Jan 25, 2008

Pertama : Bab 14.1

Selesai urusan pendaftaran, kami diberikan kunci bilik yang terletak di 2 blok yang berbeza, satu blok untuk lelaki dan satu lagi untuk perempuan. Sebenarnya terdapat banyak blok asrama, tapi hanya 2 blok yang di berikan untuk peserta kem motivasi.

Bilik yang hanya boleh memuatkan 3 orang sebilik membuatkan kumpulan pelajar sekolah aku telah berpecah. Nampaknya hasrat Liza untuk sebilik dengan aku tidak kesampaian kerana ternyata pihak penganjur mempunyai strategi lain bila mereka menentukan bilik peserta mengikut alphabet.

Nama aku bermula dengan huruf N dan Liza pulak bermula dengan huruf Z. Zahalizarina Zaharizam, memang bagi aku namanya cukup menarik kerana banyak huruf yang sama dan mudah diingati. Ditambah pula dengan sikapnya memang membuatkan dia senang untuk popular, bukan seperti nama aku yang cukup biasa, cuma mengharapkan sikap aku yang ceria untuk membolehkan aku di ingati.

Aku dan Liza memang ditakdirkan tidak dapat bersama. Selepas pendaftaran, nyata kami diasingkan dan dipisah oleh bilik yang agak jauh. Walaupun sedari awal aku merancang untuk memastikan kami akan tidur sekatil dan sebantal, tapi bila sampai waktunya, rasa tak adil bila mahu meminta keistimewaan sebegitu dari penganjur. Lalu aku diamkan saja, menerima apa yang telah mereka tetapkan untuk aku tanpa sebarang bantahan.

Aku yakin, roommate aku semestinya pelajar dari daerah lain memandangkan dalam kumpulan kami, tak ada seorang pun yang namanya bermula dengan Nurul. Aku tak kisah kerana aku yakin pada kemampuanku untuk bergaul. Insyaallah, aku tak akan menghadapi masalah dengan kenalan baru walau dengan siapapun aku akan ditempatkan.

317. Aku memerhati nombor yang terpampang di depan pintu. Bilik yang akan ku huni selama beberapa hari. Aku mengeluarkan kunci bilik yang telah di serahkan kepada aku selepas pendaftaran tadi. Perlahan aku membuka pintu. Manalah tahu kalau-kalau teman sebilik aku telahpun sampai terlebih dahulu, dan aku tak mahu mengejutkan sesiapapun.

Rupanya bilik itu masih kosong. Yang ada hanyalah perabot serba ringkas yang memang di sediakan untuk pelajar. Katil, almari dan meja study untuk 3 orang. Bermakna aku akan berkenalan dengan 2 orang teman baru. Menjadi orang pertama memasuki bilik itu memberikan aku kelebihan bilamana aku boleh memilih untuk mendapatkan katil dan lokasi yang terbaik. Setelah menimbang-nimbang segala kelebihan dan kekurangan, katil yang agak jauh dari pintu telah menjadi pilihanku.

Aku meletakkan beg yang berisi beberapa helai pakaian untuk kegunaan sepanjang kem ini berlangsung ke dalam almari. Kemudian aku merebahkan badan ke katil, mahu menikmati suasana tenang sementara masih berkesempatan. Aktiviti kem motivasi hanya akan bermula tengahari nanti, bermakna 3 jam dari sekarang. Dengan kesempatan yang ada, mungkin aku boleh lelapkan mata sekejap.

Bumm!!
Aku hampir terlompat lantaran terkejut dengan bunyi pintu yang dihempap kuat. Hampir gugur jantung aku di buatnya. Rasanya tadi aku sudahpun menutup pintu sebaik mungkin. Aku yakin, aku dah tutup pintu tu. Aku berkira-kira sendiri. Menimbang keadaan yang baru aku alami.

Apa yang sedang berlaku sebenarnya? Erm.. mungkin aku tersalah ingat kot. Mungkin aku tak tutup pintu dengan betul-betul. Aku cuba menenangkan hati yang mula di hinggap rasa resah yang tiba-tiba oleh kejadian yang aku rasakan aneh. Aku selalu dengar kisah tentang asrama atau kolej yang penuh dengan misteri kejadian yang pelik-pelik. Mungkinkah aku akan mengalaminya di sini? Aduh... Risau aku di buatnya.

Aku cuba melenyapkan perasaan tak senang. Mungkin roommate aku nak masuk kot. Aku mencapai tombol pintu, membukanya dan melihat keluar. Tak ada sesiapa yang kelihatan berkeliaran di luar. Sememangnya tak ramai orang kerana hari masih muda, masih awal lagi. Suasana sekitar yang agak sunyi membuatkan perasaan aku sedikit tak senang. Aku kembali ke katil dan merebahkan badan, seboleh mungkin aku cuba melelapkan mata yang langsung tak mengantuk tapi ternyata gagal.

Aku mencapai beg dari dalam almari, berhajat untuk mengemas, menggunakan hanger yang sedia ada untuk menyangkut baju agar lebih senang untuk di ambil nanti. Sedang aku leka mengemas, sekali lagi pintu berdentum kuat, tapi kali ini diikuti dengan lampu yang terpasang dan kipas yang tiba-tiba terpadam. Apa halnya ni? Isk.. tak mungkin ada hantu di siang hari.

Ahh... mungkin itu hanya perasaan aku saja. Bersendirian di tempat asing, mungkin membuatkan aku berhalusinasi. Jangan sampai aku jadi gila, sudah. Aku teruskan kerja mengemas. Daripada melayan perasaan bimbang yang berbisik, baik aku menyibukkan diri. Aku mengemas sambil menyanyi-nyanyi kecil untuk menghilangkan kesunyian.

Selesai berkemas, aku duduk di meja study yang diletakkan menghadap tingkap. Seketika kemudian, aku terdengar bunyi cakaran di depan pintu. Bertambah gelisah aku di buatnya. Aku di tempatkan di bilik berhantu ke? Ahh… Lantaklah. Selagi aku tak nampak hantu tu, aku tak kisah. Kalau setakat nak tutup pintu, main lampu dan kipas, aku pasti boleh bertahan. Bisikku untuk menenangkan hati sendiri.

Masa yang terluang seharusnya aku gunakan untuk berehat sebelum tenaga aku dikerahkan untuk aktiviti yang aku tak tahu bagaimana. Mungkin juga beberapa hari disini, aku akan dilimpahi dengan ceramah yang membuatkan mata aku semakin celik ataupun semakin tertutup. Aku pun tak pasti. Malas nak berteka-teki, lalu aku merebahkan diri ditilam yang tak bersarung dan cuba untuk memejamkan mata namun setiap kali itu juga ada bunyi aneh menjamah pendengaranku.

Bumm!!… Bunyi pintu dihempap lagi. Tenang Ika. Aku perlu bertenang. Malas bercampur tak berani membuka mata membuatkan aku mengambil keputusan untuk mendiamkan diri. Kedengaran bunyi batuk dan bersin yang berulang. Hantu ni dah tukar taktik pulak ke? Aku membiarkan saja. Tiba-tiba angin sejuk menyapa mukaku… Kerana terkejut, aku membuka mata.

“Errkkk… Mak! Tolong!!! “ Sepasang mata bulat sedang memandang aku dengan pandangan yang tajam, merenungku dengan jarak hanya sejengkal dari muka. Namun rupanya jeritan aku yang luar biasa nyaringnya ternyata membuatkan makhluk itu juga terperanjat sehingga tercampak dan terduduk.

Astaghfirullah hal azhimm. Asyhadu allaaillah ha illallah, wa asyhadu anna muhammadarrasullullah... Aku tak mahu terlalai kerana terperanjat, sebaiknya aku mengucap sebelum nafasku tercabut oleh kerana kejutan yang entah bagaimana lagi selepas ini. Ya Allah, lindungilah aku ya Tuhan...

Jan 16, 2008

Pertama : Bab 14.0

Sabtu. 7.30 pagi. Berbasikal ke sekolah bertemankan Liza memang telah menjadi rutin semenjak kami di sekolah rendah lagi. Kami membesar bersama, sekampung, mengaji Quran di surau Ayah Min juga bersama. Mungkin kerana selalu berpeluang untuk bersama, kami menjadi akrab. Rasanya kami antara yang terawal sampai ke sekolah memandangkan keadaan yang masih lengang.

Aku dapati beberapa buah basikal telahpun ada tersadai di tempat yang dikhaskan untuk pelajar meletakkan kenderaan mereka. Mataku melilau melihat sekeliling, mencari kelibat manusia yang aku kenali, yang bakal menyertai perjalanan ke kem motivasi yang akan di adakan di UiTM, namun langsung tak kelihatan. Sunyi dan lengang. Damai dan tenang. Aku menarik nafas dalam dan menghembusnya perlahan sambil mendepakan tangan, lagak bersenam ringan.

Aku sukakan suasana begini, sukakan sekolah ini, sukakan rasa kedesaan yang di muliki di sini. Aku suka segala-galanya. Malah tempat letak basikal yang berada di tepi padang inipun aku suka. Lokasinya membolehkan aku menikmati pandangan hijau yang terbentang ini setiap pagi sebelum memasuki kelas. Memang menyejukkan mata.

Angin lembut menderu menyapa, menampar lembut badanku yang hanya berpakaian sekolah. Memang agak janggal memakai baju sekolah di hari cuti, tapi apakan daya untuk membantah arahan Cikgu Nasir yang mahu kami tetap beruniform semasa mendaftar. Katanya itu untuk memastikan kami nampak kemas dan berdisiplin.

Sisa embun yang berbaki membuatkan sejuk bayu terasa menusuk ke tulang. Namun itulah yang aku suka tentang desa. Aku suka dengan embun, suka dengan dingin, suka dengan sunyi tenang yang hanya mampu di nikmati di pagi hari cuti. Suasana ini menjadikan aku lebih bersemangat untuk meredah hari walaupun bagi sesetengah orang, ia lebih nikmat kalau dapat berada dalam balutan selimut yang membekalkan kehangatan yang selesa.

“Ika, awal benar kita datang ni. Kau punya pasal la ni. Bersemangat sangat sampai orang lain pun belum sampai lagi.“ Kata Liza sambil memeluk tubuh yang kedinginan. Basikalnya di tongkat, diletakkan bersebelahan dengan aku.

“Mestilah bersemangat. Kita kan nak ke kem motivasi. Belum dengar ceramah motivasi pun aku dah bermotivati, kalau dah dengar ceramah nanti, mesti meletup-letup motivasi aku nanti. Tak rugi Cikgu Nasir hantar aku. Kau pun patut bersemangat jugak.“ Aku membalas katanya sambil tanganku ligat membuka tali yang mengikat beg di belakang basikal.

“Yo lah, yo lah...“ Malas bertekak agaknya, lalu hanya itu yang keluar dari mulut Liza. Aku tersengih dan ketawa kecil melihatkan reaksi Liza.

“Ika, kita ke kantin lah ya. Boleh duduk jugak sbb kat sana ada kerusi. Aku lenguhlah kalau nak berdiri je kat sini.“ Liza mencadangkan.

“Kau ni, berdiri kat sini lenguh, kalau kena berdiri sbb Cikgu Lokman yang suruh, tak ada pun kau mengadu lenguh.“ Aku berkata mengungkit dan mengusik.

“Itu berdiri lain, berdiri dengan semangat nak mencuci mata namanya tu. Lain kesannya Ika. Kau tak boleh bandingkan.“ Jawab Liza sambil tersengih. Aku mencapai beg yang berisi beberapa helai pakaian dan sebuah buku nota dan pencil case lalu menuju ke kantin. Liza mnegikut langkahku.

“Dengan Cikgu Lokman pun kau nak cuci mata? Dengan apa? Dengan misainya yang melintang tu?“ Aku rasa lucu dengan kenyataan yang di berikan oleh Liza. Cuci mata? “Tolonglah, baik kau tengok Kamil buaya yang hensem tu kalau setakat nak cuci mata dari tengok Cikgu Lokman.“ Aku menambah sambil tergelak.

“Itu polish mata namanya, bukan cuci lagi.“

“Ngapa pulak tengok Kamil kau kata polish?“ Aku kehairanan dengan istilah yang Liza gunakan.

“Sebab kalau tengok Kamil, dia akan buat mata aku bersinar. Jadi itu namanya polish...“ Kata-kata Liza membuatkan aku tergelak besar. Ada pulak macam tu. Macam kereta pulak.

Masa menunggu kami habiskan dengan berbual dan bercerita tentang cikgu-cikgu dan juga rakan pelajar yang menarik perhatian Liza. Tak lama kemudian beberapa rakan yang lain sampai dan turut menyertai perbualan kami di kantin.

“Kawan-kawan semua. Mintak perhatian. Aku ada sedikit taklimat ringkas sebelum cikgu Nasir datang.“

“Sejak bila kau di nobatkan jadi penyampai taklimat ni Ika?“ Azrai, rakan sekelas merangkap ketua kelas aku tiba-tiba bersuara. Selalu juga aku menjadi orang yang menduga kesabarannya dengan sedikit kerenah nakal, namun kali tak sampai menjadi musuh.

“Dah lama dah. Kau tak kan tak tahu“ Liza menyampuk. Aku hanya tersengih sambil menyambung.

“Aku ni bukan apa, sekadar nak mengingatkan dan memberi amaran yang tak berapa keras pada korang semua je. Sesampainya kita kat sana nanti, korang janganlah bernakal-nakalan....“

“Bernakal-nakalan? Kamus dewan bahasa mana kau guna ni Ika? Aku tak pernah dengarpun.“ Azrai menyampuk lagi.

“Tu lah kau, belajar tak abih. Gaduh lagi dengan Cikgu Sharifah, ilmu bahasa kau dah tak lengkap jadinya.“ Liza bersuara lagi bagi pihak aku. Terasa lucu bila setiap kata Azrai, Liza yang membalasnya.

“Ingat, di larang sama sekali membuli orang. Kalau aku terbuli orang kat sana tak pe sebab aku dah cukup ilmu buli membuli ni. Kalau nak cuba kebolehan ilmu membuli korang tu kat sana, boleh tapi mesti mintak kebenaran aku dulu. Bukan apa, aku tak mahu korang memalukan aku dan sekolah. Kalau nak buli, biar buli betul-betul, jangan macam buli anak ayam je. Tapi kalau ada orang buli korang kat sana, jangan harap aku nak tolong....“ Entah apa yang aku bebelkan, aku pun tak tahu. Merapu tanpa sebarang niat dan isi penting yang aku nak sampaikan, cuma aku cuba untuk memenuhi masa yang terluang sementara menanti kedatangan Cikgu Nasir.

Tiba-tiba aku melihat Liza berkelakuan aneh. Seolah cuba untuk memberitahu aku sesuatu. Alamak, Cikgu Nasir dah sampai ke?

“Baiklah kekawan, Ingat ya pesanan saya tadi, kita kena berdikari bila berada di sana. Jangan menyusahkan cikgu, kakak-kakak dan abang-abang fasilitator. Bantu rakan-rakan yang memerlukan bantuan terutama kalau ada kawan yang kena buli. Yang penting semangat mesti kuat…. “ Aku menukar corak ucapan tak resmi pada rakan-rakan seangkatan bila menyedari sesuatu yang tak menyenangkan cuba disampaikan oleh Liza.

“Amboi… Belum apa-apa lagi dah nak bagi ceramah. Dah le tu, ajaran sesat pulak yang di bagi.” Tekaan aku mengena. Cikgu Nasir. Dah lama ke dia muncul kat belakang aku ni?

“Err… tak cikgu. Cuma nak bagi ingatan je. Tak nak dia orang nakal-nakal kat sana. Nanti jatuh maruah sekolah. Nanti sapa yang malu. Cikgu jugak…” Aku berkata sambil tersenyum menahan gelak.

“Pandai le kamu tukar ayat bila tahu cikgu kat belakang ya. Dah lama cikgu kat belakang kamu, tapu kamu tak sedar. Lagipun baru semalam cikgu korek telinga. Tak akan salah dengar punye.” Kata Cikgu Nasir membuatkan aku tersipu-sipu. Tapi aku tahu dia tak marah pun.

Cikgu Nasir sememangnya sudah faham benar dengan perangai aku. Aku akui, dia memang pandai mengenakan aku balik. Berkebolehan hampir sama seperti Abang Arif. Kalaulah Abang Arif tu bukan sepupu aku, pasti aku ingat yang dia tu ialah anak Cikgu Nasir. Kalaulah mereka bergabung, pasti teruk aku di kenakan mereka.

Kami dibahagikan kepada 2 bahagian. Dua buah van sediakan oleh Cikgu Nasir untuk membawa kami ke UiTM. Entah dari mana aku pun tak tahu. Yang pasti satu darinya ialah kepunyaan Cikgu Nasir. Tak kisahlah, yang penting pengangkutan di sediakan. UiTM yang di maksudkan tak jauh dari sekolah kami sebenarnya, hanya mengambil masa 20 minit saja.

Selesai memberi taklimat ringkas, Cikgu Nasir menghantar kami ke distinasi yang dinyatakan. Sepanjang perjalanan singkat itu, van yang aku naiki penuh meriah dengan gurau dan usikan. Niatku cuma satu, mahu menambahkan lagi kemesraan yang memang telah lama terjalin antara kami.

Jan 11, 2008

Pertama : Tugasan Cikgu

Setahun berlalu….

Ada perjuangan yang perlu aku rempuh demi corak masa depan yang ingin ku ukir dengan warna impian yang indah. SPM yang bakal ku hadapi tahun ini pastinya adalah penentu pada langkah yang ingin ku atur untuk mencapai anganku menjadi seorang pakar perubatan.

Tekanan masa study yang perlu di berikan tumpuan lebih, langsung tidak mengubah corak dan rentak kenakalanku. Prinsip hidupku tetap sama, jangan keterlaluan dalam segalanya. Yang penting mesti gembira dengan cara yang di pilih dan aku memilih untuk menjadikan usikan dan kenakalan sebagai satu identiti diri. Hidup dikampung tak banyak hiburan, jadi aku harus mencari hiburan untuk diri sendiri. Kerana kenakalan, aku agak popular di sekolah, namun kenakalan yang ada pada diriku tidak pula menjadikan aku seorang pelajar yang bermasalah.

Kebanyakan teman dan guru-guru memang sudah faham dengan sikap aku yang suka mengusik. Usikan yang hanya ingin mengundang tawa bila ada yang berduka, menceriakan suasana yang kelam suram dan mengendurkan sedikit suasana yang tegang. Walaupun nakal, aku tetap berusaha agar kesopanan seorang gadis tetap terjaga. Didikan mak dan abah memang berjaya membataskan serba sedikit pergaulan dan mengawal kenakalanku agar tidak keterlaluan.

Apa yang paling aku jaga ialah perasaan hormat pada guru. Biar senakal mana sekalipun, jangan sampai melukakan hati guru samada melalui perkataan atau perbuatan. Itu pesan abang Arif yang aku pegang. Berbuat baik dengan guru banyak faedahnya. Ilmu akan dapat secara langsung dan tak langsung. Yang pasti ilmu yang di beri akan lebih di berkati.

Selalunya aku akan menawarkan khidmat percuma untuk membantu guru-guru terutama yang guru kelas dan guru pengawas. Sekadar berusaha untuk meringankan beban guru yang tak seberapa kerana aku tahu ia langsung merugikan aku, malah menguntungkan.

“Ika, datang sini kejap.” Cikgu Nasir tiba-tiba bersuara, menegur semasa aku meletakkan timbunan kertas kertas ujian bulanan untuk subjek Sejarah diatas meja Cikgu Najihah.

“Baik cikgu, tapi kejap je ke?“ Aku berkata mengusik. Meja Cikgu Nasir hanya berselang dua buah meja dengan Meja Cikgu Najihah.

“Ye lah, lama karang awak pulak yg tak belajar nanti.“ Jawab Cikgu Nasir sambil tersenyum. Aku tergelak kecil.

“Ada apa cikgu?“ Tanyaku lagi.

“Saya nak tahu samada kamu kamu free atau tak?“ Amboi ayat, macam nak ajak aku keluar aje bunyinya. Namun aku tahu bukan itu tujuan sebenar pertanyaan itu di tujukan pada aku.

“Cikgu ni, sampai hati cakap macam tu. Saya sedih tau…” berkerut muka Cikgu Nasir bila mendengar aku membalas dengan nada suara yang sayu. Tambahan lagi aku sengaja menundukkan wajah, memandang ke lantai.

“Hah...?“ Hanya itu yang terdengar keluar dari mulut Cikgu Nasir. Terkejut bercampur hairan dengan respond aku agaknya.

“Memang le saya ni bukan utk di jual, tapi tak de lah sampai nak bagi free kat orang. Nak le jugak mas kawin ke, hantaran ke.... Cikgu ada calon yang sesuai ke?” Aku mengangkat muka sambil tersengih. Tak sampai hati nak melihat wajah cikgu Nasir yang berubah tak semena-mena.

“Ya Allah, budak ni memang nak kena. Kesitu pulak peginye.” Dia ketawa kecil, di sertakan dengan senyuman yang terukir manis di bibir yang berkumis nipis. Aku ikut ketawa.

“Apa kamu dah sedia nak jadik bini orang ke? Anak Cikgu ada, kamu nak? Kalau nak, nanti Cikgu hantar rombongan minggu depan.” Budak ni memang saja je nak buat lawak bodoh. Layan je… Agaknya itu yang terlintas di fikiran Cikgu Nasir.

“Err… boleh gak, tapi hantaran untuk saya ialah RM9,999.99. Boleh ke?” Aku membalas lagi.

“Macam yang kamu selalu kamu katalah kan…. Boleh… Boleh… Boleh blah…” Hahaha… Tawa kami pecah berderai, mencorak keriuhan di dalam bilik guru yang agak lengang kerana kebanyakan guru ketawa kami. Biasanya aku yang akan menggunakan ayat itu, tapi nampaknya dia pun dah pandai meniru. Cikgu Nasir memang antara guru yang aku senangi. Umurnya kujangkakan muda sedikit berbanding abah. Tapi yang menyebabkan aku senang dengan dia ialah sikapnya yang sporting dan mudah bergurau.

“Cikgu nak saya buat apa?” Aku bertanya setelah menghabiskan saki-baki ketawa.

“Bulan depan ada kumpulan pelajar dari universiti datang sini utk buat program motivasi bagi pelajar tingkatan 5 tapi buat kat Dewan Serbaguna di UiTM. Setiap sekolah kena hantar dalam 15 orang pelajar je. Program ni utk 3 hari 2 malam dan penginapan disediakan. Bayaran pihak sekolah akan uruskan. Kami akan pilih yang terbaik saja utk dihantar. So, saya nak kamu tolong bagitahu pelajar-pelajar yang terpilih ni, saya akan adakan mesyuarat ringkas petang nanti, lepas waktu sekolah. Boleh ke?” Panjang lebar penerangan yang di berikan. Aku mendengar dengan dengan rasa tertarik. Aktiviti luar sekolah, sememangnya sesuatu yang aku gemari.

“Saya ni terpilih ke tak cikgu?” Aku bertanya ingin tahu. Berharap agar aku menjadi salah seorang yang bertuah untuk menyertai kem motivasi tersebut.

“Utk menyelamatkan keadaan dari menjadi huru hara kat sana nanti, rasanya baik tak payah hantar kamu. Kalau tak, nanti kamu yang bagi ceramah.” Katanya lagi. Aku sedikit tersentak dan terkilan, namun entah kenapa aku rasa ada nada usikan di situ.

“Haa..? Sampainya hati, Cikgu tak pilih saya, tapi nak saya bagitau kat budak lain... Mana aci? Saya ni sebenarnya amatlah lemah semangat, jadi perlukan motivasi utk belajar. Cadangan sayalah kan… masukkan nama saya sekali dlm senarai tu. Saya janji, saya tak akan mengharu-birukan dewan tu dan akan pastikan semangat saya utk belajar berkobar-kobar selepas ni…” Aku memberikan alasan dan cuba untuk memujuk dia memasukkan nama aku andai betul aku tidak tersenarai. 'Betul ke cikgu tak masukkan nama aku? Nak ikut!!!...’ Jeritku dalam hati.

“Tak dapat le cikgu nak bantu sebab pemilihan tu dah pun di tutup.” Wajah dan sikapnya agak serius, membuatkan aku rasa agak lemah semangat. Mesti betul-betul tak terpilih ni. Isk.. kenapalah aku di pinggirkan? Betul ke? Aku masih tak mahu percaya.

“Alahai… sayu pilu hati saya ni cikgu. Tapi, tak pe lah… demi Cikgu yang saya sayangi, saya sanggup menuruti keputusan cikgu. Serahkan lah senarai nama tu pada saya. Saya akan jalankan amanat cikgu dengan sebaik-baiknye.” Aku bersuara sayu. Wajah dan mimik muka yang sedih ku paparkan untuk meraih simpati terakhir. Namun yang terlihat hanyalah senyuman ringkas yang tak mampu aku jangka apa maknanya.

“Terima kasih Ika. Jasamu di kenang. Nah.. ambik senarai ni. Sekarang, pegi masuk kelas. ” Katanya dengan nada tegas. Helaian kertas tu kusambut lemah. Aku meneliti senarai nama sambil berjalan menuju ke kelas…

Nurul Afika bt Aminuddin.

Langkah ku terhenti. Yesss…yes… yes…. Namaku tersenarai!!!.... Aku dapat pergi jugak rupanya. Aku melompat kegembiraan dan bila aku berpaling ke belakang, Cikgu Nasir cuma menggeleng-geleng kepala sambil tersenyum. Gelihati agaknya dengan kelakuanku. Ahh... tak kisahlah.

Jan 4, 2008

Pertama : Secret

“Liza, mana mamat yang kau dok angaukan tu? Tak nampak pun.” Aku bertanya untuk menyingkir tanda tanya yang datang bertandang. Perasaan ingin tahu muncul bila seringkali di hujani oleh cerita-cerita menarik tentang jejaka yang telah menambat hati Liza.

“Aku pun heran, mana dia pegi. Dari semalam lagi dia tak de. Aku belum pun sempat nak kenalkan diri aku kat dia lagi ni. Mana tak nya… panjang pulak masa lampu merah kali ni. Aku datang sini hari-hari hantar pisang pun bukan boleh duduk lama. Kau tahu je lah Mak Limah tu, jeling aku je memanjang bila aku datang. Aku rasa tak lama lagi juling le mata dia tu. Tak kan lah dia pun ada masa mengambang jugak.” Liza mengomel panjang. Rasa kecewa kedengaran agak jelas namun di selindungkan oleh kata-kata selamba yang agak melucukan.

“Hmm… tak de lah peluang aku nak kenakan dia.” Aku berbisik sendiri.

“Apa? Kau pun ada keinginan nak berkenalan dengan dia? Biar betul. Ika, kau sihat ke ni? Betul ke period kau dah abih ni?” Katanya sambil memegang dahi aku.

“Woi! Apa ni… Aku tak demamlah. Aku cakap, aku ingat nak kenakan dia, bukan nak berkenalan dengan dia….” Ujarku keras. Hai.. ada masalah pendengaran rupanya kawan aku ni. Kesian betul…

“Ooo… aku ingat kau nak berkenalan dengan dia. Terperanjat le jugak sebab selama ni orang yang nak berkenalan dengan kau, tapi tak de pulak kau nak berkenalan dengan orang, apatah lagi lelaki. Tapi kan Ika, aku ada permintaan le… Boleh tak kalau kau jangan kenakan dia. Aku tak nak nanti disebabkan kau usik dia, terus dia lari dari aku.” Hujung ayatnya bernada sedikit merayu. Tapi ini dah melampau, nak menyekat hobi aku pulak! Gara-gara mamat surau yang entah siapa nama dan bagaimana rupanya tu, niat aku nak mengenakan telah di halang oleh Liza.

“Eh.. Apa pulak kaitannya. Aku yang usik dia, apasal pulak kau yang melepas?” Rasa tak puas hati menyebabkan aku bersuara lagi.

“Yelah. Aku kan kawan kau. Nanti dia mesti ingat aku pun samseng macam kau jugak.” Jelas Liza ringkas.

“Aku ni samseng ke? Samseng pakai baju kurung ke? Ada datang mengaji ke? Aku ni nakal je tau, bukan samseng. Kacau orang tu sebagai hiburan je” Aku sedikit rasa tersinggung walaupun aku tahu bukan itu maksud sebenar Liza. Walaupun kadangkala aku bersikap agak kasar terutama dengan lelaki, tapi aku tak suka di anggap samseng, rock atau punk, kerana aku bukan begitu dan Insyaallah, aku tak akan jadi begitu.

Dalam segala bentuk kenakalan yang aku pamirkan. aku masih terdidik dengan adat sopan dan terikat dengan ciri-ciri ketimuran. Cuma adakala perangai nakal aku sukar nak di selindungkan dan diubah dengan mudah. Nakal bertempat dan aku tak akan sesekali melakukan perkara yang memalukan keluargaku dengan mempamirkan perangai yang tak senonoh.

“A’ah lah. Aku pun sebenarnya seronok tengok kau mengacau orang. Tambah lagi kalau Jali dan Azlan tu. Kelakar betul… “ Liza ketawa kecil. Lucu agaknya bila mengingatkan beberapa peristiwa yang berlaku sebelum ni. Aku turut tersenyum dan membiarkan saja dia melayan ingatan yang entah mana satu menyapa ruang kenangan di kotak fikirannya.

Seminggu… Dua minggu… Sebulan… Berbulan-bulan…
Lelaki yang di minati oleh Liza dalam diam itu tidak lagi memunculkan diri. Entah kemana menghilang, jasad dan bayangnya begitu saja tanpa dapat di kesan bersama cerita Liza yang tak ada kesudahan yang mengembirakan. Ada juga sesekali perasaan kasihan timbul pada Liza kerana cinta yang belum sempat bermula tapi telahpun berakhir. Tapi aku tahu kisah kali ini bukan tamparan yang hebat baginya kerana ia bukanlah kali pertama dia kecewa di sebabkan oleh lelaki. Dalam setahun, rasanya ada 4 atau 5 kali Liza berhubung dengan jejaka yang dirasakan berpotensi dan kemudiannya memutuskan hubungan. Aku memang dah lali dengan sikap dan kebiasaannya. Dia sendiri apatah lagi.

Aku? Macam biasalah. Masih dengan hobi aku yang suka menyakat.