Jan 16, 2008

Pertama : Bab 14.0

Sabtu. 7.30 pagi. Berbasikal ke sekolah bertemankan Liza memang telah menjadi rutin semenjak kami di sekolah rendah lagi. Kami membesar bersama, sekampung, mengaji Quran di surau Ayah Min juga bersama. Mungkin kerana selalu berpeluang untuk bersama, kami menjadi akrab. Rasanya kami antara yang terawal sampai ke sekolah memandangkan keadaan yang masih lengang.

Aku dapati beberapa buah basikal telahpun ada tersadai di tempat yang dikhaskan untuk pelajar meletakkan kenderaan mereka. Mataku melilau melihat sekeliling, mencari kelibat manusia yang aku kenali, yang bakal menyertai perjalanan ke kem motivasi yang akan di adakan di UiTM, namun langsung tak kelihatan. Sunyi dan lengang. Damai dan tenang. Aku menarik nafas dalam dan menghembusnya perlahan sambil mendepakan tangan, lagak bersenam ringan.

Aku sukakan suasana begini, sukakan sekolah ini, sukakan rasa kedesaan yang di muliki di sini. Aku suka segala-galanya. Malah tempat letak basikal yang berada di tepi padang inipun aku suka. Lokasinya membolehkan aku menikmati pandangan hijau yang terbentang ini setiap pagi sebelum memasuki kelas. Memang menyejukkan mata.

Angin lembut menderu menyapa, menampar lembut badanku yang hanya berpakaian sekolah. Memang agak janggal memakai baju sekolah di hari cuti, tapi apakan daya untuk membantah arahan Cikgu Nasir yang mahu kami tetap beruniform semasa mendaftar. Katanya itu untuk memastikan kami nampak kemas dan berdisiplin.

Sisa embun yang berbaki membuatkan sejuk bayu terasa menusuk ke tulang. Namun itulah yang aku suka tentang desa. Aku suka dengan embun, suka dengan dingin, suka dengan sunyi tenang yang hanya mampu di nikmati di pagi hari cuti. Suasana ini menjadikan aku lebih bersemangat untuk meredah hari walaupun bagi sesetengah orang, ia lebih nikmat kalau dapat berada dalam balutan selimut yang membekalkan kehangatan yang selesa.

“Ika, awal benar kita datang ni. Kau punya pasal la ni. Bersemangat sangat sampai orang lain pun belum sampai lagi.“ Kata Liza sambil memeluk tubuh yang kedinginan. Basikalnya di tongkat, diletakkan bersebelahan dengan aku.

“Mestilah bersemangat. Kita kan nak ke kem motivasi. Belum dengar ceramah motivasi pun aku dah bermotivati, kalau dah dengar ceramah nanti, mesti meletup-letup motivasi aku nanti. Tak rugi Cikgu Nasir hantar aku. Kau pun patut bersemangat jugak.“ Aku membalas katanya sambil tanganku ligat membuka tali yang mengikat beg di belakang basikal.

“Yo lah, yo lah...“ Malas bertekak agaknya, lalu hanya itu yang keluar dari mulut Liza. Aku tersengih dan ketawa kecil melihatkan reaksi Liza.

“Ika, kita ke kantin lah ya. Boleh duduk jugak sbb kat sana ada kerusi. Aku lenguhlah kalau nak berdiri je kat sini.“ Liza mencadangkan.

“Kau ni, berdiri kat sini lenguh, kalau kena berdiri sbb Cikgu Lokman yang suruh, tak ada pun kau mengadu lenguh.“ Aku berkata mengungkit dan mengusik.

“Itu berdiri lain, berdiri dengan semangat nak mencuci mata namanya tu. Lain kesannya Ika. Kau tak boleh bandingkan.“ Jawab Liza sambil tersengih. Aku mencapai beg yang berisi beberapa helai pakaian dan sebuah buku nota dan pencil case lalu menuju ke kantin. Liza mnegikut langkahku.

“Dengan Cikgu Lokman pun kau nak cuci mata? Dengan apa? Dengan misainya yang melintang tu?“ Aku rasa lucu dengan kenyataan yang di berikan oleh Liza. Cuci mata? “Tolonglah, baik kau tengok Kamil buaya yang hensem tu kalau setakat nak cuci mata dari tengok Cikgu Lokman.“ Aku menambah sambil tergelak.

“Itu polish mata namanya, bukan cuci lagi.“

“Ngapa pulak tengok Kamil kau kata polish?“ Aku kehairanan dengan istilah yang Liza gunakan.

“Sebab kalau tengok Kamil, dia akan buat mata aku bersinar. Jadi itu namanya polish...“ Kata-kata Liza membuatkan aku tergelak besar. Ada pulak macam tu. Macam kereta pulak.

Masa menunggu kami habiskan dengan berbual dan bercerita tentang cikgu-cikgu dan juga rakan pelajar yang menarik perhatian Liza. Tak lama kemudian beberapa rakan yang lain sampai dan turut menyertai perbualan kami di kantin.

“Kawan-kawan semua. Mintak perhatian. Aku ada sedikit taklimat ringkas sebelum cikgu Nasir datang.“

“Sejak bila kau di nobatkan jadi penyampai taklimat ni Ika?“ Azrai, rakan sekelas merangkap ketua kelas aku tiba-tiba bersuara. Selalu juga aku menjadi orang yang menduga kesabarannya dengan sedikit kerenah nakal, namun kali tak sampai menjadi musuh.

“Dah lama dah. Kau tak kan tak tahu“ Liza menyampuk. Aku hanya tersengih sambil menyambung.

“Aku ni bukan apa, sekadar nak mengingatkan dan memberi amaran yang tak berapa keras pada korang semua je. Sesampainya kita kat sana nanti, korang janganlah bernakal-nakalan....“

“Bernakal-nakalan? Kamus dewan bahasa mana kau guna ni Ika? Aku tak pernah dengarpun.“ Azrai menyampuk lagi.

“Tu lah kau, belajar tak abih. Gaduh lagi dengan Cikgu Sharifah, ilmu bahasa kau dah tak lengkap jadinya.“ Liza bersuara lagi bagi pihak aku. Terasa lucu bila setiap kata Azrai, Liza yang membalasnya.

“Ingat, di larang sama sekali membuli orang. Kalau aku terbuli orang kat sana tak pe sebab aku dah cukup ilmu buli membuli ni. Kalau nak cuba kebolehan ilmu membuli korang tu kat sana, boleh tapi mesti mintak kebenaran aku dulu. Bukan apa, aku tak mahu korang memalukan aku dan sekolah. Kalau nak buli, biar buli betul-betul, jangan macam buli anak ayam je. Tapi kalau ada orang buli korang kat sana, jangan harap aku nak tolong....“ Entah apa yang aku bebelkan, aku pun tak tahu. Merapu tanpa sebarang niat dan isi penting yang aku nak sampaikan, cuma aku cuba untuk memenuhi masa yang terluang sementara menanti kedatangan Cikgu Nasir.

Tiba-tiba aku melihat Liza berkelakuan aneh. Seolah cuba untuk memberitahu aku sesuatu. Alamak, Cikgu Nasir dah sampai ke?

“Baiklah kekawan, Ingat ya pesanan saya tadi, kita kena berdikari bila berada di sana. Jangan menyusahkan cikgu, kakak-kakak dan abang-abang fasilitator. Bantu rakan-rakan yang memerlukan bantuan terutama kalau ada kawan yang kena buli. Yang penting semangat mesti kuat…. “ Aku menukar corak ucapan tak resmi pada rakan-rakan seangkatan bila menyedari sesuatu yang tak menyenangkan cuba disampaikan oleh Liza.

“Amboi… Belum apa-apa lagi dah nak bagi ceramah. Dah le tu, ajaran sesat pulak yang di bagi.” Tekaan aku mengena. Cikgu Nasir. Dah lama ke dia muncul kat belakang aku ni?

“Err… tak cikgu. Cuma nak bagi ingatan je. Tak nak dia orang nakal-nakal kat sana. Nanti jatuh maruah sekolah. Nanti sapa yang malu. Cikgu jugak…” Aku berkata sambil tersenyum menahan gelak.

“Pandai le kamu tukar ayat bila tahu cikgu kat belakang ya. Dah lama cikgu kat belakang kamu, tapu kamu tak sedar. Lagipun baru semalam cikgu korek telinga. Tak akan salah dengar punye.” Kata Cikgu Nasir membuatkan aku tersipu-sipu. Tapi aku tahu dia tak marah pun.

Cikgu Nasir sememangnya sudah faham benar dengan perangai aku. Aku akui, dia memang pandai mengenakan aku balik. Berkebolehan hampir sama seperti Abang Arif. Kalaulah Abang Arif tu bukan sepupu aku, pasti aku ingat yang dia tu ialah anak Cikgu Nasir. Kalaulah mereka bergabung, pasti teruk aku di kenakan mereka.

Kami dibahagikan kepada 2 bahagian. Dua buah van sediakan oleh Cikgu Nasir untuk membawa kami ke UiTM. Entah dari mana aku pun tak tahu. Yang pasti satu darinya ialah kepunyaan Cikgu Nasir. Tak kisahlah, yang penting pengangkutan di sediakan. UiTM yang di maksudkan tak jauh dari sekolah kami sebenarnya, hanya mengambil masa 20 minit saja.

Selesai memberi taklimat ringkas, Cikgu Nasir menghantar kami ke distinasi yang dinyatakan. Sepanjang perjalanan singkat itu, van yang aku naiki penuh meriah dengan gurau dan usikan. Niatku cuma satu, mahu menambahkan lagi kemesraan yang memang telah lama terjalin antara kami.

No comments: