Dec 13, 2007

Pertama : Suara Di Surau I

“Bismillah hirrahman nirrahim…..”
Asing. Entah suara siapa pulak yang bergema di surau malam ni. Tak pernah ku dengar suara garau itu. Sesuatu yang lain. Perasaan yang tak dapat kugambarkan saat kali pertama mendengar bacaan permulaan itu. Aku meneliti. Merdu? Entahlah. Tak sedap? Tapi kenapa rasa asyik membuai diri saat lagu kalimah Allah dibaca oleh suara itu? Hmm. Mungkin kerana alunannya lain dari yang lain.

Aku cuba memanjangkan leher. Mengintai antara celah tiang dan langsir. Siut betul le, tak nampak pun orangnya. Dan langsir pembahagi antara muslimin dan muslimat memang tebal, sememang telah dipilih untuk menyekat pandangan yang tak seharusnya wujud antara insan berlainan jantina. Keinginan untuk mencari pemilik suara tak dapat ku tahan. Ah… selak je lah. Sikit je. Senyuman nakal ku mengiringi suara yang bergema diminda.

“Walau gatal macam mana pun, sopan sbg anak gadis tetap kena jaga…” kata Mak Limah tiba-tiba. Alamak… Mati aku. Entah berapa lama agaknya Mak Limah memerhati. Agaknya dari tadi dia perasan aku terhendap-hendap. Pedih telingaku mendengar katanya tu, tapi sekejap je. Aku tersengih nakal sambil mengenyit mata. Jelingannya tu berupa amaran, aku faham sangat. Tapi saat aku mengangkat kening, aku perasaan ada senyuman yang cuba ditahan. Dia menggeleng kepala sambil jari telunjuknya digoyang-goyang.

Aku faham sangat perangai Mak Limah. Garang, tapi lembut. Aku tahu tegurannya baik. Jadi, sindirannya tak memberi kesan marah di hatiku. Sebagai menghormatinya, aku selalu cuba mengawal diri dari berkelakuan terlalu nakal andai dia ada bersama. Kontrol ayu kononnya. Sopan bagai anak dara Melayu terakhir gitu.

“Tegur je budak tu kalau ada yang tak elok pada pandangan kamu. Dah jadi anak dara tapi kadang tu masih tak tahu nak jaga perangai…” Pesanan nenek padanya bila aku dihantar mengaji di sini. Agaknya nakalku agak melampau bagi seorang gadis. Memang merisaukan nenek.

Protokol. Istilah yang selalu kugunakan untuk menggambarkan sikap dan pegangan nenek. Dia sememangnya terkenal dengan peraturan, tata tertib dan adab kesopanan yang seharusnya ada pada gadis timur. Tak hairanlah, kalau anak-anak perempuannya begitu tertib tingkah laku dan bahasa yang dituturkan.

Aku kagum dengan nenek, tapi entah kenapa aku suka sangat menguji kesabaran nenek dengan kelakuan yang nakal. Apa yang nenek larang, itulah yang aku buat. Tapi aku memang sayangkan nenek. Sayang sangat. Walaupun nakal, tapi aku pasti tak akan melakukan sesuatu sehingga melukakan hati nenek. Kenakalanku sekadar mahu mengundang rasa geramnya saja, mencipta jelingan dan senyuman diakhir setiap kata perbuatanku. Aku tahu, kenakalanku itulah yang menjadi hiburan semasa untuk keluarga kami.

Mak Limah memang teman karib nenek. Usianya lebih muda dari nenek, tapi lebih tua dari mak. Dan mereka memang berkongsi banyak perkara, termasuk tanggungjawab mengawal kenakalanku yang kadang tu tak kira tempat dan waktu.

Entah kenapa, aku selesa dikawal sebegitu ketat. Aku rasa diri di sayangi bila setiap kelakuanku menjadi teguran. Aku tahu, itu semua untuk kebaikan dan yang pasti, apa yang mereka lakukan ialah kerana mereka sayangkan aku. Disini, disurau yang menjadi tempat aku mengaji, tanggungjawab memerhati dan menegur kelakuanku diserahkan pada Mak Limah. Matanya tak lepas dari memerhati setiap apa yang kulakukan. Sebab itulah bila aku nak melasak atau menggatal sikit, aku akan tengok dulu samada Mak Limah ada atau tidak.

Gatal... Istilah yang terlalu kasar. Aku tak gatal sebenarnya, tapi aku selalu mengusik, menyakat dan paling aku suka, kalau dapat buat budak-budak lelaki yang mengaji disitu ditimpa perasan.

Kebiasaannya aku akan datang awal, duduk di tangga bersama Liza, sambil menunggu budak-budak lain sampai. Paling aku suka ialah bila si Jali dan Azlan datang. Aku suka merenung mereka. Memandang mereka dengan pandangan tajam menggoda, sehingga langkah yang diatur tak lagi tersusun. Sebaik saja mereka memandang, aku mengenyitkan mata. Dan mereka akan tersipu-sipu malu. Alahai, mengalahkan anak dara la pulak.

Hmm… apa nak jadi dengan dunia sekarang. Semua kejadian dah terbalik. Dan aku menjadi penyumbang kecil kepada kejadian luar biasa yng berlaku. Anak teruna di usik dek anak dara. Aku tersenyum sendiri bila mengingatkan saat dimana usikan aku menempa kemalangan kecil. Jali dan Azlan terjatuh dari basikal gara-gara usikan aku petang tu.

Peewiittt. Serentak mereka memandangku dan kenyitan mataku membuatkan mereka terus hilang pertimbangan. Prrangg… Aku memang gelak sakan bila melihat mereka jatuh macam nangka busuk. Mak Limah keluar tergopoh-gapah dari rumahnya yang cuma 3 langkah dari surau. Dan aku, terus menyembunyikan diri di belakang pintu surau. Buat-buat tak tahu.

No comments: