Aug 14, 2008

Pertama : Bab 16.2

Laluan berbata untuk pejalan kaki antara kolej dan blok aku langkahi satu persatu. Santai. Sekadar mengambil angin di celah masa yang ada. Mataku melilau menikmati suasana di sini yang entah bila akan ku jejaki lagi.

Angin malas mengusap dan membelai badanku dengan lembut. Nyaman sekali. Entah bagaimana agaknya suasana di sini bila semester bermula kembali. Tentu sibuk sekali.

‘Mungkinkah aku akan mampu mengikut jejak langkah abang Arif? Menjadi salah seorang dari kakak-kakak dan abang-abang AJK yang telah berjaya menempatkan diri di institusi pengajian tinggi. Pencapaian yang begitu mengagumkan. Bertuahnya mereka kerana telah bergelar mahasiswa dan mahasiswi. Moga Allah permudahkan laluan aku untuk menyertai mereka satu hari nanti. Bantulah aku Ya Allah.’ Hatiku berlagu dengan doa harapan.

Dari jauh aku melihat kelompok kecil manusia yang sedang berkumpul. Wajah-wajah yang menjadi santapan mataku selama beberapa hari aku di sini. Entah apa yang mereka bincangkan, entah apa yang dibualkan, aku tak pasti. Dan aku tak inginpun ambil tahu. Biarlah masa singkat ini aku habiskan dengan bersendirian buat seketika.

“Woit!“ Satu suara menerjah dari belakang. Hampir gugur jantung di buatnya. Liza! Baru saja rasa nak bersendirian, minah ni datang mengacau pulak. Tak bagi aku peluang nak bersentimental langsung!

“Wei... Tak reti nak bagi salam ke?“ Aku mengurut dada.

“Hehe... Ye lah.. ye lah. Assalamualaikum Cik Ika!“ Dia tersenyum nakal.

“Waalaikumussalam Cik Liza. Kau dari mana ni?“

“Dari bilik. Aku nampak kau dari atas tadi. Jalan lenggang kangkong macam sayur kangkung terlebih masak je. Lembik.. Lemah... lembut... longlai... Kenapa? Tengah praktis nak jadi perempuan melayu terakhir ke?“

“Aku tak payah nak praktis, memang aku ni lah perempuan melayu terakhir yang semacam aku. Tak ada dua tiga... Tak de duplicate, copy paste, klon atau kembar seiras aku punye. Original, hanya aku je.” Aku membalas. Liza ketawa sambil mencebik.

Kemudian kami kembali mengatur langkah menyusuri jalan tanpa arah. Laluan untuk pejalan kaki yang di bina banyak cabangnya. Ibarat hidup yang bersimpang siur. Hanya beberapa jarak saja lagi, laluan ini akan sampai ke bangunan kantin yang bersambung dengan dewan kecil dan bilik gerakan pelajar.

“Eh... Abang Arif dengan sapa tu?“ Katanya tiba-tiba. Mataku segera mencari arah pandangan Liza. Mataku menangkap kelibat dua orang yang aku kenali sedang bergelak ketawa. Mereka macam pasangandah kenal lama. Dah biasa berbual mesra. Kenapa dia tak pernah cerita pada aku tentang lelaki itu? Kenapa dia tak pernah sebut apa-apa tentang mereka? Ahh... lelaki.

“Abang Arif dah ada makwe ke?“ Sambungnya lagi. Mataku kembali mencari orang yang memiliki nama itu. Cuba focus pada apa yang di lihat oleh Liza. Hatiku berdegup laju tatkala pandangan menjamah dua lagi jasad yang ku kenali. Erm... Ini gadis yang pernah aku lihat bersama Abang Arif diperhentian bas dulu.

Cemburukah aku? Entahlah. Gembira? Sepatutnya begitu. Sedih? Mungkin juga. Pada siapa? Pada Abang Arif, gadis itu, atau dua insan tadi? Erm...

Kedudukan aku di sisi Abg Arif terasa tergugat. Belum puas bermanja dengannya. Sebahagian dari diriku, mahu terus jadi adik manja yang sering mendapat perhatian dari abang yang begitu penyayang. Bila ada perempuan lain dalam hidupnya, itu bermakna aku bakal disingkirkan.

Aku tahu dia ramai kawan, ramai peminat. Tapi aku tak pernah melihat abang Arif memberikan perhatian kepada mana-mana perempuan sebelum ini. Tak pernah lihat dia berbual mesra dengan mana-mana gadis setakat ini.

Gadis tu memakai tudung gaya Waheeda. Memang kena dengan wajahnya yang bujur sirih tu. Manis… Ayu sekali… Kenapa sebelum ni aku tak pernah nampak dia kat sini ye? Tiba-tiba je di hari terakhir aku di sini, dia muncul bersama Abang Arif. Riak muka mereka kelihatan begitu ceria. Mesra.

“Woi... Ika! Aku tanya kau ni!...“ Liza menepuk bahuku. Sekali lagi aku tersentak.

“Err... Kau tanya apa?“

“Ya Allah... Sejak bila telinga kau tersumbat ni? Aku tanya, itu makwe abang Arif ke?“ Liza mengulang soalan. Makwe? Mungkin. Tapi jawapan itu hanya bergema di hati.

“Manalah aku tahu. Dia tak de pun cerita kat aku. Tapi aku pernah nampak perempuan tu kat stesyen bas masa aku hantar abang Arif dulu.” Jelasku jujur dan bersahaja. Segala rasa tak senang yang menyimbah hati sedetik tadi, aku lemparkan jauh-jauh.

“Kau ni kenapa?“ Seolah tak puas hati dengan reaksi aku, Liza bertanya lagi.

“Kenapa apa?“ Menyoal soalan. Sering aku lakukan bila aku tak faham atau sengaja mahu melarikan diri dari menjawab soalan.

“Ye lah... Lain macam je aku tengok kau ni.“ Musykil.

“Aku biasa je lah. Cuma tengah fikir macam mana nak kenakan abang Arif. Kalau betul perempuan tu mak we dia, siaplah. Kata nak kongsi segala cerita dengan aku, tapi tak de pulak dia ceritakan apa-apa tentang perempuan tu. Tak boleh jadi ni.“ Aku berdalih. Aku paksa fikiranku untuk kembali aktif menjana kenakalan yang biasa ku cetuskan.

“Ooo... bagus... bagus... Mesti best kalau dapat kenakan dia, kan? Dan kau memang sentiasa cari peluang nak kenakan dia, betul tak?“ Aku mengangkat kening sebelah sambil tertawa kecil.

Liza memang tahu serapat mana aku dengan abang Arif. Dia faham benar corak hubungan aku dengan abang Arif. Panas, meriah dan menenangkan. Itu katanya. Aku pun tak pasti benar atau tidak. Yang aku tahu, Abang Arif memang memberikan warna dalam hidupku.

“Sementara kau fikir tu, apa kata kau temankan aku pergi makan. Aku lapar la...“ Kata Liza sambil terus menarik tanganku tanpa menunggu persetujuan diberikan. Aduhai kawan... Kau ni memanglah...

3 comments:

BalQis said...

Kak su, are you a novelist?
Did u wrote this?
wow...

suara said...

Balqis...
Yes, I wrote this but pls don't call me novelist. Too far to be novelist. This story is just for fun only. :)

Anonymous said...

kak su....
u r totally great in this field...
so why dont u use this ability to spread and to make it as ur side income???
insyaAllah ur pers[ctive given through this writing will give benefit not only for people but for your future also....