Jan 25, 2008

Pertama : Bab 14.1

Selesai urusan pendaftaran, kami diberikan kunci bilik yang terletak di 2 blok yang berbeza, satu blok untuk lelaki dan satu lagi untuk perempuan. Sebenarnya terdapat banyak blok asrama, tapi hanya 2 blok yang di berikan untuk peserta kem motivasi.

Bilik yang hanya boleh memuatkan 3 orang sebilik membuatkan kumpulan pelajar sekolah aku telah berpecah. Nampaknya hasrat Liza untuk sebilik dengan aku tidak kesampaian kerana ternyata pihak penganjur mempunyai strategi lain bila mereka menentukan bilik peserta mengikut alphabet.

Nama aku bermula dengan huruf N dan Liza pulak bermula dengan huruf Z. Zahalizarina Zaharizam, memang bagi aku namanya cukup menarik kerana banyak huruf yang sama dan mudah diingati. Ditambah pula dengan sikapnya memang membuatkan dia senang untuk popular, bukan seperti nama aku yang cukup biasa, cuma mengharapkan sikap aku yang ceria untuk membolehkan aku di ingati.

Aku dan Liza memang ditakdirkan tidak dapat bersama. Selepas pendaftaran, nyata kami diasingkan dan dipisah oleh bilik yang agak jauh. Walaupun sedari awal aku merancang untuk memastikan kami akan tidur sekatil dan sebantal, tapi bila sampai waktunya, rasa tak adil bila mahu meminta keistimewaan sebegitu dari penganjur. Lalu aku diamkan saja, menerima apa yang telah mereka tetapkan untuk aku tanpa sebarang bantahan.

Aku yakin, roommate aku semestinya pelajar dari daerah lain memandangkan dalam kumpulan kami, tak ada seorang pun yang namanya bermula dengan Nurul. Aku tak kisah kerana aku yakin pada kemampuanku untuk bergaul. Insyaallah, aku tak akan menghadapi masalah dengan kenalan baru walau dengan siapapun aku akan ditempatkan.

317. Aku memerhati nombor yang terpampang di depan pintu. Bilik yang akan ku huni selama beberapa hari. Aku mengeluarkan kunci bilik yang telah di serahkan kepada aku selepas pendaftaran tadi. Perlahan aku membuka pintu. Manalah tahu kalau-kalau teman sebilik aku telahpun sampai terlebih dahulu, dan aku tak mahu mengejutkan sesiapapun.

Rupanya bilik itu masih kosong. Yang ada hanyalah perabot serba ringkas yang memang di sediakan untuk pelajar. Katil, almari dan meja study untuk 3 orang. Bermakna aku akan berkenalan dengan 2 orang teman baru. Menjadi orang pertama memasuki bilik itu memberikan aku kelebihan bilamana aku boleh memilih untuk mendapatkan katil dan lokasi yang terbaik. Setelah menimbang-nimbang segala kelebihan dan kekurangan, katil yang agak jauh dari pintu telah menjadi pilihanku.

Aku meletakkan beg yang berisi beberapa helai pakaian untuk kegunaan sepanjang kem ini berlangsung ke dalam almari. Kemudian aku merebahkan badan ke katil, mahu menikmati suasana tenang sementara masih berkesempatan. Aktiviti kem motivasi hanya akan bermula tengahari nanti, bermakna 3 jam dari sekarang. Dengan kesempatan yang ada, mungkin aku boleh lelapkan mata sekejap.

Bumm!!
Aku hampir terlompat lantaran terkejut dengan bunyi pintu yang dihempap kuat. Hampir gugur jantung aku di buatnya. Rasanya tadi aku sudahpun menutup pintu sebaik mungkin. Aku yakin, aku dah tutup pintu tu. Aku berkira-kira sendiri. Menimbang keadaan yang baru aku alami.

Apa yang sedang berlaku sebenarnya? Erm.. mungkin aku tersalah ingat kot. Mungkin aku tak tutup pintu dengan betul-betul. Aku cuba menenangkan hati yang mula di hinggap rasa resah yang tiba-tiba oleh kejadian yang aku rasakan aneh. Aku selalu dengar kisah tentang asrama atau kolej yang penuh dengan misteri kejadian yang pelik-pelik. Mungkinkah aku akan mengalaminya di sini? Aduh... Risau aku di buatnya.

Aku cuba melenyapkan perasaan tak senang. Mungkin roommate aku nak masuk kot. Aku mencapai tombol pintu, membukanya dan melihat keluar. Tak ada sesiapa yang kelihatan berkeliaran di luar. Sememangnya tak ramai orang kerana hari masih muda, masih awal lagi. Suasana sekitar yang agak sunyi membuatkan perasaan aku sedikit tak senang. Aku kembali ke katil dan merebahkan badan, seboleh mungkin aku cuba melelapkan mata yang langsung tak mengantuk tapi ternyata gagal.

Aku mencapai beg dari dalam almari, berhajat untuk mengemas, menggunakan hanger yang sedia ada untuk menyangkut baju agar lebih senang untuk di ambil nanti. Sedang aku leka mengemas, sekali lagi pintu berdentum kuat, tapi kali ini diikuti dengan lampu yang terpasang dan kipas yang tiba-tiba terpadam. Apa halnya ni? Isk.. tak mungkin ada hantu di siang hari.

Ahh... mungkin itu hanya perasaan aku saja. Bersendirian di tempat asing, mungkin membuatkan aku berhalusinasi. Jangan sampai aku jadi gila, sudah. Aku teruskan kerja mengemas. Daripada melayan perasaan bimbang yang berbisik, baik aku menyibukkan diri. Aku mengemas sambil menyanyi-nyanyi kecil untuk menghilangkan kesunyian.

Selesai berkemas, aku duduk di meja study yang diletakkan menghadap tingkap. Seketika kemudian, aku terdengar bunyi cakaran di depan pintu. Bertambah gelisah aku di buatnya. Aku di tempatkan di bilik berhantu ke? Ahh… Lantaklah. Selagi aku tak nampak hantu tu, aku tak kisah. Kalau setakat nak tutup pintu, main lampu dan kipas, aku pasti boleh bertahan. Bisikku untuk menenangkan hati sendiri.

Masa yang terluang seharusnya aku gunakan untuk berehat sebelum tenaga aku dikerahkan untuk aktiviti yang aku tak tahu bagaimana. Mungkin juga beberapa hari disini, aku akan dilimpahi dengan ceramah yang membuatkan mata aku semakin celik ataupun semakin tertutup. Aku pun tak pasti. Malas nak berteka-teki, lalu aku merebahkan diri ditilam yang tak bersarung dan cuba untuk memejamkan mata namun setiap kali itu juga ada bunyi aneh menjamah pendengaranku.

Bumm!!… Bunyi pintu dihempap lagi. Tenang Ika. Aku perlu bertenang. Malas bercampur tak berani membuka mata membuatkan aku mengambil keputusan untuk mendiamkan diri. Kedengaran bunyi batuk dan bersin yang berulang. Hantu ni dah tukar taktik pulak ke? Aku membiarkan saja. Tiba-tiba angin sejuk menyapa mukaku… Kerana terkejut, aku membuka mata.

“Errkkk… Mak! Tolong!!! “ Sepasang mata bulat sedang memandang aku dengan pandangan yang tajam, merenungku dengan jarak hanya sejengkal dari muka. Namun rupanya jeritan aku yang luar biasa nyaringnya ternyata membuatkan makhluk itu juga terperanjat sehingga tercampak dan terduduk.

Astaghfirullah hal azhimm. Asyhadu allaaillah ha illallah, wa asyhadu anna muhammadarrasullullah... Aku tak mahu terlalai kerana terperanjat, sebaiknya aku mengucap sebelum nafasku tercabut oleh kerana kejutan yang entah bagaimana lagi selepas ini. Ya Allah, lindungilah aku ya Tuhan...

No comments: