Dec 14, 2007

Pertama : Kemalangan Jiwa

Petang tu aku bersiap awal untuk ke surau bagi menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah yang wajib menuntut ilmu sebagai bekalan diakhirat nanti. Basikal kasayangan ku, hadiah pemberian ayah itulah yang banyak berjasa. Basikal yang sering ku gunakan untuk ke mana-mana. Basikal yang membawa aku ke gedung ilmu. Walaupun sekolah agak jauh dari rumah, dan ayah selalu menawarkan nak hantar aku ke sekolah, tapi aku selalu menolak. Berbasikal baik untuk kesihatan. Abang Arif kata itulah aktiviti yang sihat dan bila aku ke sekolah dengan berbasikal, secara tak langsung, aku dah bersenam. Agaknya sebab itulah stamina aku memang tinggi dibandingkan dengan budak-budak lain yang ke sekolah dengan bas atau dihantar oleh mak ayah mereka.

Aku sampai agak awal. Pintu surau masih tertutup rapat, rumah mak Limah pun sama. Tak pasti samada Mak Limah ada dirumah atau tidak. Dalam diam aku mengharapkan agar Mak Limah tidak muncul di kala aku sedang menjalankan misi persendirian yang penuh dengan risiko ini. Misi yang telah kumasukkan dalam senarai mission possible yang sering aku laksanakan bila saja terjumpa target yang bersesuaian. Misi “mengusha” budak baru yang menjadi idaman Liza.

Tiba-tiba perutku rasa macam dihiris, memulas pun ada…
Aduh… Sakitnya… Apasal pulak ni, salah makan ke? Cepat-cepat aku pegi ke tandas yang terletak dibelakang surau. Pintu tandas tertutup rapat. Ada orang ke? Cam ne ni… Kebiasaannya pintu akan terbuka sedikit, jadi aku akan tahu kalau ada orang yang sedang menggunakannya.

Tok Ayah Min ke? Nak ketuk ke tak ni…? Aku berkira-kira sendiri. Tersarang sedikit kebimbangan bila mengingatkan Tok Ayah Min yang suka melatah. Bimbang andai orang yang mengisi ruang tandas sekarang ini ialah Tok Ayah Min. Nanti tak pasal-pasal Tok Ayah Min melatah kat dalam tu, silap-silap terus serbu keluar, tak sempat pakai seluar.

Seperti yang berlaku 2 tahun yang lepas. Niat untuk mengusik Mak Limah, ternyata memberi kesan yang diluar jangkaan. Dengan keyakinan bahawa Mak Limah yang berada di dalam tandas, aku mengetuk pintu tandas yang diperbuat dari zink tu sekuat-kuatnya. Mana ku tahu yang bukan Mak Limah yang menghuni tandas waktu itu, sebaliknya Tok Ayah Min. Dan gara-gara terperanjat, Tok Ayah Min terus keluar dengan kain separuh terlondeh.

Menyedari kesilapan target mangsa yang telah berlaku, aku mengambil tindakan alternatif secepat kilat. Bersembunyi di belakang tandas. Tapi dosa menganiaya orang tua sememangnya terus mendapat pembalasan Tuhan. Ternyata nasib aku tak sebaik mana kerana segala yang berlaku ada mata yang memerhati. Mak Limah rupanya berada diatas rumah ketika itu dan dia telah nampak segala yang berlaku. Walaupun tahu aku tak sengaja melakukan kenakalan pada orang yang salah, tapi kesalahan tetap perlu di pertanggungjawabkan dan hukuman kerana kenakalan tetap perlu di jalankan. Lalu segalanya di laporkan pada mak.

Hukumannya aku terpaksa menahan pedih telinga. Terasa seolah garing telinga di masak oleh panasnya leteran mak. Terasa seolah berlubang setiap sudut cuping telinga terkena bedilan kata panas yang di lepaskan oleh mak malam itu. Tak sanggup aku menerima hukuman mak sekali lagi. Yang paling penting, aku tak sanggup melihat keadaan yang sama berulang pada Tok Ayah Min, semput dia dibuat dek kenakalanku yang tak terkawal.

Tak tahan!!.. Apa nak jadi pun jadilah… Baru saja tangan aku di hulur untuk menarik tombol, pintu tandas dibuka. Dum! Adusss…. Sakitnya kepala aku. Malaun mana yang bersikap tak prihatin langsung ni. Sesedap rasa je bila membuka pintu dengan kadar kelajuan yang membahayakan keselamatan orang.

“Kurang asam! Sakit la woi!” Aku menggosok kepala sambil terus masuk ke tandas lantaran seruan alam yang tak mampu ku tahan lagi. Persoalan tentang siapa yang menghuni tandas tadi tidak terjawab. Biar je lah. Jali atau Azlan? Tapi yang pasti bukan Tok Ayah Min.

“Sorry! Saya tak sengaja….”

“Lain kali bukak pintu tu pelan sikit. Ini tidak, main tendang je. Ingat harta sendiri ke? Ini harta awam tau. Bila guna tu jangan le sampai nak menjahanamkan pulak…. “ Aku membebel dari dalam.

Senyap. Sunyi. Sepi. Tak ada balasan untuk apa yang aku katakan tadi. Mungkin dah beredar. Takut agaknya. Takut terkena tendangan aku bila aku keluar nanti. Memang sukar menduga tindakan yang mungkin aku dilakukan bila berada dalam keadaan marah atau terdesak. Nanti tak pasal-pasal ada yang berbuah atas dahi kena bunga silat aku nanti. Huh.. nasib kau baik. Cerdik kau ye! Tak tunggu aku keluar… Isk.. Kenapa pulak dia nak tunggu aku keluar dari tandas. Dia memang gila kalau sanggup tunggu anak dara seperti aku didepan pintu tandas. Nak menempah maut namanya tu.

Aku menyeringai, sudah la sakit perut, sakit kepala pulak. Ni tambah lagi satu. Sakit hati. Aku jadi semakin geram bila mengingatkan kepala yang terasa sedikit benjol.

Alamak… Apa yang perlu aku buat? Aduh... Aku mengetuk kepala sendiri. Geram pada sesuatu yang tak mampu aku lepaskan. Kenapalah waktu begini aku di uji dengan dugaan bulanan yang langsung tak memberikan amaran tentang lampu merah yang akan terpasang? Alahai... Apalah nasib ku bila masa yang aku rancang untuk menjalankan serangan pada mangsa terbaru terpaksa ditangguhkan kerana aku dah terikut jejak langkah si Liza. Bulan aku pun dah mengambang nampaknya.

Aku merungut lagi. Memikirkan macam mana nak balik dengan keadaan macam ni. Kebetulan aku memakai baju berwarna kuning, dan tanda merah itu semakin jelas kelihatan. Rumah Mak Limah tertutup rapat, menunjukkan yang penghuninya memang tak ada di dalam. Alangkah baiknya kalau Mak Limah ada di rumah saat ini, paling tidak, dia boleh pinjamkan aku kain sarung sebagai bantuan saat aku dalam keadaan darurat seperti sekarang. Mak Limah... Dimanakah dikau sekarang!!!... Hatiku berlagu gundah bila mengingatkan Mak Limah tiada di saat aku begitu memerlukan dia.

Tak boleh jadi ni…. Aku perlu kuat semangat. Tak boleh menyerah pada nasib. Tak boleh bersungut tanpa berusaha untuk mencari jalan keluar. Aku gadis yang kuat semangat. Aku tak akan terus bersembunyi di sini sehingga malam hanya kerana takut berhadapan dengan kemungkinan yang orang akan menggelakkan aku. Huh... kalau sesiapa berani menggelakkan aku, siaplah nanti. Tahulah aku mengajarnya. Aku nekad, jalan yang tinggal cuma satu. Keluar, terus pegi ambik basikal, jangan berpaling walau ada yang memanggil, terus balik ke rumah. Dalam diam aku berdoa agar tak akan ada sesiapa yang terserempak dengan aku bila aku memulakan langkah seribu nanti.

Aku membuka pintu perlahan. Mengintai untuk mengambil langkah pencegahan dan keselamatan. Bimbang andai masih ada malaun tadi yang telah mengetuk kepala aku dengan pintu. Clear. Selamat. Tak ada sesiapapun yang kelihatan. Bayangpun tak ada, apatah lagi orangnya. Aku berjalan terjengkit-jengkit, sambil mata melilau, memerhati andai tiba-tiba ada musuh yang akan menyerang hendap. Aku rasa seolah sedang beraksi, lagak seorang polis yang sedang memburu mangsa. Ops... Silap. Situasi sekarang lebih kepada keadaan aku yang sedang berusaha melepaskan diri dari adegan yang memalukan ini, seharusnya aku rasa seperti perompak yang sedang beraksi untuk merompak bank.

Alhamdulillah, nasib aku baik. Kerana rancangan yang hendak aku laksanakan, aku telah datang awal dari masa yang sepatutnya. Kelihatannya ruang laman surau masih lengang tanpa sesiapapun berlegar. Setibanya aku di tempat letak basikal yang berlokasi di bawah rumah Mak Limah, aku menarik rakus basikal pemberian ayah. Baru beberapa langkah melepasi tempat parking basikal, tiba-tiba ada suara asing yang garau menegurku dengan ramah.

“Dik, adik okey ke?” Aku cuba memandang ke arah datangnya suara itu, tapi cahaya matahari senja menyilaukan mata aku. Aku tak berjaya melihat wajah pemilik suara itu. Sejak bila pulak aku ada abang ni…? Seingat aku, aku di lahirkan tanpa ada yang menyandang gelaran abang dalam keluargaku. Mungkin ada orang yang mungkin hilang ingatan mahu mengaku aku ni ialah adiknya. Tak nak lah... Aku dah ada abang Arif... Abang terbaik yang pernah wujud di dunia ini.

Silau matahari membuatkan aku hilang pertimbangan. Entah bagaimana kain aku termasuk ke dalam rantai basikal. Gedebum!. Adui… sakitnya punggung aku. Secepat kilat aku cuba untuk bangun dan terus mengangkat basikal yang terbaring.

“Are you okey?” bunyi tapak kaki tergegas menghampiri. Ceh, siapa tu. Cakap omputeh la pulak. Ahh… malas aku nak melayan lelaki yang tak langsung menghormati semangat aku yang mementingkan semangat kemelayuan sejati ni. Kalau tidak disebabkan oleh keadaan aku yang tak mengizinkan, mahu rasanya aku menempelak lelaki yang seolah lupa bahasa ibunda nenek moyang yang telah terkenal sebelum zaman kelahiran Cik Siti Wan Kembang lagi.

Sungguh melampau manusia itu yang padaku begitu angkuh menggunakan bahasa penjajah itu di kampung yang 100% penghuninya ialah mereka yang berketurunan melayu. Di desa yang tak pernah ada orang menggunakan ayat asing yang tak di fahami sepatah haram pun, apatah lagi disurau tempat aku mengaji yang kebanyakannya di kunjungi oleh mereka yang hanya berpendidikan sekolah pondok dan dah hampir tanggal giginya. Erm… kecuali beberapa orang yang masih muda remaja macam aku dan beberapa orang yang masih menuntut ilmu kat sini…

Aku perlu cepat berlalu. Dalam geram, aku masih tak lupa tentang apa yang terjadi pada diriku. Pasti aku akan mengalami malu yang teramat kalau dia perasan kain aku yang telahpun tercemar tinta merah ni.

Tanpa berusaha untuk mengenali dan melihat wajah pemilik suara tu, aku terus mengayuh basikal. Di dalam hati, berbakul-bakul aku menyumpah lelaki itu yang aku rasakan menjadi penyebab kepada semua peristiwa malang yang menimpa aku hari ini. Terasa seolah semua orangan dalaman dan luaran aku begitu sakit. Belumpun sakit punggung akibat terjatuh tadi hilang, kepala aku pulak mula terasa berdenyut-denyut dicampur dengan sakit kena hentak dengan pintu tandas tadi. Itulah symptom kedatangan bulan yang biasa aku alami. Sakit kepala dan sakit perut telah memang menjadi acara bulananku yang tak mampu di hindari.

Namun sekarang aku mengalami sakit yang tiada bandingannya. Sakit hati. Eeii… geramnya! Jeritan batinku ini hanya bergema di lorong fikiran yang kini penuh sesak dengan kekesalan yang tak mampu aku luahkan. Segala yang di rancang telah tergendala, misi ku untuk mengenakan lelaki itu terus tergendala sehingga ke satu masa yang tak mampu aku tentukan. Aku terpaksa akur pada fitrah diri sebagai seorang gadis yang telah akil baligh.

Basikal yang ku pecut laju beransur perlahan bila merasakan yang diri aku telah berada di zon selamat. Dalam keadaan geram yang menghuni dada, aku masih cuba berfikir secara waras. Mungkin itulah balasan Tuhan kerana kenakalan ku. Ala… nakal je, bukan jahat pun.

No comments: