Dec 14, 2007

Pertama : Rindu Si Kunang

Rindu itu masih begitu. Sama. Tak langsung berubah. Malah semakin subur. Kalaulah rindu itu mampu di gambarkan dan di lihat oleh pandangan mata, Arif memilih untuk membayangkan ia seperti cahaya kunang di waktu malam. Kunang-kunang yang di tangkap untuk Ika dan diletakkan di balang kaca. Kunang-kunang yang dulunya pernah ditangkap untuk meredakan tangis rajuk Ika, yang menghiburkan malam Ika sehingga Ika akhirnya terlena di pangkuan.

Gadis kecil itu menyendiri. Berteleku sambil memegang lutut. Pelantar yang terletak di bawah pokok rambutan di hadapan rumah mak usu memang menjadi tempat mereka sekeluarga berkumpul dan bergurau bicara. Malah itulah juga tempat untuk mereka berehat seketika melepaskan penat.

Malam itu, Arif pulang seperti biasa selepas selesai berjemaah dan mengaji di surau. Antara surau dan rumahnya, rumah Mak Usu berada di tengah-tengah. Kadang-kadang, Arif mengambil peluang untuk singgah di rumah Mak Usu, mak saudara yang paling rapat dan paling di sayangi. Kemesraan yang ditunjukkan oleh mak usu cukup membuatkan dirinya ingin selalu berada di situ. Tapi hakikatnya, bukan itu saja sebabnya. Di rumah itu, ada gadis kecil yang manis dan nakal, yang selalu menjadi bahan usikannya, yang mana setiap gerak lakunya cukup menghiburkan, yang pandangan mata dan raut wajahnya mampu menenangkan hatinya.

Arif menghentikan basikal bila di lihatnya Ika bersendirian di pelantar. Rancangannya untuk terus pulang ke rumah berubah dengan sekelip mata. Perutnya yang melagukan irama keroncong, terus terdiam saat matanya melihat gadis kecil itu bersendirian. Perlahan Arif menongkat basikalnya agak jauh dari tempat Ika, seboleh mungkin cuba menghalang bunyi dari terhasil dan mengganggu rancangannya untuk mengusik Ika. Langkah kaki di panjangkan dengan penuh hati-hati. Bayangan dirinya di sembunyikan di sebalik pokok rambutan yang setia menemani setiap penghuni yang singgah di pelantar itu.

Suram cahaya yang di hemburkan oleh sang rambulan membuatkan malam itu terasa lebih indah dari malam sebelumnya. Pepohon yang hijaunya tidak lagi kelihatan, kelihatan terdiam kaku lantaran bayu malam yang mungkin telah lena bertemankan keasyikan menghayati renungan bulan. Namun ketenangan malam terusik oleh sendu gadis kecil kesayangannya itu. Niat Arif untuk mengusik terus terbantut oleh sayu yang singgah di hati.

Perlahan Arif mendekati. Derap kakinya jelas kedengaran sehingga Ika sedar ada jasad yang menghampiri. Spontan matanya memandang ke arah bunyi yang terhasil. Hatinya menjadi semakin sayu bila melihat Arif. Air matanya semakin laju.

“Ika, ngapa nangis?“ Arif bertanya memecah sunyi malam. Ika diam tak bersuara. Hanya air mata yang mengalir, menumpahkan rasa hati yang sayu. Mulutnya terbuka seolah ingin mengucapkan sesuatu tapi sendu yang teriring seolah menyekat peti suaranya dari berfungsi.

“Ika... dah lah tu. Janganlah nangis lagi. Cuba Ika cerita kat abang, kenapa Ika sedih sampai macam ni sekali. Mak Cu marah Ika ke?“ Arif cuba memujuk. Dalam masa yang sama cuba mencungkil peristiwa yang menyebabkan tangis Ika berlagu. Hatinya semakin sayu bila gadis kecil itu melimpah dengan air mata. Perlahan Ika mengangguk.

“Ika nakal ya?“ Cepat Ika menggelengkan kepalanya. Menafikan tekaan Arif.

“Habis tu, kenapa? Mak Cu tak kan marah Ika kalau tak ada sebab.“ Arif bersuara lagi.

“Mak tak sayang Ika....“ sendu Ika semakin kerap. Airmatanya semakin laju.

“Kenapa pulak Ika cakap macam tu. Mak Cu sayang Ika lah. Sama macam abang sayang Ika jugak.”

“Tak. Mak tak sayang Ika…“ Ika membuat kesimpulan. Arif semakin bingung.

“Cuba Ika cerita kat abang. Kenapa Ika kata mak cu tak sayang Ika. Dia pukul Ika ke?” Arif masih cuba mencungkil peristiwa yang menjadikan Ika begitu sedih.

“Tak.” Ringkas jawapan Ika.

“Habis tu?”

“Mak tak benarkan Ika bawak balik kunang-kunang Imah.“ Akhirnya Ika membuka kisah tangisnya. Kesedihan yang berpunca dari keinginan hati yang terhalang.

“Itukan kunang-kunang Imah, kenapa pulak Ika nak bawak balik?“ Arif bertanya lagi.

“Bilik Ika gelap. Kalau ada kunang-kunang tu, mesti bilik Ika terang sebab badan dia ada lampu. Mak selalu padamkan pelita bila nak tidur sebab katanya Ika tidur lasak, nanti pelita jatuh kena kaki Ika. Ika takut tidur dalam gelap. Kak long tidur bunyi bising. Ika lagi takut.” Ika memberikan alasan yang terlintas di fikirannya. Namun yang pasti, dia rasa lega bila dapat mengadu pada abang Arif. Tangisnya masih berterusan tapi semakin perlahan.

“Habis tu, sekarang Ika duduk sorang kat sini. Tak takut ke?“ Ika terdiam. Terperangkap oleh alasan sendiri. Tanpa sedar Ika mengakui, bukan takut tidur dalam gelap sebenarnya yang menjadi alasan, tapi keinginan untuk memiliki kunang-kunang Imah yang di halang oleh maknya membuatkan dia rasa tersisih, rasa tak disayangi.

“Dahlah. Jangan nangis lagi. Kalau banyak nangis, nanti mata Ika akan jadi macam mata katak pulak. Nanti katak terkejut bila tengok ada orang lain matanya nak sama dengan dia. Mana tahu, nanti Imah panggil Ika dengan nama baru pulak. Ika mata katak... Nak dia panggil Ika dengan nama tu tak?“ Arif mengusik. Ika memuncungkan mulutnya tanda protes. Arif tergelak kecil bila melihat kelakuan adik kesayangannya itu.

“Ika suka dengar cerita kan? Abang nak cerita tentang puteri dengan putera katak ni. Nak dengar tak?“ Arif mengumpan perhatian. Cuba untuk menghiburkan Ika yang ternyata masih dalam kesedihan.

“Nak!” Cepat ika menjawab.

“Erm... dok dekat sikit dengan abang.“ Arif berkata dengan nada mengarahkan. Perlahan Ira mendekati Arif, bersedia untuk mendengar cerita.

“Ada seorang putera yang nakal dan manja di sebuah negeri. Kerana dia putera yang tunggal, apa yang dia nak selalu je dapat. Macam Ika lah. Selalu je dapat apa yang Ika nak, kan?“

“Mana ada. Ika tak dapat pun kunang-kunang yang Ika nak.“ Ika memuncungkan balik mulutnya.

“Tengok tu... Muncung balik. Nak dengar cerita tak?“

“Abang tak sayang Ika. Abang kata nak cerita, tapi...“

“Abang nak cerita lah ni. Ika janganlah tunjuk muka masam macam ni. Tak cantiklah...“ katanya lagi, kemudian menyambung.

“Erm… Putera tu pun suka menangis tau. Bila dia nak kan sesuatu tapi tak dapat, dia akan menangis sampai bonda dan ayahandanya akan kerahkan semua rakyat berusaha untuk mendapatkan apa yang dia nak. Sampailah satu ketika tu bulan mengambang macam sekarang. Dia nak orang ambikkan bulan tu untuk dia. Dia nak main dengan bulan tu.“

“Tapi mana kita boleh capai bulan, kan? Bulan tu tinggi.“ Ira bersuara, menyampuk.

“Itulah. Tuhan dah letakkan bulan tu kat tempat yang tinggi. Dan kita manusia tak akan boleh sentuh bulan, kita hanya boleh tengok saja. Tapi putera ni dah selalu dipenuhi keinginannya. Jadi dia nak jugak orang ambilkan bulan tu untuk dia. Lalu dia menangis dan menangis... sampailah mata dia bengkak. Masa tu ada raja katak yang baru kematian anaknya melihat putera tu menangis. Dia yang sedih kehilangan anaknya tu rasa terganggu sebab bila putera tu menangis, bunyi bising sangat. Lalu dia sumpah putera tu jadi katak macam dia. Dan sumpahan tu kata kalau tak ada orang yang nak cium dia, dia akan kekal jadi katak sampai mati.“

“Ira berani tak cium katak?“

“Tak nak!“

“Abang pun tak nak. Kita mana tahu katak tu katak yang kena sumpah atau katak betul, kan?“

“Lepas tu..?“

“Ika nak dengar lagi ke cerita tu?“

“Nak.“

“Lepas jadi katak, dia dah tak boleh cakap dah. Sebab sedih dah jadi katak, dia melompat dari satu tempat ke satu tempat sampailah ke satu negeri yang ada seorang puteri yang sangat cantik dan baik hati. Puteri tu memang sukakan binatang dan semua binatang baik dan sayangkan dia. Putera tu pegi jumpa puteri tapi dia tak boleh cakap dengan puteri sebab dia dah jadi katak. Dia harap puteri yang sukakan binatang tu akan bermain dengan dia dan cium dia. Tapi puteri tak pernah berkawan dengan katak sebelum ni dan dia memang tak pernah pegang katak sebab geli dengan badan katak yang berkerutu. Jadi putera tu tak tahu bagaimana nak buat puteri tu cium dia.“

“Kesiankan kat putera katak tu?” Kata Ira simpati.

“Erm... Sampailah satu hari, masa puteri tu main bola dengan dayang-dayangnya dan bola tu jatuh ke dalam perigi. Puteri tu menangis sebab sedih dan tak ada siapa masa tu yang nak tolong dia ambil bola tu. Masa tu pun bulan tengah mengambang. Macam malam ni lah.” Arif berhenti seketika sambil memandang bulan. Ira turut mendongak, melihat bulan penuh yang bersinar dan membulat cantik. Kepulan awan yang berarak seolah bunga yang menghias langit malam yang tersiram indah bersama sinar bulan, menambahkan lagi seri malam yang terlalu jarang di temani insan.

Arif tersenyum bila matanya menyentuh wajah Ika yang sedang asyik merenung bulan, seolah mencari logik yang tak mampu di capai oleh minda kecilnya bila mengingatkan permintaan putera katak yang tak siuman itu. Menyedari Arif memerhati, Ika kembali melihat pada Arif sambil berkata lembut.

“Lepas tu…?” Luahnya meminta kisah itu di sambung.

“Lepas tu, putera katak yang lihat puteri yang sedang bersedih tu kesian kat puteri dan dia pun pergilah kat tepi telaga.“ Katanya dengan nada seolah Tok Selampit yang tekun bercerita untuk menghiburkan peminat ceritanya.

“Dia tengok dalam telaga ada bulan. Bola puteri pun ada jugak. Dia nak ambik bulan tu untuk dia sendiri dan nak ambil bola untuk puteri, jadi diapun terjun. Rupanya bulan yang ada dalam telaga tu cuma bayang je. Bila dia terjun, bayang bulan tu terus hilang. Bola je yang ada. Dia sedih sebab tak dapat ambik bulan tapi bila ingatkan puteri, dia dah tak sedih lagi. Dia pun cuba bersungguh-sungguh untuk ambik bola puteri tu.” Ika melopong.

“Bila puteri tengok katak tu tolong ambik bola dia, puteri tu gembira sangat dan terus mencium putera katak sebagai ucapan terima kasih. Lepas tu putera tu bertukar jadi orang semula dan mereka kemudian jadi kawan baik yang selalu main bola sama-sama. Sejak dari tu, putera tu tak nangis dah dan tak mintak yang bukan-bukan lagi. Dan dia pun jadi manusia sampai mati. Cerita dah abihhh....“ Arif melemparkan senyuman sambil mengakhiri cerita yang di reka hanya untuk menghiburkan Ika. Cerita yang telah di ubahsuai dari kisah yang pernah di bacanya di perpustakaan sekolah.

“Bestnya cerita abang ni!“

“Ika suka tak?“ Arif bangga kerana mampu memujuk Ika dengan caranya sendiri.

“Suka!“ jawabnya dengan senyuman yang lebar.

“Jadi Ika jangan nangis lagi tau. Nanti jadi mata katak. Dan jangan mintak sesuatu yang kita tak boleh dapat.“

“Erm...“ katanya sambil mengangguk. Hatinya rasa sedikit terhibur. Kemudian Ika menyambung petah. “Ika janji Ika tak akan nangis sampai jadi mata katak lagi. Ika tak nak jadi macam putera katak tu. Tapi kalau Ika sedih dan nangis, macam mana? Kalau Ika jadi katak, abang cium Ika ya, Ika nak jadi manusia balik.“

“Tak nak lah... Abang geli lah nak cium katak!“ Arif mengusik.

“Abang tak sayang Ika ke?“ Wajahnya sedikt suram bila mendengar jawapan kanak-kanak lelaki itu. .

“Abang sayang Ika tapi kalau Ika jadi katak, mana abang tahu itu Ika atau katak betul. Abang tak nak lah.“ Ika terdiam dan seketika kemudian Arif menyambung.

“Kalau abang jadi katak, Ika nak cium setiap katak untuk tengok mana satu abang ke...?“ cepat dia menggelengkan kepala.

“Abih tu, jangan fikir pasal nak nangis lagi. Bukannya Imah nak bagi kunang-kunang tu kalau Ika nangis sampai jadi mata katak pun. Baik Ika jangan nangis, tak elok tau.“ nasihat Arif bercampur nada memujuk. Ika terdiam sambil mengangguk perlahan.

“Ika jangan marah mak cu ya. Dia sayang Ika. Memang tak baik kalau kita nak ambik barang orang lain. Cikgu sekolah abang selalu cakap, kalau kita jahat, kalau kita nakal, kalau kita suka ambik barang orang, nanti Tuhan marah. Abang rasa sebab mak cu sayang Ikalah, Mak Cu tak nak Tuhan marah Ika, sebab tu dia tak bagi Ika ambik barang Imah. Kalau abang pun, abang tak akan benarkan Ika bawak balik kunang-kunang Imah tu, sebab abang sayangkan Ika, abang tak nak Tuhan hukum Ika kalau Ika buat salah.“ Arif cuba berikan alasan untuk menenangkan hati Ika.

“Tapi... Ika nak kunang-kunang tu...“ Ika bersuara sedikit memprotes sambil menunjukkan keinginan hatinya yang belum padam.

“Ok... macam ni. Lepas ni Ika naik rumah, mintak maaf dengan mak cu sebab Ika buat perangai tadi. Kalau Ika boleh buat macam tu, nanti esok, abang akan cuba tangkap kunang-kunang untuk Ika. Boleh?“ Arif menawarkan perjanjian yang di rasakan mampu menenangkan Ika.

“Janji?“

“Mana boleh abang janji... Nanti kalau kunang-kunang tu sembunyikan diri, macam mana abang nak tangkap?“

“Abih tu...?“

“Ika pegilah mintak maaf dengan mak cu dulu. Nanti Ika mintaklah mak cu doa, mintak bagi kunang-kunang tu keluar bermain dan tak sembunyi kat dlm rumah dia, barulah abang boleh tangkap dia.”

“Kalau Ika mintak maaf dengan mak, nanti kunang-kunang tu akan keluarlah ya?”

“Kalau Ika jadi anak yang baik, mesti Tuhan akan kabulkan doa mak cu. Cikgu abang kata, doa ibu tu adalah doa yang Allah selalu makbulkan. Macam dalam cerita Si Tanggang Durhaka yang abang pernah cerita dulu tu. Ika ingat tak?” Ika mengangguk.

“Kalau Ika jadi anak yang baik, mesti mak cu akan doa yang baik jugak. Mesti dia akan doa bagi abang dapat tangkap kunang-kunang tu untuk Ika.” Senyumannya kembali berbunga. Hati Arif senang dengan senyuman yang terhias. Gadis kecil itu terpujuk oleh janji yang di buat. Jauh di sudut hati, Arif telahpun merangka cara untuk memenuhi janji yang telah di ucapkan sebentar tadi. Pun begitu Arif yakin, Allah akan membantunya memenuhi permintaan Ika, kerana desa itu memang penuh dengan alam yang amat mesra dengan dirinya.

1 comment:

Tie said...

Wah!! seronok baca cerita ni. Dah lama tak baca novel atau cerpen. Oklah.... Tie bagi A++ hihi....