Mar 19, 2008

Pertama : Bab 15.1

Mengharapkan agar sememangnya Abang Arif yang berada di didalam, aku menolak pintu dengan kuat, kononnya mahu menunjukkan perasaan marah dan geram pada abang Arif.

Sshhrruuuu….. Habis basaahhh… ’Aduh… Siapalah yang dengki sangat kat aku ni? Main simbah air malam-malam macam ni?!!...’ Serentak dengan itu, belum pun sempat aku membuka mata, terasa seolah ada serbuk dilempar kemukaku sehingga membuatkan aku terbersin akibat debu-debu halus yang memasuki rongga hidung…. Mataku terasa pedih, terkial-kial aku cuba membuka mata tapi gagal.

“Yeeahhh!!…. Yeeaahhh!!… Happy birthday to you…!! Happy birthday to….…” kedengaran suara-suara sumbang menyanyikan lagu yang amat popular itu. Lagu untuk aku? Ehh… birthday aku lambat lagi. Siapalah yang baik hati tak bertempat ni?

Lagu tadi tak sempat dihabiskan. Suasana kembali sunyi. Sepi. Aku masih berusaha untuk membuka mata sambil meraup wajahku yang nyata basah dek simpahan air dan kini ditambah dengan bedak debu yang dibeli entah dari mana. Dalam kesamaran, aku melihat jasad-jasad manusia yang berdiri didepanku berbentuk bayang-bayang yang tak mampu aku kenalpasti wajah dan identiti mereka. Aku menganggarkan bilangannya mungkin dalam 20 orang. Perlahan-lahan pendangan aku beransur jelas. Wajah-wajah yang biasa ku lihat di sekitar kem ini kerana mereka semua adalah abang-abang dan kakak-kakak ajk penganjur. Aku bersyukur, tetapi dalam masa yang sama benakku diterpa rasa hairan.

’Ya Allah, apa yang sedang berlaku ni? Kenapa jadi macam ni? Apa niat mereka memperlakukan aku sebegini? Malunya!!….’ Aku berbisik dan menyoal sendiri.

“Hahaha…“ Suasana yang tadinya sunyi telah bertukar menjadi riuh rendah dek ketawa yang berdekah-dekah. Mereka sedang menggelakkan aku!!!...

“Ika...? Apa Ika buat kat sini?” Kedengaran suara yang begitu dikenali. Abang Arif? Aku mencari wajahnya dengan tangisan yang hampir tak mampu ditahan lagi. Apa salah aku? Kenapa Abang Arif buat aku macam ni? Kalau nak kenakan aku pun, tak patut dia memalukan aku didepan kawan-kawannya. Aku tak sangka dia sampai hati memperlakukan aku sehingga begini sekali. Melampau betul!!...

Aku tak mahu membiarkan diri menjadi badut untuk mereka. Aku mesti pergi dari sini secepat mungkin. Balik kebilik. Benci! Kecil hati! Pedih dan sakit jiwa raga bagai disiat-siat bila mendengar suara abang Arif dikalangan mereka yang memerhatikan segala kejadian yang benar-benar memalukan itu. Empangan dimata aku hampir pecah, tak mampu nak menahannya lagi. Aku membuka langkah, namun belum pun sempat aku mencapai pintu….

Buummm!!… Pintu dibuka dengan kuat dan…

“Sorry guys… I’m late…” Kata-kata itu singgah digegendang telingaku, bersulam dengan dengungan yang terhasil akibat hentakan kuat di kepala. Suara yang pernah aku dengar, tapi tak tahu di mana. Aku terjelepuk di lantai.

Sakitnya!!... Dihentak dengan benda sekeras itu, mana mungkin kepalaku mampu bertahan. Terasa seolah retak tengkorak kepala aku dibuatnya. Mataku berpinar, berbintang dan terhias dengan campuran warna pelangi yang berselerak. Air mata yang mengalir semakin laju kerana telah dimalukan sebegitu. Belum pun hilang satu kejutan, aku dikejutlan lagi dan kali ini di sertai dengan rasa sakit.... sakit di kepala dan di hati.

“Ika!!… Ya Allah…!!” Aku terdengar suara abang Arif dan suara-suara lain yang riuh rendah, tapi bukan lagi gelak tawa. Suara cemas. Kepala aku dah berdarah ke?

“Ika… Ika… Bangun Ika…” Suara Abang Arif kedengaran begitu dekat. Seseorang cuba mengangkat dan memangku kepalaku. Abang Arif…

“Tepi… tepi… “ Ya Allah… tolong lah biarkan aku pengsan! Aku tak sanggup nak menghadapi keadaan memalukan ini. Doa yang cuma bergema di fikiran ku saja. Sakitnya… Aku cuba untuk bangun sendiri. Tapi nyata mataku yang masih pedih ditambah pula dengan sakit di kepala terkena hentakan tadi membuatkan aku hilang keseimbangan badan Aku kembali terduduk. Samar-samar aku melihat bayangan abang Arif disisi. Namun aku kembali memejamkan mata, menahan rasa sakit dan ngilu yang kini terasa seolah membelah kepala.

“Dimintak bersurai semua… Tolong berikan ruang… Kita tangguhkan dulu perjumpaan kita, okey?” Aku mendengar suara abang Arif memberi arahan. Dan suara bising tadi beransur kurang. Yang terdengar hanyalah suara bisikan dari beberapa orang yang aku tak pasti siapa pemiliknya.

Kesakitan yang aku alami membuatkan aku kembali menutup mata. Memberikan ruang untuk diriku mencari kekuatan dan juga memberi peluang untuk mereka terus mengumpat tentang nasib malang yang menimpaku. Tak sanggup rasanya untuk memandang wajah-wajah yang mungkin sedang tersenyum dan mentertawakan aku. Sesekali berharap bahawa semua yang terjadi tadi adalah mimpi saja, realitinya tak pernah berlaku. Kalaulah ada alat yang dipanggil mesin pemutar masa, mahu rasanya aku mempercepatkan ataupun melambatkan masa, agar dengan begitu, aku tak akan mengalami peristiwa ini.

“Arif, apa yang berlaku? Kenapa sampai jadi macam ni?” Mendengarkan suara itu, aku kembali cuba untuk membuka mata. Kabur… tapi dari bayangan yang berbalam, aku boleh mengagak bahawa itulah lelaki yang telah aku temui dihari pertama aku di kem ini. Lelaki yang namanya muncul dibibir Adi dan Shira semenjak berada di sini. Aku cuba untuk bangun dengan dibantu oleh abang Arif tapi rasa pening membuatkan aku terhoyong-hayang. Sudahnya aku didudukkan di kerusi yang berhampiran. Kalau boleh aku mahu balik sekarang juga, tak mahu berlama-lama di sini. Aku memejamkan mata, cuba untuk mengumpulkan kekuatan dan mengharapkan rasa sakit dan pening akan berkurang.

“Aku pun tak tahu lah Fiq. Kami nak surprise dan kenakan kau le kononnya. Hari ni kan hari jadi kau. So semua dah sepakat nak celebrate birthday kau malam ni selepas semua aturcara berakhir. Alih-alih Ika yang datang. So dia lah yang kena simbah dengan air dulu. Kami ingatkan kau…. Lepas tu baru kau masuk. Dia berpaling nak lari tadi, tapi terkena pintu yang kau bukak tadi.” Panjang lebar penerangan Abang Arif. Melalui cerita dia, aku boleh menerima bahawa semua ini adalah satu kebetulan dan aku telah menjadi mangsa keadaan.

“Ika… sakit ke?” Dia bertanya dengan nada simpati tapi entah kenapa aku merasakan bahawa itulah pertanyaan yang paling bodoh aku dengar. ’Mestilah sakit!!!...’ Aku rasa seolah mahu menjerit. Tapi aku biarkan saja pertanyaan itu berlalu tanpa jawapan.

Aku kembali cuba untuk membuka mata. Pandanganku tak sesamar tadi, sedikit jelas dan tumpuan mataku hanya jatuh kewajah abang Arif. Masih ada sendu yang tersisa. Lelaki itu kemudiannya menghulurkan sapu tangan padaku tapi abang Arif menyambutnya. Di sapunya air mata ku yang sesekali masih gugur membasahi lurah pipi. Air mata yang melepaskan rasa di hati, air mata yang juga berfungsi untuk membersihkan kotoran debu yang dilemparkan tadi.

“Maaf ya Ika. Saya betul-betul tak sengaja.” Katanya lagi dengan nada yang rendah dan kesal. Aku masih membisu, mendiamkan diri.

“Bukan salah kau pun Fiq. Kami pun tak tahu Ika yang datang dan bukannya kau. Kalau diikutkan kejadian, kami yang salah tapi entahlah, aku cuma rasakan yang semua ini terjadi dengan sebab kebetulan saja.“ Abang Arif bersuara lagi, cuba menenangkan perasaan kawannya itu. Dalam diam, aku bersetuju bahawa kejadian ini bukan salahnya.

Sapu tangan tadi digumpal, ditiup dan dituamkan kedahiku. Aku mengaduh kecil. Sebaik saja tersentuh, sakit tadi kembali terasa, namun beberapa ketika aku rasa lebih lega. Sakitpun sedikit reda. Segala perlakuan abang Arif benar-benar membuatkan aku rasa terharu. Dia masih lagi seorang abang yang begitu tekun menjagaku tak kira dimana saja aku berada. Aku benar-benar rasa dimanjakan. Selesa diperlakukan begitu.

Perasaan marah, geram dan kecil hati pada abang Arif tadi lenyap bilamana aku melihat wajahnya yang berkerut-kerut setiap kali dia menuam dahiku. Seolah dia turut merasai kesakitan yang kurasai.

Aku sedar ada mata yang memerhati. Lelaki itu masih setia berdiri disitu, memerhatikan setiap perlakuan abang Arif. Sesekali dia beralih ketepi, seolah gelisah. Kemudian dengan tiba-tiba dia membuka jaketnya dan menghulurkan.

“Ika mesti kesejukan. Arif, kau pakaikan jaket aku ni pada Ika.“ Dia berkata dengan prihatin. Agaknya kasihan melihatkan keadaan aku yang basah kuyup dek simbahan air tadi. Abang Arif menyambut huluran jaket tadi dan membantu aku memakainya, lagak seorang adik kecil yang begitu dimanjai oleh abangnya. Sedetik terlintas rasa malu bila dilayan sebegitu rupa di depan lelaki lain yang aku tak kenali.

“Thanks Fiq.” Kata Abang Arif ringkas. Dia hanya tersenyum dan mengangguk perlahan.

Abang Arif kembali mendepani aku dan bersuara. “Ika, apa yang buat Ika datang sini? Ada orang bagi tahu Ika suruh datang ke?” Aku menarik nafas perlahan. Rasanya tempoh bertenang aku telah cukup dan perasaan aku tak seteruk tadi walaupun kesakitan masih menjalari jasad ini.

“Sebenarnya, lepas ceramah tadi Ika terdengar pengumuman suruh Ika datang sini. Bunyi bising sikit masa tu sebab semua orang dok bersiap untuk balik ke bilik. Ika takde lah pasti sangat yang pengumuman tu untuk Ika, tapi kawan sebilik cakap memang pengumuman tu untuk Ika. Sebab tu lah Ika datang. Ika ingat, abang yang buat pengumuman tu untuk jumpa Ika.” Aku menerangkan.

“Macam mana orang lainpun boleh silap dengar ye? Kalau Ika sorang yang salah dengar lainlah.” Abang Arif masih tak faham. Aku lagi lah tak faham.

“Sapa yang buat pengumuman tu?” Dia bertanya sambil memandang abang Arif.

“Aku suruh Si Man buat sebab hari ni dia punya turn utk kemaskan dewan.” Abang Arif menjawab laju.

“Man? Kau suruh si Man gagap tu yang buat pengumuman?“

“A’ah. Ngapa?"

“Patut le….” Katanya lagi sambil tersenyum. Aku kehairanan. Kalau dia gagap pun apa salahnya dia buat pengumuman? Abang Arif tiba-tiba ketawa.

“Abang, kenapa ni? Tak baik ketawakan orang tau.” Aku rasa tak senang kerana mereka seolah mempersendakan kegagapan orang yang membuat pengumuman. Entah kenapa aku menjadi simpati pada orang yang aku tak kenali. Kebiasaannya aku yang suka menggelakkan orang, tapi kali ini lain. Mungkinkah hentaman pintu tadi telah mengubah personaliti aku?

“Ika, abang tak kenalkan lagi ke kawan abang ni kat Ika? Kalau belum, maybe elok abang kenalkan sekarang, nanti berlaku lagi perkara macam ni, susah pulak.” Heh... baru nak kenalkan? Alah... Tak kenal pun tak pe.

“Ika, kawan abang ni namanya Ahmad Afiq. Biasanya kami panggil dia Fiq atau Afiq je. Nama Ika pulak, Nurul Afika. Biasanya orang panggil Ika atau Afika, kan? Afiq dan Afika. Bukan ke nama kamu berdua ni hampir sama? Dah tu si gagap pulak yang buat pengumuman. Tahu je lah…” Abang Arif menghuraikan punca salah faham dan salah dengar yang berlaku sambil ketawa. Aku mulai faham apa yang sebenarnya terjadi. Dan dia... tersenyum sambil tertawa kecil. Aku memandangnya sekilas dan pandangan kami bertembung... Senyumku tertahan.

Mar 11, 2008

Pertama : Bab 15.0

Ceramah yang bertajuk “Mengenalpasti dan Menetapkan Matlamat Diri” yang di bentangkan oleh Prof. Sharizan Sadikin akhirnya sampai ke penghujung. Langsung tidak membosankan. Penyampaian yang bersahaja dan diselangselikan dengan cerita jenaka sememangnya membuatkan mata aku tetap segar menyantap setiap bait-bait kata yang keluar dari mulutnya. Aku pasti peserta-peserta lain juga begitu.

Adi bangun dari kerusi dan menggeliat sambil diperhatikan oleh Shira. Kerusi yang menampung berat badannya selama 2 jam sedari tadi di alih dengan kasar. Berkeriut bunyi tapak kaki kerusi bergeser dengan simen lantai. Di campur dengan suara pelajar-pelajar lain yang melepaskan perasaan membuatkan suasana dalam dewan kuliah menjadi agak bising.

“Pe…pe..perhatian kepada Afiq, Aaa…. Anda diminta datang ke dewan kuliah 5 sekarang jugak.” Kedengaran satu pengumuman dibuat.

’Ehh… Aku ke?’ Bunyi bising membuatkan pengumuman yang dibuat hampir tenggelam oleh suara-suara manusia dan alatan. ‘Ahh… lantaklah. Mungkin aku salah dengar.’ Aku tidak mahu mempedulikan seruan dan panggilan yang belum pasti ditujukan untuk aku. Lagipun aku rasa tak mungkin nama aku dipanggil tambahan pula dalam masa yang agak lewat begini.

“Ika… Eh, pengumuman tadi utk kau kan?” kata Adi bila dia melihat aku seolah tidak langsung mempedulikan pengumuman yang dibuat. Dia akan menjadi roomate aku sepanjang 3 hari 2 malam aku ada kat sini dan untuk beberapa sesi yang lepas, dia selalu bersama dengan aku. Sikapnya tak seteruk mana sebenarnya. Cuma sesekali bila dia berbicara, ada nada keangkuhan yang terselit. Keangkuhan yang terbit akibat dari kelebihan yang ada pada dirinya. Aku biarkan saja dan menganggap itu salah satu dari cara dia mendapatkan keyakinan diri.

“Ye ke? Tak tau le... Memang aku pun macam ada dengar nama aku dipanggil tadi tapi kenapa ye? Aku rasa aku tak buat apa-apa yang salah pun. Sapa nak jumpa aku? Lagipun kalau bukan aku yang dipanggil, macam mana? Bunyi bising sangatlah, pengumuman tadi aku tak dapat dengar dengan jelas.” Aku ragu-ragu. Tak pasti. Takut dan bimbang kalau bukan nama aku yang dipanggil.

“Betul Ika. Aku memang dengar nama kau tadi. Sapa yang nak jumpa kau, aku tak tahu. Masa pengumuman tadipun tak de cakap. Kalau nak tahu, apa kata kau pegi je. Mungkin ada perkara penting kot. Mana tahu kot sepupu kau tu ke yang panggil. Betul tak Shira?” Adi menyatakan pendapatnya.

“Betul tu.. “ Shira mengiakan.

“Eh, korang temankan aku ye?“ Aku tak berapa yakin untuk pergi bersendirian. Bukan takut, tapi risau.

“Tak nak lah. Aku letih. Nak balik tidurlah.“ Kata Shira cepat.

“Adi...?“ Aku memandang Adi dengan pandangan yang sedikit mengharap.

“Adi kena temankan aku balik. Aku takutlah masuk bilik sorang-sorang.“ Balas Shira lagi, seolah menjawab permintaan aku bagi pihak Adi. Adi hanya mengangkat bahu, menandakan dia tak dapat membantu. Mungkin dia pun keletihan, mungkin juga simpatinya pada Shira melebihi keinginannya untuk menemani aku, mungkin juga dia rasa tak selesa kerana penguman dan panggilan itu untuk aku dan bukan untuk dia. Entahlah. Tapi dlm diam aku juga merasakan yang Shira lebih memerlukan dia. Shira yang anggun, manis dan sopan, memangnya kelihatan amat bergantung pada orang lain. Dengan kata lain, dia suka berteman bila mahu kemana-mana. Lalu, biarlah Adi menemani dia.

“Okeylah kalau macam tu. Korang balik bilik dulu, aku ke sana sekejap.” Kataku memutuskan. Sebenarnya hati aku sedikit tergugat. Entah kena aku rasa tak selesa. Namun aku cuba untuk berfikiran positif. Mungkin benar pengumuman itu untuk aku. Mungkin benar Abang Arif yang mahu berjumpa denganku. Sebenarnya itulah yang aku harapkan. Berharap yang memang Abg Arif yang mahu berjumpa dengan aku. Lagipun masih banyak soalan yang bermain di fikiranku yang belum dijawabnya semenjak pertemuan yang berlangsung semasa baru mendaftar pagi semalam. Tapi... kenapa dia mahu aku berjumpa aku dengan cara membuat pengumuman begini? Bukankah lebih senang dan mudah kalau dia terus datang berjumpa dgn aku? Tak manis dilihat orang terutama di waktu malam begini, walaupun dia tu sepupu aku? Aku tak mahu ada fitnah yang timbul. Hati aku semakin tak selesa jadinya. Ya Allah... haruskah aku pergi?

Dalam semua persoalan dan percanggahan yang bermain difikiran, kaki aku tetap melangkah menuju ke tempat yang di umumkan tadi. Dewan kuliah 5 berada di bangunan sebelah dan aku terpaksa berjalan melalui laluan pejalan kaki berbumbung. Tak sukar untuk aku mencarinya kerana disitulah tempat suai kenal dibuat. Namun ia agak menyeramkan kerana jalan itu agak sunyi dan gelap.

Semakin aku menghampiri, semakin hati aku bercelaru. Aku memperlahankan langkah, berfikir samada perlukah aku pergi, atau berpatah balik saja. Tapi bila mengingatkan mungkin Abang Arif yang sedang menunggu, aku mempercepatkan langkah, menguatkan semangat.

Macam mana kalau ada orang nak buat khianat pada aku? Mungkin aku akan dijadikan mangsa rogol, bunuh atau dirompak ke…? Nauzubillah.... Semoga Allah jauhkan kejadian seperti itu dari berlaku keatas diri ku. Tapi kalau ada orang nak buat benda tak baik, tak mungkin orang tu akan membuat pengumuman terbuka macam tadi. Mungkin lebih sesuai dan selamat kalau sekadar menghantar mesej. Aku bersoal jawab sendiri.

Lorong menuju ke dewan kuliah 5 agak suram dan sunyi. Yang kedengaran hanyalah derap kaki ku yang mengatur langkah yang sekejap laju, sekejap perlahan. Aku berhenti di depan pintu dewan dan memasang telinga, cuba mengesan bunyi kalau ada sesuatu yang aneh dan mencurigakan. Sunyi. Dari celahan pintu, ada cahaya dari dalam walaupun agak samar, mungkin itu menandakan ada orang di dalamnya.

Aku menarik nafas sambil memikirkan apa yang akan aku cakap pada abang Arif nanti. Semalam aku tak sempat nak memaksa dia menjelaskan segala pertanyaan yang terhimpun dibenakku lantaran dia agak tergesa-gesa untuk pergi. Tapi kali ni aku pasti akan sembur dia habis-habisan kerana mengelak dari menjawab pertanyaan aku dengan cara begitu!