Jul 2, 2009

Pertama : Merisik Hati

Aku risau. Lain benar kelakuan mak kebelakangan ini. Menungannya jauh sekali, seolah fikirannya memasuki dunia lain, yang tak mampu ku lihat. Entah masalah apa yang membuatkan mak jadi begitu.

Masalah orang dewasa, mungkin tak sesuai untuk aku menyibukkan diri. Tapi hatiku begitu dekat dengan mak. Tak mampu aku mengabaikan saja kemurungan yang semakin ketara. Tiba-tiba aku terasa ingin cepat dewasa, agar mak rasa lebih selesa untuk bercerita.

Ayah? Mungkinkah abah yang menjadi puncanya? Aku tak nampak apa-apa perubahan pada ayah yg mampu membuatkan mak susah hati sampai begitu sekali. Mata mak kehilangan sinar. Layu dan cengkung. Mungkin kerana kurang tdur. Pasti jiwanya sedang hebat berperang.

Puas aku cuba merisik kisah disebalik renungannya itu. Gagal. Letih aku bertanya tapi hanya keluhan yang kedengaran. Paling banyak, dia cuma mengatakan dia tak apa-apa, sekadar tidak berkeinginan untuk bergurau senda dan bercerita.

Krisis pertengahan umur? Tiba-tiba aku teringat tentang rencana yang pernah aku baca di majalah dulu. Entahlah. Aku tak tahu bagaimana untuk mengesahkannya, bagaimana membantunya. Aku cuba merisik dari nenek dan abah. Negatif.

Ahh... biarkan saja. Biar apapun masalah yang mak hadapi, aku harap ianya akan cepat berlalu.

Abang Arif. Cuti hujung minggu yang bersambung dengan cuti perayaan Chinese New Year. Kepulangan yang dapat aku jangka dan memang aku nantikan. Kerisauan aku sedikit terubat dengan senda guraunya. Tapi entah kenapa mak seolah tak begitu mempedulikan abang Arif kali ini. Cerita kampus yang sering di bawa pulang, hanya aku yang menjadi pendengar setianya.

Remang petang sungguh menawan. Tangisan langit telah berhenti, namun pelangi seolah malu untuk menyuakan wajah. Haruman cempaka putih menjamah deria bau, jelas membuktikan hidung aku masih dapat berfungsi dengan baik walaupun kehujanan semalam. Alhamdulillah. Nyata ketahanan tubuhku lebih baik berbanding abang Arif yang kulihat hidungnya sering menangis.

“Ika, betul ke ni Ika tak de pak we lagi?” Tanyanya tiba-tiba. Pecah sunyi yang melingkungi pertemuan kami petang itu. Dedaun tua kekuningan yang masih melekat di ranting pokok kelihatan seolah bunga bila dipandang dari jauh.

“Laa… itu pulak yang ditanya. Macam le tak de benda lain nak borak dengan Ika.” Balasku tak menjawab soalan. Memandang sekilas wajahnya dan kemudian mengalihkan pandangan ke arah lain, menyembunyikan senyum. Geli hati dengan soalan sebegitu. Entah kenapa.

Dia menguis-nguis tanah dengan ranting rambutan yang patah kekeringan disudut laman. Batang kelapa yang ayah tebang tahun lepas dipotong pendek dan dijadikan kerusi ringkas. Kerusi laman untuk rumah kampung. Mudah dan ringkas.

“Ada lah ni ye?” Tanyanya meminta kepastian. Serius.

“Mana ada! Abang jugak yang kata, kalau sapa-sapa nak jadi pak we Ika kena dapat kelulusan abang dulu. Setakat ni abang ada luluskan sapa-sapa tak? Tak de kan? Itu maksudnya, setakat hari ni, Ika masih single mingle.” Aku mengingatkan dia tentang gurauan lalu.

“Abang carilah utk Ika, yek?” Sambungku lagi. Dia tergelak, hampir tersedak. Air sirap kegemarannya yang aku hidangkan sudah tinggal separuh. Gelas yang dipegang diletakkan kembali ke dalam dulang yang kutempatkan di satu lagi potongan batang kelapa yang agak tinggi.

“Sapa yang sanggup nak jadi pak we Ika…… Ika tu nakal sangat, suka kenakan orang. Cuba tukar sikit perangai tu. Senang sikit dapat pakwe.” Katanya sambil terbatuk-batuk kecil.

“Ish... Kalau tak de orang nak kat Ika, terpaksa lah abang yang jaga Ika nanti…. Sampai ke tua tau. Boleh?” Aku menduga, mengusik dan menguji reaksinya. Dia renung aku lama. Tiba-tiba aku rasa menyesal meluahkan kata begitu. Jangan pulak dia salah faham. Terlajak kereta, boleh brek, reverse balik, terlajak kata…?

“Ehh… bila abang nak kenalkan makwe abang tu kat Ika? Kat Mak Long?” Aku cuba menukar topik. Tak selesa bila ditanya soal pasangan hidup, sedangkan aku masih belum bersedia untuk berbincang soal itu. Fikiranku segera singgah pada satu wajah manis yang menyentuh hati. Ada kala aku merasakan hubungan mereka lebih dari seorang kawan. Tapi cara abang Arif, begitu susah untuk ditafsir. Sungguh ku tak pasti, betul ke mereka ada hubungan?

“Betul ke Ika nak abang jaga seumur hidup?” Kata-kata terakhir aku tadi seolah tak di dengarnya. Wajahnya serius. Seolah mencari kepastian. Aku selamba je. Nak tergelak pun ada. Sejak bila le abang Arif ambik kira kata-kata aku ni?

“Kenapa? Tak boleh? Kalau tak de calon yang abang suka, tak kawin Ika karang. Abang sayang Ika, kan? Ika tumpang abang je lah nanti. Harap Kak Mira tak marah….” Aku merendahkan suara di akhir ayat.

“Sapa?” Tanyanya meminta kepastian.

“Isteri abang nanti le…. Tak kan abang tak tahu sapa bakal isteri abang. Abang yang nak kawin.“ Aku membalas.

“Ika?” Dia menyoal atau menegaskan? Tawa aku pecah, hampir tersedak oleh lawak jenaka yang aku rasa dah mula memasuki zon tak logik. Dia tunduk. Tersenyum dengan muka yang sedikit merah. Tak pernah aku lihat dia begitu.

Abang Arif yang berada di hadapanku hari ini sedikit berbeza. Entah apa yang mengaburi fikirannya sehinggakan apa yang aku nak dia dengar, tak sampai ke telinganya. Tapi yang aku tersalah cakap, itulah yang didengarinya.

No comments: