Feb 4, 2008

Pertama : Bab 14.2

“Gila ke apa kau ni? Kau nak buat apa kat aku hah?” Dadaku berdebar kencang. Kejutan yang aku rasa sesiapapun akan berada dalam debaran seperti aku. Namun bila di fikirkan kembali apa yang berlaku tadi, aku rasa tak perlu di risaukan sangat. Hanya dengan jeritan aku, dia boleh tercampak, mungkin dia tak adalah sekuat mana pun.

Berbaju t-shirt biru tua dan jeans, berkaca mata dengan bingkai hitam, berambut pendek dan mulut mengunyah-ngunyah chewing gum. Berbadan tinggi lampai dan sederhana. Erm... Makhluk ni lelaki atau perempuan? Yang pasti dia manusia biasa seperti aku, tapi.... Fikiran aku menimbang-nimbang sendiri. Confuse. Spesis apa dia ni agaknya sehingga aku tak dapat mengenal pasti jantinanya hanya dari pandangan pertama.

“Gila ke apa kau ni. Menjerit punyalah kuat. Kalah suara perempuan yang kena kejar dek hantu.“ Dia akhirnya bersuara. Aku terlopong. Rasa terkejut masih belum hilang. Tapi sekurang-kurangnya aku rasa lega bila mendengar suaranya. Perempuan rupanya. Lebih tepat lagi, aku boleh agak yang dia tu penkid atau tomboy.

“Relak arr… Aku ingat kau mati ke, pengsan ke tadi sebab semua yang aku buat tak meninggalkan kesan. Manalah tahu, kot-kot dah pengsan terkejut ke. Haha...” Ketawanya pecah. Cis... Dia rupanya yang memainkan peranan untuk mencetuskan segala debaran yang hampir memecahkan dada aku tadi.

“Jadi, kau le yang dok hempas pintu dari tadi, pas tu mencakar-cakar pintu bilik aku?” Pertanyaan itu kuajukan untuk meminta kepastian.

“Kenapa? Takut ke?” Menjawab dengan mengemukakan pertanyaan adalah satu jawapan juga bagiku. Dia senyum sumbing dengan mulut masih lagi mengunyah chewing gum.

“Kalau aku takut, dah lama aku lari keluar dr bilik ni. “ Aku menafikan, cuba untuk menutup resah yang tadinya muncul tatkala kebenaran belumpun timbul. Malu kalau di ketahui oleh kawan-kawan sekolah aku yang lain. Aku cuba berlagak biasa.

“Anyway, aku Nurul Adira. Panggil je Adi. Kau?” Dia memperkenalkan diri sambil menghulurkan tangan.

“Aku Ika, Nurul Atika. ” Aku berkata ringkas. Tangan bersambut, senyum berbalas dan begitulah persahabatan kami bermula.

“Patutlah kita satu bilik, nama pun hampir sama.“ Katanya lagi dengan suara mendatar.

“Memang mereka sengaja mengatur bilik untuk peserta dengan turutan alphabat.“ Aku menerangkan berdasarkan pemerhatian dan juga dari maklumat yang aku dapat.

“Ooo... ye ke? Aku tak tahu pun. Tak ambik kisahpun siapa yang nak di letakkan sebilik dengan aku. Kita berdua je ke kat dalam bilik ni?“ Sambut Adi sambil berjalan ke tingkap selepas puas membelek perabut ringkas yang ada di bilik ini. Lagaknya yang tak tahu duduk diam, berlegar-legar ke sana ke mari dalam ruang bilik yang sempit, mengangguk dan mencebik bibir bila dirasakan ada sesuatu yang membayangkan rasa tidak puas hati membuatkan aku rasa sedikit rimas. Tapi aku biarkan saja sebab aku tahu, aku pun sama juga tadi. Bezanya aku tak bersungut, malah tak mencebikkan bibir seperti apa yang Adi lakukan.

“Patutnya 3 orang tapi setakat ni cuma kau dan aku je. Mungkin kejap lagi sampai kot.“ Aku berkata sambil matanu leka memerhati kelakuannya. Harapnya teman yang seorang lagi akan lebih lembut berbanding aku dan minah tomboy ni. Bukan aku tak suka, cuma aku rasa bilik ini perlukan keseimbangan. Terasa sangat aura dalam bilik ini tidak seimbang.

Dari sekilas pandangan dari aku yang suka memerhati, dia memang mempunyai kecantikan tersendiri. Sayangnya kecantikannya itu diselindungkan dengan gaya penampilan yang bagi aku terlalu santai dan tidak kena dengan konsep diri yang harus di pegang sebagai seorang gadis. Pakaiannya yang tidak formal memberikan satu persepsi yang agak liar, berambut pendek dengan baju t-shirt potongan lelaki dan cermin mata berbingkai hitam.

Di tambah pula dengan ketinggiannya yang agak menakjubkan dan gerak lakunya bila berjalan yang seolah sengaja ’dilasakkan’. Sekali pandang aku pasti tak ada siapa dapat meneka yang dia hanyalah gadis biasa yang sering kelihatan melepak di kaki lima shopping kompleks. Aku tak mahu menilai dia hanya dengan pandangan pertama. Banyak yang aku belum tahu tentang diri yang sebenar. Pastinya dia punya sebab tertentu untuk memilih gaya sebegitu, pastinya dia punya sejarah tersendiri yang menjadikan dia bersikap begini.

“Kau nak kita tinggal berdua atau bertiga?“ Katanya tiba-tiba.

“Kenapa kau tanya macam tuh?“ Pelik. Bukankah itu urusan pihak penganjur, kenapa pulak dia tanya samada aku nak tinggal berdua dengan dia saja atau bertiga?

“Ye lah... aku tak biasa tinggal ramai-ramai. Bilik aku kat rumah pun 3 kali ganda bilik ni. Bilik ni dah le kecik, kena kongsi 3 orang pulak tu.“ Dia berkata dengan nada yang tak dapat aku pastikan. Angkuh? Mungkin. Menunjuk-nunjuk? Mungkin jugak. Sekadar bercerita? Agaknya begitulah. Kecewa? Entahlah. Apa yang boleh di harapkan bila ada kem motivasi seperti ini. Tak kan nak dapatkan layanan lima bintang kot.

“Aku boleh uruskan kalau kau rasa baik kita berdua je yang tinggal kat bilik ni.“ Adi menambah. Jelas dia tak berpuas hati dengan keadaan bilik yang mungkin di rasakan sesak kalau di huni oleh tiga orang.

“Kau boleh uruskan? Kenapa pulak kau yang nak uruskan? Bagaimana?“ Aku bertanya lagi. Masih tak menjawab soalan yang diajukan sedari tadi.

“Kau jangan banyak soal lah... Aku tak suka. Nak ke tak nak?“ Katanya dengan nada sedikit tinggi. Aku sedikit terkejut. Mula rasa tak suka dengan sikapnya yang baru dilontarkan. Setelah menarik nafas panjang, aku bersuara.

“Aku nak kita tinggal bertiga. Tak kira siapapun, aku rasa lebih baik bertiga. Lagi ramai, lagi baik. Aku suka kalau dapat kenal ramai orang.“ Aku berkata memberikan pendapat. Namun ada ketegasan yang cuba aku sematkan di situ. Aku tak mahu di buli oleh minah tomboy ni. Kaya atau tidak, kat sini dia kena terima apa jua layanan sepeti orang lain. Dan aku tak akan biarkan dia rasa dirinya berkuasa. Ada rasa tak senang bersarang di benakku dengan sikapnya yang meninggikan suara. Ini Ika lah. Aku tak akan biarkan diriku di buli!

Tiba-tiba kedengaran bunyi pintu diketuk. Mungkin teman sebilik kami dah sampai. Pantas aku bangun untuk membuka pintu. Tak mahu melanjutkan lagi perbualan dengan Adi, bimbang kalau dia terus berkeras untuk tinggal berdua saja. Kalau teman ketiga dah sampai, tak mungkin dia mahu menghalau.

Sebaik saja pintu di buka kelihatan seorang gadis berbaju sekolah berdiri di depan pintu sambil tersenyum.

“Masuklah.“ Aku menjemput dia masuk walaupun aku tahu, dia akan masuk jugak walaupun aku tak jemput. Ye lah, kalau dah ditentukan ini biliknya, mestilah dia akan masuk bilik ni. .

“Tak pe lah. Saya cuma nak sampaikan pesan.“ Katanya bersuara.

“Pesan? Pesan untuk siapa?” Adi bersuara dengan tiba-tiba.

“Untuk Nurul Atika. Ada orang nak jumpa kat depan sana.” Katanya lagi sambil memandang aku dan Adi bergilir-gilir. Pastinya dia cuba mengenalpasti siapa antara kami ialah Nurul Atika.

“Saya Atika. Tapi, siapa yang nak jumpa saya?” Rasa hairan menyapa fikiranku. Tak kan Liza kot. Tak mungkin kawan-kawan sekolah aku.

“Ntah. Saya tak tahu namanya dan saya pun tak tanya. Tapi rasanya bukan student sekolah.” Siapa agaknya ya? Tak kan peminat kot. Cepat benar. Sesi suaikenal belumpun bermula.

“Perempuan ke lelaki?“ Adi menyampuk. Sibuk nak tahu walaupun mesej tu bukan untuk dia. Aku biarkan saja.

“Lelaki.“ Jawabnya ringkas.

“Pak we kau agaknya.“ Kata Adi.

“Aku mana ada pakwelah.“ Aku berkata sambil memandang Adi, kemudian kembali memandang gadis tadi.

“Tak pelah, nanti saya turun. Terima kasih ye!” Kataku lagi sambil mencapai tudung yang ku letakkan di birai katil. Dia mengangguk sambil tersenyum kemudian berlalu pergi.

Tudung sekolah berwarna coklat lembut memang mudah dipakai dan ringkas tanpa perlu mengambil masa yang panjang. Tanpa sepatah kata aku ucapkan pada Adi, aku melangkah keluar dengan tanda tanya. Siapa agaknya yang nak jumpa aku ni?

1 comment:

Anonymous said...

lagi...