Feb 13, 2008

Pertama : Bab 14.3

Aku melangkah keluar dengan keadaan yang agak tergesa-gesa. Antara perasaan tak sabar nak mengetahui siapa yang ingin berjumpa denganku dan juga perasaan nak lari dari perbualan dengan minah tomboy tadi. Yang pasti fikiran ini masih berlegar dengan pelbagai pertanyaan.

Pewiittt… Tiba-tiba kedengaran siulan yang dulunya biasa ku gunakan bila nak mengusik sesiapa. ’Ish... Sapa pulak yang gatal nih.’ Aku tertanya sendiri, lalu cuba berpaling ke arah datangnya siulan tersebut. Tiba-tiba…

“Ops… sorry!” Serentak dengan itu aku rasa badanku disirami air yang sejuknya menyentuh tahap beku. Baju sekolah yang ku pakai berubah warna. Basah dengan warna merah.

“Haa? Woi, buta ke. Habis baju kena air sirap nih. Kalau nak minum dok diam-diam. Kalau nak berjalan, jangan minum, kalau nak minum, jangan berjalan. Menyusahkan orang je.” Aku bersuara dengan nada yang agak tinggi. Suhu kepanasan di hati naik walaupun terkena siraman sirap ais yang sejuk. Aku menyapu baju yang basah dengan tangan, cuba mengurangkan daya serapan air, namun aku tahu ia tak memberikan sebarang perubahan.

“Err.. maaf, saya tak sengaja. Lagipun bukan ke adik yang sepatutnya jalan tengok ke depan?” Amboi, menjawab nampak. Minta maaf, tapi dalam masa yang sama cuba menyalahkan aku atas peristiwa yang tak di sengajakan itu. Ini tak boleh jadi. Aku mengangkat muka, membuka mulut, mahu menegakkan apa yang aku rasakan.

“Hei, jangan nak salahkan…” Aku bersuara dengan tahap kegeraman yang semakin naik, tapi belum sempat ayat aku habiskan, tiba-tiba terdengar satu suara yang amat biasa aku dengar.

“Ika!!!... Apahal bising-bising ni?”

’Abang Arif? Apa dia buat kat sini?’ Aku diterpa oleh persoalan bila melihat kehadirannya yang muncul secara tiba-tiba.

“Awal-awal lagi Ika dah buat hal ye?” Aduh... Bala dah datang dah.... Aku terkebil-kebil dengan mulut separuh terlopong. Masih terkejut dan tidak percaya dengan pandangan mata yang tak rabun ini. Macam mana pulak tok guru aku ni boleh ada kat sini? Dah tu, bukan nak bela aku pulak. Menyalahkan lagi ada…

“Apa abang ni… Dia ni yang tak pakai mata bila jalan. Mata empat pun tak reti nak guna betul-betul. Habis basah baju Ika. Dah le Ika bawak baju cukup-cukup je.” Aku rasa nak membebel, mengadu dan bersungut, meluahkan apa yang sesak dalam mindaku sejak dua minit yang lalu. Geramnye…

“Ish... ish… ish… Kesian kat Ika ye!..” Dia bersuara dengan nada yang aku tahu tak ikhlas. Mengejek dan menggelakkan aku seperti biasa. Kemudian dia menyambung, “Abang nampak apa yang berlaku tadi. Dah lah. Bukan semuanya salah dia, salah Ika jugak. Itulah… pantang ada orang pewit sikit, mulalah jalan tak betul. Itu baru pembalasan dunia...” katanya sambil melepaskan gelak yang mungkin di tahan sedari tadi. Mulalah tu. Suka sangat mengusik aku.

“Mana abang tahu ada orang pewit kat Ika?” Aku hairan.

“Mestilah abang tahu sebab sebenarnya abang yang pewit Ika tadi.“ Gelaknya lagi sambil menjawab kemusykilan aku. Ceh… Abang Arif yang kenakan aku rupanya.

“Abang memang!!!“ Kata aku sambil melepaskan satu pukulan kecil pada Abang Arif untuk melepaskan geram. Tawanya bertambah.

“Ingat nak uji Ika. Mana tahu dia ni pulak yang jadi mangsa Ika. Ika ni kan… tak patut betul buat dia macam tadi.” Balasnya selepas reda dari ketawa akibat dari kelucuan yang aku tak rasakan lucu pun.

“Teruknya abang ni… “ ujarku geram yang teramat sampai tak terkata-kata. Wajahku terasa seolah telah bertukar warna.

Aku tetiba sedar yang lelaki itu masih di situ, melihat segala drama antara aku dan abang Arif. Shuuh... Pegilah... Seronoklah tu bila tengok aku dimalukan abang Arif…. Ingin rasanya aku menghalau dia tapi tak mampu aku keluarkan kata-kata yang bergema di dalam hati, bimbang akan dimarahi oleh abang Arif.

“Apa pandang-pandang. Tak pernah tengok orang ke?” Akhirnya aku bersuara bila sudah tak tahan melihat senyumnya yang menyakitkan hati tu. Harapnya dia faham yang aku bermaksud untuk menghalau dia pergi dari tempat kami berdiri sekarang. Tapi senyuman dia semakin lebar. Abang Arif memandang budak tu sambil tersenyum, kemudian tergelak kecil dan akhirnya merapati lelaki itu sambil menepuk bahu.

“Sorry le Fiq atas apa yang berlaku tadi. Sepupu aku ni memang macam ni. Garang tak mengira tempat bila dia terkejut dan panik.” Haa…?!! Abang Arif kenal dia? Habis lah aku.

“Dialah yang selalu aku ceritakan tu. Buah hati jantung pisang tanduk emas aku.” Entah apa yang dia cakapkan tapi yang pasti aku tahu keadaan aku pasti parah aku kali ni. Entah apa yang pernah diceritakan tentang aku pada mamat speckie ni.

“Tak pe. Aku tak kisah.” Katanya sambil tersenyum lagi. Aku jadi semakin menyampah. ’Senyum je? Tak nak gelak kat aku ke?’ Hati aku menabur geram yang masih mampu di tahan. Aku tension. Entah dalam hati, dia menggelupur ketawakan aku.

“Lagipun rasanya ini bukan kali pertama aku kena dengan dia.“ Katanya menyambung. Bila masa pulak aku kenakan dia nih? Aku pernah jumpa dia ke? Aku mula merenung dia dengan harapan dapat mengingati pertemuan yang mungkin pernah terjadi antara aku dan dia, tapi entah kenapa aku rasa wajahnya asing bagi aku. Aku memandang dia dengan kening yang sedikit berkerut kerana kehairanan dan dalam masa yang sama aku mengharapkan dia akan menjawab soalan yang berlegar difikiran tanpa perlu aku kemukakan soalannya.

“A’ah… Aku ingat. Aku ingat... ” Abang Arif gelak. Aku semakin hairan. Ingin sekali aku bertanya tapi dalam masa yang sama aku juga takut kalau soalanku nanti akan memberi peluang pada abang Arif untuk mengenakan aku dengan lebih teruk lagi.

“Okeylah Arif… aku pegi dulu lah ye.“ Katanya sambil menepuk bahu abang Arif, kemudian menyambung, “Bye Ika.... ” Dan dia berlalu sambil menghadiahkan senyuman.

’Hish… memandai-mandai je panggil nama aku. Macam le dah kenal lama.’ Aku bersungut di dalam hati sambil membalas senyuman yang diberikan dengan jelingan geram yang masih bersisa di hati.

Setelah bayang lelaki itu hilang di sebalik selekoh bangunan, aku memulakan serangan. Bertanya pada abang Arif dengan bertalu-talu, meluahkan segala persoalan dan pertanyaan yang telah banyak terkumpul sedari tadi.

“Apa abang buat kat sini? Sapa dia tu? Macam mana abang kenal dia? Apa yang abang cerita pasal Ika kat dia? Banyak mana dia tahu pasal Ika? Apa yang dia dan abang tahu tapi Ika tak tahu? Ika bagi abang 5 minit utk abang jawab soalan Ika ni.” Aku memandang wajahnya dengan serius. Aku mahu dia tahu bahawa aku memang geram dengan dia dan mahu dia berikan jawapan kepada semua soalan yang telah aku kemukakan.

“Fuh.. banyaknye soalan. Abang kesuntukan masa ni. Lagipun…” Katanya cuba berdalih.

“Tak boleh. Ika tak benarkan abang pergi selagi tanda soal dalam kepala Ika ni tak lenyap.” Aku memotong cakapnya, sambil itu aku menolak badannya ke dinding, lagak samseng yang baru nak belajar menjadi gengstar.

“Dia dah buat dah…. Abang jawab sikit-sikit je lah ye.“ Abang Arif menggeleng-geleng kepala sambil tersenyum.

“Abang dan dia tu kawan satu kolej dan course yang kami ambik pun sama. Universiti kami yang anjurkan kursus motivasi ni. Dia tu pengarah projek dan akan selalu ada kat sini sepanjang 3 hari ni. So, Ika jangan risau. Ika masih ada peluang nak berkenalan dengan dia.” Bila masa aku cakap aku nak berkenalan… Memandai je. Itu nak cari idea kenakan aku lah tu. Sempat lagi dia mengusik sambil tersenyum sumbing. Geram aku dibuatnya.

“Dia pernah jumpa Ika ke sebelum ni?“ Aku bertanya soalan yang paling aku nak tahu.

“Pernah.“ Jawabnya ringkas.

“Kat mana?“ Soalku lagi ingin tahu.

“Dalam mimpi.“ Katanya sambil tergelak.

“Abang ni, mainkan Ika pulak. Benci la. Ika tanya serius ni.” Geram.
“Betullah tu. Dia jumpa Ika dalam mimpi dia, tapi Ika tak ingat sebab dalam mimpi Ika cuma ada abang je. Betulkan?” Katanya mengusik. Mukaku diterpa kepanasan yang menderu.

“Okeylah Ika, abang kena pegi dah ni. Jaga diri baik-baik, jangan buat hal lagi. Abang tak nak tolong nanti.” Sambungnya cepat sambil memulakan langkah untuk berlalu. Eleh.. macamlah dia ada tolong aku bila aku kena buli, lagi buli aku ada lah.

“Abang… nanti dulu… “ Aku masih belum berpuas hati. Jeritanku tadi langsung tak diendahkan. Menyampah betul lah.

‘Tak pe… Kalau ada peluang nanti, tahulah Ika nak buat macam mana. Abang jangan menyesal…’ Bisik ku dalam hati sambil memandang tubuhnya yang kelihatan kian mengecil dan menghilang disebalik bangunan.

No comments: