Mar 11, 2008

Pertama : Bab 15.0

Ceramah yang bertajuk “Mengenalpasti dan Menetapkan Matlamat Diri” yang di bentangkan oleh Prof. Sharizan Sadikin akhirnya sampai ke penghujung. Langsung tidak membosankan. Penyampaian yang bersahaja dan diselangselikan dengan cerita jenaka sememangnya membuatkan mata aku tetap segar menyantap setiap bait-bait kata yang keluar dari mulutnya. Aku pasti peserta-peserta lain juga begitu.

Adi bangun dari kerusi dan menggeliat sambil diperhatikan oleh Shira. Kerusi yang menampung berat badannya selama 2 jam sedari tadi di alih dengan kasar. Berkeriut bunyi tapak kaki kerusi bergeser dengan simen lantai. Di campur dengan suara pelajar-pelajar lain yang melepaskan perasaan membuatkan suasana dalam dewan kuliah menjadi agak bising.

“Pe…pe..perhatian kepada Afiq, Aaa…. Anda diminta datang ke dewan kuliah 5 sekarang jugak.” Kedengaran satu pengumuman dibuat.

’Ehh… Aku ke?’ Bunyi bising membuatkan pengumuman yang dibuat hampir tenggelam oleh suara-suara manusia dan alatan. ‘Ahh… lantaklah. Mungkin aku salah dengar.’ Aku tidak mahu mempedulikan seruan dan panggilan yang belum pasti ditujukan untuk aku. Lagipun aku rasa tak mungkin nama aku dipanggil tambahan pula dalam masa yang agak lewat begini.

“Ika… Eh, pengumuman tadi utk kau kan?” kata Adi bila dia melihat aku seolah tidak langsung mempedulikan pengumuman yang dibuat. Dia akan menjadi roomate aku sepanjang 3 hari 2 malam aku ada kat sini dan untuk beberapa sesi yang lepas, dia selalu bersama dengan aku. Sikapnya tak seteruk mana sebenarnya. Cuma sesekali bila dia berbicara, ada nada keangkuhan yang terselit. Keangkuhan yang terbit akibat dari kelebihan yang ada pada dirinya. Aku biarkan saja dan menganggap itu salah satu dari cara dia mendapatkan keyakinan diri.

“Ye ke? Tak tau le... Memang aku pun macam ada dengar nama aku dipanggil tadi tapi kenapa ye? Aku rasa aku tak buat apa-apa yang salah pun. Sapa nak jumpa aku? Lagipun kalau bukan aku yang dipanggil, macam mana? Bunyi bising sangatlah, pengumuman tadi aku tak dapat dengar dengan jelas.” Aku ragu-ragu. Tak pasti. Takut dan bimbang kalau bukan nama aku yang dipanggil.

“Betul Ika. Aku memang dengar nama kau tadi. Sapa yang nak jumpa kau, aku tak tahu. Masa pengumuman tadipun tak de cakap. Kalau nak tahu, apa kata kau pegi je. Mungkin ada perkara penting kot. Mana tahu kot sepupu kau tu ke yang panggil. Betul tak Shira?” Adi menyatakan pendapatnya.

“Betul tu.. “ Shira mengiakan.

“Eh, korang temankan aku ye?“ Aku tak berapa yakin untuk pergi bersendirian. Bukan takut, tapi risau.

“Tak nak lah. Aku letih. Nak balik tidurlah.“ Kata Shira cepat.

“Adi...?“ Aku memandang Adi dengan pandangan yang sedikit mengharap.

“Adi kena temankan aku balik. Aku takutlah masuk bilik sorang-sorang.“ Balas Shira lagi, seolah menjawab permintaan aku bagi pihak Adi. Adi hanya mengangkat bahu, menandakan dia tak dapat membantu. Mungkin dia pun keletihan, mungkin juga simpatinya pada Shira melebihi keinginannya untuk menemani aku, mungkin juga dia rasa tak selesa kerana penguman dan panggilan itu untuk aku dan bukan untuk dia. Entahlah. Tapi dlm diam aku juga merasakan yang Shira lebih memerlukan dia. Shira yang anggun, manis dan sopan, memangnya kelihatan amat bergantung pada orang lain. Dengan kata lain, dia suka berteman bila mahu kemana-mana. Lalu, biarlah Adi menemani dia.

“Okeylah kalau macam tu. Korang balik bilik dulu, aku ke sana sekejap.” Kataku memutuskan. Sebenarnya hati aku sedikit tergugat. Entah kena aku rasa tak selesa. Namun aku cuba untuk berfikiran positif. Mungkin benar pengumuman itu untuk aku. Mungkin benar Abang Arif yang mahu berjumpa denganku. Sebenarnya itulah yang aku harapkan. Berharap yang memang Abg Arif yang mahu berjumpa dengan aku. Lagipun masih banyak soalan yang bermain di fikiranku yang belum dijawabnya semenjak pertemuan yang berlangsung semasa baru mendaftar pagi semalam. Tapi... kenapa dia mahu aku berjumpa aku dengan cara membuat pengumuman begini? Bukankah lebih senang dan mudah kalau dia terus datang berjumpa dgn aku? Tak manis dilihat orang terutama di waktu malam begini, walaupun dia tu sepupu aku? Aku tak mahu ada fitnah yang timbul. Hati aku semakin tak selesa jadinya. Ya Allah... haruskah aku pergi?

Dalam semua persoalan dan percanggahan yang bermain difikiran, kaki aku tetap melangkah menuju ke tempat yang di umumkan tadi. Dewan kuliah 5 berada di bangunan sebelah dan aku terpaksa berjalan melalui laluan pejalan kaki berbumbung. Tak sukar untuk aku mencarinya kerana disitulah tempat suai kenal dibuat. Namun ia agak menyeramkan kerana jalan itu agak sunyi dan gelap.

Semakin aku menghampiri, semakin hati aku bercelaru. Aku memperlahankan langkah, berfikir samada perlukah aku pergi, atau berpatah balik saja. Tapi bila mengingatkan mungkin Abang Arif yang sedang menunggu, aku mempercepatkan langkah, menguatkan semangat.

Macam mana kalau ada orang nak buat khianat pada aku? Mungkin aku akan dijadikan mangsa rogol, bunuh atau dirompak ke…? Nauzubillah.... Semoga Allah jauhkan kejadian seperti itu dari berlaku keatas diri ku. Tapi kalau ada orang nak buat benda tak baik, tak mungkin orang tu akan membuat pengumuman terbuka macam tadi. Mungkin lebih sesuai dan selamat kalau sekadar menghantar mesej. Aku bersoal jawab sendiri.

Lorong menuju ke dewan kuliah 5 agak suram dan sunyi. Yang kedengaran hanyalah derap kaki ku yang mengatur langkah yang sekejap laju, sekejap perlahan. Aku berhenti di depan pintu dewan dan memasang telinga, cuba mengesan bunyi kalau ada sesuatu yang aneh dan mencurigakan. Sunyi. Dari celahan pintu, ada cahaya dari dalam walaupun agak samar, mungkin itu menandakan ada orang di dalamnya.

Aku menarik nafas sambil memikirkan apa yang akan aku cakap pada abang Arif nanti. Semalam aku tak sempat nak memaksa dia menjelaskan segala pertanyaan yang terhimpun dibenakku lantaran dia agak tergesa-gesa untuk pergi. Tapi kali ni aku pasti akan sembur dia habis-habisan kerana mengelak dari menjawab pertanyaan aku dengan cara begitu!

No comments: