May 8, 2008

Pertama : Bab 16.0

Selesai menunaikan solat Subuh, Arif mengambil Quran kecil pemberian ibunya yang sering dibawanya kemana saja. Walaupun keletihan menjalankan tugasan sepanjang bebrapa hari kem itu berlangsung, tapi pesanan ayah yang mahu dia membaca paling kurang satu mukasurat sehari tetap cuba dilaksanakan.

“Quran itu penyejuk untuk yang panas, melembutkan hati yang keras, menghibur dikala sedih, mengubati yang terluka, menerangi yang gelap, menunjukkan pada yang tak berarah, memberi kepastian pada yang keliru, memudahkan sesuatu yang payah. Paling penting ianya melengkapkan apa yang kurang dalam hidup kita."


"Segala yang Allah telah tentukan untuk kita adalah yang terbaik untuk kita. Segalanya lengkap selagi kita tahu bagaimana nak menjadi manusia yang bersyukur. Sedikit dugaan yang Allah turunkan untuk kita, sebenarnya Dia telah menyediakan imbuhan yang lebih tinggi nilainya jika kita tahu bagaimana nak menikmatinya. Untuk menjadi manusia yang tak mudah lupa dan sentiasa merasa kehidupannya lengkap, bacalah Quran selalu. Sesibuk mana sekalipun masa kamu, pastikan ada masa untuk baca Quran.” Pesan ayah yang selalu diingati dan dipegangnya sehingga kini.

Sesudah menghabiskan ayat yang terakhir, Arif memeluk Quran kecil itu kemas sambil memejamkan mata. Memusatkan seluruh fikirannya pada Allah, memohon agar mereka sekeluarga terjaga dan dipelihara daripada azab neraka, meminta agar Allah menjaga orang-orang kesayangannya terutama ibu dan ayahnya yang berada dikampung, merayu agar dipermudahkan perjuangannya menuntut ilmu dan mendoakan agar hanya yang terbaik akan berlaku dalam kehidupannya.

Sejadah dilipat kemas dan dia melangkah menuju ke katil. Bayangan wajah Ika tiba-tiba menerpa. Terus segala peristiwa yang melibatkan Ika dan Afiq kembali tertayang dimindanya. Keluhan berat dilepaskan.


Entah kenapa semakin lama dia melihat kebetulan yang terjadi antara mereka adalah satu susunan rancangan Allah yang menandakan sesuatu. Kalau Allah telah menetapkan ada takdir antara mereka berdua, pasti dia tak akan mampu menghalangnya walau dia berusaha sedaya upaya untuk menjauhkan mereka.


"Hello."

“Hello. Assalamualaikum!” Salam ramah diberi bila mendengar ada suara menjawab dihujung talian.

“Waalaikumussalam. Siapa ni?”

“Arif ni. Mak Cu ke?” Tanya Arif meneka sesuatu yang pasti. Dia tahu kalau yang menjawabnya perempuan selain dari Ika, pasti mak saudara kesayangannya.

“Laa... Arif ke... Mak Cu tak kenal suara Arif tadi. Arif kat mana ni? Bila nak balik sini?” Riang jelas kedengaran dari nada suaranya.

“Arif pun tak kenal suara mak Cu tadi. Suara Mak Cu makin muda lah. Nasib baik tak terngorat tadi. Hehehe...” Usik Arif sambil ketawa.

“Haha... Kamu ni Arif, nak ngorat pun tengok nombor lah dulu. Kalau dah nombor telefon Mak Cu yang kamu dail, tak de sapa yang boleh kamu ngorat kat rumah ni. Ika pun tak de.” Balas Mak Cu sambil ketawa. Memang begitu selalunya. Tak pernah perbualan mereka sunyi dari usikan.

“Ika tak de kat rumah ke Mak Cu?” Tanya Arif.

“A'ah. Dia tak de kat rumah 3 hari sebab katanya nak pegi kem motivasi yang cikgu dia nak bawak.” Jelas Mak Cu.

“Kat mana tu?”

“Dia kata kat UiTM." Beritahunya satu persatu, seolah cuba mengingati apa yang dicakapkan oleh Ika, kemudian menyambung; "Isnin nanti balik lah tu."


"UiTM? Itu Persatuan Mahasiswa Universiti Arif yang buat tu."

“Ish... Kalau betul, eloklah. Tak delah Mak Cu risau sangat kalau dia pegi tempat yang Arif ada. Nanti Arif carilah dia kat sana, tolong tengok-tengokkan dia.” Katanya lega.

“Ye lah Mak Cu. Nanti Arif cari dia. Bila dah confirm nanti, Arif akan call bagitahu Mak Cu.” Janji Arif menambahkan kelegaan di hati ibu tua itu.

“Elok lah tu.” Arif memang harapannya untuk menjaga Ika. Lelaki yang begitu mengambilberat kebajikan anak gadisnya dan begitu prihatin dengan segala kemahuannya. Mereka begitu rapat, ibarat adik beradik kandung yang punya hubungan rapat yang istimewa.

"Jadi itu maknanya Arif akan balik lepas abih kursus tu lah ya? Atau nak kena balik Johor pulak ke?"

“Tak balik Johor dah. Arif sebenarnya memang dah bercuti, tapi Arif balik lambat sikit balik rumah sebab ada program tu lah.” Jelas Arif memberitahu.

"Balik nanti jangan lupa datang makan rumah Mak Cu. Nanti Mak Cu masak special untuk Arif ya." Pinta Mak Cu seperti selalu. Dia tahu walaupun tidak diajak atau dipesan Arif tetap akan datang menjengoknya, tapi dia dah terbiasa begitu. Bagai memujuk anak kecil yang liat nak makan, mengumpan dengan makanan kegemaran.

“Baiklah Mak Cu. Memang Arif akan ke rumah Mak Cu pun. Tak sah cuti Arif kalau tak makan gulai tempoyak Mak Cu tu. Erm... Okeylah Mak Cu. Arif nak call mak kejap. Tadi call tak de orang jawab. Nak cuba lagi sekali.” Kata Arif sebelum menghentikan perbualan. Hatinya riang. Fikirannya mula merangka dan merancang usikan untuk mengenakan Ika.

“Agaknya dia keluar kejap tu. Tertidur ke. Tak pelah, kalau tak dapat jugak, nanti Mak Cu bagitahu dia bila jumpa kat surau." Katanya mengagak.


"Terima kasih Mak Cu. Arif dah nak letak telefon ni. Assalamualaikum." Kata Arif sopan. Hatinya cukup senang kalau dapat berbual dengan anak saudara kesayangannya itu.

"Waalaikumussalam.” Senyumannya masih terukir dibibir walaupun telefon telah diletakkan ke gagang.

Terbayang kembali peristiwa lewat malam semalam. Entah bagaimana dia begitu mudah melepaskan Ika dihantar pulang ke asrama oleh temannya itu. Begitu lancar lidahnya meminta pertolongan Afiq. Melihat mereka berjalan berdua keluar dari dewan kuliah, membuatkan hatinya kaku seketika. Tiada rasa yang mampu digambarkan dengan perkataan. Berat tapi dia rasa seolah ada satu suara yang meminta dia memberi peluang untuk Ika mengenali lelaki itu. Ika masih muda. Bukan waktunya untuk dia membebankan fikiran Ika dengan persoalan pilihan pasangan hidup. 'Biarlah... kalau ada jodoh tak kemana.' Katanya memujuk hati sendiri.

Arif mengeluh panjang, cuba melepaskan satu beban perasaan yang menaungi hatinya. Kenapa begitu banyak kebetulan yang menjerat rasa cemburu Arif. Kenapa mesti ada rasa tak selesa menghuni hatinya setiap kali Afiq mendahului pertemuannya dengan Ika.

Di kem ini, ditempat yang Ika tak pernah tahu satu pertemuan telah ditakdirkan. Ika tak tahu dia adalah antara ajk yang terlibat mengendalikan kem tersebut. Dia yang merancang untuk berjumpa dengan Ika tapi orang pertama yang ditemui Ika di kem tersebut ialah Afiq. Afiq yang pernah banyak kali terserempak dengan Ika, tapi tak pernah Ika sedari. Afiq yang dari pandangan mata kasarnya mampu memenangi hati Ika kerana memiliki kelebihan tersendiri yang boleh menarik perhatian perempuan. Tapi Afiq kelihatan lebih leka memandang Ika berbanding dengan rakan seuniversiti yang lain. Kerana itulah, perasaannya berdetik mengatakan ada sesuatu dihati lelaki itu untuk Ika.

Entahlah. Antara keinginan hati ingin memiliki gadis itu dan juga hubungan terlalu dekat yang membuatkan dirinya rasa seolah tertambat. Tertambat yang tidak membolehkan dia mendekati Ika sebagai seorang lelaki. Ika telah menganggapnya sebagai seorang abang.

“Ika sayang abang?“ Tanya Arif tiba-tiba. Ika leka memerhati kunang-kunang yang terbang terbatas di dalam botol kaca yang sempit itu.

"Sayang." Jawabnya ringkas. Matanya masih tak mahu beralih dari memerhati sinar cahaya kecil yang indah itu.

"Kenapa Ika sayang abang?" Tanya Arif ingin tahu jawapan bagaimana yang keluar dari mulut kecil yang manis itu.

"Sebab Ika sayang abang lah. Sebab abang baik. Abang sayang Ika?" Jawab Ika yang bersambung dengan soalan yang sama sebagai balsan.

"Sayang." Ringkas jawapannya meniru Ika.

"Sebab Ika adik abang ya?" Tanya Ika lagi. Matanya yang bersinar disuluhi lampu tangga yang suram kini memandang Arif tunak.

"A’ah. Sebab Ika adik abang. Sebab Ika adik yang baik." Jawab Arif sambil mengusap rambut Ika yang panjang separas bawah bahu. Mendengar jawapan itu, Ika tersenyum riang.

"Abang mesti sayang Ika sampai bila-bila tau." Kata Ika manja.

"Ya lah. Abang akan sayang Ika sampai bila-bila." Janji Arif sambil menghulurkan jari kelingking. Ika menyambutnya dengan senyuman yang semakin lebar.

Mungkinkah gadis itu mampu menukarkan perasaan sayang saudara menjadi cinta? Mungkinkah gadis itu hanya akan membataskan perasaannya setakat sayang adik pada abangnya saja? Mungkinkah rindu yang cambah itu juga sebenarnya adalah rindu yang sama dimilikinya, cuma Ika yang tidak menyedari dan dia harus berusaha menyedarkan Ika bahawa rasa mereka sama? Dan keluarga.... adakah mereka akan merestui hasrat hatinya yang mungkin mereka rasakan janggal.

"Ika..." Arif menyeru nama Ika berserta keluhan berat yang dilepaskan. Laluan hidup masih panjang. Dia harus cuba mengabaikan hatinya yang gelisah walaupun sesukar mana sekalipun.