Dec 13, 2007

Pertama : Kenangan Bulan

“Err... Ika ingat tak, kenangan kita tentang bulan masa kita kecik-kecik dulu? Abang selalu ingat Ika bila abang tengok bulan. Tentang kisah Ika dan bulan.“ Dia berhenti seketika. Menarik nafas, seolah membawa diri mengimbau satu keindahan yang terlalu abadi. Aku terdiam. Tanganku tak lagi rancak bermain buih sabun. Buih-buih sabun kupandang, kuperhati dan kuteliti. Buih yang banyak dan setiap satunya mempunyai gambar bulan didalamnya. Banyaknya bulan! Cantiknya! Hatiku memekik dalam diam. Sambil bermain malas buih sabun yang kian menimbun, telingaku tetap sedia terpasang, menunggu luahan butir bicara abang Arif seterusnya.

“Dulu, Ika ada cakap, bulan tu selalu ikut Ika bila kita berjalan waktu malam. Ika mati-mati mengaku, yang bulan tu suka kat Ika sebab Ika puteri bulan yang dihantar ke bumi.“ Aku masih ingat itu. Memangpun, dulu aku ingat aku ialah puteri bulan. Aku tersenyum kecil mendengar bicara abang Arif.

“Abang masih ingat, Ika punyalah nak buktikan bulan tu suka ikut Ika, Ika suruh abang berlari kearah yang berlawanan dengan Ika. Leka sangat berlari sambil memandang bulan, sampaikan Ika jatuh dan lutut Ika luka.“ Aku terleka. Ikut terbuai oleh kisah kenangan.

“Abang rasa bersalah sebab mengikut kehendak Ika untuk berlari dlm sinar bulan yang tak begitu jelas. Kalau abang abaikan saja permintaan Ika tu, mungkin Ika tak akan jatuh, dan Ika tak akan luka. Kuat jugak Ika menangis masa tu. Mungkin sebab sakit. Mungkin jugak sebab tak dapat buktikan yang bulan suka Ika sebab Ika dah tak boleh berlari.“ Dia mengeluh kecil. Seolah rasa bersalah itu masih bersarang didadanya. Aku melarikan mata kewajah bersih itu. Memandangnya dengan rasa kasih yang terlalu istimewa. Kasih pada seorang abang yang terisi oleh kehadiran Abang Arif. Matanya masih tertumpu pada bulan. Dan aku mengambil kesempatan untuk merenung wajah yang terlalu aku rindu itu.

“Abang pujuk Ika, dukung Ika kat belakang, bawak Ika balik rumah. Sepanjang perjalanan balik, sambil memujuk Ika yang tak berhenti menangis, abang tengok bulan. Memang rasa seolah bulan mengikut arah yang sama seperti kita berjalan. Bila abang mengaku, memang bulan sukakan Ika, lebih dari bulan sukakan abang, Ika terus berhenti menangis. Ika masih ingat tak?“ Mata abang Arif kemudian terarah kepadaku. Cepat-cepat aku melarikan pandangan. Rasa malu bila mata kami bertembung begitu.

Cerita itu memang indah. Kisah zaman kecil kami yang mana mungkin aku lupakan sampai bila-bila. Tak pernah ku sangka, rupanya abang Arif sama sepertiku. Sentiasa mengingati peristiwa tu setiap kali merenung bulan yang melimpahkan cahayanya dengan penuh kelembutan. Sungguh hati aku terbuai, mendengar bicara abang Arif tentang kenangan bulan. Kisah yang terlalu manis. Lambang kesayangan dan kemanjaan aku pada abang Arif.

“Haa... Abang tahu...“ Tahu apa pulak? Aku mendongak memandang wajah Abang Arif yang tersenyum nakal.

“Ika tengah datang bulan kan? Tak pun, nak datang bulan bila-bila masa je ni. Sebab tu mood Ika macam bom je ni. Kata Mak Cu, Ika kalau nak datang bulan, memang macam bom jangka yang akan meletup bila-bila masa... Hahaha...“ Tiba-tiba ketenangan aku mengimbau kenangan direntap. Muka aku merah tak semena-mena bila mendengar tawa abang Arif. Geram. Terus senyuman yang mula meniti bibir aku simpan, kupenjarakan. Tangan aku kembali kuat menghempas pinggan.

“Ika.... Jangan tunjuk perasaan macam tu. Kalau setakat pecah pinggan, abang tak kisah. Jangan sampai tangan Ika pulak yang terluka nanti.“ Abang Arif perasan aku memprotes. Wajah aku berubah. Gelap malam yang diterangi lampu kalimantang masih mampu membantu abang Arif mengesan perubahan wajah aku. Memang dia lelaki yang prihatin. Aku kagum dalam diam.

“Ok… ok… Abang mintak maaf. Abang terlebih mengusik Ika tadi. Maafkan abang ye?“ Aku tak menjawab.

“Ika.... Abang balik ni antara sebab utama ialah nak tengok senyuman Ika, bukan muka Ika yang masam macam ni. Abang tak nampak lagi senyuman Ika malam ni tau. Abang baru balik dari Skudai, datang nak jumpa Ika semalam, tapi Ika tak ada. Hari ni, dari tadi lagi, masih tak sempat nak borak panjang dengan Ika. Mereka asyik kenakan Ika je. Ingatkan abang boleh nampak Ika senyum sekarang ni, tapi nampaknya senyuman Ika hilang lagi.“ Katanya bersuara sayu. Hati bara aku bagai disimbah air bila dia mengucapkan kata itu.

“Alah... Abang pun sama macam mereka jugak. Suka gelakkan Ika. Siap tambah cerita lagi. Mana Ika tak geram. Lepas tu pulak mereka cerita pasal kawin. Ika memang tak reti nak balas la. Tak terfikir langsung pasal tu.“ Suara aku berlagu akhirnya. Mata aku menjeling wajahnya sekilas. Ternampak segaris senyuman dengan sinar mata yang bercahaya. Sukalah tu... Hatiku berbisik. Hanya seketika aku mampu bertentang mata. Aku kembali mengalihkan perhatian pada tangan yang ligat membasuh pinggan.

“Betul Ika tak fikir langsung pasal kawin?“ Dia bersuara menduga.

“Betul.... Dah lah, jangan sebut lagi. Abang yang patut fikir tentang kawin, bukan Ika.“ Aku naik cuak bila itu juga yang abang Arif nak sebut. Malas nak layan.

“Kenapa pulak abang?“ Dia masih tak mahu menutup kisah tu.

“Ye lah. Abangkan dah dewasa. Dah memang seharusnya abang fikir pasal tu. Lainlah Ika.“ Aku bersuara malas.

“Ye lah. Ika kan masih belajar lagi. Abang pun selalu suruh Ika tumpukan pada pelajaran, kan. So, buat apa fikirkan perkara yang jauh tu.“ Mencari logik yang wujud untuk mengelakkan topik yang membosankan itu. Berharap ia akan menutup terus perbincangan, sekurang-kurangnya untuk malam ini.

“Abangpun masih belajar lagi. Bukan Ika je yang belajar.“ Dia masih belum mengalah.

“Ika tahu la. Tapi abang dah belajar di universiti. Tak lama lagi abang akan kerja dan ada duit sendiri. Ika ni, masih sekolah. Periksa SPM pun belum daftar lagi. Malaslah nak fikirkan benda macam tu. Buat semak kepala Ika je.“ Aku memberi alasan. Pinggan yang dibasuh masih kuat bunyi berlaga. Sengaja aku buat begitu, mengharapkan abang Arif faham yang aku mahu menutup topik itu serta merta.

“Ok lah... ok lah... kalau ye pun tak nak cakap pasal hal ni, jangan lah tunjuk perasaan dengan pinggan pulak. Pecah nanti. Abang nak guna pinggan ni bila abang kawin nanti tau. Kalau Ika tak nak guna, tak pe lah.“ Dia seolah faham benar bahasa isyarat yang aku berikan. Memang mudah berkomunikasi dengan abang Arif.

“Ika nak tempah caterer, macam kat rumah mertua Kak Long hari tu. Abang tak payah risau. Basuh pinggan pun dia orang yang akan uruskan.” Aku masih mahu menang. Memberi alasan untuk tindakan aku yang tak berhati-hati langsung bila membasuh pinggan.

“Amboi… Kat kg ni mana ada orang buat caterer cik adik oi.” Ye tak ye jugak. Kampung kelahiran aku ini masih lagi tebal mengamalkan gotong royong utk setiap majlis. Kalau pakai caterer mesti ramai yang berkecil hati… Ishh… kenapa mesti kesitu pulak fikiran aku. Calon pun tak ada, nak fikir pasal majlis pulak. Nampaknya fikiran aku pun dah terkena virus.

“Ye lah… ye lah… Dah. Cukup. Jangan sambung lagi topic ni.” Aku bersuara sambil menggeliat kecil, melepaskan rasa tegang kerana lama berteleku membasuh pinggan. Berdiri, memusingkan badan ke kiri dan kanan. Kemudian kembali duduk, meneruskan tugasan yang belumpun sampai separuh aku sudahkan. Abang Arif gelak kecil. Tak menyambung, tak menyampuk. Faham benar dia dengan sikap aku yang dah bosan dengan perbincangan itu.

Seketika, aku leka memerhatikan abang Arif yang tekun menjalankan tugasannya. Pinggan yang ku sabunkan telah habis dibilas. Memang cekap. Abang memang berpotensi besar untuk mengembangkan kerjaya sebagai pembasuh pinggan. Hati aku berbisik nakal. Ketawa hanya bergema di jiwa.

Sambil menanti aku kembali menyental pinggan, dia bermain air. Membasuh tangan dengan salur getah yang masih memuntahkan air dengan aliran yang perlahan. Bersiap sedia menanti pinggan yang aku sabunkan untuk dibilas. Dua besen dengan air yang penuh melimpah, tersedia di depannya. Baju melayu biru tua yang dipakai kelihatan begitu sesuai dengannya. Lengan baju yang dilipat untuk mengelakkan daripada basah sudah hampir terungkai. Basah yang sedikit dibiarkan saja. Urat-urat kasar yang timbul nampak begitu menarik pada pandangan mataku. Nampah gagah dan kedesaan.

No comments: