Dec 26, 2007

Pertama : Siapa Dia? III

Menaiki bas ke bandar bukan sesuatu yang aku sukai. Namun tetap perlu dilalui memandangkan amanat dan janji yang perlu dipenuhi. Sebaik saja turun dari bas bandar, aku harus ke stesyen bas express yang letaknya hanya 5 minit jarak berjalan kaki.

Aku terpaksa menemui abang Arif di stesyen bas memandangkan dia perlu mengambil tiket dengan seorang temannya. Dan aku perlu kesekolah dulu untuk menemui seorang teman bagi mengambil senarai barangan yang perlu dibeli untuk projek sains di sekolah.

Bunyi bising kenderaan memang membingitkan. Asap dari kenderaan yang lalu lalang cukup menyesakkan nafasku. Udara panas yang terhasil dari pelbagai jenis kenderaan yang semakin bertambah dari hari ke hari membuatkan aku rasa benar-benar rimas. Tapi mengingatkan amanat mak yang perlu aku sampaikan, aku bertahan. Plastik ditangan kugenggam erat. Penuh hati-hati.

Aku meninjau kumpulan manusia yang berkumpul disitu. Kelihatan pelbagai aktiviti yang dilakukan oleh penumpang dan mungkin jugak yang menghantar sementara menunggu giliran untuk bas bergerak. Pandanganku tiba-tiba tertumpu kepada lelaki berbaju kuning dengan beg sandang. Kelihatan abang Arig dengan seorang gadis yang sedang berbual, kelihatan begitu mesra dan serasi pada pandangan mataku. Langkah kakiku terhenti. Mata aku terpaku meneliti insan di samping abang Arif. Dengan ketinggian sederhana, berbaju blaus, berseluar dan bertudung ala Waheeda.

Manis dan ayu… Mungkinkah itu ialah gadis yang telah memenuhi ruang hati Abang Arif? Entah kenapa aku rasa aku rasa sedikit kecil hati, rasa tak selesa. Gelisah mula bersarang dibenak tetapi menyedari aku tak patut rasa begitu kerana abang Arif telah cukup dewasa untuk memulakan langkah baru dalam kehidupannya, cepat aku mengikis perasaan negatif itu. Minda nakalku mengambil alih fungsi hati. Teringat perbualan kami beberapa malam yang lepas semasa kenduri kesyukuran.

“…..Sesiapa yang nak jadi mak we abang, kena mendapat kelulusan Ika dulu.”
“Kalau macam tu, sesiapa yang nak jadi pak we Ika, kena dapat kelulusan abang dulu jugak, boleh?”

Erm… Seharusnya aku menguji dulu minah ni untuk memastikan kelayakan dia untuk mendampingi abang Arif. Senyuman sumbing nakal menghiasi bibir dan aku mengangguk sendiri.

Kumpulan manusia yang berada disitu kebanyakannya masih muda, dalam lingkungan usia sebaya abang Arif. Kelihatan seolah rombongan lawatan dari persatuan belia, namun yang boleh aku jangkakan ialah kebanyakan mereka ialah pelajar universiti yang sedang bercuti semester, terutama UTM. Pasti peluang untuk pulang ke kampong tak akan dilepaskan, dan kesempatan yang ada walaupun sekejap tapi cukup untuk menghilangkan rindu yang pada keluarga dan tersayang.

Aku bergegas menuju ke arah abang Arif. Botol sambal tempoyak kiriman mak tergenggam kemas ditangan, membawanya dengan penuh hati-hati. Kali ni mak telah menggunakan kreativitinya sebagai langkah keselamatan. Botol sambal tempoyak dibalut dengan kertas surat khabar berlapis-lapis diselang seli dengan plastik. Di selitkan daun pandan dan arang yang kononya bertujuan untuk menyerap dan mengalih bau. Entah dari mana petua tu mak dapat, aku pun tak tahu. Tak kisah dan tak peduli.

Lagipun bukan aku yang akan berkepit dengan botol di selama 10 jam dalam bas. Abang Arif yang harus bersedia dengan segala kemungkinan bau tempoyak ni, kalau ditakdirkan ia meletup akibat gas yang terhasil dari campuran durian dengan sodium chloride dan glukos serta cili sebagai penambah perisa. Semua bahan-bahan sampingan yang mak letakkan bersama botol tempoyak itu kononnya bertujuan untuk menyerap dan mengalihkan haruman original tempoyak itu. Aku biarkan saja mak buat apa yang dirasakan patut, dan aku tak mahu cuba memahami dan mempertikaikan keberkesanan petua yang cuba diaplikasikan.

“Ika!!..” Sayup kedengaran nama aku dipanggil. Suara seseorang yang biasa aku dengar. Minah mana pulak yang panggil aku ni? Mata ku melilau mencari suara tu. Ah… salah dengar kot. Ataupun mungkin ada orang namanya sama dengan aku.

Kelihatan deretan bas yang akan menuju ke destinasi yang telah dijadualkan berada dalam kedudukan berlapis-lapis telah mula bergerak. Bas di barisan paling depan telah mula bergerak dan abang Arif juga telah mula melangkah menghampiri bas ke tiga dibelakang. Aku panik. Bimbang kalau tak sempat mengejar abang Arif yang sesekali meninjau pandang kumpualan orang ramai. Mungkin mencari kelibat aku seperti yang telah di janjikan. Aku berlari-lari anak, cuba untuk memendekkan waktu.

“Ika!!..” Namaku di seru lagi. Serentak dengan itu aku berpaling ke arah suara tu…. Laa… Liza rupanya. Aku melambai, sambil menunjukkan isyarat yang aku nak cepat dan….

Bumm… Badan ku terasa sakit dihempap oleh beban yang berat. Kepala aku pula terhantuk benda keras yang aku rasa seakan batu. Aduh... Sakitnye… Botol tempoyak hampir-hampir terlepas dari genggamanku. Seketika aku hilang keseimbangan badan akibat rasa pening hantukan keras tadi. Nasib aku baik kerana cuma tersungkur dan bukannya jatuh terlentang atau tertiarap di situ.

“Kurang asam. Sakit ooi…!!” Lelaki tu macam terkejut bila aku menjerit. Aku mendongak. Mataku menjamah tubuh seorang lelaki dengan ketinggian sederhana tapi tegap dengan beg besar ala pengembara yang di kendong di belakang. Beg itulah agaknya yang menghentam kepala aku tadi.

“Sorry. Saya tak sengaja..” Dia bersuara gugup. Terkejut dengan jeritan nyaring aku agaknya.

“Lain kali kalau jalan tu pakai mata. Mata empat pun tak guna kalau tak tengok betul-betul. Ingat jalan kat pekan ni hak milik persendirian ke? Milik awam tau tak. Orang lain pun guna jugak jalan ni…” geram betul. Aku menghemburkan kata-kata marah tanpa mampu dikawal. Tiba-tiba aku perasan yang orang di sekeliling memandang kami. Mata-mata asing memandang aku dengan senyuman yang tak dapat aku tafsirkan. Ada yang menggelengkan kepala dan ada yang berbisik. Aduh... malunya!.

No comments: