Dec 17, 2007

Pertama : Kiriman Sayang


Hari ke 5 menikmati cuti yang telah Allah anugerahkan untuk ku. Selama itu juga aku tak dapat ke surau. Dan selama 5 hari juga lah aku menjadi pendengar setia cerita Liza tentang jejaka pujaannya. Entah kenapa aku menjadi tak senang dengan cerita yang terlalu di canang-canangkan oleh Liza. Seakan rasa cemburu yang tak mampu aku gambarkan dengan bahasa biasa.

Mungkin kerana aku tak berpeluang untuk menjalankan misi yang telah aku rancang sedari awal untuk mengenakan mangsa baru. Mungkin juga kerana keboringan yang tak mampu aku lepaskan saat aku perlukan hiburan kerana berjauhan dengan abang Arif yang walaupun bercuti, tapi tetap sibuk dengan assignment.

Ahh... Liza. Rajin pulak budak ni ke surau, walaupun tak boleh sembahyang. Sanggup keluarkan duit poketnya untuk beli pisang dan kuih utk disedekah ke surau, semata-mata kerana mahu mencari alasan kukuh utk ke sana.

Bila di tanya kenapa dia begitu beria-ia kali ni. Dia hanya menjawab. “Aku ni bukan macam kau. Senyum je yang kau nak sedekahkan. Cuba lah kau belajar bersedekah macam aku ni Ika. Kau dah lupa ya, Tok Ayah Min selalu cakap, ada 3 perkara yang kita akan bawa ke akhirat nanti iaitu ilmu yang di amalkan, sedekah jariah dan anak yang soleh. Haa... Sedekah tu kan salah satu dari amalan yang akan aku bawak ke akhirat nanti. Bukan macam kau, bawak senyum je, buat apa.“ Panjang lebar Liza berceramah bila aku mengata tentang sedekahnya yang agak kerap semenjak lelaki itu muncul di surau.

“Eleh... Walaupun aku sedekah senyum, tapi ikhlas. Yang kau tu, sedekah sebab ada udang di sebalik batu. Duit habis, pahala entah kemana. Macamlah aku tak tahu...“ Aku menempelak dia seadanya tapi cukup untuk buat dia terdiam dan tersengih-sengih tak mampu membalas. Lantak kau le Liza, aku tak peduli. Kalau dia dapat jadi pak we kau pun, aku tetap akan kenakan dia. Kurang-kurangnya sekali.

Aku berkira-kira untuk ke rumah Mak Long malam ni. Nak menuntut hadiah yang dijanjikan oleh Abang Arif. Betul ke abang Arif ada belikan sesuatu utk aku? Walaupun selalu di permainkan oleh abang, tapi aku tahu, kata-katanya tak pernah kosong. Aku sedar, abang Arif akan terus mengintai peluang untuk mengenakan aku walau bagaimana sekalipun aku cuba untuk mengelak atau membalas. Dan dua ua malam lepas bila dia datang makan malam di rumah, tangannya kosong tanpa membawa apa yang di janjikan. Bila ditanya, “Jangan risau, tak expired lagi”. Entah apa yang di beli sehinggakan ada expiry date. Tak kan cencalok kot.

“Ika ingat nak pegi rumah Mak Long malam ni. Mak ada nak kirim apa-apa tak?” Aku bertanya sambil memberitahu rancanganku untuk malam nanti.

“Mak buat kerabu jantung pisang. Nanti kau bawakkan sikit utk Arif. Dia cukup suka makan kerabu yang mak buatkan ni. Boleh dia makan lepas balik dari surau nanti. Sambal tempoyak dan serunding daging pun mak dah bungkuskan. Bawak sekali. Katanya nak bawak balik ke U. Dia dah pesan dari malam tu lagi.” Mak menyenaraikan barang yang nak di kirimkan kepada anak buah kesayangannya tu.

“Hah? Sambal tempoyak pun nak bawak? Tak meletup ke dalam bas tu nanti? Tinggi risikonya tu mak!” Tiba-tiba aku rasa nak tergelak. Sanggup abang Arif membawa sambal tempoyak kegemarannya tu ke sana? Kagum betul aku dengan ketabahannya untuk menerima kesan bau yang mampu membuatkan orang mengutuknya sehingga satu jangka masa yang panjang. Sebab aku tahu, bukan semua orang suka dengan sambal tempoyak dan pasti akan ada yang bermulut celupar yang akan mengata dan mengutuk.

“Tak tau le. Katanya sambal tempoyak yang mak suruh dia bawak masa dia mula-mula masuk U tu, laku betul. Tiap kali makan, mesti ada kawan-kawan yang datang mintak kat biliknya. Sedap agaknya mak buat.” Senyuman tak lepas dari bibir mak.

“Alahai… Dah mula lah tu. Masuk bakul tekan lif.” Aku mengusik.

“Tak betul ke?”

“Betul… Betul… Betul kata bendul… Betul yang sebetul betulnya, tak ada yang tak betul melainkan yang betul betul belaka. Hahaha…. “ Aku saja menambahkan usikan pada mak. Jelingan mak menyentuh wajahku dengan pandangan geram.

“Ish… budak ni. Memang ada je idea dia nak usik kita.” Senyuman mak bertamu di bibir. Dia menggeleng-gelengkan kepala, mungkin kerana tak ada ayat yang boleh di ungkapkan bagi membalas kata-kata aku yang entah di fahami entahkan tidak.

“Erm… Tapi, Ika memang mengaku, mak Ika ni pakar yang dalam bidang masak-masak. Masakan mak memang sedap, lebih sedap dari Chef-chef yang keje kat hotel selepas mendapat sijil memasak tu.” Aku menghampiri dan memeluk mak dengan manja.

“Tapi kalau Ika masuk U nanti, Ika akan pikirkan 2 kali kalau nak bawak sambal tempoyak mak tu. Risau pulak kalau bilik Ika kena serbu, gara-gara peminat sambal tempoyak mak tu.” Aku mengusik lagi, tak mahu melepaskan peluang untuk mencipta senyuman geram di bibirnya yang manis tu.

“Eleh… sampai masa tu nanti, entah-entah Ika yang akan merayu-rayu mintak mak buatkan. Masa tu, jangan pulak marah kalau mak tak nak masak. Bukan apa, mak tak naklah anak mak kena penyek sebab di serbu oleh peminat sambal tempoyak mak ni.” Aku tergelak lucu bila mak seolah membalas balik apa yang aku cakapkan. Peluang mengenakan aku kembali pasti tak akan dilepaskan olehnya.

“Dah lah… Nak mengusik mak saja kau ni Ika. Erm… Nanti bila Ika nak pegi rumah mak long, jangan lupa nak bawak apa yang mak pesan ni.” Sambungnya lagi bila melihat aku yang masih tergelak kecil. Risau benar kalau aku terlupa.

No comments: