Feb 24, 2009

Pertama : Bab 18.0

Masa berlalu pantas. Fikirannya yang sebelum ini dirasakan seolah berasap, tepu dengan ilmu yang mahu disumbat dalam masa yang terdekat, kini sudah mampu menyedut oksigen dengan tenang. SPM berlalu dengan harapan, dengan debaran, dengan seribu satu pertanyaan. Dalam tenang aku gelisah. Aduhai masa, cepatlah berlalu, aku ingin tahu apa hasil usahaku...

Masa yang terluang aku habiskan dengan seadanya. Teringin sekali nak bekerja, mencari pengalaman dan dalam masa yang sama mengumpulkan sedikit wang. Paling tidak, boleh membantu mak dan ayah meringankan beban mereka andai ada rezeki untukku melanjutkan pelajaran ke universiti nanti.

Tapi kata-kata nenek membantutkan segalanya.
“Tak payah kerja. Duduk je kat rumah ni. Belajar cara nak jadi seorang perempuan, seorang isteri, seorang ibu.“ Hah!!??... Melopong aku mendengar kata-kata nenek. Inilah permintaan nenek yang paling tak masuk akal.

“Apa nenek ni! Ika bukannya nak kawin lagi. Lagipun Ika memang perempuan. Buat apa nak belajar jadi perempuan pulak.“ Kolot benar pemikiran nenek kali ni! Wajahku mencuka.

“Haa... Kalau macam tu, eloklah. Malam ni Ika masak lauk untuk nenek. Nenek nak makan asam pedas ikan keli, ikan terubuk sambal dengan masak lemak pucuk paku. Semua benda tu dah ada kat dapur. Kalau cukup rasa masin manis dan pedasnya, baru nenek pertimbangkan balik permohonan Ika nak kerja tu.” Aku ni nak mintak kerja dengan siapa ni? Nenek?

“Ikan keli ada dalam besen kat dapur tu. Hidup lagi. Pak Soh bagi tadi. Elok-elok sikit masa siang nanti, jangan sampai terlepas.” Sambungnya lagi bila melihat wajahku yang mencuka. Aku melopong. Ikan keli hidup?

Tawa nenek pecah bila melihatkan mulutku yang spontan ternganga mendengar kata-katanya. Cepat-cepat aku menutup mulut. Mengawal diri dari perasaan terkejut. Dia tahu ikan keli hidup adalah kelemahanku. Aku memandang mak dengan penuh harapan, memohon simpati mengharapkan bantuan.

“Imah, kau jangan tolong Ika. Biar dia buat sendiri. Aku nak tengok dia tu dah lengkap jadi perempuan ke belum!” Nenek cepat-cepat memberi amaran. Mak mengangkat bahu sambil ketawa. Adusshh… matilah cucu nenek macam ni. Aku menggaru-garu kepala.

Sudahnya aku tersadai di kampong ini. Bukan memasak menjadi halangan, tapi menyiang ikan keli yang masih hidup membuatkan aku gagal dalam ujian. Ishh....

Aku menghabiskan cuti menunggu result SPM dengan menolong mak dan nenek. Sesekali aku ke rumah Mak Long. Menghantar kuih atau lauk. Ada ketika Mak Long meminta aku menemaninya. Habuannya, Mak Long akan masakkan lauk pauk dan kueh seri muka kegemaranku.

“Apa pendapat Ika tentang Arif?” Mak Long membuka bicara pada suatu petang. Tangannya cekap mengacau bancuhan kek pisang. Aku memandangnya hairan.

“Kenapa Mak Long?” Soalan Mak Long ku biarkan tergantung. Apa pentingnya pendapat aku ttg Abang Arif?

“Saja je. Ika kan baik dengan dia. Lebih rapat dengan dia. Adik-beradik yang lain tak serapat hubungan dia dengan Ika.” Katanya sambil memandang aku sekilas sambil tersenyum. Senyuman manis Mak Long yang diciplak dan dicopy oleh abang Arif.

“Mak Long nak korek rahsia Abang Arif dari Ika ye!?” Aku menduga, tersenyum kambing sambil mengangkat kening, mengusik Mak Long.

“Dia ada rahsia ke?” Soalan berbalas soalan. Gerakan tangannya yang lincah, terhanti tiba-tiba.

“Manalah Ika tahu. Dah namanya rahsia, kan? Kalau ada pun, mesti dia tak akan bagitahu Ika punya. Dia tahu kalau cerita apa-apa kat Ika, mesti sudahnya sampai kat mak, maklong dan nenek. Bukan setakat bocor, tembus, koyak rabak rahsia tu Ika kerjakan.” Aku ketawa, mengusir curiga di hati Mak Long.

“Ish… Ika ni, macam tu la pulak.” Suara tawa mak Long rancak berduet denganku. Kicauan burung di laman rumah seakan menyertai kemeriahan kami.

“Ika jawablah soalan Mak Long tadi. Mak Long saja nak tahu.” Katanya lagi bila tawa kami reda.

“Pendapat macam mana ye? Ika tak tahu nak cakaplah Mak Long.“

“Cakaplah apa-apa yang terlintas kat fikiran Ika tentang Arif. Marah ke, suka cara dia ke, sayang ke….” Balasnya memberi contoh jawapan untuk soalan yang dibentangkan.

“Hmm… Kalau nak di kira, semua perasaan tu ada Mak Long. Marah dan geram bila dia kenakan Ika. Malu tau. Kadang tu tension Ika dibuatnya. Tapi dia tak sedar, Ika nakal sebab dia la. Ika nak kenakan dia balik, tak dapat. Dia je yang menang. Tapi Ika bukannya jahat.” Aku meluah penuh perasaan. Entah menjawab soalan, entahkan tidak.

“Ika tak jahat, tapi terlebih nakal.“Katanya sambil ketawa, kemudian menyambung; “Dia memang suka usik Ika, tak kan Ika marah?” Tanya Mak Long.

“Tak de lah Mak Long. Kalau pun Ika marah, kejap je. Abang Arif tu abang kesayangan Ika, abang yang pandai memujuk, selalu tolong Ika dan manjakan Ika. Mak kata, Ika ni dah spoil sebab Abang Arif suka sangat layan karenah Ika.” Mana mungkin aku marah pada orang yang begitu banyak menceriakan hari-hari suramku.

“Sebagai perempuan, Ika suka kat dia tak?” Tanya Mak Long lagi. Aku mengerutkan kening, cuba memahami soalan sebenar Mak Long.

“Errr... maksud Mak Long, agak-agak Ika lah kan….. Ada perempuan suka kat dia ke?” Seperti faham keadaan aku yang terkulat-kulat memahami soalannya, Mak Long menjelaskan.

“Mestilah Mak Long. Dari zaman sekolah lagi, Ika tahu dia tu ramai peminat. Entah-entah dia dah ada mak we pun sekarang ni.“

“Arif dah ada makwe?” Soal Mak Long seolah terkejut.

“Ika bukan cakap abang Arif ada mak we, Ika cuma kata, Abang Arif tu ramai peminat, tak kan sorang pun tak lepas nak jadi mak we dia.” Aku menjelaskan, satu-satu.

“Mak Long jangan risau, kalau Mak Long nak menantu, rasanya memang tak de masalah.” Membuat andaian pada kebimbangan Mak Long. Tapi sebenarnya…. aku tak tahu apa yang Mak Long fikirkan. Tak dapat mengagak.

Aku teringatkan Kak Mira. Gadis manis tu. Pasti Mak Long berkenan. Tapi aku tak tahu sejauh mana hubungan Arif dengannya, tak sesuai untuk aku mendedahkan sebelum sampai masanya. Aku masih menghormati hak abang Arif sebagai anak. Pastinya dia lebih berhak untuk memberitahu berita genbira itu jika itulah kebenarannya.

Usikan dan pertanyaan aku pada Kak Mira tempoh hari hanya berlalu begitu saja. Hanya senyuman. Mungkinkah senyuman itu satu jawapan? Ahh... mungkin aku terlalu muda untuk memahaminya.

“ Ika rasa dia boleh jadi suami yang baik tak?” Soal Mak Long lagi.

“Mestilah boleh Mak Long. Dia akan jadi suami yang paling baik, paling penyayang dan paling romantik. Kalau dapat, Ika pun nak cari orang yang macam Abang Arif tu. Cuma satu je yang Ika tak nak, jangan le orang tu pun suka buli Ika macam Abang Arif.”

“Kenapa?”

“Cukuplah abang Arif saja. Kalau suami Ika buat perangai macam tu jugak, dan Ika naik hijau, nanti tak pepasal Ika jadi isteri durhaka.” Kataku sambil mengambil

“Naik hijau?”

“Naik hijau… macam increadible hulk tu…” Jelasku sambil ketawa melihat wajah Mak Long yang kelihatan keliru.

“Lagipun Ika rasa payah nak cari orang yang kalau dia buat Ika marah, dia boleh lembutkan hati Ika dalam masa yang sama.” Ikhlas pengakuan dari hati.

“Ika anggap dia istimewa?”

“Dia memang istimewa buat Ika Mak Long.” Aku menarik nafas dan melepaskannya lega. Mataku memandang jauh ke luar rumah. Imbasan kenangan manis bersama Abang Arif muncul di layar ingatan.

“Kalau istimewa, maknanya bolehlah Mak Long jodohkan Ika dengan Arif nanti. Ika setuju?” Bagai TV keputusan bekalan elektrik, tayangan kenangan tadi hilang lesap bila mendengar kata Mak Long. Aku memandangnya penuh tanda tanya. Aku salah dengar ke? Bisik hati mencari pasti.

“Maksud Mak Long, kalau benar Arif tu istimewa buat Ika, bukankah baik kalau jadikan dia milik Ika terus, kan?” Hah!!... Mak Long ni biar betul. Gurauan apa yang Mak Long perdengarkan ni?

Muka ku terasa panas. Usikan yang agak mencemaskan. Tak mampu aku nak meneka kategori apa gurauan Mak Long kali ini. Aku tahu, ini bukan kali pertama Mak Long mengusik tentang hubungan aku dengan abang Arif. Tapi entah kenapa kali ini nadanya sedikit berbeza. Ada kesungguhan yang buat aku kehilangan kata-kata buat seketika. Wajah Kak Mira datang menerpa.

“Isk… Mak Long nih. Mana Abang Arif nak kat Ika. Dia mesti dah ada calon dah kat UTM tuh. Cuba Mak Long tanya dia dulu.” Aku cuba mengelak. Memberi sedikit batasan untuk harapan yang entah benar wujud di hati tua itu. Mungkin benar abang Arif dah ada pilihannya sendiri. Seharusnya jangan sampai aku menjadi punca putusnya percintaan abang Arif.

“Kalau dia kata tak de, Ika boleh terima dia?” Soal Mak Long lagi, memandang tepat ke wajahku.

“Errr….” Belum sempat aku menjawab, telefon Mak Long berdering.

”Eh... Dah lewat la mak long. Entah-entah mak yang call tu. Ika balik dulu lah Mak Long ye!” Aku berkata sambil bingkas bangun, menggunakan kesempatan yang ada untuk lari dari soalan yang menakutkan itu.

“Ika tak jawab lagi soalan Mak Long.”

“Soalan apa ye Mak Long? Ika lupa la… ” Aku menggunakan taktik biasa. Short memory lost.

“Budak ni… Saja nak mengelak.” Aku ketawa. Sungguh aku tak punya jawapan untuk soalan itu. Aku melangkah menuju ke pintu dan melangkahi anak-anak tangga tanpa menunggu lama. Aku melihat Mak Long juga telah mengangkat punggung, bangun untuk menjawab telefon yang masih terus berdering bising.

Namun aku pasti, jika benar niat itu bersarang di dada Mak Long, pasti dia akan bertanya pada Abang Arif. Dan bila Mak Long tanya nanti, terpaksalah Abang Arif mengaku yang dia dah ada mak we. Masa tu, aku akan kenakan dia cukup-cukup.

Kalau tak mengaku, nanti tak pasal-pasal dia kena kawin dengan aku. Pasti bukan itu kemahuannya. Aku yakin.