadi. Kerana itulah Dia telah mengatur kehidupan manusia dengan corak yang terbaik, yang hanya Dia tahu kenapa Dia jadikan perjalanan hidup kita begitu.’

Afiq mengeluh berat mengingatkan kata-kata yang bekas gurunya dulu. Entah kenapa tiba-tiba segala bicara lama berputar kembali. Pertemuan itu sepatutnya menjadi satu peluang keemasan yang tak patut dilepaskan begitu saja tapi entah kenapa hatinya resah. Rasa yang cuba dikuburkan dirasakan kembali subur. Aduh… kenapa masih ada sisa perasaan yang membajakan harapan, sedangkan dia boleh rasa yang bunga dihujung dahan telahpun di tanda orang, mekarnya kembang bersiram, harumnya bakal menjadi suntingan.

Best man win. Kata-kata itu terlalu angkuh untuk dijadikan pembekal semangatnya merebut dara impian. Apatah lagi merebut dari tangan seorang teman yang begitu dihormati hari demi hari, semakin dikagumi bila makin dikenali. Lelaki biasa yang penuh kesederhanaan, memiliki bakat kepimpinan yang diimbangkan dengan sikap rendah diri, ceria dan bertimbangrasa, malah rasanya siapa saja akan jatuh cinta bila semakin lama mengenalinya.

'Siapalah aku di bandingkan dengan dia yang telah lama mengenalinya. Cinta mereka adalah cinta sejarah, cinta yang bermula dari zaman kanak-kanak yang mungkin ditakdirkan akan kekal sehingga ke penghujung nyawa. Cinta yang dibaja bersama masa, berkembang bersama kenangan mana mungkin mudah untuk dilepaskan. Aku tak mahu menjadi ulat yang memakan segala keindahan yang wujud dalam satu hubungan.'

'Tapi dia terlalu istimewa untuk dilepaskan. Dia yang telah memberi debaran yang tak pernah berlaku sebelum ini. Mungkinkah ini adalah petanda bahawa Allah tak mahu aku berputus asa? Dia mahu aku berusaha untuk hidup yang aku impikan?'

'Istimewanya dia bukan ditakdirkan untuk aku, kerana aku bukanlah orang yang boleh dibanggakan. Lagipun apalah erti satu perasaan yang belum tentu ada kesudahan yang membahagiakan berbanding dengan satu jalinan persahabatan yang telah kemas tertanam dengan keikhlasan.'

'Kenapa mesti merasa rendah diri. Aku bukan begitu.'

'Bukan rendah diri, aku cuma tak mahu menjadi orang yang mementingkan diri.'

Monolog itu berlangsung hanya difikirannya. Hati dan minda Afiq seolah terpecah dua. Berbicara sendiri tentang keinginan, mencari kewarasan untuk satu perasaan yang entah kenapa terlalu sukar untuk diusir. Berhujah dan terus berhujah tanpa ada suara yang pecah diulasan bibirnya yang kering.

Afiq faham diri Arif, sikap dan peribadinya begitu sukar di gugah, terlalu payah untuk dicari kelemahannya yang terlindung oleh keistimewaannya. Ketegasan dan keteguhan pendiriannya dalam apa jua perkara tetap sama. Afiq boleh mengagak dan menjangka, mana mungkin akan ada gadis yang akan menolak untuk dicintai oleh Arif. Malah hakikat yang ada didepan matanya ialah ramai gadis yang menunggu untuk dilamar hatinya oleh Arif.

Kertas yang bersusun dimeja direnung kosong. Fikirannya melayang memikirkan pertemuan tadi. Sesekali hati Afiq dijamah rasa cemburu. Tapi cemburu untuk kelebihan yang tak mampu dilawan rasanya satu penyakit hati yang harus dihindarkan. Setiap orang punya kelebihan yang tersendiri, anugerah dari Yang Maha Pencipta.

Afiq tahu, dimata orang lain, dia juga ada kelebihan tapi bila digandingkan dgn Arif, terasa benar dia banyak kekurangan. Afiq yakin dia pasti kalah. Lalu mestikah dia menyerah dan pasrah. Biarlah dia mengalah sebelum mencuba, kerana rasanya mencegah itu lebih baik dari mengubati. Dia tak mahu terluka andai kalah itu miliknya, dan dia tak mahu melukakan hati seorang sahabat andai menang itu digenggamannya.

Matanya melilau memerhati bilik berukuran sederhana yang dijadikan bilik gerakan untuk ajk yang bertugas. Kekosongan bilik ini memberi peluang untuk dia menenangkan diri. Mereka semua masih sibuk diluar sana dan dia berkurung di sini. Bukan melarikan diri dari tanggungjawab, tapi sekadar mahu melepaskan sesak dan debar di dada. Kering tekaknya semakin terasa tapi apakan daya air yg tumpah tak berganti, yang mampu dia lakukan sekarang hanyalah menelan air liur. Itupun rasa terlalu susah untuk di telan.

Mindanya ligat diburu pertanyaan. Kenapa masih ada pertemuan antara mereka? Alangkah sempitnya dunia ini. Mungkin sebenarnya Arif sengaja menjemput Ika kerana mahu menghabiskan masa bersama dan ianya bukan satu pertemuan yang tak dirancang. Yang tak di rancang hanyalah pertembungan antara Afiq dan Ika. Itu sahaja. Tapi kenapa Arif tak langsung bercerita tentang kedatangan Ika ke sini?

Biasanya kalau ada perkara yang melibatkan Ika, Arif akan bercerita padanya, tapi tidak kali ini. Mungkinkah Arif telah mula pandai berahsia dengan dia? Mungkinkah Arif mula rasa tak selesa kerana sedar pandangan Afiq pada Ika telah berbeza? Fikirannya berputar mencari jawapan, mencari ruang kemungkinan, tapi semua itu hanya membuatkan kepalanya berdenyut sakit.

Afiq menarik nafas panjang, lalu melepaskannya perlahan. Mengharapkan fikirannya tak lagi diserbu oleh pertanyaan demi pertanyaan. Afiq sedar dia hanya manusia biasa yang tak mungkin tahu semua itu tanpa bertanya... tapi siapa dia untuk bertanya? Apa perlunya dia untuk tahu semua itu? Kenapa ada rasa ingin tahu sedangkan dia sudah boleh mengagak apa yang berlaku?

Biarlah... biarkan saja... Afiq bangun lalu membuka pintu lalu menapak keluar dari bilik itu. Ada tugasan yang lebih penting untuk dia uruskan selain dari melayan pertanyaan yang banyak bersarang di fikirannya.

Feb 13, 2008

Pertama : Bab 14.3

Aku melangkah keluar dengan keadaan yang agak tergesa-gesa. Antara perasaan tak sabar nak mengetahui siapa yang ingin berjumpa denganku dan juga perasaan nak lari dari perbualan dengan minah tomboy tadi. Yang pasti fikiran ini masih berlegar dengan pelbagai pertanyaan.

Pewiittt… Tiba-tiba kedengaran siulan yang dulunya biasa ku gunakan bila nak mengusik sesiapa. ’Ish... Sapa pulak yang gatal nih.’ Aku tertanya sendiri, lalu cuba berpaling ke arah datangnya siulan tersebut. Tiba-tiba…

“Ops… sorry!” Serentak dengan itu aku rasa badanku disirami air yang sejuknya menyentuh tahap beku. Baju sekolah yang ku pakai berubah warna. Basah dengan warna merah.

“Haa? Woi, buta ke. Habis baju kena air sirap nih. Kalau nak minum dok diam-diam. Kalau nak berjalan, jangan minum, kalau nak minum, jangan berjalan. Menyusahkan orang je.” Aku bersuara dengan nada yang agak tinggi. Suhu kepanasan di hati naik walaupun terkena siraman sirap ais yang sejuk. Aku menyapu baju yang basah dengan tangan, cuba mengurangkan daya serapan air, namun aku tahu ia tak memberikan sebarang perubahan.

“Err.. maaf, saya tak sengaja. Lagipun bukan ke adik yang sepatutnya jalan tengok ke depan?” Amboi, menjawab nampak. Minta maaf, tapi dalam masa yang sama cuba menyalahkan aku atas peristiwa yang tak di sengajakan itu. Ini tak boleh jadi. Aku mengangkat muka, membuka mulut, mahu menegakkan apa yang aku rasakan.

“Hei, jangan nak salahkan…” Aku bersuara dengan tahap kegeraman yang semakin naik, tapi belum sempat ayat aku habiskan, tiba-tiba terdengar satu suara yang amat biasa aku dengar.

“Ika!!!... Apahal bising-bising ni?”

’Abang Arif? Apa dia buat kat sini?’ Aku diterpa oleh persoalan bila melihat kehadirannya yang muncul secara tiba-tiba.

“Awal-awal lagi Ika dah buat hal ye?” Aduh... Bala dah datang dah.... Aku terkebil-kebil dengan mulut separuh terlopong. Masih terkejut dan tidak percaya dengan pandangan mata yang tak rabun ini. Macam mana pulak tok guru aku ni boleh ada kat sini? Dah tu, bukan nak bela aku pulak. Menyalahkan lagi ada…

“Apa abang ni… Dia ni yang tak pakai mata bila jalan. Mata empat pun tak reti nak guna betul-betul. Habis basah baju Ika. Dah le Ika bawak baju cukup-cukup je.” Aku rasa nak membebel, mengadu dan bersungut, meluahkan apa yang sesak dalam mindaku sejak dua minit yang lalu. Geramnye…

“Ish... ish… ish… Kesian kat Ika ye!..” Dia bersuara dengan nada yang aku tahu tak ikhlas. Mengejek dan menggelakkan aku seperti biasa. Kemudian dia menyambung, “Abang nampak apa yang berlaku tadi. Dah lah. Bukan semuanya salah dia, salah Ika jugak. Itulah… pantang ada orang pewit sikit, mulalah jalan tak betul. Itu baru pembalasan dunia...” katanya sambil melepaskan gelak yang mungkin di tahan sedari tadi. Mulalah tu. Suka sangat mengusik aku.

“Mana abang tahu ada orang pewit kat Ika?” Aku hairan.

“Mestilah abang tahu sebab sebenarnya abang yang pewit Ika tadi.“ Gelaknya lagi sambil menjawab kemusykilan aku. Ceh… Abang Arif yang kenakan aku rupanya.

“Abang memang!!!“ Kata aku sambil melepaskan satu pukulan kecil pada Abang Arif untuk melepaskan geram. Tawanya bertambah.

“Ingat nak uji Ika. Mana tahu dia ni pulak yang jadi mangsa Ika. Ika ni kan… tak patut betul buat dia macam tadi.” Balasnya selepas reda dari ketawa akibat dari kelucuan yang aku tak rasakan lucu pun.

“Teruknya abang ni… “ ujarku geram yang teramat sampai tak terkata-kata. Wajahku terasa seolah telah bertukar warna.

Aku tetiba sedar yang lelaki itu masih di situ, melihat segala drama antara aku dan abang Arif. Shuuh... Pegilah... Seronoklah tu bila tengok aku dimalukan abang Arif…. Ingin rasanya aku menghalau dia tapi tak mampu aku keluarkan kata-kata yang bergema di dalam hati, bimbang akan dimarahi oleh abang Arif.

“Apa pandang-pandang. Tak pernah tengok orang ke?” Akhirnya aku bersuara bila sudah tak tahan melihat senyumnya yang menyakitkan hati tu. Harapnya dia faham yang aku bermaksud untuk menghalau dia pergi dari tempat kami berdiri sekarang. Tapi senyuman dia semakin lebar. Abang Arif memandang budak tu sambil tersenyum, kemudian tergelak kecil dan akhirnya merapati lelaki itu sambil menepuk bahu.

“Sorry le Fiq atas apa yang berlaku tadi. Sepupu aku ni memang macam ni. Garang tak mengira tempat bila dia terkejut dan panik.” Haa…?!! Abang Arif kenal dia? Habis lah aku.

“Dialah yang selalu aku ceritakan tu. Buah hati jantung pisang tanduk emas aku.” Entah apa yang dia cakapkan tapi yang pasti aku tahu keadaan aku pasti parah aku kali ni. Entah apa yang pernah diceritakan tentang aku pada mamat speckie ni.

“Tak pe. Aku tak kisah.” Katanya sambil tersenyum lagi. Aku jadi semakin menyampah. ’Senyum je? Tak nak gelak kat aku ke?’ Hati aku menabur geram yang masih mampu di tahan. Aku tension. Entah dalam hati, dia menggelupur ketawakan aku.

“Lagipun rasanya ini bukan kali pertama aku kena dengan dia.“ Katanya menyambung. Bila masa pulak aku kenakan dia nih? Aku pernah jumpa dia ke? Aku mula merenung dia dengan harapan dapat mengingati pertemuan yang mungkin pernah terjadi antara aku dan dia, tapi entah kenapa aku rasa wajahnya asing bagi aku. Aku memandang dia dengan kening yang sedikit berkerut kerana kehairanan dan dalam masa yang sama aku mengharapkan dia akan menjawab soalan yang berlegar difikiran tanpa perlu aku kemukakan soalannya.

“A’ah… Aku ingat. Aku ingat... ” Abang Arif gelak. Aku semakin hairan. Ingin sekali aku bertanya tapi dalam masa yang sama aku juga takut kalau soalanku nanti akan memberi peluang pada abang Arif untuk mengenakan aku dengan lebih teruk lagi.

“Okeylah Arif… aku pegi dulu lah ye.“ Katanya sambil menepuk bahu abang Arif, kemudian menyambung, “Bye Ika.... ” Dan dia berlalu sambil menghadiahkan senyuman.

’Hish… memandai-mandai je panggil nama aku. Macam le dah kenal lama.’ Aku bersungut di dalam hati sambil membalas senyuman yang diberikan dengan jelingan geram yang masih bersisa di hati.

Setelah bayang lelaki itu hilang di sebalik selekoh bangunan, aku memulakan serangan. Bertanya pada abang Arif dengan bertalu-talu, meluahkan segala persoalan dan pertanyaan yang telah banyak terkumpul sedari tadi.

“Apa abang buat kat sini? Sapa dia tu? Macam mana abang kenal dia? Apa yang abang cerita pasal Ika kat dia? Banyak mana dia tahu pasal Ika? Apa yang dia dan abang tahu tapi Ika tak tahu? Ika bagi abang 5 minit utk abang jawab soalan Ika ni.” Aku memandang wajahnya dengan serius. Aku mahu dia tahu bahawa aku memang geram dengan dia dan mahu dia berikan jawapan kepada semua soalan yang telah aku kemukakan.

“Fuh.. banyaknye soalan. Abang kesuntukan masa ni. Lagipun…” Katanya cuba berdalih.

“Tak boleh. Ika tak benarkan abang pergi selagi tanda soal dalam kepala Ika ni tak lenyap.” Aku memotong cakapnya, sambil itu aku menolak badannya ke dinding, lagak samseng yang baru nak belajar menjadi gengstar.

“Dia dah buat dah…. Abang jawab sikit-sikit je lah ye.“ Abang Arif menggeleng-geleng kepala sambil tersenyum.

“Abang dan dia tu kawan satu kolej dan course yang kami ambik pun sama. Universiti kami yang anjurkan kursus motivasi ni. Dia tu pengarah projek dan akan selalu ada kat sini sepanjang 3 hari ni. So, Ika jangan risau. Ika masih ada peluang nak berkenalan dengan dia.” Bila masa aku cakap aku nak berkenalan… Memandai je. Itu nak cari idea kenakan aku lah tu. Sempat lagi dia mengusik sambil tersenyum sumbing. Geram aku dibuatnya.

“Dia pernah jumpa Ika ke sebelum ni?“ Aku bertanya soalan yang paling aku nak tahu.

“Pernah.“ Jawabnya ringkas.

“Kat mana?“ Soalku lagi ingin tahu.

“Dalam mimpi.“ Katanya sambil tergelak.

“Abang ni, mainkan Ika pulak. Benci la. Ika tanya serius ni.” Geram.
“Betullah tu. Dia jumpa Ika dalam mimpi dia, tapi Ika tak ingat sebab dalam mimpi Ika cuma ada abang je. Betulkan?” Katanya mengusik. Mukaku diterpa kepanasan yang menderu.

“Okeylah Ika, abang kena pegi dah ni. Jaga diri baik-baik, jangan buat hal lagi. Abang tak nak tolong nanti.” Sambungnya cepat sambil memulakan langkah untuk berlalu. Eleh.. macamlah dia ada tolong aku bila aku kena buli, lagi buli aku ada lah.

“Abang… nanti dulu… “ Aku masih belum berpuas hati. Jeritanku tadi langsung tak diendahkan. Menyampah betul lah.

‘Tak pe… Kalau ada peluang nanti, tahulah Ika nak buat macam mana. Abang jangan menyesal…’ Bisik ku dalam hati sambil memandang tubuhnya yang kelihatan kian mengecil dan menghilang disebalik bangunan.

Feb 4, 2008

Pertama : Bab 14.2

“Gila ke apa kau ni? Kau nak buat apa kat aku hah?” Dadaku berdebar kencang. Kejutan yang aku rasa sesiapapun akan berada dalam debaran seperti aku. Namun bila di fikirkan kembali apa yang berlaku tadi, aku rasa tak perlu di risaukan sangat. Hanya dengan jeritan aku, dia boleh tercampak, mungkin dia tak adalah sekuat mana pun.

Berbaju t-shirt biru tua dan jeans, berkaca mata dengan bingkai hitam, berambut pendek dan mulut mengunyah-ngunyah chewing gum. Berbadan tinggi lampai dan sederhana. Erm... Makhluk ni lelaki atau perempuan? Yang pasti dia manusia biasa seperti aku, tapi.... Fikiran aku menimbang-nimbang sendiri. Confuse. Spesis apa dia ni agaknya sehingga aku tak dapat mengenal pasti jantinanya hanya dari pandangan pertama.

“Gila ke apa kau ni. Menjerit punyalah kuat. Kalah suara perempuan yang kena kejar dek hantu.“ Dia akhirnya bersuara. Aku terlopong. Rasa terkejut masih belum hilang. Tapi sekurang-kurangnya aku rasa lega bila mendengar suaranya. Perempuan rupanya. Lebih tepat lagi, aku boleh agak yang dia tu penkid atau tomboy.

“Relak arr… Aku ingat kau mati ke, pengsan ke tadi sebab semua yang aku buat tak meninggalkan kesan. Manalah tahu, kot-kot dah pengsan terkejut ke. Haha...” Ketawanya pecah. Cis... Dia rupanya yang memainkan peranan untuk mencetuskan segala debaran yang hampir memecahkan dada aku tadi.

“Jadi, kau le yang dok hempas pintu dari tadi, pas tu mencakar-cakar pintu bilik aku?” Pertanyaan itu kuajukan untuk meminta kepastian.

“Kenapa? Takut ke?” Menjawab dengan mengemukakan pertanyaan adalah satu jawapan juga bagiku. Dia senyum sumbing dengan mulut masih lagi mengunyah chewing gum.

“Kalau aku takut, dah lama aku lari keluar dr bilik ni. “ Aku menafikan, cuba untuk menutup resah yang tadinya muncul tatkala kebenaran belumpun timbul. Malu kalau di ketahui oleh kawan-kawan sekolah aku yang lain. Aku cuba berlagak biasa.

“Anyway, aku Nurul Adira. Panggil je Adi. Kau?” Dia memperkenalkan diri sambil menghulurkan tangan.

“Aku Ika, Nurul Atika. ” Aku berkata ringkas. Tangan bersambut, senyum berbalas dan begitulah persahabatan kami bermula.

“Patutlah kita satu bilik, nama pun hampir sama.“ Katanya lagi dengan suara mendatar.

“Memang mereka sengaja mengatur bilik untuk peserta dengan turutan alphabat.“ Aku menerangkan berdasarkan pemerhatian dan juga dari maklumat yang aku dapat.

“Ooo... ye ke? Aku tak tahu pun. Tak ambik kisahpun siapa yang nak di letakkan sebilik dengan aku. Kita berdua je ke kat dalam bilik ni?“ Sambut Adi sambil berjalan ke tingkap selepas puas membelek perabut ringkas yang ada di bilik ini. Lagaknya yang tak tahu duduk diam, berlegar-legar ke sana ke mari dalam ruang bilik yang sempit, mengangguk dan mencebik bibir bila dirasakan ada sesuatu yang membayangkan rasa tidak puas hati membuatkan aku rasa sedikit rimas. Tapi aku biarkan saja sebab aku tahu, aku pun sama juga tadi. Bezanya aku tak bersungut, malah tak mencebikkan bibir seperti apa yang Adi lakukan.

“Patutnya 3 orang tapi setakat ni cuma kau dan aku je. Mungkin kejap lagi sampai kot.“ Aku berkata sambil matanu leka memerhati kelakuannya. Harapnya teman yang seorang lagi akan lebih lembut berbanding aku dan minah tomboy ni. Bukan aku tak suka, cuma aku rasa bilik ini perlukan keseimbangan. Terasa sangat aura dalam bilik ini tidak seimbang.

Dari sekilas pandangan dari aku yang suka memerhati, dia memang mempunyai kecantikan tersendiri. Sayangnya kecantikannya itu diselindungkan dengan gaya penampilan yang bagi aku terlalu santai dan tidak kena dengan konsep diri yang harus di pegang sebagai seorang gadis. Pakaiannya yang tidak formal memberikan satu persepsi yang agak liar, berambut pendek dengan baju t-shirt potongan lelaki dan cermin mata berbingkai hitam.

Di tambah pula dengan ketinggiannya yang agak menakjubkan dan gerak lakunya bila berjalan yang seolah sengaja ’dilasakkan’. Sekali pandang aku pasti tak ada siapa dapat meneka yang dia hanyalah gadis biasa yang sering kelihatan melepak di kaki lima shopping kompleks. Aku tak mahu menilai dia hanya dengan pandangan pertama. Banyak yang aku belum tahu tentang diri yang sebenar. Pastinya dia punya sebab tertentu untuk memilih gaya sebegitu, pastinya dia punya sejarah tersendiri yang menjadikan dia bersikap begini.

“Kau nak kita tinggal berdua atau bertiga?“ Katanya tiba-tiba.

“Kenapa kau tanya macam tuh?“ Pelik. Bukankah itu urusan pihak penganjur, kenapa pulak dia tanya samada aku nak tinggal berdua dengan dia saja atau bertiga?

“Ye lah... aku tak biasa tinggal ramai-ramai. Bilik aku kat rumah pun 3 kali ganda bilik ni. Bilik ni dah le kecik, kena kongsi 3 orang pulak tu.“ Dia berkata dengan nada yang tak dapat aku pastikan. Angkuh? Mungkin. Menunjuk-nunjuk? Mungkin jugak. Sekadar bercerita? Agaknya begitulah. Kecewa? Entahlah. Apa yang boleh di harapkan bila ada kem motivasi seperti ini. Tak kan nak dapatkan layanan lima bintang kot.

“Aku boleh uruskan kalau kau rasa baik kita berdua je yang tinggal kat bilik ni.“ Adi menambah. Jelas dia tak berpuas hati dengan keadaan bilik yang mungkin di rasakan sesak kalau di huni oleh tiga orang.

“Kau boleh uruskan? Kenapa pulak kau yang nak uruskan? Bagaimana?“ Aku bertanya lagi. Masih tak menjawab soalan yang diajukan sedari tadi.

“Kau jangan banyak soal lah... Aku tak suka. Nak ke tak nak?“ Katanya dengan nada sedikit tinggi. Aku sedikit terkejut. Mula rasa tak suka dengan sikapnya yang baru dilontarkan. Setelah menarik nafas panjang, aku bersuara.

“Aku nak kita tinggal bertiga. Tak kira siapapun, aku rasa lebih baik bertiga. Lagi ramai, lagi baik. Aku suka kalau dapat kenal ramai orang.“ Aku berkata memberikan pendapat. Namun ada ketegasan yang cuba aku sematkan di situ. Aku tak mahu di buli oleh minah tomboy ni. Kaya atau tidak, kat sini dia kena terima apa jua layanan sepeti orang lain. Dan aku tak akan biarkan dia rasa dirinya berkuasa. Ada rasa tak senang bersarang di benakku dengan sikapnya yang meninggikan suara. Ini Ika lah. Aku tak akan biarkan diriku di buli!

Tiba-tiba kedengaran bunyi pintu diketuk. Mungkin teman sebilik kami dah sampai. Pantas aku bangun untuk membuka pintu. Tak mahu melanjutkan lagi perbualan dengan Adi, bimbang kalau dia terus berkeras untuk tinggal berdua saja. Kalau teman ketiga dah sampai, tak mungkin dia mahu menghalau.

Sebaik saja pintu di buka kelihatan seorang gadis berbaju sekolah berdiri di depan pintu sambil tersenyum.

“Masuklah.“ Aku menjemput dia masuk walaupun aku tahu, dia akan masuk jugak walaupun aku tak jemput. Ye lah, kalau dah ditentukan ini biliknya, mestilah dia akan masuk bilik ni. .

“Tak pe lah. Saya cuma nak sampaikan pesan.“ Katanya bersuara.

“Pesan? Pesan untuk siapa?” Adi bersuara dengan tiba-tiba.

“Untuk Nurul Atika. Ada orang nak jumpa kat depan sana.” Katanya lagi sambil memandang aku dan Adi bergilir-gilir. Pastinya dia cuba mengenalpasti siapa antara kami ialah Nurul Atika.

“Saya Atika. Tapi, siapa yang nak jumpa saya?” Rasa hairan menyapa fikiranku. Tak kan Liza kot. Tak mungkin kawan-kawan sekolah aku.

“Ntah. Saya tak tahu namanya dan saya pun tak tanya. Tapi rasanya bukan student sekolah.” Siapa agaknya ya? Tak kan peminat kot. Cepat benar. Sesi suaikenal belumpun bermula.

“Perempuan ke lelaki?“ Adi menyampuk. Sibuk nak tahu walaupun mesej tu bukan untuk dia. Aku biarkan saja.

“Lelaki.“ Jawabnya ringkas.

“Pak we kau agaknya.“ Kata Adi.

“Aku mana ada pakwelah.“ Aku berkata sambil memandang Adi, kemudian kembali memandang gadis tadi.

“Tak pelah, nanti saya turun. Terima kasih ye!” Kataku lagi sambil mencapai tudung yang ku letakkan di birai katil. Dia mengangguk sambil tersenyum kemudian berlalu pergi.

Tudung sekolah berwarna coklat lembut memang mudah dipakai dan ringkas tanpa perlu mengambil masa yang panjang. Tanpa sepatah kata aku ucapkan pada Adi, aku melangkah keluar dengan tanda tanya. Siapa agaknya yang nak jumpa aku ni?

Jan 25, 2008

Pertama : Bab 14.1

Selesai urusan pendaftaran, kami diberikan kunci bilik yang terletak di 2 blok yang berbeza, satu blok untuk lelaki dan satu lagi untuk perempuan. Sebenarnya terdapat banyak blok asrama, tapi hanya 2 blok yang di berikan untuk peserta kem motivasi.

Bilik yang hanya boleh memuatkan 3 orang sebilik membuatkan kumpulan pelajar sekolah aku telah berpecah. Nampaknya hasrat Liza untuk sebilik dengan aku tidak kesampaian kerana ternyata pihak penganjur mempunyai strategi lain bila mereka menentukan bilik peserta mengikut alphabet.

Nama aku bermula dengan huruf N dan Liza pulak bermula dengan huruf Z. Zahalizarina Zaharizam, memang bagi aku namanya cukup menarik kerana banyak huruf yang sama dan mudah diingati. Ditambah pula dengan sikapnya memang membuatkan dia senang untuk popular, bukan seperti nama aku yang cukup biasa, cuma mengharapkan sikap aku yang ceria untuk membolehkan aku di ingati.

Aku dan Liza memang ditakdirkan tidak dapat bersama. Selepas pendaftaran, nyata kami diasingkan dan dipisah oleh bilik yang agak jauh. Walaupun sedari awal aku merancang untuk memastikan kami akan tidur sekatil dan sebantal, tapi bila sampai waktunya, rasa tak adil bila mahu meminta keistimewaan sebegitu dari penganjur. Lalu aku diamkan saja, menerima apa yang telah mereka tetapkan untuk aku tanpa sebarang bantahan.

Aku yakin, roommate aku semestinya pelajar dari daerah lain memandangkan dalam kumpulan kami, tak ada seorang pun yang namanya bermula dengan Nurul. Aku tak kisah kerana aku yakin pada kemampuanku untuk bergaul. Insyaallah, aku tak akan menghadapi masalah dengan kenalan baru walau dengan siapapun aku akan ditempatkan.

317. Aku memerhati nombor yang terpampang di depan pintu. Bilik yang akan ku huni selama beberapa hari. Aku mengeluarkan kunci bilik yang telah di serahkan kepada aku selepas pendaftaran tadi. Perlahan aku membuka pintu. Manalah tahu kalau-kalau teman sebilik aku telahpun sampai terlebih dahulu, dan aku tak mahu mengejutkan sesiapapun.

Rupanya bilik itu masih kosong. Yang ada hanyalah perabot serba ringkas yang memang di sediakan untuk pelajar. Katil, almari dan meja study untuk 3 orang. Bermakna aku akan berkenalan dengan 2 orang teman baru. Menjadi orang pertama memasuki bilik itu memberikan aku kelebihan bilamana aku boleh memilih untuk mendapatkan katil dan lokasi yang terbaik. Setelah menimbang-nimbang segala kelebihan dan kekurangan, katil yang agak jauh dari pintu telah menjadi pilihanku.

Aku meletakkan beg yang berisi beberapa helai pakaian untuk kegunaan sepanjang kem ini berlangsung ke dalam almari. Kemudian aku merebahkan badan ke katil, mahu menikmati suasana tenang sementara masih berkesempatan. Aktiviti kem motivasi hanya akan bermula tengahari nanti, bermakna 3 jam dari sekarang. Dengan kesempatan yang ada, mungkin aku boleh lelapkan mata sekejap.

Bumm!!
Aku hampir terlompat lantaran terkejut dengan bunyi pintu yang dihempap kuat. Hampir gugur jantung aku di buatnya. Rasanya tadi aku sudahpun menutup pintu sebaik mungkin. Aku yakin, aku dah tutup pintu tu. Aku berkira-kira sendiri. Menimbang keadaan yang baru aku alami.

Apa yang sedang berlaku sebenarnya? Erm.. mungkin aku tersalah ingat kot. Mungkin aku tak tutup pintu dengan betul-betul. Aku cuba menenangkan hati yang mula di hinggap rasa resah yang tiba-tiba oleh kejadian yang aku rasakan aneh. Aku selalu dengar kisah tentang asrama atau kolej yang penuh dengan misteri kejadian yang pelik-pelik. Mungkinkah aku akan mengalaminya di sini? Aduh... Risau aku di buatnya.

Aku cuba melenyapkan perasaan tak senang. Mungkin roommate aku nak masuk kot. Aku mencapai tombol pintu, membukanya dan melihat keluar. Tak ada sesiapa yang kelihatan berkeliaran di luar. Sememangnya tak ramai orang kerana hari masih muda, masih awal lagi. Suasana sekitar yang agak sunyi membuatkan perasaan aku sedikit tak senang. Aku kembali ke katil dan merebahkan badan, seboleh mungkin aku cuba melelapkan mata yang langsung tak mengantuk tapi ternyata gagal.

Aku mencapai beg dari dalam almari, berhajat untuk mengemas, menggunakan hanger yang sedia ada untuk menyangkut baju agar lebih senang untuk di ambil nanti. Sedang aku leka mengemas, sekali lagi pintu berdentum kuat, tapi kali ini diikuti dengan lampu yang terpasang dan kipas yang tiba-tiba terpadam. Apa halnya ni? Isk.. tak mungkin ada hantu di siang hari.

Ahh... mungkin itu hanya perasaan aku saja. Bersendirian di tempat asing, mungkin membuatkan aku berhalusinasi. Jangan sampai aku jadi gila, sudah. Aku teruskan kerja mengemas. Daripada melayan perasaan bimbang yang berbisik, baik aku menyibukkan diri. Aku mengemas sambil menyanyi-nyanyi kecil untuk menghilangkan kesunyian.

Selesai berkemas, aku duduk di meja study yang diletakkan menghadap tingkap. Seketika kemudian, aku terdengar bunyi cakaran di depan pintu. Bertambah gelisah aku di buatnya. Aku di tempatkan di bilik berhantu ke? Ahh… Lantaklah. Selagi aku tak nampak hantu tu, aku tak kisah. Kalau setakat nak tutup pintu, main lampu dan kipas, aku pasti boleh bertahan. Bisikku untuk menenangkan hati sendiri.

Masa yang terluang seharusnya aku gunakan untuk berehat sebelum tenaga aku dikerahkan untuk aktiviti yang aku tak tahu bagaimana. Mungkin juga beberapa hari disini, aku akan dilimpahi dengan ceramah yang membuatkan mata aku semakin celik ataupun semakin tertutup. Aku pun tak pasti. Malas nak berteka-teki, lalu aku merebahkan diri ditilam yang tak bersarung dan cuba untuk memejamkan mata namun setiap kali itu juga ada bunyi aneh menjamah pendengaranku.

Bumm!!… Bunyi pintu dihempap lagi. Tenang Ika. Aku perlu bertenang. Malas bercampur tak berani membuka mata membuatkan aku mengambil keputusan untuk mendiamkan diri. Kedengaran bunyi batuk dan bersin yang berulang. Hantu ni dah tukar taktik pulak ke? Aku membiarkan saja. Tiba-tiba angin sejuk menyapa mukaku… Kerana terkejut, aku membuka mata.

“Errkkk… Mak! Tolong!!! “ Sepasang mata bulat sedang memandang aku dengan pandangan yang tajam, merenungku dengan jarak hanya sejengkal dari muka. Namun rupanya jeritan aku yang luar biasa nyaringnya ternyata membuatkan makhluk itu juga terperanjat sehingga tercampak dan terduduk.

Astaghfirullah hal azhimm. Asyhadu allaaillah ha illallah, wa asyhadu anna muhammadarrasullullah... Aku tak mahu terlalai kerana terperanjat, sebaiknya aku mengucap sebelum nafasku tercabut oleh kerana kejutan yang entah bagaimana lagi selepas ini. Ya Allah, lindungilah aku ya Tuhan...

Jan 16, 2008

Pertama : Bab 14.0

Sabtu. 7.30 pagi. Berbasikal ke sekolah bertemankan Liza memang telah menjadi rutin semenjak kami di sekolah rendah lagi. Kami membesar bersama, sekampung, mengaji Quran di surau Ayah Min juga bersama. Mungkin kerana selalu berpeluang untuk bersama, kami menjadi akrab. Rasanya kami antara yang terawal sampai ke sekolah memandangkan keadaan yang masih lengang.

Aku dapati beberapa buah basikal telahpun ada tersadai di tempat yang dikhaskan untuk pelajar meletakkan kenderaan mereka. Mataku melilau melihat sekeliling, mencari kelibat manusia yang aku kenali, yang bakal menyertai perjalanan ke kem motivasi yang akan di adakan di UiTM, namun langsung tak kelihatan. Sunyi dan lengang. Damai dan tenang. Aku menarik nafas dalam dan menghembusnya perlahan sambil mendepakan tangan, lagak bersenam ringan.

Aku sukakan suasana begini, sukakan sekolah ini, sukakan rasa kedesaan yang di muliki di sini. Aku suka segala-galanya. Malah tempat letak basikal yang berada di tepi padang inipun aku suka. Lokasinya membolehkan aku menikmati pandangan hijau yang terbentang ini setiap pagi sebelum memasuki kelas. Memang menyejukkan mata.

Angin lembut menderu menyapa, menampar lembut badanku yang hanya berpakaian sekolah. Memang agak janggal memakai baju sekolah di hari cuti, tapi apakan daya untuk membantah arahan Cikgu Nasir yang mahu kami tetap beruniform semasa mendaftar. Katanya itu untuk memastikan kami nampak kemas dan berdisiplin.

Sisa embun yang berbaki membuatkan sejuk bayu terasa menusuk ke tulang. Namun itulah yang aku suka tentang desa. Aku suka dengan embun, suka dengan dingin, suka dengan sunyi tenang yang hanya mampu di nikmati di pagi hari cuti. Suasana ini menjadikan aku lebih bersemangat untuk meredah hari walaupun bagi sesetengah orang, ia lebih nikmat kalau dapat berada dalam balutan selimut yang membekalkan kehangatan yang selesa.

“Ika, awal benar kita datang ni. Kau punya pasal la ni. Bersemangat sangat sampai orang lain pun belum sampai lagi.“ Kata Liza sambil memeluk tubuh yang kedinginan. Basikalnya di tongkat, diletakkan bersebelahan dengan aku.

“Mestilah bersemangat. Kita kan nak ke kem motivasi. Belum dengar ceramah motivasi pun aku dah bermotivati, kalau dah dengar ceramah nanti, mesti meletup-letup motivasi aku nanti. Tak rugi Cikgu Nasir hantar aku. Kau pun patut bersemangat jugak.“ Aku membalas katanya sambil tanganku ligat membuka tali yang mengikat beg di belakang basikal.

“Yo lah, yo lah...“ Malas bertekak agaknya, lalu hanya itu yang keluar dari mulut Liza. Aku tersengih dan ketawa kecil melihatkan reaksi Liza.

“Ika, kita ke kantin lah ya. Boleh duduk jugak sbb kat sana ada kerusi. Aku lenguhlah kalau nak berdiri je kat sini.“ Liza mencadangkan.

“Kau ni, berdiri kat sini lenguh, kalau kena berdiri sbb Cikgu Lokman yang suruh, tak ada pun kau mengadu lenguh.“ Aku berkata mengungkit dan mengusik.

“Itu berdiri lain, berdiri dengan semangat nak mencuci mata namanya tu. Lain kesannya Ika. Kau tak boleh bandingkan.“ Jawab Liza sambil tersengih. Aku mencapai beg yang berisi beberapa helai pakaian dan sebuah buku nota dan pencil case lalu menuju ke kantin. Liza mnegikut langkahku.

“Dengan Cikgu Lokman pun kau nak cuci mata? Dengan apa? Dengan misainya yang melintang tu?“ Aku rasa lucu dengan kenyataan yang di berikan oleh Liza. Cuci mata? “Tolonglah, baik kau tengok Kamil buaya yang hensem tu kalau setakat nak cuci mata dari tengok Cikgu Lokman.“ Aku menambah sambil tergelak.

“Itu polish mata namanya, bukan cuci lagi.“

“Ngapa pulak tengok Kamil kau kata polish?“ Aku kehairanan dengan istilah yang Liza gunakan.

“Sebab kalau tengok Kamil, dia akan buat mata aku bersinar. Jadi itu namanya polish...“ Kata-kata Liza membuatkan aku tergelak besar. Ada pulak macam tu. Macam kereta pulak.

Masa menunggu kami habiskan dengan berbual dan bercerita tentang cikgu-cikgu dan juga rakan pelajar yang menarik perhatian Liza. Tak lama kemudian beberapa rakan yang lain sampai dan turut menyertai perbualan kami di kantin.

“Kawan-kawan semua. Mintak perhatian. Aku ada sedikit taklimat ringkas sebelum cikgu Nasir datang.“

“Sejak bila kau di nobatkan jadi penyampai taklimat ni Ika?“ Azrai, rakan sekelas merangkap ketua kelas aku tiba-tiba bersuara. Selalu juga aku menjadi orang yang menduga kesabarannya dengan sedikit kerenah nakal, namun kali tak sampai menjadi musuh.

“Dah lama dah. Kau tak kan tak tahu“ Liza menyampuk. Aku hanya tersengih sambil menyambung.

“Aku ni bukan apa, sekadar nak mengingatkan dan memberi amaran yang tak berapa keras pada korang semua je. Sesampainya kita kat sana nanti, korang janganlah bernakal-nakalan....“

“Bernakal-nakalan? Kamus dewan bahasa mana kau guna ni Ika? Aku tak pernah dengarpun.“ Azrai menyampuk lagi.

“Tu lah kau, belajar tak abih. Gaduh lagi dengan Cikgu Sharifah, ilmu bahasa kau dah tak lengkap jadinya.“ Liza bersuara lagi bagi pihak aku. Terasa lucu bila setiap kata Azrai, Liza yang membalasnya.

“Ingat, di larang sama sekali membuli orang. Kalau aku terbuli orang kat sana tak pe sebab aku dah cukup ilmu buli membuli ni. Kalau nak cuba kebolehan ilmu membuli korang tu kat sana, boleh tapi mesti mintak kebenaran aku dulu. Bukan apa, aku tak mahu korang memalukan aku dan sekolah. Kalau nak buli, biar buli betul-betul, jangan macam buli anak ayam je. Tapi kalau ada orang buli korang kat sana, jangan harap aku nak tolong....“ Entah apa yang aku bebelkan, aku pun tak tahu. Merapu tanpa sebarang niat dan isi penting yang aku nak sampaikan, cuma aku cuba untuk memenuhi masa yang terluang sementara menanti kedatangan Cikgu Nasir.

Tiba-tiba aku melihat Liza berkelakuan aneh. Seolah cuba untuk memberitahu aku sesuatu. Alamak, Cikgu Nasir dah sampai ke?

“Baiklah kekawan, Ingat ya pesanan saya tadi, kita kena berdikari bila berada di sana. Jangan menyusahkan cikgu, kakak-kakak dan abang-abang fasilitator. Bantu rakan-rakan yang memerlukan bantuan terutama kalau ada kawan yang kena buli. Yang penting semangat mesti kuat…. “ Aku menukar corak ucapan tak resmi pada rakan-rakan seangkatan bila menyedari sesuatu yang tak menyenangkan cuba disampaikan oleh Liza.

“Amboi… Belum apa-apa lagi dah nak bagi ceramah. Dah le tu, ajaran sesat pulak yang di bagi.” Tekaan aku mengena. Cikgu Nasir. Dah lama ke dia muncul kat belakang aku ni?

“Err… tak cikgu. Cuma nak bagi ingatan je. Tak nak dia orang nakal-nakal kat sana. Nanti jatuh maruah sekolah. Nanti sapa yang malu. Cikgu jugak…” Aku berkata sambil tersenyum menahan gelak.

“Pandai le kamu tukar ayat bila tahu cikgu kat belakang ya. Dah lama cikgu kat belakang kamu, tapu kamu tak sedar. Lagipun baru semalam cikgu korek telinga. Tak akan salah dengar punye.” Kata Cikgu Nasir membuatkan aku tersipu-sipu. Tapi aku tahu dia tak marah pun.

Cikgu Nasir sememangnya sudah faham benar dengan perangai aku. Aku akui, dia memang pandai mengenakan aku balik. Berkebolehan hampir sama seperti Abang Arif. Kalaulah Abang Arif tu bukan sepupu aku, pasti aku ingat yang dia tu ialah anak Cikgu Nasir. Kalaulah mereka bergabung, pasti teruk aku di kenakan mereka.

Kami dibahagikan kepada 2 bahagian. Dua buah van sediakan oleh Cikgu Nasir untuk membawa kami ke UiTM. Entah dari mana aku pun tak tahu. Yang pasti satu darinya ialah kepunyaan Cikgu Nasir. Tak kisahlah, yang penting pengangkutan di sediakan. UiTM yang di maksudkan tak jauh dari sekolah kami sebenarnya, hanya mengambil masa 20 minit saja.

Selesai memberi taklimat ringkas, Cikgu Nasir menghantar kami ke distinasi yang dinyatakan. Sepanjang perjalanan singkat itu, van yang aku naiki penuh meriah dengan gurau dan usikan. Niatku cuma satu, mahu menambahkan lagi kemesraan yang memang telah lama terjalin antara kami.