Dec 18, 2007

Pertama : Rahsia Hati

Sayangnya pada Ika terlalu istimewa. Mereka membesar bersama di desa itu, berkongsi segala kenangan manis, gurauan dan usikan menghiasi hari tanpa ada waktu yang sunyi tanpa gelak ketawa bila mereka bertemu. Berdua atau bersama keluarga, suasana sentiasa meriah. Arif begitu serasi dengan Ika. Mungkin kerana kasih sayang saudara antara mereka membentuk satu persefahaman sikap yang tak mudah di cari di mana-mana.

Nek Jenab pernah bercerita tentang betapa sayangnya Mak Cu Milah pada Arif yang telah di layan seperti anak kandung sendiri semenjak di lahirkan lagi. Kematian anak sulung sememangnya satu tamparan yng cukup kuat buat seorang perempuan yang telah menanti selama 3 tahun untuk menjadi ibu. Bila dia terasa terlalu sedih, hatinya merintih. Merasakan tidak adil baginya kerana Tuhan mengambil permata hati yang telah lama di nanti sedangkan kakaknya yang baru lepas melahirkan anak terus mengandung walaupun umur anaknya baru enam bulan.

Namun Tuhan itu Maha Adil, kepiluan itu terubat bila Mak Long Imah melahirkan anaknya seminggu kemudian dan kerana sayang dan simpati pada adik yang kematian anak sulung, dia membiarkan anak kecil itu bermesra mengisi hati yang gundah. Tangisnya telah menjadi muzik yang paling indah buat rumah yang telah lama sepi.

Enam bulan kemudian, Mak Cu Milah di sahkan mengandung lagi dan sembilan bulan 10 hari selepas itu, lahirlah bayi perempuan yang dinamakan Nur Azima. Walaupun Allah tidak mengurniakan anak lelaki padanya, tapi dia tak pernah rasa kekurangan kerana Arif itulah yang telah di anggap sebagai anak sulungnya selepas kematian anak sendiri.

Mungkin kerana sejarah itulah, segala perasaan Arif terhadap Ika menjadi terlalu istimewa. Hubungan istimewa yang bermula antara mak saudara dan anak saudara terus mengalir terhadap Arif dan kesannya terus dicurahkan pada Ika. Layanan yang di beri pada gadis itu tak ada orang yang boleh mempertikaikan. Malah, ada teman yang mengenali mereka mengatakan Ika cukup bertuah kerana layanan sesetengah abang kandung pun tak sebaik yang diberikan oleh Arif kepada Ika.

“Assalamualaikum!” Bunyi orang memberi salam menghentikan lamunan Arif. Arif bergegas bangun untuk menyambut tamu yang datang. Sesampainya di muka pintu, dia melihat tetamu yang di nanti menunggu di tangga rumah.

“Waalaikumussalam! Dah sampai pun kau, Afiq. Lama aku tunggu, ingatkan dah lupa. Naiklah.” Pelawa Arif ramah. Senyumnya di paksa untuk menyembunyikan kerisauan hati yang masih belum reda.

“Kau buat apa tadi. Berkali-kali aku bagi salam tapi tak ada jawapan.” Temannya yang di panggil Afiq bergerak malas menaiki tangga.

“Ye ke? Aku ada kat bilik. Mungkin tak dengar kot masa kau bagi salam.”

“Hmm... Berangan ingatkan makwe lah tu. Bawak-bawak lah bersabar, kita kan dah nak balik petang nanti. Nanti bolehlah kau jumpa dia.” Usikan yang dah sebati di kolej tapi Arif tetap begitu, hanya senyuman yang di beri tanpa kata pasti, tidak menafikan dan tidak juga membenarkan.

“Eh... Ini kopiah aku. Macam mana boleh ada kat rumah kau pulak?” Soalnya hairan bila dilihatnya kopiah putih bercorak bunga kecil yang di sulam tersadai diatas meja berhampiran pintu masuk.

“Haa..? Kau punya ke?“ Arif kembali bertanya. Entah bagaimana nak dimulakan. Perlukah diberitahu tentang segala peristiwa yang berlaku semalam? Akan marahkah Afiq kalau diberitahu bahawa adik sepupunyalah yang telah menyimbahkan sebotol tempoyak ke badannya malam tadi? Atau mungkinkah temannya itu mahu bersemuka dengan Ika, mungkin memarahi Ika? Perlukah di jelaskan bahawa Ika hanya bertindak untuk mempertahankan diri?

Semua itu bukanlah satu alasan untuk menghalang Arif dari bercerita kerana hakikat sebenarnya terlalu berbeza. Ika terlalu istimewa baginya. Seboleh mungkin Arif mahu melindungi Ika dari didekati oleh sesiapa saja termasuk Afiq. Dia risau kalau terdetik dihati temannya untuk mengenali Ika dengan lebih rapat andainya segala yang terjadi di ceritakan.

Biasanya dia senang bercerita tentang sepupunya Ika pada temannya itu, tapi kali ini entah kenapa hatinya terasa begitu berat untuk bercerita. Arif tak suka berbohong kerana baginya kebenaran perlu di perdengarkan walaupun pahit untuk di telan. Tapi kali ini dia tak punya keinginan untuk bercerita tentang Ika lalu mengambil keputusan untuk mendiamkan diri.

Tidak bercerita bukan bermakna dia berbohong, tapi sekadar menyembunyikan kisah yang dirasanya belum tiba masa untuk diberitahu. Sepertimana dia menyembunyikan rasa hatinya pada Ika yang telah lama disimpan. Perasaan dari hati lelaki yang di rasakan hadir untuk gadis itu, yang terisi harapan serta impian indah yang terkarang tanpa sedar.

Puas dia meneliti sejarah untuk mencari jawapan pada soalan tentang semenjak bila segala rasa itu bermula tapi dia tak mampu. Biarkan saja soalan itu berlalu kerana mungkin itu bukanlah soalan sebenar yang harus di lemparkan dan sekalipun ada jawapan untuk soalan itu, ia belum mampu memberikan satu kepastian tentang harapan yang telah mula tumbuh.

No comments: