Jan 12, 2009

Pertama : Bab 17.0

‘Aku sayangkan dia. Atau adakah aku sebenarnya menyintai dia?’

Gelisah. Sekejap dia terlentang merenung kipas yang berpusing, sekejap kemudian dia mengerengkan. Matanya cuba dipejamkan, tapi mindanya tetap sedar.

Bantal panjang dipeluk erat. Dia melepaskan keluhan.

‘Selepas apa yang pernah berlaku, mungkinkah aku boleh menyintai lelaki? Tak mungkin!’ Mindanya menyoal hati sendiri.

‘Aku perempuan biasa yang punya naluri kewanitaan dan keibuan. Jiwa yang penuh dengan cinta dan sayang. Tak mustahil untuk aku juga punya perasaan itu. Aku kan perempuan.’ Hati cuba membela, mencari logik diantara keinginan dan rasa yang menjelma di dada.

‘Memang aku perempuan, tapi aku bukan perempuan yang lemah. Aku mesti terus tunjukkan diri aku juga setanding dengan lelaki. Tak nak jadi seperti perempuan biasa. Perempuan yg lembik dan senang dibuli. Lemah lembut konon. Itu lah punca kelemahan sebenarnya.’ Minda berkata, cuba menggali kekuatan yang hampir tenggelam.

Adakah menyayangi dan menyintai seseorang, itu satu kelemahan?’ Tiba-tiba soalan itu muncul.

Ya! Kerana sayang dan cinta itulah, ramai yang menderita. Kerana cinta dan sayang jugalah, ramai yang terkorban. Tak kan aku nak biarkan apa yang telah menjadi sejarah, kembali berulang?’ Minda berhujah.

‘Kerana sayang, aku dilahirkan. Kerana sayang itulah, aku dibesarkan. Adakah itu bukan bukti bahawa sayang dan cinta itu satu kekuatan dan bukan kelemahan?’ Hati membalas.

Fikirannya berperang. Bermonolog sendiri. Bilik yang luas dan lengkap ini terasa menghimpit. Sesak dengan persoalan hati.

Dia lelaki yang begitu sempurna. Lembut berbicara tapi tegas dalam keputusan. Pastinya dia mahukan perempuan yang sesuai dengannya. Dan lelaki begitu selalunya sukakan perempuan yang penuh kelembutan, ayu dan manis dalam perlakuan. Dan aku?’ Hati menilai dan membandingkan. Kedengaran keluhan terlepas berat.

‘Sedarpun. Hahaha… Aku tak seperti perempuan lain. Aku punya kualiti yang berbeza. Aku tak mahu jadi seperti perempuan biasa. Aku lebih istimewa daripada mereka.’ Minda berkata, cuba membangkitkan kembali semangat yang patah.

Istimewa? Istimewanya seorang perempuan itu di mana? Bukankah pada sopan santun dan kelembutannya? Dan aku dengan perlakuan seperti ini, dengan gaya pakaian sebegini, masih ada kelembutan yang tersembunyi. Cuma untuk dia. Hanya untuk dia.’ Hatinya memberi alasan untuk impian yang bercambah dalam diam.

Soalnya, adakah dia akan membuka matanya untuk melihat aku yg tersembunyi disebalik segala identiti tomboy yang aku pamerkan ni? Aku perlu berubah untuk dia? Perlu ke?’

Matanya melihat cermin besar didinding biliknya. Memerhatikan rambutnya yang pendek dan wajahnya yang pucat. Bibirnya tak berwarna. Wajahnya suram dan muram. Cermin mata berbingkai hitam menutupi sinar matanya. Mungkinkah akan ada yang mampu melihat keindahan disebaliknya?

Aku dah berjanji, aku tak akan membenarkan hatiku cair dengan mana-mana lelaki. Tapi kenapa dengan dia, aku jadi begini? Aku selalu teringatkan dia.’ Hatinya bertanya lagi.

Itukan biasa berlaku. Kesunyian dan kemudian, rasa kosong memenuhi hati. Kalau keluar, lepak dengan kawan-kawan, aku tak akan rasa begini.’ Alasan minda sentiasa ada.

Sampai bila kawan-kawan nak temankan aku? Mereka pun dah ada teman. Atau sebenarnya aku cemburu melihat teman lain sudah berpasangan, dan aku belum?’

Cemburu? Uek...! Menyampah dengan orang yg cemburu. Dan sekarang aku pulak yg cemburu? Tak mungkin! Lagipun tak guna nak cemburu. Dari dulu lagi aku tahu, tak siapa yang boleh aku harapkan selain dari diri sendiri. Sedangkan suami, ayah atau abang pun, selalu gagal untuk berada di sisi, tak boleh diharap untuk melindungi, apatah lagi teman? Ishhh... lupakan saja dia. Aku mesti lupakan dia! Mesti!’ Dia bangun. Mengetuk-ngetuk kepala sendiri. Seolah-olah cuba nak mengeluarkan sesuatu dari tempurung kepalanya.

Kalau aku boleh lupakan dengan mudah, tak de lah aku terkebil-kebil macam ni. Gila!’

Gila! Gila! Gila! Aku tak nak jadi gila sbb ingatkan dia! Pergiiiii!!!!!....’

Tapi wajah Afiq semakin menghampiri. Melekat dikotak fikirannya. Di hatinya…? Adi bingung. Benci pada diri sendiri yg dirasakan lemah, hanya kerana lelaki itu.