Feb 21, 2008

Pertama : Bab 14.4

‘Takdir. Segalanya berlaku tanpa di rancang. Orang kata kita boleh merancang kehidupan, boleh memilih jalan yang mahu kita lalui, tapi bila sesuatu yang berlaku itu diluar perancangan, lalu ianya pastinya ia adalah perancangan yang di buat oleh Allah kerana Dia ialah Yang Maha Mengetahui.‘

‘Manusia memang lemah dan punya pengetahuan yang terhad tentang sesuatu perkara. Apa yang telah terjadi pun kadang tu tak kita ketahui, apatah lagi apa yang bakal terjadi. Kerana itulah Dia telah mengatur kehidupan manusia dengan corak yang terbaik, yang hanya Dia tahu kenapa Dia jadikan perjalanan hidup kita begitu.’

Afiq mengeluh berat mengingatkan kata-kata yang bekas gurunya dulu. Entah kenapa tiba-tiba segala bicara lama berputar kembali. Pertemuan itu sepatutnya menjadi satu peluang keemasan yang tak patut dilepaskan begitu saja tapi entah kenapa hatinya resah. Rasa yang cuba dikuburkan dirasakan kembali subur. Aduh… kenapa masih ada sisa perasaan yang membajakan harapan, sedangkan dia boleh rasa yang bunga dihujung dahan telahpun di tanda orang, mekarnya kembang bersiram, harumnya bakal menjadi suntingan.

Best man win. Kata-kata itu terlalu angkuh untuk dijadikan pembekal semangatnya merebut dara impian. Apatah lagi merebut dari tangan seorang teman yang begitu dihormati hari demi hari, semakin dikagumi bila makin dikenali. Lelaki biasa yang penuh kesederhanaan, memiliki bakat kepimpinan yang diimbangkan dengan sikap rendah diri, ceria dan bertimbangrasa, malah rasanya siapa saja akan jatuh cinta bila semakin lama mengenalinya.

'Siapalah aku di bandingkan dengan dia yang telah lama mengenalinya. Cinta mereka adalah cinta sejarah, cinta yang bermula dari zaman kanak-kanak yang mungkin ditakdirkan akan kekal sehingga ke penghujung nyawa. Cinta yang dibaja bersama masa, berkembang bersama kenangan mana mungkin mudah untuk dilepaskan. Aku tak mahu menjadi ulat yang memakan segala keindahan yang wujud dalam satu hubungan.'

'Tapi dia terlalu istimewa untuk dilepaskan. Dia yang telah memberi debaran yang tak pernah berlaku sebelum ini. Mungkinkah ini adalah petanda bahawa Allah tak mahu aku berputus asa? Dia mahu aku berusaha untuk hidup yang aku impikan?'

'Istimewanya dia bukan ditakdirkan untuk aku, kerana aku bukanlah orang yang boleh dibanggakan. Lagipun apalah erti satu perasaan yang belum tentu ada kesudahan yang membahagiakan berbanding dengan satu jalinan persahabatan yang telah kemas tertanam dengan keikhlasan.'

'Kenapa mesti merasa rendah diri. Aku bukan begitu.'

'Bukan rendah diri, aku cuma tak mahu menjadi orang yang mementingkan diri.'

Monolog itu berlangsung hanya difikirannya. Hati dan minda Afiq seolah terpecah dua. Berbicara sendiri tentang keinginan, mencari kewarasan untuk satu perasaan yang entah kenapa terlalu sukar untuk diusir. Berhujah dan terus berhujah tanpa ada suara yang pecah diulasan bibirnya yang kering.

Afiq faham diri Arif, sikap dan peribadinya begitu sukar di gugah, terlalu payah untuk dicari kelemahannya yang terlindung oleh keistimewaannya. Ketegasan dan keteguhan pendiriannya dalam apa jua perkara tetap sama. Afiq boleh mengagak dan menjangka, mana mungkin akan ada gadis yang akan menolak untuk dicintai oleh Arif. Malah hakikat yang ada didepan matanya ialah ramai gadis yang menunggu untuk dilamar hatinya oleh Arif.

Kertas yang bersusun dimeja direnung kosong. Fikirannya melayang memikirkan pertemuan tadi. Sesekali hati Afiq dijamah rasa cemburu. Tapi cemburu untuk kelebihan yang tak mampu dilawan rasanya satu penyakit hati yang harus dihindarkan. Setiap orang punya kelebihan yang tersendiri, anugerah dari Yang Maha Pencipta.

Afiq tahu, dimata orang lain, dia juga ada kelebihan tapi bila digandingkan dgn Arif, terasa benar dia banyak kekurangan. Afiq yakin dia pasti kalah. Lalu mestikah dia menyerah dan pasrah. Biarlah dia mengalah sebelum mencuba, kerana rasanya mencegah itu lebih baik dari mengubati. Dia tak mahu terluka andai kalah itu miliknya, dan dia tak mahu melukakan hati seorang sahabat andai menang itu digenggamannya.

Matanya melilau memerhati bilik berukuran sederhana yang dijadikan bilik gerakan untuk ajk yang bertugas. Kekosongan bilik ini memberi peluang untuk dia menenangkan diri. Mereka semua masih sibuk diluar sana dan dia berkurung di sini. Bukan melarikan diri dari tanggungjawab, tapi sekadar mahu melepaskan sesak dan debar di dada. Kering tekaknya semakin terasa tapi apakan daya air yg tumpah tak berganti, yang mampu dia lakukan sekarang hanyalah menelan air liur. Itupun rasa terlalu susah untuk di telan.

Mindanya ligat diburu pertanyaan. Kenapa masih ada pertemuan antara mereka? Alangkah sempitnya dunia ini. Mungkin sebenarnya Arif sengaja menjemput Ika kerana mahu menghabiskan masa bersama dan ianya bukan satu pertemuan yang tak dirancang. Yang tak di rancang hanyalah pertembungan antara Afiq dan Ika. Itu sahaja. Tapi kenapa Arif tak langsung bercerita tentang kedatangan Ika ke sini?

Biasanya kalau ada perkara yang melibatkan Ika, Arif akan bercerita padanya, tapi tidak kali ini. Mungkinkah Arif telah mula pandai berahsia dengan dia? Mungkinkah Arif mula rasa tak selesa kerana sedar pandangan Afiq pada Ika telah berbeza? Fikirannya berputar mencari jawapan, mencari ruang kemungkinan, tapi semua itu hanya membuatkan kepalanya berdenyut sakit.

Afiq menarik nafas panjang, lalu melepaskannya perlahan. Mengharapkan fikirannya tak lagi diserbu oleh pertanyaan demi pertanyaan. Afiq sedar dia hanya manusia biasa yang tak mungkin tahu semua itu tanpa bertanya... tapi siapa dia untuk bertanya? Apa perlunya dia untuk tahu semua itu? Kenapa ada rasa ingin tahu sedangkan dia sudah boleh mengagak apa yang berlaku?

Biarlah... biarkan saja... Afiq bangun lalu membuka pintu lalu menapak keluar dari bilik itu. Ada tugasan yang lebih penting untuk dia uruskan selain dari melayan pertanyaan yang banyak bersarang di fikirannya.

2 comments:

Anonymous said...

Arif sedar dia hanya manusia biasa yang tak mungkin tahu semua itu tanpa bertanya... tapi siapa dia untuk bertanya? Apa perlunya dia untuk tahu semua itu? Kenapa ada rasa ingin tahu sedangkan dia sudah boleh mengagak apa yang berlaku?

Biarlah... biarkan saja... Arif bangun lalu membuka pintu lalu menapak keluar dari bilik itu. Ada tugasan yang lebih penting untuk dia uruskan selain dari melayan pertanyaan yang banyak bersarang di fikirannya.

lol...
ni monolog afiq ke arif?

Anonymous said...

hehe... maaf, typo error rasanya sbb nama hampir sama. Ini sebenarnya adalah monolog Afiq. anyway saya dah betulkan kesilapan itu.

Terima kasih atas keprihatinan anda. Ada pembaca yang prihatin mmg perlu untuk saya memperbaiki kekurangan / kelemahan yang ada. syukur kerana anda sudi memberi teguran. :-)